Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Orang Yang Tidak Qadha’ Puasa Ramadhan Sehingga Ramadhan Berikutnya

Hukum Orang Yang Tidak Qadha’ Puasa Ramadhan Sehingga Ramadhan Berikutnya

Soalan:

Saya telah meninggalkan puasa selama beberapa hari pada bulan Ramadhan disebabkan keuzuran, dan saya tidak mampu qadha’ puasa hari-hari yang ditinggalkan tersebut sehingga tiba bulan Ramadhan pada tahun berikutnya. Adakah saya dikenakan kaffarah disebabkan kelewatan qadha’ puasa tersebut? Adakah saya perlu qadha’ puasa hari-hari yang ditinggalkan secara berturut-turut atau dibolehkan secara berselang-selang hari?

Jawapan:

Jumhur ulama’ mewajibkan bayaran fidyah kepada sesiapa yang terlewat qadha’ (menggantikan) puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan sehingga tibanya bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya. Bayaran fidyah adalah dengan memberi makan (mengikut kadar makanan harian) kepada orang miskin yang mencukupi makan tengah hari dan makan malam sekiranya kelewatan puasa qadha’ bukanlah disebabkan apa-apa keuzuran. Ulama’ berhujah mengunakan hadis mauquf yang disandarkan kepada Abu Hurairah, yang merupakan lafaz beliau, menisbahkannya kepada Rasulullah adalah dhaif. Hadis ini diriwayatkan oleh enam orang sahabat termasuk Ibnu Abbas dan Ibnu Umar dan tidak pernah diketahui bahawa Yahya ibn Aksam menyalahi pandangan mereka.

Abu Hanifah dan yang sependapat dengan beliau menyatakan: Seseorang tidak dikenakan fidyah dan qadha’ puasa secara serentak. Hal ini disebabkan Allah telah memberikan keringanan kepada golongan pesakit dan musafir melalui firmannya, “maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain” tanpa menyebut tentang fidyah. Berdasarkan ayat al Quran ini, jelaslah bukannya satu tuntutan untuk membayar fidyah bagi golongan uzur dan musafir yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan. Berkenaan hadis yang memerintahkan kewajipan membayar fidyah bagi dua golongan (orang sakit dan musafir) adalah dhaif dan tidak diambil kira.

Dan berkata al-Syaukani di dalam kitabnya Nail Al-Autar (jilid 4, muka surat 318): Tiada satu pun hadis yang tsabit mengenai suruhan Nabi untuk membayar fidyah dan qadha’ puasa secara serentak bagi golongan pesakit dan musafir yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan, dan kata-kata sahabat mengenai hal ini juga tidak mempunyai hujjah. Kata-kata jumhur mengenai hal ini juga tidaklah menunjukkan hukum itu benar. Hal ini berdasarkan kepada konsep tiada hukum semulajadi (البراءة الاصلية). Sesuatu taklif (ibadah) adalah tidak wajib sehingga ada dalil yang mensyariatkannya”. Justeru, dalam hal ini, tiada sebarang dalil yang menunjukkan kewajibannya

Dan berkata al- Syafie: Jika kelewatan menggantikan puasa Ramadhan berlaku disebabkan keuzuran (keuzuran syar’ie), maka tiada fidyah dikenakan. Adapun kelewatan tanpa sebarang keuzuran, maka individu wajib membayar fidyah. Pendapat ini telah mengambil jalan tengah antara dua pendapat yang telah dibincangkan. Namun hadith dhaif dan mauquf yang menyatakan pensyariatan kaffarah tidak pula membezakan antara wujudnya keuzuran atau pun tidak ada sebarang keuzuran.

Pendapat al-Syafie lebih disenangi kerana ia meraikan perbezaan pendapat dalam hal ini. Tambahan pula, puasa ganti Ramadhan merupakan perkara wajib yang boleh dilakukan secara bertangguh (واجب على التراخي) dan bukannya secara segera. Walau bagaimanapun, menyegerakan ganti puasa adalah lebih baik sekiranya mampu kerana ia merupakan hutang antara hamba dengan Allah swt. yang lebih utama untuk dilangsaikan. Telah thabit dalam sahih Muslim dan musnad Ahmad bahawa Aishah r.aha telah menggantikan puasanya yang tertinggal di sepanjang bulan Ramadhan itu pada bulan Sya’ban. Ini menunjukkan Aishah r.ha tidak menggantikan puasanya secara segera.

Tidak disyaratkan dalam menggantikan puasa Ramadhan untuk melakukannya secara terus-menerus dan berturutan. Telah diriwayatkan oleh Darul Qutni daripada Ibnu Umar r.a. bahawa nabi s.a.w. bersabda mengenai qadha puasa Ramadhan: “ان شاء فرق وان شاء تابع “ yang maksudnya, “jika mahu gantilah (puasa Ramadhan) secara berpisah-pisah, dan jika mahu gantilah (puasa Ramadhan) secara berturutan”.

Sumber : Fatwa ‘Atiyyah Saqr (Kitab ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Jilid 3, muka surat 445

Advertisements

12 June 2015 - Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: