Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Orang Yang Tidak Qadha’ Puasa Ramadhan Sehingga Ramadhan Berikutnya

Hukum Orang Yang Tidak Qadha’ Puasa Ramadhan Sehingga Ramadhan Berikutnya

Soalan:

Saya telah meninggalkan puasa selama beberapa hari pada bulan Ramadhan disebabkan keuzuran, dan saya tidak mampu qadha’ puasa hari-hari yang ditinggalkan tersebut sehingga tiba bulan Ramadhan pada tahun berikutnya. Adakah saya dikenakan kaffarah disebabkan kelewatan qadha’ puasa tersebut? Adakah saya perlu qadha’ puasa hari-hari yang ditinggalkan secara berturut-turut atau dibolehkan secara berselang-selang hari?

Jawapan:

Jumhur ulama’ mewajibkan bayaran fidyah kepada sesiapa yang terlewat qadha’ (menggantikan) puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan sehingga tibanya bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya. Bayaran fidyah adalah dengan memberi makan (mengikut kadar makanan harian) kepada orang miskin yang mencukupi makan tengah hari dan makan malam sekiranya kelewatan puasa qadha’ bukanlah disebabkan apa-apa keuzuran. Ulama’ berhujah mengunakan hadis mauquf yang disandarkan kepada Abu Hurairah, yang merupakan lafaz beliau, menisbahkannya kepada Rasulullah adalah dhaif. Hadis ini diriwayatkan oleh enam orang sahabat termasuk Ibnu Abbas dan Ibnu Umar dan tidak pernah diketahui bahawa Yahya ibn Aksam menyalahi pandangan mereka.

Abu Hanifah dan yang sependapat dengan beliau menyatakan: Seseorang tidak dikenakan fidyah dan qadha’ puasa secara serentak. Hal ini disebabkan Allah telah memberikan keringanan kepada golongan pesakit dan musafir melalui firmannya, “maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain” tanpa menyebut tentang fidyah. Berdasarkan ayat al Quran ini, jelaslah bukannya satu tuntutan untuk membayar fidyah bagi golongan uzur dan musafir yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan. Berkenaan hadis yang memerintahkan kewajipan membayar fidyah bagi dua golongan (orang sakit dan musafir) adalah dhaif dan tidak diambil kira.

Dan berkata al-Syaukani di dalam kitabnya Nail Al-Autar (jilid 4, muka surat 318): Tiada satu pun hadis yang tsabit mengenai suruhan Nabi untuk membayar fidyah dan qadha’ puasa secara serentak bagi golongan pesakit dan musafir yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan, dan kata-kata sahabat mengenai hal ini juga tidak mempunyai hujjah. Kata-kata jumhur mengenai hal ini juga tidaklah menunjukkan hukum itu benar. Hal ini berdasarkan kepada konsep tiada hukum semulajadi (البراءة الاصلية). Sesuatu taklif (ibadah) adalah tidak wajib sehingga ada dalil yang mensyariatkannya”. Justeru, dalam hal ini, tiada sebarang dalil yang menunjukkan kewajibannya

Dan berkata al- Syafie: Jika kelewatan menggantikan puasa Ramadhan berlaku disebabkan keuzuran (keuzuran syar’ie), maka tiada fidyah dikenakan. Adapun kelewatan tanpa sebarang keuzuran, maka individu wajib membayar fidyah. Pendapat ini telah mengambil jalan tengah antara dua pendapat yang telah dibincangkan. Namun hadith dhaif dan mauquf yang menyatakan pensyariatan kaffarah tidak pula membezakan antara wujudnya keuzuran atau pun tidak ada sebarang keuzuran.

Pendapat al-Syafie lebih disenangi kerana ia meraikan perbezaan pendapat dalam hal ini. Tambahan pula, puasa ganti Ramadhan merupakan perkara wajib yang boleh dilakukan secara bertangguh (واجب على التراخي) dan bukannya secara segera. Walau bagaimanapun, menyegerakan ganti puasa adalah lebih baik sekiranya mampu kerana ia merupakan hutang antara hamba dengan Allah swt. yang lebih utama untuk dilangsaikan. Telah thabit dalam sahih Muslim dan musnad Ahmad bahawa Aishah r.aha telah menggantikan puasanya yang tertinggal di sepanjang bulan Ramadhan itu pada bulan Sya’ban. Ini menunjukkan Aishah r.ha tidak menggantikan puasanya secara segera.

Tidak disyaratkan dalam menggantikan puasa Ramadhan untuk melakukannya secara terus-menerus dan berturutan. Telah diriwayatkan oleh Darul Qutni daripada Ibnu Umar r.a. bahawa nabi s.a.w. bersabda mengenai qadha puasa Ramadhan: “ان شاء فرق وان شاء تابع “ yang maksudnya, “jika mahu gantilah (puasa Ramadhan) secara berpisah-pisah, dan jika mahu gantilah (puasa Ramadhan) secara berturutan”.

Sumber : Fatwa ‘Atiyyah Saqr (Kitab ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Jilid 3, muka surat 445

12/06/2015 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

GANJARAN BESAR SEDEKAH RAMADAN

RAMADAN menjanjikan banyak kelebihan dan ganjaran. Antaranya amalan sunat diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda. Demikian juga dalam bab sedekah. Bagi umat Islam yang suka bersedekah, pastinya Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu untuk mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW juga adalah insan yang paling dermawan. Sifat pemurah Baginda adalah berlipat kali ganda dalam bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain.

Ketahuilah bahawa Allah SWT melipatgandakan pahala orang yang bersedekah.

Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak. (al-Hadid: 18)

Seharusnya ini menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk bersedekah terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sedekah itu pula bukan mesti banyak, sedikit pun mencukupi kerana yang penting adalah ikhlas.
Ingatlah ganjaran yang disebutkan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya”. (Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan Ramadan kali ini menyediakan juadah berbuka puasa kepada jiran atau pun saudara seagama. Ini boleh dilakukan secara bersendirian atau dengan mengambil giliran menyumbang wang kepada masjid atau surau menyediakan juadah berbuka puasa.

Bagi yang berkebolehan membuat kuih apa salahnya hadiahkan sepiring kepada jiran tetangga. Bagi yang tidak sempat memasak, apa kata mulai tahun ini beli lebih sedikit kuih muih atau makanan untuk disedekahkan kepada orang berbuka puasa.

Bayangkan kegembiraan orang yang berbuka puasa itu lebih-lebih lagi bagi mereka yang bermusafir dan singgah di masjid atau surau kariah kita.

Alangkah baik jika kempen derma minimum RM1 turut dipromosi kepada setiap jemaah masjid dan surau. Ini bertujuan menyuburkan budaya bersedekah dalam kalangan umat Islam terutamanya kanak-kanak.
Ingatlah setiap kebajikan yang kita lakukan walau sebesar zarah akan diperlihatkan ganjarannya di akhirat kelak. Lebih penting lagi, kita menghayati sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang di bawah adalah orang yang meminta. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, keutamaan bersedekah yang lain adalah:

– Sedekah dapat menghapus dosa. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api”. (Riwayat Tirmidzi)

– Orang yang bersedekah mendapat naungan di hari akhirat. Nabi SAW dalam sabdanya menyebut antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak ialah: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya”. (Riwayat Bukhari)

– Sedekah memberi keberkatan pada harta. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah…” (Riwayat Muslim)

Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusahalah menyumbang tenaga dan fikiran dengan mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.

Sumber: Utusan Malaysia

12/06/2015 Posted by | Ibadah, Tazkirah | Leave a comment

Comments

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

RAMADHAN YANG DINANTI
12 Jun 2015M/ 25 Sya’aban 1436H

Kaum muslimin yang dimuliakan Allah, Sesungguhnya, sama ada kita sedar atau tidak, masa berlalu begitu pantas berjalan meninggalkan kita. Bulan Sya’aban telah pun memasuki ke hari-hari terakhirnya, tidak lama lagi kita akan bertemu dengan penghulu segala bulan; Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang memiliki pelbagai kemuliaan, dijanjikan gandaan ganjaran, dilimpahi keberkatan dan dilimpahi rahmat serta keampunan.

Ramadhan bukanlah hanya sekadar satu bulan di dalam kalendar Islam, malah ia adalah sebuah madrasah yang mampu mentarbiyah jiwa insan.

‘’Bagai Pungguk Rindukan Bulan’’ begitulah peribahasa yang selayaknya menggambarkan jiwa orang orang yang beriman menanti ketibaan Ramadhan.

Kedatangan bulan Ramadhan adalah hadiah dan nikmat yang terbesar bagi umat Islam. Manakan tidak! Bulan mulia yang bakal menjelang tiba ini Allah SWT menyediakan pelbagai tawaran mega kepada hamba-hambaNya yang beriman. Setiap detik dan saat yang berjalan tidak kira sama ada waktu pagi mahupun petang, malam ataupun siang, segala amalan yang dilakukan nilai ganjarannya bakal dilipatgandakan oleh Allah Rabbul Jalil.

Teks penuh di http://www.jawi.gov.my/my/e-khutbah

12/06/2015 Posted by | Ibadah, Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: