Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Adakah Kita Dibenarkan Untuk Menulis Ayat Al-Quran, Hadith Dan Zikir Dalam Tulisan Rumi

Adakah Kita Dibenarkan Untuk Menulis Ayat Al-Quran, Hadith Dan Zikir Dalam Tulisan Rumi

Blog Fatwa Malaysia

ISU:

Adakah kita dibenarkan untuk menulis ayat al-Quran, hadith dan zikir dalam tulisan rumi? Mohon penjelasan .

PENJELASAN:

Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 3, yang bermaksud, “Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.”

Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak dibenarkan menulis ayat al-Quran dalam tulisan selain tulisan Arab mushaf Uthmani. Imam Ibnu Hajar al-Haytami menjelaskan dalam kitab Fatwanya, para ulama sepakat melarang menulis ayat al-Quran dalam tulisan selain tulisan Arab walaupun dengan tujuan untuk mengajar. Dakwaan yang mengatakan jika ditulis ayat al-Quran menggunakan tulisan yang difahami oleh sesuatu masyarakat memudahkan mereka untuk belajar al-Quran, dakwaan itu adalah sesuatu pembohongan dan tidak mengikut amalan umat Islam terdahulu.

al-Zurqani menjelaskan dalam kitabnya ‘Manahil al-‘irfan’, para ulama melarang menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan selaian tulisan Arab kerana ia membuka ruang yang luas kepada penyelewengan dan perubahan makna. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Lujnah Fatwa al-Azhar, berkaitan menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi: Dilarang menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi, walaupun dikatakan ia boleh menyamai dengan konsep tulisan Arab (iaitu menggunakan transliterasi), kerana apabila menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi sudah pasti akan berlaku perubahan cara bacaan dan makna. Wajib menjaga al-Quran daripada sebarang bentuk perubahan atau penyelewengan.

Fatwa di Malaysia turut menjelaskan bahawa haram menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi. Muzakatah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-24 bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989 bersamaan 2 dan 3 Zulkaedah 1409 telah mengambil keputusan bahawa: ‘Adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran. Memandangkan keadaan yang ada dalam masyarakat Islam di Malaysia, maka Muzakarah menasihatkan bahawa pelaksanaan fatwa ini hendaklah dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan tidak menyusahkan mana-mana pihak.’

Manakala menulis hadis, doa, atau zikir bahasa Arab dalam tulisan rumi, jika bertujuan untuk pembelajaran, maka ia dibenarkan, selagi mana ia tidak mengubah makna hadis, doa, atau zikir tersebut. Ia hanya untuk pembelajaran awal bagi golongan yang masih belum boleh membaca tulisan bahasa Arab. Namun, setelah boleh membaca dalam tulisan Arab, maka hendaklah membacanya dalam tulisan Arab. Ini bagi memastikan hadis, doa, atau zikir itu dibaca dengan betul.

Wallahua’lam

Rujukan: http://www.e-fatwa.gov.my/blog/adakah-kita-dibenarkan-untuk-menulis-ayat-al-quran-hadith-dan-zikir-dalam-tulisan-rumi

28/05/2015 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Bolehkah kita mengeluarkan fidyah dengan wang?

Bolehkah kita mengeluarkan fidyah dengan wang?
Lembaga Zakat Selangor

Soalan: , Bolehkah kita mengeluarkan fidyah dengan wang ataupun mesti juga dengan makanan asasi?

Jawapan: Umumnya, fuqaha seperti Ibnu Taimiyah dan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi sendiri lebih cenderung agar fidyah boleh dikeluarkan dalam bentuk wang. Namun, fuqaha silam menetapkan bahawa, fidyah hendaklah dikeluarkan sesuai dengan makanan asasi di sesebuah tempat berkenaan, yakni ia sama dengan zakat fitrah, yang dikeluarkan berdasarkan makanan asasi.

Ibn Qudamah misalnya menyatakan: “Memberi makan seorang miskin adalah sebesar satu mudd gandum atau setengah sha’ kurma.” (Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 249).

Pada sisi Syafi’iyah dinyatakan: “Apabila orang yang terlalu tua terpaksa berbuka, dia wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.” (Fiqh al-Manhaji al-Syafie, hal. 506).

Pada sisi Hanafi pula: “Boleh membayar fidyah dengan wang, iaitu dengan memberikan wang yang sama nilaninya dengan setengah sha’ gandum atau satu sha’ kurma kepada seorang miskin.” (Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 249).

Maka, berdasarkan pernyataan di atas, ada dua pandangan ulama, sama ada mengeluarkan fidyah dengan makanan asasi atau dengan wang. Dalam konteks amalan hari ini, sudah pasti memberikan wang adalah lebih praktikal; apatah lagi melihat kepada zakat fitrah sendiri sudah ditunaikan dalam bentuk wang.

Pun begitu,adalah dinasihatkan, seandainya kita mahu mengeluarkan terus fidyah dalam bentuk wang kepada orang miskin, maka hendaklah diberitahu bahawa itu adalah wang fidyah.

Ini kerana, asalnya wang fidyah sepatutnya diberikan dalam bentuk makanan asasi (beras); jadi hendaklah si penerima faham bahawa tidak boleh menggunakan wang fidyah untuk membeli barangan yang tidak perlu, makanan ringan yang tidak berkhasiat apatah lagi digunakan untuk membeli rokok dan seumpamanya yang tidak berfaedah.

28/05/2015 Posted by | Fiqh, Ibadah | 1 Comment

Membeza Wahabi dan Sunnah Wal Jamaah

 

 

Ahli Sunnah berpegang kepada Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima, berpegang kepada ajaran akidah Imam al-Asyari dan Maturidi dan yang mengikuti mereka sampai masa kini.

Mereka beriman mengenai Allah memiliki sifat sempurna tidak terhisab, tetapi sekurang-kurang perlu diketahui semua orang ialah sifat ada, sedia kala, kekal, tidak menyerupai semua yang baru, berdiri sendiri, Maha Esa, hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata dengan kalam-Nya yang kadim dan azali tidak menyerupai makhluk dalam semua perkara. Zat-Nya tidak seperti zat makhluk, perbuatan-Nya tidak seperti makhluk.

Kalau sesiapa mengatakan ia mempunyai sifat makhluk atau menyerupai makhluk, maka ia terkeluar daripada iman. Sebab itu Imam Tahawi, Syafie, Abu Hanifah dan seterusnya menyebut Ia tidak bertempat, tidak tertakluk oleh masa, tidak berada dalam ruang.

Tidak boleh dikatakan Tuhan berada di atas, di bawah, di kanan, atau di kiri, di belakang atau di hadapan, sebab ia tidak berpihak.

Dalam Ahli Sunnah, ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut sifat Allah seperti sifat makhluk, maka disuruh kita sama ada menerima seperti asalnya (tafwidh) menyerahkan erti hakikinya kepada Allah SWT, atau mentakwilkannya dengan sifat yang layak dengan-Nya.

Ini dilakukan umpamanya oleh penghulu orang Salaf al-Tabari.

Orang Wahabi menerimanya secara literal dan hakiki, kalau disebut Tuhan ada tangan, tanganlah, kalau kaki, kakilah, kalau jari maka jarilah. Ini membawa kepada menyerupakan Allah dengan makhluk.Nauzu billahi min zalik.

Seperkara lagi mereka membahagikan tauhid kepada tiga, tauhid Rububiah, tauhid Uluhiah, dan tauhid Asma Wassifat. Setiap satunya terasing daripada yang lain. Rububiah ertinya tauhid mengakui Tuhan Pencipta Alam, Esa, Berkuasa dan lainnya, tauhid Uluhiah ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Maka dengan skema ini, mereka boleh berkata Abu Jahal itu ahli tauhid dan ikhlas tauhidnya lebih daripada orang yang mengucap ‘Lailahailallah’.

Dengan skema ini juga mereka mengkafirkan orang yang berdoa meminta keberkatan di makam salihin dan anbia dan bertawassul dengan mereka. Ini pula satu tajuk yang tersendiri huraiannya.

Mengenai nabi, Ahli Sunnah mengajarkan, anbia ada sifat maksum (tidak berdosa), apa lagi Nabi Muhammad SAW dan mereka mempunyai sifat benar, amanah, menyampai kebenaran, dan bijaksana; mereka manusia yang makan dan minum serta berkahwin, tetapi mereka sempurna kerana itu diturunkan wahyu kepada mereka oleh Tuhan.

Ini diikuti dengan iman mengenai malaikat, akhirat (termasuk nikmat dan azab kubur), dan qada dan qadar yang menentukan segalanya ialah Allah, manusia diperintah berusaha dan berikhtiar dalam perkara yang baik dan mengelak daripada perkara yang jahat.

Ahli Sunnah mengajarkan kewajipan mengucap syahadah dengan yakin ertinya, menjalankan sembahyang lima waktu, melakukan puasa, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan.

Ia mengajarkan kewajipan menunaikan nazar dan sumpah. Ia mengajarkan membaca al-Quran, lebih-lebih lagi dengan mengerti ertinya, melakukan zikir mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya. Ia mengajarkan manusia bersangka baik terhadap Allah SWT dan jangan bersangka buruk terhadapnya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa dosa besar ialah sihir, mencuri, berzina, berjudi, membuat sumpah palsu, memakan rasuah, memakan riba, yang terbesar ialah syirik yang berupa dosa yang tidak terampun, melainkan sebelum mati orang yang berkenaan bertaubat dan kembali kepada tauhid. Seseorang yang beriman tidak menjadi kafir dengan melakukan dosa bagaimana besar sekalipun, ia menjadi kafir hanya kerana kufur iktikad, kata-kata atau perbuatannya seperti ia menyembah berhala, kecuali ia dipaksa seperti diancam bunuh.

Orang Wahabi boleh menghukum orang kafir kerana dosa, bahkan kerana bertawassul di kubur nabi dan yang sepertinya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu; kalau anak jika tidak diniatkan pun amalan itu sampai kepada kedua-dua ibu bapanya kerana ia lahir kerana mereka. Fahaman Wahabi mengatakan amalan orang hidup tidak sampai kepada orang mati.

Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengajarkan Muslimin wajib taat kepada ulil-amri mereka, tidak boleh derhaka atau keluar menentang mereka, melainkan mereka itu kafir. Orang Wahabi tidak sedemikian sebab itu mereka menentang dan memberontak menentang Sultan Othmaniah dan wakilnya, tetapi mereka berbaik dengan British dan Perancis seperti yang jelas dalam sejarahnya. Ahli Sunnah mewajibkan memberi nasihat yang baik dan ikhlas kepada ulil-amri bukan memberontak. Tidak ada teori memberontak dalam Ahli Sunnah.

Dalam Ahli Sunnah, ulamanya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi Wahabi mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan; talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan membaca Yassin pada malam Jumaat.

Banyak lagi perbezaan antara fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman Wahabi berlainan daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya.

Berwaspadalah. Wallahualam.

Petikan dari tulisan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady

28/05/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized | Leave a comment

Kisah seorang Syeikh yang membantah Majlis Maulid Sayyid Ahmad al Badawi

Kisah seorang Syeikh yang membantah Majlis Maulid Sayyid Ahmad al Badawi

Disebutkan oleh Syeikh Muhammad Syinnawi: Pada suatu hari,seorang Syeikh telah membantah dan tidak bersetuju dengan sambutan Maulid Sayyid Ahmad al-Badawi.Dengan tiba2,pakaian iman dari dirinya telah dilucutkan sehingga tidak sehelai rambut pun dari agama Islam yang masih tinggal.Beliau telah merasa cemas lalu berdoa kepada Allah.

Di dalam keadaan cemas itu,Sayyid Ahmad al-Badawi telah datang dan berkata bahawasanya syeikh itu akan ditolong dengan syarat beliau tidak menceritakan perkara itu kepada orang lain.Setelah syeikh itu bersetuju,maka pakaian imannya pun dikembalikan.Kemudian,Sayyid Ahmad al-Badawi pun bertanya,Kenapakah engkau mengingkari sambutan maulidku? Syeikh itu menjawab: Aku melihat di sana majlis engkau bercampurnya kaum lelaki dan kaum perempuan.

Maka berkata Sayyid Ahmad al-Badawi: Itu bukanlah masalah besar,ini kerana semasa melakukan tawaf mengelilingi Ka’bah bukankah juga bercampurnya kaum lelaki dan kaum perempuan.Demi kemuliaan Allah! Tiada seorang pun yang membuat maksiat di dalam maulidku dan kemudian bertaubat,melainkan dijadikan baik taubatnya.Jika Allah mampu mengawasi segala binatang di hutan dan segala ikan di laut,dan memisahkan satu kumpulan dari satu kumpulan yang lain,adakah Dia akan menjadi lemah dari MENGAWASI orang2 yang menghadiri maulidku?

(Manaqib Sayyid Ahmad al-Badawi dalam Kitab Tobaqat al-Kubra,Syeikh Abdul Wahhab Asy Sya’rani Jilid 1 Halaman 158)

Sumber

28/05/2015 Posted by | Politik dan Dakwah, Tasauf, Tazkirah | Leave a comment

ZIKIR SEPERTI POKOK BERGOYANG DITIUP ANGIN

ZIKIR SEPERTI POKOK BERGOYANG DITIUP ANGIN

Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim,daripada al-Fudhail bin ‘Iyadh Rohimahullahu Ta’ala berkata :Bahawa sahabat Rasulullah ﷺ ketika zikrullah bergoyang2 ke kanan dan ke kiri sepertimana POKOK BERGOYANG ditiup angin kencang ke hadapan dan kemudian ke belakang.

(Al-Tartib Al-Idariyah,Al-‘Allamah ‘Abdul Hayy Al-Kattani (2/134)

Dan daripada Abi Urakah berkata:Aku solat Subuh bersama Ali Rodiyallahu ‘Anhu.Kemudian beliau berpaling ke sebelah kanan dan kelihatan beliau dalam keadaan kesedihan.Beliau duduk sehinggalah cahaya matahari mengenai dinding masjid dalam kadar sebatang lembing lalu beliau solat dua rakaat.Apabila selesai bersolat,beliau membalikkan tangannya lalu berkata: Demi Allah,sesungguhnya aku pernah melihat para sahabat Nabi ﷺ dan aku tidak dapat lagi melihat keadaan hari ini serupa dengan suasana mereka.Kehidupan mereka kusut masai dan berdebu,dahi mereka bertanda seperti tanda pada lutut kambing,kesan daripada sujud.Mereka bermalam dengan melakukan sujud dan qiam kerana Allah,mereka membaca al-Quran,berterusan dahi mereka sujud dan kaki mereka qiam.Apabila subuh,mereka BERZIKIR BERGOYANG2 sepertimana POKOK BERGOYANG DITIUP ANGIN dan bercucuran airmata mereka sehingga basah baju mereka…”

(Rujuk Al-Bidayah wan Nihayah Ibnu Kathir 8/6,dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah 1/76,Ibnu ‘Asakir dalam al-Kanz 8/219 dan Hayatus Sohabah 1/49)

28/05/2015 Posted by | Iklan, Q & A (Soal Jawab), Tasauf | Leave a comment

MAS’ALAH KUBUR BAHAGIAN DUA OLEH SHAYKH HISHAM KABBANI

MAS’ALAH KUBUR BAHAGIAN DUA OLEH SHAYKH HISHAM KABBANI

MAS’ALAH QUBUR BAHAGIAN DUA OLEH SHAYKH HISHAM KABBANI

Bismillah al-Rahman al-Rahim.

Salah satu propaganda Wahhabi mengatakan: “Sebuah teks yang sangat asli (nas sahih) menyokong hanya untuk menziarahi maqam Nabi Muhammad (saw) dan bukan untuk orang lain.” Ini adalah pembohongan yang serius terhadap Al-Qur’an, Sunnah, Syariah dan Agama Islam! seperti yang ditunjukkan oleh bukti-bukti sebagai berikut:

1. Tidak ada dalam Islam sebuah teks tunggal – sama ada asli atau tidak asli – yang mengatakan untuk hanya menziarahi maqam Nabi Muhammad (saw).Pendakwaan perkara sebegitu tidak pernah didengari. Bahkan Wahhabi dari 200 tahun terakhir tidak pernah jatuh sampai ke tahap buta hati dan barah kejahilan serendah ini untuk berdusta melalui gigi-gigi mereka bagi menentang Allah dan Rasul-Nya.

2. Allah swt berkata: وما آتاكم الرسول فخذوه “Dan apa pun Nabi (saw) bawa kepada kamu, ambillah ia.” (Al-Hasyr 59: 7) Dan Nabi (saw) mengatakan: زوروا القبور ZURUL QUBURA “Berziarahlah ke kuburan! “ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahih-nya serta dalam kitab Sunan dan lainnya seperti al-Hakim, Ibn Hibban, al-Tabarani dan Musnad Imam Ahmad bin Hanbal. Al-Tirmidzi mengatakan:
سليمان بن بريدة عن أبيه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم قد كنت نهيتكم عن زيارة القبور فقد أذن لمحمد في زيارة قبر أمه فزوروها فإنها تذكر الآخرةقال وفي الباب عن أبي سعيد وابن مسعود وأنس وأبي هريرة وأم سلمة قال أبو عيسى حديث بريدة حديث حسن صحيح والعمل على هذا عند أهل العلم لا يرون بزيارة القبور بأسا وهو قول ابن المبارك والشافعي وأحمد وإسحق
Burayda (r) meriwayatkan bahawa Nabi (saw) mengatakan: “Aku telah melarang kamu di masa lalu daripada menziarahi maqam tetapi Muhammad telah diberikan izin untuk menziarahi maqam ibunya, oleh itu ziarahlah mereka, kerana sebenarnya mereka mengingatkan kamu tentang akhirat. “Al-Tirmidzi mengatakan:”Hal
ini diriwayatkan juga dari Abu Sa`id, Abu Hurairah dan Umm Salama, dan hadits Burayda adalah hassan sahih, dan INI ADALAH AMALAN DI KALANGAN MEREKA YANG BERILMU”.

3. Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari mengatakan Ibnu Hazm bahkan menganggap bahawa menziarahi kubur adalah wajib sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Ini menunjukkan bahawa menziarahi maqam selain Nabi (saw) juga diterima dan diamalkan oleh mereka yang berilmu dalam Islam, dan wajib menurut sesetengah daripada mereka, dan sebaliknya ia bererti bahawa mereka yang melarang atau melihat sesuatu yang salah dengannya adalah ORANG YANG JAHIL menurut Imam al-Tirmidzi (rah) dan mereka KAFIR SESAT menurut Ibnu Hazm al-Zahiri (rah).

4. Perkara ini sangat tepat dengan ciri-ciri Wahhabi pada zaman kita, kerana mereka mengaku membela agama dengan dalil (bukti) tetapi mereka bahkan tidak tahu tentang dalil tersebut; dan jika mereka tahu, mereka salah memahaminya dan memutarbelitkan maknanya (Tahrif), atau menyimpang mentafsirkannya (ta`til); dan jika mereka memahaminya, mereka melakukan tahrif dan ta`til yang sama dengan memetiknya secara keluar dari konteks atau mempertikaikan keasliannya. Mereka terus menghentakkan kepala mereka di antara tiga tembok: kejahilan, kebodohan dan kepercayaan buruk. Mereka mengakhirinya dengan kenyataan yang sepenuhnya bertentangan dengan apa yang dikatakan Allah dan Nabi-Nya (saw), jadi kami bertanya kepada umat Islam dan khususnya Ulama ASWJ kita di Malaysia dan di mana-mana: Apakah kedudukan bagi mereka yang mendengar bahawa Nabi (saw) memerintahkan sesuatu dan kemudian mereka menjawab “Tidak”?

5. Inilah sebabnya mengapa pembela ASWJ kita yang tercinta di Mesir Dr Ali Gomaa (hafizahullah) memanggil Wahhabi hari ini adalah al-Nabitah – Mereka tumbuh seperti cendawan setelah hujan dan mereka tidak berguna atau bahkan beracun; dan pembela ASWJ kita yang tercinta di Syria Dr Nur al-Din Itr memanggil mereka Zahiriyya

Sumber:Naqshbandiyya Nazimiyya Sufi Order of Malaysia

28/05/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Islam itu dikuatkan oleh doa para aulia, jihad para mujahid dan ilmu para ulama.

Islam itu dikuatkan oleh doa para aulia, jihad para mujahid dan ilmu para ulama.

Islam itu dikuatkan oleh doa para aulia, jihad para mujahid dan ilmu para ulama. Asasnya adalah taqwa. Dengan taqwa, ulama akan berjuang dengan ilmunya, mujahid dengan pedangnya (kemahirannya) dan aulia dengan doanya.

Terbukti dalam kisah kejayaan Sultan Muhammad Al Fateh menakluki Konstatinopel, seorang Wali Allah bernama Syeikh Ahmad Yasawi, dikenali di Turki sebagai Haji Bayram Veli, pernah ditemui oleh Sultan Murad II, meminta agar didoakan agar dia berjaya menawan Konstantinopel.
Berkata Haji Bayram kepada Sultan Murad, “Bukan engkau yang akan menawannya, tetapi anak engkau.” Lalu Haji Bayram mendoakan agar Muhammad Al Fateh berjaya menakluki kota itu.

Wali Allah ini, Haji Bayram mendidik Syamsudin Al Wali, ulama dan wali Allah yang mendidik Muhammad Al Fateh menjadi pemimpin mujahid yang berjuang mengotakan janji Rasulullah ﷺ, “Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

Sultan Muhammad Al Fateh berjuang memenuhi syarat ketua yang baik. Untuk memastikan syarat kedua, tentera yang baik, baginda pernah menguji tentera-tenteranya.

Pada suatu ketika dalam misi ketenteraan, tentera Muhammad Al-Fateh telah diperintah mennjejaki penempatan satu kedudukan musuh.
Untuk ke sana mereka perlu melalui satu ladang anggur yang sedang berbuah dan masak ranum.
Tentera-tenteranya melalui ladang itu dengan tenang tanpa merosakkan sebatang pokokpun.
Sampai di satu tempat, Muhammad Al Fateh jatuh sakit, dan pada tabib dikhabarkan bahawa dia sangat teringin memakan buah anggur.
Lalu dikhabarkan kepada tentera-tentera keinginan itu, tetapi tiada seorangpun dari tentera itu yang mempunyai walau sebiji buah anggur…walhal mereka baru saja melepasi ladang anggur yang sedang masak ranum.
Muhammad Al Fateh bersyukur, kerana terbukti tentera-tenteranya sangat amanah, hingga sebiji buahpun tidak dipetik tanpa izin. Mereka tidak berani mengambil apa saja yang bukan hak mereka. Baginda berpuashati dengan kesolehan tenteranya.

Masih ada syarat yang perlu dipenuhi…iaitu rakyat yang baik. Sultan Muhammad ingin menguji tahap iman dan ukhwah rakyatnya. Baginda menyamar sebagai seorang yang susah dan miskin, pergi ke pintu-pintu rumah minta bantuan makanan.
Setiap penghuni membantu dengan rela, sekalipun yang paling miskin di antara mereka.
Penghuni miskin itu berkata, “Walaupun barang di rumah kami kurang, ambillah barang ini kerana kamu mungkin lebih memerlukan dari kami.”

Terbukti ukhwah mereka kuat. Ukhwah atau rasa persaudaraan yang kuat pasti lahir dari keimanan yang kuat. Sanggup susah walaupun diri sendiri susah. Mencintai saudaranya lebih dari diri sendiri.

Maka fahamlah Sultan Muhammad Al Fateh, syarat-syarat yang diisyaratkan Rasulullah ﷺ telah lengkap. Beliau lantas dia bertemu gurunya, Syeikh Syamsudin Al Wali memohon restu dan barakah, memulakan misi yang telah direbut sejak zaman para sahabat lagi, iaitu menakluki kota Konstantinopel.

Haji Bayram telah berperanan melalui doa dan firasatnya, Syamsudin Al Wali berperanan dengan ilmu didikannya, Muhammad Al Fateh berperanan sebagai mujahid yang mahir strateginya.

Ketiga-tiga watak ini mempunyai persamaan, iaitu TAQWA. Tanpa taqwa tiadalah bantuan Allah.

Syarat TAQWA itulah yang diusahakan Muhammad Al Fateh ke atas dirinya, tenteranya dan rakyatnya. Apabila syarat-syarat itu dipenuhi, termakbullah doa wali, hiduplah ilmu ulama, membuaklah darah syuhada, terkotalah janji dan isyarat Rasulullah ﷺ
Untuk melengkapkan ulangan sejarah yang sedang ditempa, TAQWA jugalah sebagai maharnya. Usahakanlah Taqwa untuk menjadi ikhwan di akhir zaman.

Ketaqwaan Sultan Muhammad Al Fateh terbukti ketika kemenangan telah dicapai.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam.
Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”.
Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”.
Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”.
Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh.
Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah ﷺ di dalam Hadisnya itu.

Ustaz Mohd Fadli Yusof, 14 Mei 2015, dalam penerbangan Labuan ke Kuala Lumpur.

28/05/2015 Posted by | Bersama Tokoh, Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: