Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ULASAN TERHADAP ARTIKEL DR MAZA: SALAH GUNA NAMA IJMAK

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya diminta untuk mengulas artikel ‘Salah Guna Nama Ijmak’ oleh Dr. MAZA dalam Utusan Malaysia, 13 Disember 2009 dalam keadaan saya bukan peminat ruangannya. Di sebabkan tajuknya penting dan dalam bidang saya iaitu ijmak, saya rasa, saya perlu juga memberi komen terhadap tajuk ini. Selamat membaca.

Salah guna nama ijmak

Minda Dr. Maza

Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah ‘tidak laku’ atau menghadapi ‘tarikh luput’ di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai. Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama. Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.

[Komen Dr. Asmadi: Cara biasa MAZA dalam mengkritik orang-orang Tareqat dan orang-orang agama. Dikaitkan agama sebagai sumber pendapatan. Sebenarnya, ulama-ulama terkenal di Persidangan Fiqh Antarabangsa pun membenarkan pengambilan upah terhadap urusan mengajar agama. Bahkan bila menjemput mereka membentangkan kertas kerja, kita bayar juga pada mereka saguhati. Tak tahulah pula kalau MAZA mengajar di USM, dulu jadi Mufti di Perlis, bagi ceramah dan menulis dilakukan secara FOC ‘free of charge’. Kalau dia juga ambil gaji, jadi apa bezanya. Yang ini gaji tetap, yang itu tidak tetap.

Tidak baik mengkritik orang Tareqat secara umum. Apa yang saya kenali, ramai orang-orang Tareqat jujur orangnya. Khususkan tareqat yang macam mana dikritik].

Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi ‘ijmak ulamak’. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijmak. Kesan, membawa kepada kekufuran.

[Komen Dr Asmadi: Orang yang menyanggah MAZA tidak tuduhpun dia kufur. Cuma kata dia bertentangan dengan Ijmak ulama Nusantara].

Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut ‘kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama’. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya "Pendapat ulama-ulama kita la..". Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama. Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijmak atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijmak yang sebenar?

Takrif bagi perkataan al-Ijmak ini di sisi majoriti ulama ialah "Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak". (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

[Komen Dr Asmadi: Kitab Sheikh Wahbah al-Zuhaili itu rujukan kami ketika tahun 1 dan 2 Kuliah Syariah. Ia rujukan sekunder, bukan rujukan utama. Bila tahun 3 dan 4, penulisan guna kitab moden sebagai rujukan tak diberi markah penuh].

kesepakatan

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah). Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.

[Komen Dr Asmadi: Sekiranya MAZA jumpa kitab-kitab usul fiqh silam atau baca kitab-kitab tersebut (sebaiknya mengadap guru), dia akan jumpa dengan istilah Ijmak al-ummah, ijmak ulama ahl al-sunnah, ijmak empat mazhab, ijmak ahl al-Iraq, Ijmak ulama al-Hijaz dan Ijmak ulama al-Madinah lain-lain. Tidak cukup untuk membuat kesimpulan tentang ijmak dengan hanya merujuk kitab-kitab moden.

Untuk faedah pembaca saya perincikan: Ijmak al-ummah ialah ijmak ulama lapan (8) mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, Zahiri, Syiah Imami, Syiah Zaidi dan Ibadi (berasal dari serpihan Khawarij). Ijmak ahl al-sunnah ialah kesepakatan keseluruhan 4 mazhab dan Zahiri. Ijmak empat mazhab ialah sepakat empat mazhab yang utama tadi. Jadi kekuatan setiap ijmak tadi ialah bergantung kepada sejauh mana penghujahan setiap kumpulan tersebut.

Oleh itu, boleh kita pakai istilah Ijmak ulama Nusantara atau ijmak ulama India. Cuma kekuatan hujjahnya tidak sekuat ijmak mutlak oleh ulama-ulama setiap tempat di dunia ini].

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira. Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: "Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).

[Komen Dr Asmadi: Ulama sememangnya sepakat, mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya. Tidak wajib mengikut mana-mana mazhab. Cuma dalam konteks kita, ramai ustaz-ustaz yakin dengan cara penghujahan Imam Syafie dan anak-anak muridnya. Lantas, ustaz-ustaz pun mengeluarkan pandangan atas pandangan Imam Syafie, maka orang-orang awam pun mengambil pandangan Ustaz tadi yang berpegang dengan mazhab Syafie.

Kata-kata al-Qardhawi: Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin". Benar, kesepakatan yang diiktibarkan (diambil kira) ialah kesepakatan para Mujtahid.

Tapi kata-kata MAZA: ‘kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya’.

Ulama tidak mensyaratkan para mujtahidin mencapai peringkat mujtahid mutlaq (boleh bina Mazhab sendiri) atau mujtahid tarjih, baru boleh diambil kira ijtihadnya. Imam al-Nawawi, mujtahid tetapi tidak keluar dari Mazhab Syafie. Imam Abu Yusof dan Imam Muhammad adalah mujtahid mazhab, namun tidak keluar dari kaedah Mazhab Hanafi. Justeru, kesepakatan para Mufti yang tahu dalil (walau masih bermazhab) masih boleh diambil kira. Sekiranya diberi kebebasan kepada sesiapa tanpa terikat dengan pandangan Majlis Fatwa, boleh menghuru-harakan masyarakat].

Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir .

[Komen Dr.Asmadi: Ya, bukan senang mendakwa sesuatu itu ijmak. Perlu kepada banyak pemeriksaan. Hukuman sebat untuk peminum arak adalah sesuatu yang ada nasnya. Ulama hanya khilaf pada mengklasifikasikannya hudud atau takzir].

Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja. Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijmak (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: "Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu" (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).

[Komen Dr Asmadi: Ya, saya setuju].

Maka kita anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

[Komen Dr Asmadi: Orang-orang agama ada dua golongan iaitu pertama yang merasakan diri bukan mujtahid, dan kedua: yang merasa diri mujtahid. Kalau tuan-puan memang yakin dengan ilmu ustaz-ustaz yang merasa diri mujtahid tu dan ketaqwaannya, silalah ikut mereka. Masalah saya ialah saya tak yakin dengan ilmu dan ketaqwaan ustaz-ustaz yang merasakan diri mujtahid tadi. Sebab itu saya masih mengeluarkan pandangan kebanyakkannya dalam Mazhab Syafie disebabkan keyakinan saya pada ilmu dan ketaqwaan (kewarakan) Imam Syafie dan anak-anak muridnya Rahimahumullah.

Seorang ulama masih lagi ulama walaupun dia mengikut mazhab. Mereka di atas dari golongan muqallid iaitu digelar ‘muhafiz’ atau ‘muttabi” (istilah ini ada dalam kitab primer (utama) dan tidak ada dalam kitab moden), iaitu mengikut mazhab dengan juga melihat dalil. Sebagai contoh, batal wudu’ apabila menyentuh isteri. Dia menyedari ada hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW menggerakkan kaki Aisyah yang sedang tidur ketika Rasulullah SAW hendak bersolat tahajjud. Dia berpuas hati dengan hujah Mazhab Syafie yang mengatakan Rasulullah SAW memegangnya dalam keadaan berlapik. Kenapa dia berpuas hati dengan demikian? Kerana secara umumnya adab ‘tidur bersama isteri’ ialah dalam keadaan berselimut. Padanya, mana mungkin Rasulullah SAW dan isteri bertelanjang. Boleh baca nas-nas lain menceritakan adab tidur bersama isteri dan sunnah memakai ‘izar’ ketika mandi. Apatah lagi, di Timur Tengah, malamnya suhu melampau, bila dibuka selimut kaki, terasa sejuk sampai ke tulang! Cuma bagi sesetengah orang, dia terbayangkan seolah-olah Rasulullah SAW macam dia yang tidur tak berselimut dengan isterinya! Wallahu a’lam.

Selamat menilai artikel ini dan komen-komen saya.

Allahu musta’an.

Abu al-‘Izz

Artikel asal di
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp…

Sumber : http://drasmadinet.blogspot.com/…/ulasan-terhadap-artikel-d…

01/02/2015 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Kritikan Ilmiyyah Terhadap Buku Dr Maza : Bid’ah Hasanah Istilah Yang Disalah Fahami

Kritikan ini disusun oleh Kumpulan Penyelidikan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Laman Web : http://www.aswj-rg.com/ – (Ahlus Sunnah Wal Jama’ah Research Group)

Sahabat boleh membaca artikel menjawab buku Dr Asri yang bertajuk Bid’ah Hasanah Istilah Yang Disalah Fahami di sini :

1. Bab 1

http://www.aswj-rg.com/…/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drma…

2. Bab 2 Bahagian 1

http://www.aswj-rg.com/…/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drma…

3. Bab 2 Bahagian 2

http://www.aswj-rg.com/…/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drma…

4. Bab 2 Bahagian 3

http://www.aswj-rg.com/…/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drma…

5. Bab 3 Bahagian 1

http://www.aswj-rg.com/…/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drma…

6. Bab 3 Bahagian Terakhir

http://www.aswj-rg.com/…/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drma…

Kritikan Ilmiyyah Terhadap Buku Dr Maza : Bid'ah Hasanah Istilah Yang Disalah Fahami
  

 Kritikan ini disusun oleh Kumpulan Penyelidikan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Laman Web : http://www.aswj-rg.com/ - (Ahlus Sunnah Wal Jama'ah Research Group)

Sahabat boleh membaca artikel menjawab buku Dr Asri yang bertajuk Bid'ah Hasanah Istilah Yang Disalah Fahami di sini :

1. Bab 1 

http://www.aswj-rg.com/2013/12/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drmaza.html

2. Bab 2 Bahagian 1

http://www.aswj-rg.com/2013/12/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drmaza_11.html

3. Bab 2 Bahagian 2 

http://www.aswj-rg.com/2013/12/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drmaza_14.html

4. Bab 2 Bahagian 3

http://www.aswj-rg.com/2013/12/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drmaza_15.html

5. Bab 3 Bahagian 1

http://www.aswj-rg.com/2013/12/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drmaza-bidaah-hasanah-istilah-yang-disalah-fahami-bab-3-bahagian-i.html

6. Bab 3 Bahagian Terakhir 

http://www.aswj-rg.com/2013/12/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drmaza-bidaah-hasanah-istilah-yang-disalah-fahami-bab-3-bahagian-terakhir.html

01/02/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Soal intipan atau mengintai ngintai

Soalan: Apa pandangan Ustaz berkenaan kenyataan Dr. Asri (Mufti baru Perlis) sebagaimana disiarkan dalam New Straits Times, 15hb Disember2006, mukasurat 11 yang bertajuk: STOP SNOOPING AROUND FOR KHALWAT COUPLES (HENTIKAN TINDAKAN MENGENDAP PASANGAN KHALWAT)

Jawapan

Saya telah membaca pandangan beliau tersebut sebagaimana yang tersiar dalam akhbar berkenaan. Kesimpulan yang dapat saya buat adalah seperti berikut;

(*Mohon maaf kepada para pembaca yang tidak suka artikel panjang. Bagi isu ini saya rasa perlu mengulas dengan panjang lebar. Bacalah dengan sabar.)

“Banyak kenyataan di dalam artikel tersebut mengelirukan. Saya tidak tahu kenyataan-kenyataan tersebut terbit dari mulut Dr. Asri sendiri atau hanya olahan pengarang berita. Jika ia benar-benar terbit dari mulut Dr. Asri sendiri, maka amat mengecewakan kita kenyataan-kenyataan sebegitu dibuat.

Pertama; Ia boleh menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap nama baik Jabatan Agama dan pegawai-pegawai agama. Seolah-olah mereka merupakan orang-orang yang suka mengintai dan mengendap untuk mencari salah dan ‘aib orang lain. Walhal mereka melakukan tugas atas nama jawatan dan tanggungjawab rasmi yang diperakui oleh undang-undang. Sepatutnya, jika ada kesilapan yang berlaku, beliau sepatutnya mengemukakan teguran mengikut saluran yang betul, bukan membuat kenyataan di dada akhbar yang dibaca oleh khalayak ramai dan akan menimbulkan salah-tanggapan orang ramai.

Kedua; Ia jelas berniat jahat kepada pegawai-pegawai agama yang bertugas membenteras maksiat. Penggunaan bahasa “mengintip, mengendap atau mencari-cari pasangan….”, jelas merupakan suatu penghinaan yang ditujukan kepada mereka. Amat mengecewakan jika bahasa sebegitu keluar dari mulut seorang mufti. Bahasa yang sepatutnya ialah “menyiasat, membuat tinjauan, menyelidik…”.

Adakah apabila pegawai-pegawai agama tersebut memperolehi maklumat atau mendapat laporan tentang su kes di mana dua orang (lelaki dan wanita) yang meragukan di dalam sebuah bilik (di mana orang yang melapor mengkhuatiri mereka berdua bukan pasangan suami-isteri), lalu pegawai agama datang untuk menyiasat, ia mengetuk pintu bilik, apabila dibuka ia meminta dari mereka berdua surat atau sijil pengesahan perkahwinan, maka apakah perbuatannya itu dapat dikatakan sebagai mengintip atau mengendap.

Jika hendak dikatakan ‘aib, apa yang aibnya bagi kedua pasangan tersebut untuk mengemukakan surat atau sijil pengesahan nikah jika mereka benar-benar pasangan suami isteri. Apabila polis meminta kad pengenalan dari kita, kemudian kita memberinya, adakah itu suatu yang mendatangka ‘aib bagi kita? Jika memberi surat/sijil pengesahan nikah apabila diminta merupakan suatu yang ‘aib, maka tidak ada gunanya undang-undang memperkenalkan sijil tersebut, begitu juga tiada guna masing-masing ada kad pengenalan kerana ia mengaibkan orang dan melanggar hak individu.

Begitu juga, apabila pihak jabatan agama mendapat laporan ada tempat-tempat awam (taman-taman, kawasan-kawasan reakreasi) yang menjadi sarang maksiat dari orang ramai, lalu mereka melakukan operasi tinjauan dengan pergi menyiasat tempat-tempat tersebut, maka apakah mereka dapat kita katakana mengintai dan mengintip. Kemudian, dalam siasatan tersebut mereka menangkap pasangan yang sedang bercumbu-cumbuan (beromen), apakah tangkapan tersebut salah di sisi Syarak. Apa yang ingin kita tegaskan, sekalipun suami-isteri, bercumbu-cumbuan di tempat terbuka yang terdedah kepada khalayak ramai atau ada kemungkinan besar akan dilihat oleh orang lain merupakan suatu dosa di sisi Syarak. Di dalam hadis Rasulullah menegah si suami menceritakan kisah hubungan (seks) antaranya dengan isterinya kepada orang lain, begitu juga ditegah si isteri menceritakan kisah hubungannya dengan suaminya. Jika menceritakan sudah dilarang, maka lebih-lebih lagilah dilarang jika hubungan itu dilakukan di hadapan orang lain.

Ketiga; ada kenyataan-kenyataan beliau –sebagaimana tulisan akhbar tersebut- bercanggah dengan prinsip dan pendirian Islam yang sebenar;

(1) Menyalah-tafsirkan makna hak peribadi menurut Islam.

Artikel akhbar tersebut menyebutkan; “Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin mengatakan amalan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip hak peribadi menurut ajaran Islam dan juga terjumlah kepada suatu tindakan pencerobohan”.

Penjelasan: Di dalam Islam, hak peribadi diiktiraf selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak. Tidak ada di dalam Islam apa yang dinamakan hak atau kebebasan untuk melakukan maksiat atau kemungkaran. Seorang muslim tidak hanya diseru menjauhi munkar dan maksiat, malah diseru agar mengelak dari tempat-tempat yang meragukan, yakni menimbulkan salah tanggap orang lain terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

دَعْ ما يَرِيبُكَ إلى ما لا يَرِيبُكَ
“Elakkanlah dari yang meragukan kepada yang tidak meragukan”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)

Berkata Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah (Hukum-Hakam Pemerintahan) dalam bab berkenaan al-Hisbah (Tugas menjalan amar makruf nahi munkar); “Jika orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas amar makruf nahi munkar (yakni al-Muhtasib) telah melihat seorang lelaki bersama seorang wanita di satu jalan yang sunyi, maka kedududukan jalan yang sunyi itu merupakan suatu yang menimbulkan keraguan (terhadap pasangan tersebut), maka hendaklah ia menegah mereka, namun janganlah tergesa-gesa mengenakan hukuman/denda ke atas mereka berdua kerana dibimbangi wanita itu adalah mahramnya. Jika ia dapati wanita itu adalah mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki tersebut; ‘Jagalah wanita kamu itu dari tempat-tempat yang mendatangkan keraguan’. Adapun jika ia mendapati wanita itu bukan mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki itu; ‘Takutlah kepada Allah dari bersunyian (dengan wanita yang bukan mahram) yang akan membawa kamu kepada melakukan maksiat kepada Allah’. Dan cara ia bertindak mencegah perkara tersebut hendaklah bergantung kepada tanda-tanda yang dilihatnya”. (Halaman 376)

Jika berada di satu jalan yang sunyi sudah dianggap meragukan, maka bagaimana jika seorang lelaki dan wanita yang diketahui bukan muhrim dilihat oleh orang yang mengenali mereka telah menyewa bilik yang sama, tidakkah itu lebih meragukan? Adakah hal sedemikian perlu dibiarkan dengan alasan menjaga hak peribadi?

(2) Terdapat kenyataan beliau di dalam akhbar tersebut; “Islam tidak menggalakkan manusia untuk pergi mendedahkan perbuatan maksiat”.

Penjelasan; Sememangnya Islam tidak menggalakkan pendedahan maksiat, namun harus diingat bahawa Islam juga mewajibkan maksiat dicegah apabila ia berlaku atau diketahui akan berlaku. Pencegahan terhadap munkar menjadi tanggungjawab yang amat besar di dalam Islam. Ini dibukti dengan banyaknya ayat di dalam al-Quran yang mewajibkan umat Islam melaksanakan tugas al-Amru Bil-Makruf Wa an-Nahyu ‘Anil-Munkar (Mengajak kepada makruf dan mencegah dari Munkar). Mengikut banciannya, sebanyak sembilan kali perintah tersebut diulang oleh Allah di dalam al-Quran.

Apabila dua orang yang bukan mahram dilihat atau diketahui berada dalam satu bilik yang tertutup, adakah mereka tidak perlu diselidiki atau dicegah dengan alasan Islam tidak membenarkan pendedahan maksiat atau munkar? Apakah apabila telah berlakunya zina dan perempuan yang terlibat dilihat mengandungkan anak haram, ketika itu barulah pencegahan boleh dibuat?

Kita meyakini bahawa para pegawai agama yang menjalankan operasi pencegahan maksiat, niat dan tujuan mereka pergi ke sarang maksiat atau ke tempat-tempat yang dikhuatiri berlaku maksiat bukan untuk mendedah maksiat tetapi untuk menyelidik dan melakukan pencegahan jika didapati maksiat/munkar benar-benar berlaku. Tugas ini menepati peranan Hisbah yang telah lama dihuraikan oleh ulamak-ulamak Islam dalam kitab-kitab karangan mereka. Malah menurut ulamak, peranan Hisbah ini merupakan salah satu cabang tugas atau tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan Islam. Huraian lebih terperinci tentang Hisbah ini akan kita kemukakan di depan nanti.

(3) Antara kenyataan beliau dalam akhbar tersebut; “Prinsip amr makruf nahi munkar hanya boleh dilaksanakan apabila sesuatu perbuatan maksiat dan jenayah dilakukan secara terbuka”.

Penjelasan; Kenyataan tersebut pada amnya benar, namun ia memerlukan penjelasan lanjut untuk mengelak kekeliruan.

Dalam Sistem Pemerintahan Islam terdapat satu jawatan khusus yang dinamakan al-Hisbah. Orang yang menjawatnya dinamakan dengan al-Muhtasib. Jawatan Hisbah tersebut berperanan secara rasmi bagi menangani tugas dalam negara untuk mengajak orang ramai kepada makruf (melaksana perintah Allah) dan mencegah munkar dan maksiat.

Menurut ulamak, antaranya Imam al-Mawardi; Al-Muhtasib (orang yang menjawat jawatan Hisbah tersebut) hendaklah benar-benar menjalankan peranannya tersebut. Tidak harus ia meninggalkan peranan tersebut kerana urusan-urusan yang lain. Atas dirinya tugas amar makruf nahi munkar adalah fardhu ‘ain yang tidak boleh diabaikannya. Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa betapa pentingnya tugas amar makruf dan nahi munkar dalam sebuah negara dan masyarakat Islam pada pandangan ulamak. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 363)

Dalam hal berkaitan dengan perbahasan kita, Imam al-Mawardi menjelaskan; “Harus al-Muhtasib untuk menyelidik kemungkaran-kemungkaran yang diketahui secara zahir dengan tujuan untuk mencegahnya dan juga menyemak jika ada perkara makruf (perintah Allah) yang diabaikan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai melaksanakannya…”.

Sememangnya munkar yang menjadi tanggungjawab al-Muhtasib menurut ulamak ialah munkar yang dzahir. Lebih jelas, para ulamak meletakkan tiga syarat bagi munkar yang hendak dicegah oleh al-Muhtasib;

a) Munkar itu adalah munkar yang zahir.
b) Munkar itu ialah munkar yang sedang berlaku atau dikhuatiri berlaku, yakni bukan munkar yang telah berlalu (kerana munkar yang telah berlalu menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengenakan hukuman).
c) Munkar itu bukanlah yang diiktilafkan terhadap hukum munkarnya.

Namun demikian, perlu difahami bahawa syarat pertama (iaitu “Hendaklah munkar itu zahir”), bukan bermaksud hanya munkar yang berlaku terang-terangan atau di depan mata sahaja yang perlu diselidiki dan dicegah. Secara tepatnya, syarat tersebut bermaksud; “Hendaklah munkar itu terdedah kepada al-Muhtasib atau sampai ke pengetahuannya, bukan melalui intipannya”. Menurut penjelasan Dr. Abdul-Karim Zaidan; “Termasuk dalam pengertian munkar yang zahir (nyata) ialah mana-mana tempat yang dirasai oleh al-Muhtasib dengan sangkaan yang ghalib bahawa terjadi munkar di situ, maka wajib atasnya untuk keluar ke tempat tersebut dan melakukan pemeriksaan serta pencegahan. Tidak harus ia mengabaikan perkara tersebut dengan duduk di rumahnya dengan alasan munkar itu belum berlaku atau belum diketahui…”. (Usul ad-Dakwah, hlm. 190).

Berhubung dengan hukum melakukan intipan oleh al-Muhtasib, menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah; larangan-larangan Allah (maksiat atau munkar) yang tidak zahir (yakni yang tidak terdedah atau tidak sampai ke pengetahuan al-Muhtasib), tidak harus ia membuat intipan terhadapnya.

Oleh demikian, tidak harus al-Muhtasib mengintai-ngintai ke dalam rumah seseorang untuk melihat ada berlaku munkar atau tidak.

Namun dalam pada itu, beliau (yakni Imam al-Mawardi) menegaskan; jika al-Muhtasib merasai dengan sangkaan yang ghalib bahawa ada kumpulan atau pasangan sedang merancang secara rahsia untuk melakukan munkar berdasarkan tanda-tanda atau kesan-kesan yang dapat dilihat atau menjadi petunjuk, maka dalam hal ini, hendaklah diperhatikan jenis munkar tersebut;

Pertama; Munkar dari jenis yang boleh membawa kepada rosaknya kehormatan jika dibiarkan seperti pembunuhan atau penzinaan. Contohnya; al-Muhtasib telah diberi tahu oleh seorang yang siqah (dapat dipercayai) bahawa seorang lelaki sedang bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahram) untuk berzina dengannya. Dalam kes ini menurut Imam al-Mawardi, harus al-Muhtasib membuat intipan dan melakukan tinjauan atau siasatan.

Kedua; Munkar dari jenis yang tidak sampai pada tahap tersebut, maka tidaklah harus dilakukan intipan oleh al-Muhtasib.
(Rujuk; Halaman 379-380)

Itu adalah ulasan Imam al-Mawardi tentang munkar yang berlaku secara tertutup. Adapun munkar atau maksiat yang dilakukan di tempat terbuka (di taman, di tepi jalan, tempat-tempat reakreasi dan sebagainya), apa yang dapat kita fahami dari tulisan beliau dalam kitab tersebut ialah; munkar-munkar yang berlaku secara terang-terangan tidak harus dibiarkan sama sekali. Menjadi kewajipan al-Muhtasib (atau pegawai agama yang bertangjawab hari ini) untuk melakukan tindakan mencegahnya sama ada dengan amaran atau disusuli dengan denda/hukuman jika perlu.

Malah beliau menyebutkan; “Jika seorang lelaki terang-terangan meminum arak di khalayak ramai, jika ia seorang muslim, maka hendaklah dicurahkan araknya dan dikenakan hukuman ke atasnya. Jika ia seorang kafir zimmi, hendaklah didenda atas kesalahan meminum arak secara terang-terangan (bukan atas kesalahaan meminumnya)”. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 377).

Wallahu-a’lam – via Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

01/02/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: