Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Masalah Remaja & Belia: Tersalah Ubat?

Remaja

 

Ashabul kahfi merupakan sekumpulan muda remaja yang mempertaruhkan nyawa demi menegakkan kebenaran. Mereka lari dan bersembunyi di sebuah gua bukan untuk menyelamatkan nyawa, tetapi untuk menyelamatkan iman dan kebenaran. Mereka tidak mengenal erti seronok zaman remaja.

Sayidina Ali kwj. ketika baru berusia lima belas tahun sangat pintar, matang dan serius dalam berfikir. Apabila Rasulullah ﷺ mengajak beliau untuk memeluk Islam, beliau terlebih dahulu meminta izin daripada Rasulullah ﷺ untuk pulang berunding dengan ibu bapanya.

Belum pun sampai menemui ibu bapanya, beliau berpatah balik dan menemui Rasulullah. Rasulullah ﷺbertanya: "Apa keputusan ibu bapamu?

Jawab Sayidina Ali, "Ketika Allah menjadikan aku, Allah tidak berunding dengan ibu bapaku, mengapa pula aku perlu berunding dengan ibu bapaku untuk menjadi hambanya yang berpegang kepada kebenaran." Lantas beliau memeluk Islam waktu itu juga.

Demi kebenaran dan keyakinan jugalah maka Sayidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawa dengan berbaring (tidur) menggantikan tempat Rasulullah ﷺ di malam di mana Rasulullah ﷺ berangkat untuk berhijrah. Sedangkan pada malam tersebut pihak musuh telah membuat keputusan dan menyediakan pasukan untuk membunuh Rasulullah ﷺ.

Apabila empat puluh orang pembunuh handalan menerkam ke tempat tidur tersebut untuk membunuh, mereka dapati Sayidina Ali yang sedang tidur dan bukannya Rasulullah ﷺ. Sayidina Ali yang sememangnya semenjak kecil dalam keadaan miskin, tidak pernah kenal erti berfoya-foya, berhibur dan membuang masa. Kepintaran berfikir itu dimilikinya kerana semenjak kecil hatinya bersih dari sebarang titik noda.

Seorang remaja, Mus’ab bin Umair, gambaran hidupnya secara ringkas dikaitkan dengan gambaran kehidupan umat.

Daripada Ali bin Abi Talib, "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah ﷺ di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair dan tiada di badannya kecuali sehelai selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah ﷺ melihat kepadanya baginda menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Makkah dahulu, dan sangat dimanjakan oleh ibunya, berbanding nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta kekayaan di Makkah).

Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda; "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu ketika nanti, datang di waktu pagi dengan satu pakaian dan datang di waktu petang dengan pakaian lain pula. Dan bila diangkat satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah?"

Jawab para sahabat, "Wahai Rasulullah, tentulah di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan beri tumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki." Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak, keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada hari itu." (Riwayat At Tirmizi)

Imam Syafie ketika berusia sembilan tahun sudah menghafal tiga puluh juzuk Al Quran. Ketika berumur dua belas tahun sudah mampu mentafsir Al Quran dan menghafal kitab Al Muwattha’ karangan Imam Malik. Pada usia empat belas tahun sudah mengajar para alim ulama.

Kepintarannya terbukti apabila pencapaian beliau dalam hal demikian itu. Malah memiliki hikmah. Ini terbukti apabila suatu hari di bulan Ramadhan sebaik sahaja selesai mengajar anak muridnya yang terdiri di kalangan alim ulama, beliau membuka bekalan lalu makan.

Perbuatan Imam Syafie tersebut meresahkan anak muridnya. Imam Syafie sangat menyedari reaksi tersebut. Menjawab kepada pertanyaan muridnya yang terlalu hairan kerana makan di siang hari bulan Ramadhan itu Imam Syafie dengan tenang dan teratur berkata, "Aku memang sengaja berbuat demikian. Dan soalan inilah yang ditunggu-tunggu. Aku hanya mahu menguji kamu semua sejauhmana kamu peka dan faham menanggapi semua keadaan berpandukan pengajian yang telah dipelajari. Sebenarnya aku belum baligh (belum diwajibkan berpuasa)"

Muhammad Al Fateh yang disebut oleh Rasulullah ﷺ secara umum dalam hadis yang bermaksud; "Konstantinopel akan dikuasai oleh pemimpin yang baik, bersama tentera yang baik dan rakyat yang baik."

Muhammad Al Fateh adalah seorang yang semenjak balighnya tidak pernah meninggalkan sembahyang tahajjud. Fasih bertutur enam bahasa. Sejak kecil diberi didikan Islam secara khusus oleh Ulama Wali Allah bernama Syeikh Shamsuddin Al Wali. Panglima-panglima tentera dijemput ayahnya untuk mengaar ilmu ketenteraan dan peperangan.

Baginda Sultan Muhammad Al Fateh merupakan cendikiawan ulung di zamannya, dan sudah menjadi tradisi mengumpulkan ulama-ulama untuk berbincang. Sifatnya yang berani, tenang, sabar, tahan mennggung penderitaan, tegas dalam membuat sesuatu keputusan dan mempunyai keupayaan mengawal diri yang luar biasa.

Kemampuannya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sangat menonjol. Baginda sangat kuat dan kukuh menyimpan rahsia pemerintahannya, sekalipun kepada sahabat-sahabat atau kaum keluarga terdekat.

Di bawah pimpinan beliaulah Konstantinopel yang berdiri teguh untuk sekian lama di tangan Kristian berjaya ditawan pada usianya 21 tahun dan kini kekal sebagai Istanbul di bawah kerajaan Turki.

Apa rahsianya? Itulah kekuatan tarbiyah Islamiyah yang diterimanya sejak kecil. Jiwanya telah ditempa dengan roh jihad, ia tidak dimanjakan sekalipun tinggal di istana. Jiwa abid dan mujahid berpadu sekali. Ia bagai rahib di malam hari, kuat beribadah, dan bagai singa di siang hari, gigih berjuang dan berjihad.

Di mana remaja kita pada usia itu? Melihat kepada belia, remaja atau muda mudi kita dewasa ini, tentunya amat mendukacitakan. Andainya iktibar di atas tadi dikemukakan ada pihak yang dengan mudah menolak; "Ah, itu dulu dan tentulah idealistik. Kini zaman telah berubah dan berbeza." Atau ada pula yang tidak terlalu memperlihatkan penolakan tetapi memberi komentar, "Umat Islam kini jangan terlalu khayal dengan keagungan masa silam."

Memaparkan kejayaan mereka bukan satu khayalan atau terlalu ideal. Tetapi ingin mencari iktibar di mana rahsia kejayaan mereka. Sebab itu Imam Malik r.m. menegaskan tidak akan berjaya umat ini kecuali kembali kepada kaedah yang telah terbukti membawa kejayaan kepada umat terdahulu.

Lebih-lebih lagi dalam menangani masalah di kalangan remaja. Kita tidak perlu mereka cipta berbagai kaedah yang kebanyakannya berada pada tahap uji kaji dan cuba jaya (trial & error). Apabila masyarakat digegarkan dengan gejala negatif, bertambah banyak lagi saranan, perancangan dan program yang diwujudkan. Selepas tempoh tertentu semuanya senyap dan lenyap begitu saja. Kita tentulah tidak rela keadaan seumpama itu terus berlaku. Kerana implikasinya ialah terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit digunakan tanpa membawa natijah yang memuaskan. Kita juga perlu menyedari iaitu para belia dan remaja merupakan aset penting negara dan umat dengan tanggungjawab besar yang bakal dipikul mereka.

Bukanlah suatu yang mustahil terjadi di mana dalam keadaan mereka yang masih remaja melalui kehidupan negatif tanpa pengubatan, akan diwarisi oleh kehidupan remaja generasi akan datang selepas mereka, yang jauh lebih parah. Ertinya, kini mereka remaja yang bergelumang dengan gejala negatif. Mereka terbiar tanpa dipedulikan. Mereka pula akan dewasa. Tentulah anak-anak mereka bakal mengalami keadaan yang lebih tenat. Kita harus sedar, inilah proses yang telah dan sedang berlaku di kalangan masyarakat Barat.

Di zaman ibu bapa mereka sedang remaja, berhibur berfoya hingga jam dua belas tengah malam. Apabila tiba giliran anak-anak mereka mencapai alam remaja, mereka berhibur, berfoya-foya hingga sepanjang malam.

Oleh itu jangan buat alasan; "Tidak mengapa, dan kita kena toleransi kerana kita dulupun melalui alam remaja yang menempuh keadaan yang sama." Sebenarnya tidak sama. Parahnya gejala negatif kini kerana dulunya di peringkat ibu bapa sudah mengalami unsur negatif yang diabaikan terhadap mereka oleh golongan terdahulu. Air sungai yang kalau keruh di hulu pastilah keruh di kuala.

Apa jua jenis program terhadap belia mestilah menepati keperluan spiritual, mental dan fizikal. Perlu disenaraikan secara terpeinci setiap program itu yang benar-benar dapat mengisi spiritual, mental dan fizikal. Perlu benar-benar dikenal pasti yang mana program bersifat spiritual, yang bersifat mental dan fizikal. Dan di situ dapat dilihat sejauhmana ratio atau nisbah pengisian tersebut seimbang atau tidak.

Setiap penyakit ada ubatnya yang serasi. Tersilap ubat adakalanya bukan saja penyakit tidak sembuh malah apa yang dianggap ubat itu boleh mendatangkan mudharat pula. Apabila membicarakan gejala negatif remaja janganlah hendaknya tersalah ubat atau memberi ubat yang tidak serasi. Terlalu mengelirukan apabila ada yang berpendapat gejala negatif itu boleh diubati dengan hanya memanjat bukit, masuk ke hutan, berkayak, berakit, berenang dan bersilat. Kalau benarlah langkah tersebut berkesan, tentulah masyarakat Barat mencapai tahap minima kalaupun tidak sifar. Kerana mereka mempunyai seribu satu macam formula, kaedah, cara, teknik dan pendekatan dalam menghadapi kemelut kehidupan mereka.

Ingatlah ancaman paling besar kepada kehidupan manusia ialah kerakusan nafsu. Gelombang kerakusan nafsu tidak dapat dipatahkan atau ditundukkan dengan cara memanjat bukit, berakit, bersampan dan bersilat. Iman sahaja merupakan pendekar yang mampu menewaskan gejolak nafsu. Sebanyak mana pengisian iman yang dilalui oleh belia kita seperti yang pernah dilalui oleh Sayidina Ali, Mus’ab, Imam Syafie, Muhammad Al Fateh dan yang seumpamanya?

Program-program belia kini banyak dianjur oleh kerajaan dengan peruntukan disediakan. Hakikatnya banyak program yang sekadar melepas batuk ditangga tanpa menekan soal iman yang menjadi asas bagi seorang manusia itu baik atau tidak. Soal-soal syariat jauh sekali dititikberatkan. Kalau adapun tercatat solat dalam tentatif program, hanya solat tanpa bimbingan. Peruntukan berjuta-juta habis begitu saja..inilah hakikat.

Kalau ada pula remaja yang dapat hidayah, nak pertingkatkan ilmu dan iman, berdepan dengan masalah bayaran mahal untuk hadir kursus motivasi. Bukan semua ibubapa mampu. Bahkan kedapatan syarikat atau perseorangan yang menyampaikan ceramah atau training Islam, mengenakan caj tinggi untuk sesuatu program…ketinggalan lagilah remaja dan belia kita.

Bagi belia-belia dan remaja-remaja di luar sana yang masih dibuai keseronokan duniawi, ibubapapun tak peduli lagi..mana pendakwah atau pakar motivasi yang datang mendekati mereka? Hampir tiada..mungkin kerana tiada bayaran yang dapat. Sedangkan mereka perlu didekati, datangilah mereka, berbual, selami hati sanubari, perlahan-lahan ajak mereka kembali ke jalan yang benar, InsyaAllah mereka akan jadi manusia yang kita harapkan.

Saya dah nyatakan di atas tadi, mana program yang memberi penekanan seimbang antara pembangunan fizikal, mental dan rohaniahnya. Biasanya kebanyakan program hari ini, atas alasan menarik minat belia atau remaja, lebihkan program outdoor yang berbentuk fizikal, dan program rohaniah kalau ada hanya tempelan dengan menjemput seorang ustaz untuk kuliah maghrib dan subuh. Sedangkan Islam itu cara hidup, mengapa program fizikal dipisahkan dari Islam?

Apa salahnya ketika program High Rope & Flying Fox diasingkan peserta lelaki dan perempuan, agar menepati syariat. Kemudian untuk rohaniahnya ditanamkan diminda dan hati mereka, ketika meniti ditempat tinggi, seperti gambaran meniti siratal mustaqim, malah di akhirat yang sebenar pasti lebih hebat dan dahsyat lagi..

Bosan hidup kerana lemah atau tiada iman. Belia dan remaja contoh yang saya paparkan kisah di awal tadi, mereka semuanya sangat kuat berpegang syariat, kerana itu mereka berjaya diusia muda lagi. Rahsianya ialah iman.

Dalam mengisi iman di dada anak-anak, ibubapa muslim kini lebih cenderung menghantar anak ke sekolah agama, atau sekolah integrasi, atau tahfiz, bukan kerana tidak mampu, malah mereka golongan kaya dan berada. Kebanyakan mereka yang saya temui menyatakan kebimbangan keadaan semasa, tak mampu didik anak dalam cabaran yang hebat ini, sebab itu jalannya menghantar ketempat yang mampu mendidik.

Sayangnya pengajian Islam di semua peringkat kini kebanyakan tidak mencapai matlamat untuk penghayatan. Kita sudah cukup berpuas hati apabila di sekolah sudah ada pelajaran Islam. Sedangkan bentuk pengajaran dan pembelajarannya tidak berbeza dengan pelajaran akademik lain iaitu berorentasikan penghafalan dan peperiksaan. Dan bukan untuk pengisian hati…perlu proses penambahbaikan lagi.

Kita perlu bina belia kita dengan menanam iman, disamping yang utama kita mengukuhkan keimanan kita dan keluarga juga. Iman yang kukuh dan mantap itu akan menghidupkan jiwa, hati atau rohaniah manusia ibarat ikan yang hidup di air laut yang… masin. Selagi ikan itu hidup, daging ikan itu tetap tawar. Apabila ikan itu mati, semangkuk air garam sudah cukup untuk memasinkan dagingnya. Iman yang mantap biar berada di tengah gelombang kemungkaran, dirinya tidak terjejas. Ketiadaan iman, pengaruh luaran yang sedikit pun sudah menjejaskan dirinya.

Jangan salahkan pengaruh luar atau pihak lain, benteng diri itulah yang lemah kerana kelemahan iman.

Ibubapa juga perlu diberi kesedaran dalam hal mendidik anak-anak. Ulama, guru, ustaz, cerdik pandai, pendakwah, pakar motivasi perlu berperanan di sini. Jangan tunggu orang datang minta nasihat, perlu pergi nasihat masyarakat. Ad-din itu nasihat.

(Oleh: Ustaz Fadli Yusof)

Advertisements

13 January 2015 - Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan | , ,

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: