Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Pintu Neraka

 

pintu-neraka.jpg

"Ketahuilah wahai saudaraku, Jahannam ialah ciptaan Allah SWT yang sangat besar. Jahannam ialah penjara Allah di  Akhirat untuk golongan ateis, Musyrikin, kafir dan munafikin selama-lamanya. Allah SWT berfirman, ‘Kami menjadikan Jahannam sebagai tempat tinggal orang kafir.’ (Surah al-Isra’ 17: 8). Adapun pelaku dosa besar daripada kaum Mukminin, maka mereka akan berada di dalamnya untuk sementara waktu lalu dikeluarkan kembali."

Demikianlah kata-kata Imam Abdul Wahab al-Sya’rani (w. 973) dalam kitab al-Yawaqit wa al-Jawahir.[1] Ucapan beliau membuka perbincangan kita kali ini, iaitu hakikat Neraka Jahannam yang dijadikan tempat untuk menyeksa musuh-musuh Allah SWT di Akhirat.

Makna Jahannam

Sebelum berbincang tentang hakikat makhluk Allah SWT yang sangat menggerunkan ini, ada baiknya kita cuba untuk menelurusi asal kata dan makna perkataan "Jahannam" terlebih dahulu.

Kebanyakan pakar bahasa berpendapat bahawa lafaz ini bukan berasal daripada bahasa Arab, akan tetapi adalah kata asing (sama ada Parsi atau Ibrani) yang diguna pakai dalam bahasa Arab. Ia berasal daripada kata "gehennam" yang bermakna "perigi atau lembah yang sangat dalam dasarnya".

Menurut sebahagian pengkaji moden, perkataan ini pernah digunakan pada zaman kerajaan Mesir kuno. Mereka menggunakan kalimah "Sha en Amu" yang bermakna "tasik api (lake of fire)" bagi menggambarkan seksaan yang disiapkan untuk alam selepas kematian. Perkataan ini mula dikenali oleh bangsa Arab jahiliah hasil interaksi mereka dengan Ahli Kitab (Yahudi) yang tinggal di sekitar Yathrib dan Khaibar. Dalam Taurat, lafaz "Jahannam" digunakan untuk merujuk kepada seksaan api yang sangat pedih di Akhirat.

Apabila al-Quran diwahyukan kepada Muhammad SAW, kalimah ini kembali digunakan. Dalam surah at-Taubah (9) ayat 68 misalnya, Allah SWT berfirman, mafhumnya:

"Allah mengancam orang munafik lelaki dan perempuan, serta orang kafir dengan api Jahannam. Mereka akan kekal di dalamnya."

Sebagai pentafsir al-Quran yang pertama dan utama, Rasulullah SAW banyak menceritakan sifat-sifat Jahannam dalam pelbagai hadis Baginda. Baginda antara lain menyebut bahawa Jahannam sangat luas dan dalam. Meskipun begitu, pada hari Kiamat nanti akan penuh sesak dengan para penghuni Neraka yang berasal dalam kalangan jin dan manusia.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Seandainya seketul batu dilemparkan ke dalam Jahannam, maka ia akan menjunam ke dalamnya selama 70 tahun sebelum tiba di dasarnya."(Riwayat Ibn Hibban)

Pintu-pintu Jahannam

Oleh sebab Jahannam begitu luas dan boleh menampung jutaan manusia, maka disediakan tujuh buah pintu sebagai akses untuk masuk ke dalamnya. Setiap pendosa akan dicampakkan ke dalam Jahannam melalui salah satu daripada pintu-pintu yang sesuai dengan kadar dosa masing-masing.

Setelah semua ahli Neraka masuk, pintu-pintu itu ditutup untuk selama-lamanya.

Allah SWT berfirman, mafhumnya:

"Dan sesungguhnya Neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu). Jahannam mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu daripada mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)." (Surah al-Hijr 15: 43-44)

Sebahagian mufasirin cuba untuk menyenaraikan nama-nama bagi setiap pintu-pintu ini, namun semua riwayat berkenaan perkara ini tidak ada yang sahih daripada Nabi SAW. Paling tinggi, riwayat ini hanya berakhir kepada tokoh-tokoh tabiin seperti Ibn Juraij dan lain-lain.

Imam al-Baihaqi berkata dalam Syu’ab al-Iman, "Kami meriwayatkan dalam sebuah hadis mursal bahawa pintu-pintu Jahannam ada tujuh iaitu Jahannam, Laza, Hutamah, Sa’ir, Saqar, Jahim dan Hawiyah. Sebahagian ulama berkata, ‘Jahannam ialah nama untuk semua tingkat Neraka. Tingkat-tingkat ada tujuh, beliau lalu menyebutkan nama-nama ini dan nama al-Hariq.’"[2]

Pendapat yang menyatakan bahawa Jahannam merupakan nama bagi keseluruhan Neraka adalah pilihan kebayakan ulama seperti al-Qurtubi, al-Sya’rani dan lain-lain.

 

Tingkat-tingkat Jahannam

Dalam kitab al-Ba’thu wa al-Nusyur, Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib, "Pintu-pintu Neraka seperti ini." Beliau menjarakkan keempat-empat jarinya untuk menunjukkan bahawa setiap pintu berada di atas pintu yang lain. Sanad riwayat ini terdiri daripada tokoh-tokoh perawi yang dipercayai.

Ucapan Sayidina Ali ini menunjukkan bahawa kedudukan pintu-pintu Jahannam tidak sejajar, akan tetapi bertingkat-tingkat. Sebahagiannya lebih rendah daripada yang lain, begitu juga tingkat azab yang tersedia di dalamnya. Tingkat darjat ahli Neraka yang terus merendah disebut "darakat", sementara tingkat ahli Syurga yang terus meninggi disebut "tabaqat".

Setiap orang akan ditempatkan sesuai dengan dosa-dosanya. Semakin besar maksiat yang dilakukan, semakin dalam dan rendah kedudukannya di Neraka. Allah SWT mengkhabarkan bahawa kaum munafikin berada di tingkat yang paling rendah (dark al-asfal) di dalam Neraka untuk menunjukkan bahawa dosa nifak merupakan dosa yang paling buruk di sisi Allah SWT.

 

Mengapa Tujuh Pintu?

Anda mungkin bertanya, "Jika pintu Syurga ada lapan atau lebih sebagaimana yang akan dihuraikan nanti, mengapa jumlah pintu Neraka hanya tujuh?"

Jawapan kepada soalan ini cukup beragam. Setiap ulama menjawab mengikut pemahaman masing-masing. Hal ini kerana tiada satu pun ayat al-Quran atau hadis sahih yang secara terang menjelaskan perkara ini.

Jawapan paling menarik menurut saya adalah sebagaimana yang diajukan oleh Syeikh Mahmud bin Abdillah al-Alusi (w. 1207H) dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani, "Hikmah pembatasan bilangan pintu-pintu Neraka itu kemungkinan kerana kebinasaan manusia berpunca daripada lima pancainderanya (mata, telinga, hidung, lidah dan kulit) serta syahwat dan emosi."

Hal ini membawa maksud, penyebab manusia masuk ke dalam Neraka adalah pada tujuh anggotanya, maka pintu-pintu Neraka juga berjumlah tujuh buah pintu. Setiap orang ahli Neraka akan dicampakkan melalui pintu-pintu yang disesuaikan dengan amalan masing-masing.

Jika seseorang itu suka bermaksiat dengan matanya di dunia, maka dia akan dilemparkan ke dalam Neraka melalui salah satu daripada pintu yang dikhaskan untuknya. Manakala sesiapa yang suka bermaksiat dengan lidahnya, maka telah disediakan pintu khas untuknya. Begitulah seterusnya sehingga ia meliputi semua orang yang telah ditetapkan masuk ke dalam Neraka.

Sebaliknya, sesiapa yang selalu menjaga ketujuh-tujuh anggota ini daripada maksiat, maka tertutuplah pintu-pintu Jahannam itu di hadapannya. Bagi orang seperti ini, Syurga ialah tempat yang paling sesuai baginya.

Dalam hadis riwayat Ibn Hibban, Nabi SAW bersabda, maksudnya:

"Jaminlah bagiku enam perkara daripada tubuhmu, maka aku menjamin untukmu Syurga, iaitu jujurlah jika kamu berbicara, tepatilah jika kamu berjanji, sampaikanlah jika kamu diberi amanat, jagalah kemaluanmu, tundukkanlah pandanganmu dan jagalah tanganmu." (Riwayat Ibn Hibban)

Apakah Strategi Kita?

Pengetahuan tentang hakikat Neraka Jahannam ini hendaklah menjadi satu peringatan bagi kita. Ia mestilah mampu mendorong kita untuk mempersiapkan apa-apa yang perlu selagi kita masih berada di muka bumi ini.

Caranya boleh disesuaikan dengan keadaan masing-masing. Perkara yang paling tinggi nilainya di sisi Allah SWT ialah amalan yang paling ikhlas diniatkan kerana-Nya.

Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunia meriwayatkan daripada Hisyam bin Hasan, seorang ulama tabiin di Basrah kisah berikut:

Suatu ketika, saya pergi haji bersama suatu rombongan, lalu kami menginap di tengah jalan. Salah seorang daripada kami membaca sepotong ayat yang berbunyi, "Ia (Jahannam) mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu daripada mereka." (Surah al-Hijr 15 ayat 43 hingga 44)

Apabila mendengar ayat ini, seorang wanita Arab sangat tersentuh. Beliau berkata kepada orang yang membacanya "Bolehkah anda mengulangi ayat itu?" Orang itu segera mengulangi bacaannya.

Kemudian wanita itu berkata, "Aku memiliki tujuh orang hamba di rumah. Maka saksikanlah bahawa aku telah memerdekakan mereka semua. Semoga setiap orang daripada mereka menjadi penutup bagi setiap pintu daripada pintu-pintu Jahannam."

Semoga Allah SWT merahmati wanita Arab yang sangat cerdas ini. Beliau telah melakukan apa yang mampu untuk menutup pintu-pintu Jahannam itu daripada dirinya.

Mari kita bertanya kepada diri kita sendiri, "Apa yang telah dan akan kita lakukan untuk menutup pintu-pintu ini daripada kita?"

Semoga Allah memberikan kita taufik dan hidayah-Nya. Amin ya Rabbal ‘alamin.

______________

Catatan Kaki:

1. Al-Yawaqit wa al-Jawahir, op. cit., hal. 619.

2. Riwayat al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jilid 8, hal. 348-349.

Neraka ada 7 pintu sebgmana firman Allah SWT dlm surah Al-Hijr, ayat 44 yg bermaksud, "Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yg sudah ditentukan".

Neraka itu mempunyai tujuh lapisan, iaitu

a) Jahaman

b) Saqar

c) Lazha

d) Huthamah

e) Sa’iir

f) Jahiim

g) Hawiyah – yg satu di bawah yg lain.

Semua lapisan neraka yg tujuh itu telah diasak dg pelbagai penyiksaan yg berat, hukuman yg dahsyat serta penghinaan yg keji, meskipun antara satu lapisan dg yg lain berbeza-beza jenis penyeksaannya, yg lebih bawah lebih berat dan dahsyat drp yg di atas.

Di bawah dipaparkan beberapa Firman Allah SWT ttg siksa dlm neraka dlm Al-Quran.

1) Surah al-Kahf ayat 29 yg bermaksud,

"Kami menjadikan neraka itu utk orang-orang yg bersalah, sdgkan keadaan mereka dilingkungi oleh pagarannya. Dan jika mereka meminta minum, akan diberi minum air dari tembaga yg mendidih yg blh menghanguskan muka. Sangatlah buruk minuman itu dan sangatlah jahat tempat mereka itu"

2) Surah Al-Nisa ayat 56 yg bermaksud,

"Sesungguhnya orang-orang yg tiada beriman dg keterangan-keterangan Kami, nanti Kami akan masukkan mereka ke dlm neraka, setiap kali kulit mereka hangus, Kami akan ganti dengan kulit yg lain, supaya mereka merasa seksaan, sesungguhnya Tuhan itu Maha Kuasa lagi Bijaksana"

3) Surah Al-Humazah ayat 4-9

"Dia akan dilontarkan di tempat yg menghancurkan. Dan apakah engkau tahu , apakah tempat yg menghancurkan itu? Api dlm neraka yg dinyalakan Tuhan. Yang (panasnya) naik ke pangkal hati. Sesungguhnya api ditutup di atas mereka. Dlm tiang yg memanjang".

Ingat api neraka sangat panas. Sebgmana sabda Rasulullah SAW,

"Api yg kamu ada ini adalah satu bahagian drp tujuh puloh bahagian api neraka Jahanam. Para sahabat berkata, ‘Yang ini pun sudah mencukupi (beratnya)’. Sabda Nabi SAW, "Bahkan api neraka itu melebihinya (api dunia) sebyk enam puloh sembilan kali, setiap bahagiannya sama panasnya"

Beberapa sabda Rasulullah SAW lagi…

1) "Wahai manusia sekalian’ Menangislah’ Jika tak boleh menangis, maka cuba2lah diri mu menangis-menangis. Kerana sesungguhnya ahli neraka itu akan terus menangis di dlm neraka, hingga air matanya mengalir di pipi masing2, seperti air yg berarus di tali air, sampailah air kering di mata, dan airnya terus mengalir dan mata pun pecah2. Sekiranya ada kapal layar yg dilayarkan di situ, nescaya belayarlah ia".

2) "Ditimpakan ke atas penghuni neraka kelaparan sehingga mereka merasakan kemuncak siksanya. Lalu mereka meminta dibantu dengan makanan, maka merekapun diberikan makanan dari duri kayu yg tiada akan melepaskan mereka dari seksa kelaparan itu. Mereka meminta dibantu lagi, maka diberi pula makanan yg mencekikkan. Lalu mereka teringat bhw mereka pernah meminum minuman yg membakar tekak di dunia, mereka pun meminta minuman itu. Maka diberikan mereka minuman yg mendidih dgn cangkuk2 yg dibuat drp besi2 yg panas. Apabila didekatkannya kpd muka2 mereka, nescaya hanguslah muka2 itu, dan apabila dimasukkan saja kedlm perut2 mereka, nescaya tersoyat-soyat tali petutnya."

3) "Ahli neraka berkata, ‘Wahai Malik (penjaga neraka). Dapatkah kiranya Tuhanmu menghabiskan sahaja kami’, Malik menjawab, ‘Tidak mungkin. Bahkan kamu akan kekal tinggal di sini’ (ingat manusia hanya hidup sekali sahaja. Hidup di akhirat itu kekal selama-lamanya).

4) "Sesungguhnya penghuni neraka yg paling ringan siksaannya (pada hari kiamat), ialah orang yg dipakaikan sepasang kasut yang talinya dibuat drp api neraka, lalu menggelegaklah otaknya lantaran panas dr sepasang kasut tadi, laksana air panas yg menggelegak di dlm periuk. Dia mengira tiada seorang pun yg menerima siksaan yg begitu dahsyat selain dirinya, pada hal dialah orang yg menerima siksa yg paling ringan."

Renunglah bgmana kita hendakkan kesudahan kita yg kekal itu…

Doakan agar kita, ibu bapa, anak cucu, kaum keluarga serta sahabat handai kita terlepas daripada azab neraka.

06/12/2014 - Posted by | Tazkirah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: