Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Jawapan kepada isu "Madad ya RasulAllah"

Definisi TAWASSUL ialah memohon daripada ALLAH SECARA LANGSUNG serta meminta syafaat daripada-Nya dengan apa atau siapa yang disukai-Nya. Justeru ALLAH sahaja tempat memohon dan meminta. TIADA yang lain diminta. Berdasarkan takrif ini yang jelaslah ia DIBOLEHKAN !

Terdapat beberapa bentuk tawasul yang disepakati oleh para ulama dan dibolehkan, seperti:

-Tawassul seseorang dengan amalan baiknya.

-Tawassul dengan nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya, Zat-Nya dan seumpamanya.

-Tawassul dengan cara memohon doa orang-orang soleh yang masih hidup.

Adapun yang menjadi perselisihan segelintir ulama ialah tawassul dengan orang yang telah meninggal dunia; adakah diperbolehkan atau tidak. Ada segolongan yang menghukum ia syirik manakala MAJORITI berpandangan bahawa ia diharuskan dengan dalil-dalil yang akan kita terangkan di sini.

Para fuqaha’ telah IJMAK bahawa bertawasul dengan para nabi dan para aulia adalah dibolehkan (mubah), dan dianjurkan sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia. [ Lihat Syawahid al-Haqq oleh Syeikh Yusuf al-Nabhani, 158].

Dalam hal yang sama, mantan Mufti Mesir, al-Allamah Sheikh Ali Jum’ah turut mengungkapkan, ”Mazhab feqah yang besar sepakat atas bolehnya bertawasul dengan Nabi S.A.W, malah menegaskan anjuran terhadap perkara ini dan tidak membezakan apakah tawasul itu semasa Baginda S.A.W masih hidup ataupun setelah Baginda S.A.W wafat. Tidak ada yang menyanggahinya melainkan Ibn Taymiyyah, iaitu beliau membezakan dengan Nabi S.A.W semasa hidup Rasulullah dan selepas kewafatannya. Tidak diambil pendapat shadhnya (ganjil) itu. Kami menyeru kepada umat agar berpegang kepada apa yang telah disepakati oleh para Aimmah yang terkemuka.” [Al-Bayan limaYasyghal al-Azhan, hal 177]

Justeru, penentangan terhadap tawasul kepada orang yang telah mati hanyalah pandangan terpencil daripada segelintir ulama, khusunya mungkin yang mengikuti aliran pemikiran Ibn Taymiyyah dan bukanlah pandangan majoriti ulama.

Soalan : Adakah ada dalil yang membolehkan bertawasul dengan orang yang telah mati ?

Jawapan : Terlalu banyak nas yang boleh dijadikan dalil bahawa tawasul dengan orang yang mati juga dibolehkan (mubah) seperti mana tawasul dengan orang yang hidup. Harus ditekankan sekali lagi bahawa tawasul TIDAK bermakna memohon pertolongan kepada orang mati, tetapi menjadikan mereka sebagai wasilah kepada ALLAH dalam berdoa, dan perkara ini seperti yang kita jelaskan sebelum ini berdasarkan anjuran al-Quran. [rujuk Surah al-Maidah: 35, Surah al-Isra’:57, Surah An-Nisa’:64]

Oleh itu, tuduhan ”meminta dengan kubur” atau seumpamanya adalah tuduhan yang dilemparkan oleh mereka yang JAHIL terhadap konsep tawasul yang sebenar. Manakala dalil daripada hadis pula antaranya seperti berikut:

Pertama, hadis Uthman ibn Hunaif, beliau mendengar Baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam didatangi seorang lelaki buta mengadu penglihatannya yang hilang. Dia berkata, ”Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai pembantu (untuk membantu berjalan) dan aku juga ditimpa kesempitan.” Rasulullah bersabda, ”Pergilah ke bilik air dan ambillah wuduk kemudian solatlah dua rakaat, kemudian berdoalah, ”Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajuh kepada-Mu dan (hak) Nabi-Mu, Muhammad Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu agar dibukakan mataku. Ya Allah, berilah dia syafaat untukku dan berilah aku syafaat’.” Uthman berkata, ”Demi Allah, maka tiada berpisah kami dan tidak juga lama selepas peristiwa itu berlaku dengan kami sehingga masuk seorang lelaki seolah-olah tidak pernah buta.” (Tirmizi,al-Hakim dalam Al-Mustadrak dan lain-lain)

Adapun status hadis ini, Imam Tirmizi mengatakan ia sahih walaupun hadis ahad melalui Abu Ja’far. Ada yang mengatakan ia Abu Ja’far Khatmi, seperti ujar Ibn Taymiyyah. Ibn Hajar mengatakan dalam Taqrib at-Tahdhib dia (Khatmi) dan boleh dipercayai (saduq). Al-Hakim turut meriwayatkan berdasarkan syarat Imam Bukhari dan Muslim dan Dhahabi mengesahkan, manakala Shawkani turut menjadikannya dalil. Imam Bukhari merakamkannya dalam Tarikh al-Kabir, Ibn Majah dalam Sunan dan beliau mengatakan ia sahih. Memadai kita mengatakan bahawa tidak kurang daripada 15 orang ulama besar hadis yang bertaraf ”huffaz” (menghafal lebih 100,000 hadis beserta sanad) seperti Imam Dhahabi, Ibn Hajar, Hakim, Baihaqi, Tabarani, Ibn ‘Abd al-Barr, Shawkani dan Ibn Taymiyyah sendiri yang mengesahkan bahawa hadis ini Sahih.

Kedua, hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tabarani dan Imam al-Baihaqi bahawa seorang lelaki telah datang untuk mengadu kepada Sayyidina Uthman bin Affan r.a. pada zaman pemerintahannya. Namun Sayyidina Uthman r.a. tidak mengendahkannya lantaran kesibukan. Lelaki itu berlalu dan terserempak dengan Uthman bin Hunayf. Uthman bin Hunayf r.a. yang teringat peristiwa tawasul orang buta dengan Nabi, telah mengajanjurkan lelaki itu tadi agar berbuat perkara yang sama. Beliau berkata, ”Pergilah kamu ke tempat berwuduk, berwuduklah dan datanglah ke masjid dan bersolatlah dua rakaat. Kemudian berdoa, ‘Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu, aku menghadap kepada-Mu, melalui Nabi-Mu yang penuh kasih sayang. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku menghadap (hajatku) dengan perantaraanmu kepada Tuhanku agar diperkenankan bagiku hajatku.’ Dan engkau sebutkan hajatmu.”

Lelaki itu pun beredar dari situ dan melakukan suruhan tersebut. Kemudian dia pergi ke rumah Sayyidina Uthman. Seorang penjaga pintu membuka pintu dan membawanya masuk menghadap Sayyidina Uthman. Sayyidna Uthman r.a. berkata, ”Sebutlah hajatmu itu.” Lalu lelaki itu pun memberitahu hajat dan Sayyidina Uthman menunaikan hajatnya. Sayyidina Uthman bertanya lagi, ”Kalau kamu mempunyai hajat lagi, beritahulah.”

Selepas itu lelaki itu keluar dan menemui Uthman bin Hunayf r.a. Dia berkata kepada Uthman bin Hunayf, ”Moga-moga Allah membalas jasamu dengan kebaikan. Tidaklah dia (khalifah) memandang kepada hajatku sehingga engkau mengajarkan kepadaku.” Uthman bin Hunayf menjawab, ”Demi Allah! Bukan aku mengajarmu tetapi sebenarnya aku menyaksikan bahawa Rasulullah ketika didatangi seorang lelaki mengadu tentang penglihatannya yang hilang … (hingga akhir hadis).”

Kedua-dua hadis di atas mengisahkan tentang tawasul kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pada dua situasai berbeza iaitu semasa Baginda masih hidup (lelaki buta bertemu Nabi) dan selepas Baginda wafat (lelaki yang bertemu Uthman bin Hunayf). Justeru, tidak timbullah persoalan sama ada Rasulullah masih hidup atau sudah wafat kerana yang ditawasulkan bukan kepada jasad Baginda. Sebaliknya bertawasul kepada maqam dan kemuliaan yang dimiliki oleh Rasulullah di sisi ALLAH. Hal yang demikian tidak membezakan sama ada Baginda atau seseorang yang soleh itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Selain dalil ini, banyak lagi dalil yang boleh diketengahkan, termasuklah amalan tawasul yang dilakukan oleh para Sahabat, salafussoleh, para imam mazhab serta yang lainnya kepada Rasulullah ketika Rasulullah telah wafat, ataupun bertawasul kepada orang-orang soleh yang telah meninggal dunia.

Cuma dalam keadaan seseorang itu tidak diberi taufik dan hidayah oleh ALLAH, berilah dalil sebanyak mana sekalipun, tidak akan meyakinkan dia untuk menerima kebenaran ini. Maka cukuplah kita katakan, sesiapa yang ingin bertawasul dengan cara ini ia dibolehkan (mubah). Sesiapa yang ragu, maka tinggalkanlah tanpa melemparkan tuduhan syirik dan seumpamanya kepada mereka yang melakukannya. [Lihat Adillah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 79-83]

Wallahu’alam.

Sumber.

21/11/2014 - Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) |

1 Comment »

  1. Alhamdulillah…pencerahan yang baik.

    Like

    Comment by amin | 22/11/2014 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: