Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Definasi Taat kepada pemerintah satu analisa


DEFINASI TAAT KEPADA PEMERINTAH

MELALUI DEMOKRASI & PILIHANRAYA

1. ASAL-USUL DEMOKRASI

Tidak kurang daripada masyarakat Islam yang terkeliru dan terpedaya menyangka bahawa sistem politik demokrasi adalah selari dengan Islam. Mereka beranggapan bahawa tidak ada percanggahan antara keduanya. Bahkan ada yang menganggap bahawa apa yang terkandung dalam demokrasi juga terkandung dalam Islam.

Demokrasi diistilahkan sebagai ‘Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ (Government of the people, by the people, for the people). Demokrasi berasal daripada perkataan Yunani dan dikatakan orang yang pertama kali menggunakan istilah ini adalah Ahli Falsafah Yunani yang bernama Plato.

Perkembangan demokrasi dapat dilihat dalam revolusi berdarah Perancis (1789-1799M) yang berdiri di atas slogan “Kebebasan, Persaudaraan dan Kesaksamaan” yang mana kerajaan baru Perancis pada tahun 1791M telah menjadikan demokrasi sebagai asas perlembagaannya.

Demokrasi terus berkembang di negara-negara Barat dan akhirnya sampai ke negara Islam pada awal kurun ke-20 setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah pada sekitar tahun 1922. Satu demi satu kerajaan Islam telah menjadikan demokrasi sebagai sistem pemerintahan negaranya. Kerajaan Mesir sebagai contohnya dalam perlembagaannya yang pertama pada tahun 1923 telah menyebutkan bahawa ‘Kedaulatan Negara adalah untuk rakyat dan rakyat menjadi sumber pemerintahan’. Malaysia seperti negara-negara Islam di Asia Tenggara yang lain turut mengamalkan demokrasi setelah kemerdekaannya pada tahun 1957 kesan daripada penjajahan Barat.

2. DEMOKRASI BUKAN CARA ISLAM

Sistem pemerintahan demokrasi berdiri di atas tiga asas iaitu; Perundangan (Legistlative), Kehakiman (Judiaciry) dan Eksukutif (Exercutive).

Dalam demokrasi, perlembagaan dan undang-undang negara digubal di dalam parlimen berasaskan kehendak majoriti wakil rakyat. Hukuman mahkamah perlu selari dengan perlembagaan dan undang-undang parlimen ini. Begitu juga dengan kuasa eksekutif. Ia tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang Parlimen.

Hakikatnya demokrasi bercanggah dengan Islam daripada asasnya. Berbeza dengan demokrasi yang berdiri di atas kehendak majoriti wakil rakyat dalam parlimen, Islam berdiri di atas Al-Quran dan Sunnah. Segala perlembagaan dan undang-undang perlu kembali kepada keduanya. Walaupun ijtihad akal dibenarkan tetapi ia hanya dibolehkan dalam ‘ruang lingkup yang terhad’ sahaja dan ia tetap perlu bersandarkan kepada "Al-Quran dan Sunnah".

Dalam Islam, manusia diwajibkan tunduk kepada kehendak Allah serta hukumNya. Firman Allah:

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ

Sesungguhnya segala hukum itu milik Allah” (Yusof 12:40).

Seseorang itu sama sekali tidak boleh menjadikan selain daripada Allah sebagai sumber hukumnya. Firman Allah:

وَلَا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَداً

Dan Dia tidak melantik sesiapa pun untuk masuk campur dalam hukumNya” (Al-Kahf 18:26).

Oleh itu, Allah memberi amaran terhadap mereka yang berhukum dengan selain hukum Islam dalam firmanNya:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ

Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan -mana-mana bahagian daripada Agama mereka- sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” (Al-Syuura, 21).

Maka golongan yang berhukum dengan selain daripada hukum Allah dianggap sebagai golongan munafik yang tidak beriman dengan Allah dan hukumNya dengan erti kata yang sebenarnya. Firman Allah:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُواْ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُواْ إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُواْ أَن يَكْفُرُواْ بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلاَلاً بَعِيداً

Tidakkah engkau melihat orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu dan dengan apa yang telah diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhukum kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar terhadap taghut itu; dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka sejauh-jauhnya” (Al-Nisaa’ 4:60).

3. ISLAM MENGAJAK KEPADA KESATUAN UMAT

Di antara ciri utama demokrasi adalah mewujudkan parti-parti politik yang berbeza fahaman dan ideologi di mana mereka akan menentang antara satu sama lain demi untuk menang dalam pilihanraya yang diadakan. Akhirnya parti yang menang akan membentuk kerajaan manakala parti-parti yang kalah akan menjadi pembangkang.

Pendek kata, tidak ada demokrasi tanpa kepartian dan tidak ada kerajaan tanpa pembangkang.

Inilah realiti demokrasi. Sama ada kita sedar atau tidak ia mengajak kepada perpecahan dan perbalahan sesama Umat Islam walhal perkara ini jelas ditegah sama sekali dalam Islam.

Sebagai Umat yang bersaudara, Allah subhanahu wata’ala memerintahkan supaya Umat Islam sentiasa menjaga kesatuan mereka. FirmanNya:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan jangan kamu bercerai-berai” (Al-Imraan 3:103).

Oleh itu, Umat Islam dilarang berbalah sesama mereka kerana ia akan menyebabkan mereka gagal dan menjadi lemah. Firman Allah:

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbalah; kalau tidak nescaya kamu akan gagal dan kekuatan kamu akan hilang; dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar” (Al-Anfaal, 46).

Bukan sahaja diperintahkan supaya menjaga kesatuan mereka, Umat Islam turut diingatkan supaya tidak menjadi seperti orang-orang kafir yang telah memecah-belahkan agama mereka sehingga menjadi berpuak-puak dan berparti-parti. Firman Allah:

وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ,مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعاً كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

“Dan janganlah kamu tergolong dalam golongan orang-orang musyrikin. (Iaitu) mereka yang telah memecah-belahkan agama mereka dan menjadi berpuak-puak; setiap puak berbangga dengan apa yang ada padanya” (Al-Rum 30:31-32).

PERHATIAN 1: Sehubungan dengan Firman Allah SWT di atas; contohnya seperti di Malaysia, parti majoriti orang Melayu yang beragama Islam sehingga negara mencapai Kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957 adalah (Pertubuhan Kebangsaan  Melayu Bersatu @ United Malay National Organisation – UMNO) bersama PARTI KOMPONEN BN yang lain dan sejak itu juga Kerajaan Malaysia yang menjadi pemerintah negara yang sah sehingga sekarang ini MAKA Umat Islam Malaysia seharusnya SENTIASA BERSATU .

4. DEMOKRASI SENJATA MUSUH UNTUK MENGUASAI UMAT ISLAM

Sebagai Umat Islam yang sedar akan permusuhan orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap Islam, kita wajar mempersoalkan mengapa orang-orang Barat beriya-iya menjaja demokrasi ke negara-negara Islam. Adakah demokrasi benar-benar menjanjikan keadilan dan kemakmuran seperti yang didakwa ?

Kita perlu berhenti sejenak dan bertanya. Sejak bilakah orang-orang Yahudi dan Nasrani berdamai dengan orang Islam dan berusaha ke arah kebaikan dan maslahat mereka ? Jawapannya, mereka tidak pernah berdamai. Bahkan permusuhan mereka berterusan sehingga ke hari ini. Bagi yang sedar dan tidak tertipu dengan propaganda Barat, mereka akan dapat lihat dengan jelas bagaimana demokrasi digunakan sebagai senjata untuk memporak-perandakan negara Islam serta melemahkan mereka.

Masyarakat Islam hari ini dipecah-belahkan kepada parti-parti politik yang berbeza fahaman dan ideologi dengan bertopengkan Islam semata-mata kerana mengejar kuasa dan harta dunia. Perbalahan politik tidak lebih daripada kerana ada yang merasakan bahawa diri mereka lebih layak memegang tampuk kuasa daripada yang lain. Atau kerana perselisihan yang timbul akibat pembahagian harta kekayaan dunia. Akhirnya, berlakulah tuduh-menuduh zalim, rasuah, menyeleweng, gila kuasa dan seumpamanya semata-mata kerana tamakkan kuasa dan harta dunia.

5. HUBUNGAN RAKYAT DENGAN PEMERINTAH MENURUT ISLAM

Hakikatnya Syara’ tidak membenarkan perbuatan melawan Pemerintah Negara yang beragama Islam yang telah terpilih dan disahkan oleh majoriti rakyat melalui pilihanraya, atas apa jua alasan dan cara. Sama ada orang Islam itu tidak berpuashati dengan pemerintah dengan  menubuhkan parti orang Islam yang lain iaitu dengan mencari dan merperdaya ribuan penyokong mereka semata-mata untuk membangkang terhadap kerajaan melalui kepartian berteraskan demokrasi kononnya seterusnya menyebut tentang keaiban, memperlekeh, menghina dan mencaci-maki; berusaha mengguling dengan cara ‘aman’ ataupun kekerasan, dengan lisan mahupun dengan senjata. Walhal kesemuanya adalah dilarang sama sekali dan telah dihukumkan HARAM oleh Syara’.

Hal ini dinyatakan secara jelas dalam banyak Hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Antaranya:

سَألَ سَلَمَةُ بن يَزيدَ الجُعفِيُّ رسولَ الله فَقَالَ : يَا نَبِيَّ الله ، أرأيتَ إنْ قامَت عَلَيْنَا أُمَرَاءٌ يَسألُونَا حَقَّهُم ، وَيمْنَعُونَا حَقَّنَا، فَمَا تَأْمُرُنَا؟ فَأعْرَضَ عنه ، ثُمَّ سَألَهُ ، فَقَالَ رسولُ الله اسْمَعْوا وَأَطِيعُوا ، فإنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا ، وَعَلَيْكُمْ مَا حملْتُمْ

Salamah bin Yazid Al-Ju’fi radiyallhu anhu bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: Wahai Nabi Allah, bagaimana sekiranya kami diperintah oleh pemerintah yang meminta hak mereka tetapi tidak memberi hak kami. Apa yang patut kami lakukan ? Baginda berpaling daripadanya. Dia bertanya lagi, lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “ Hendaklah kamu dengar dan patuh, mereka akan memikul tanggungjawab mereka dan kamu akan memikul tanggungjawab kamu” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ وَلا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جِثْمَانِ إِنْسٍ قَالَ حُذَيْفَةَ : قُلْتُ: كَيْفَ أصْنَعُ يَا رَسُولُ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ ؟ قَالَ: “تَسْمَعْ وَتُطِيعَ الأمِيرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ

Setelah pemergianku akan ada pemerintah yang tidak beramal dengan Petunjukku mahupun dengan Sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka lelaki yang hati mereka (seperti) hati syaitan dalam badan manusia.” Berkata Huzaifah (perawi hadis): Saya bertanya: Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku berdepan dengannya ? Sabda Baginda: “ Engkau dengar dan taat terhadap pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Kamu dengar dan taat ” (Riwayat Muslim).

Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

ألا مَنْ وُلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ، فَرَآهُ يَأتِي شَيْئاً مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ، فَلْيَكْرَه مَا يَأتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ، وَلا يَنْزَعَنَّ يَداً مِنْ طَاعَة

Barangsiapa daripada kalangan kamu yang diperintah oleh pemerintah yang dilihat melakukan hal-hal kemaksiatan, maka hendaklah dia membenci kemaksiatan itu dan jangan (pula) dia menarik tangan ketaatannya ”. (Riwayat Muslim).

PERHATIAN 2 : Dalam hadis yang pertama di atas, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam jelas ditanya tentang pemerintah yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat. Tetapi Baginda tetap mengarahkan supaya Umat Islam taat kepada pemerintah mereka yang dikatakan zalim itu. Baginda menyimpulkan bahawa masing-masing memikul tanggungjawab masing-masing. Pemerintah berkewajipan untuk berlaku adil manakala rakyat perlu taat kepada pemerintah walaupun mereka berlaku zalim.

Sebagaimana pemerintah akan menanggung akibatnya sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, begitu juga dengan rakyat mereka akan menanggung akibatnya sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggunggujawab mereka untuk taat kepada pemerintah mereka walaupun mereka berlaku zalim. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ketaatan tidak terhad kepada pemerintah yang adil sahaja.

Dalam hadis yang kedua, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam jelas mewajibkan ketaatan terhadap pemerintah walaupun mereka adalah seburuk-buruk manusia yang hati mereka seperti syaitan. Bahkan walaupun pemerintah bertindak zalim memukul dan merampas harta rakyat, Baginda tetap menyatakan bahawa rakyat perlu dengar dan taat.

Oleh itu, keadaan pemerintah yang dituduh zalim, menyeleweng, rasuah, menyalah gunakan kuasa dan apa jua perbuatan maksiat yang lain bukan alasan yang membolehkan untuk tidak taat kepada pemerintah. Seperti mana dalam hadis yang ketiga, walaupun Umat Islam disuruh supaya membenci kemaksiatan yang dilakukan oleh pemerintah tetapi dalam masa yang sama rakyat perlu terus taat kepadanya kerana pemerintah lumrahnya sentiasa bersilih ganti (datang dan pergi).

6. BENCI KEPADA MAKSIAT & TAAT DALAM PERKARA MAKRUF

Kita perlu jelas bahawa ketaatan kepada pemerintah tidak semestinya bererti kita kasih dan sayang kepadanya sepenuhnya. Sekiranya pemerintah Islam itu adil maka kita akan kasih kepadanya kerana keislaman dan keadilannya. Adapun sekiranya dia berlaku zalim, walaupun kita masih kasih kepadanya atas dasar persaudaraan Islam tetapi dalam masa yang sama kita membenci kezaliman yang dilakukannya.

Oleh itu, ketaatan kepada pemerintah sama sekali tidak bererti kita bersetuju dan redha dengan maksiat yang dilakukannya. Bahkan kita wajib membenci segala bentuk maksiat yang dilakukannya kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan iman. Sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “ Barangsiapa kasih kerana Allah dan benci kerana Allah; memberi kerana Allah dan menghalang kerana Allah; maka dia telah menyempurnakan iman ” (Sahih Abu Daud).

Maka tidak ada percanggahan antara ketaatan kepada pemerintah dan benci terhadap maksiat yang dilakukannya. Taat kepada pemerintah adalah dalam bentuk perbuatan anggota lidah dan tangan manakala benci terhadap maksiat yang dilakukannya adalah dalam hati.

Ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya dan ia perlu sentiasa didahulukan.

Tidak ada ketaatan kepada manusia dalam perkara-perakara maksiat kepada Allah walau sesiapa pun manusia itu termasuklah pemerintah. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

عَلَى المَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ والطَّاعَةُ فِيمَا أحَبَّ وكَرِهَ ، إلا أنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيةٍ ، فَإنْ أُمِرَ بِمَعْصِيةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan patuh (kepada pemerintah) dalam perkara yang disukai dan yang dibenci, kecuali jika disuruh melakukan maksiat; sekiranya disuruh melakukan maksiat maka tidak ada ketaataan (dalam hal kemaksiatan itu)” (Riwayat Muslim).

Maka ketaatan kepada pemerintah hanya dalam perkara-perkara makruf (kebaikan) sahaja. Adapun sekiranya diperintah supaya melakukan maksiat, kita tidak boleh menurutinya. Masakan kita boleh mendahulukan ketaatan kepada manusia atas ketaatan kita kepada Allah.

Walaupun tidak taat kepada maksiat yang diperintahkan, hal ini tidak bererti bahawa kita sudah tidak taat sama sekali terhadap pemerintah itu. Kita hanya tidak taat dalam perintah maksiat, adapun ketaatan kita terhadap pemerintah itu secara umumnya ia masih kekal dan berterusan. Pada dasarnya kita boleh lihat pemerintah itu lebih banyak melakukan perkara kebaikan atau sebaliknya.

Dalam Hadis SAW ada menyatakan maksudnya " Jika kita hendak menegur sesuatu itu walau untuk kebaikan tetapi lebih banyak keburukannya adalah lebih baik kita mendiamkannya dahulu". Walaubagaimanapun kita seharusnya berusaha mencari jalan yang terbaik iaitu dengan melalui saluran tertentu untuk mengatasinya.

7. ANTARA HUKUM SYARAK DAN HUKUM DEMOKRASI

Ramai yang ketika membicarakan tentang politik, mereka lebih gemar melihatnya daripada sudut demokrasi Barat berbanding dengan Syariat Islam.

Sebagai seorang muslim, hal ini tidak wajar berlaku. Ini kerana Islam telah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia apatah lagi dalam urusan penting yang membabitkan maslahat masyarakat Islam sejagat seperti politk negara. Firman Allah :

مَّا فَرَّطْنَا فِي الكِتَابِ مِن شَيْءٍ

Tidak Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab (Al-Quran) ini” (Al-An’aam 6:38).

Perbuatan mendahulukan hukum demokrasi jelas bertentangan dengan perintah Allah supaya kita sentiasa berhukum dengan hukum Syarak yang menjadi panduan dan petunjuk hidup kita.

أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَى بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?” (Al-Baqarah 2:61).

Syariat Islam jelas lebih baik dan lebih mulia daripada segala hukum-hakam taghut yang ada termasuk demokrasi kafir Barat. Ia dicipta oleh golongan yang tidak beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, yang tidak mengenal halal dan haram dan yang sentiasa memusuhi Umat Islam dan berusaha untuk menghancurkan Islam.

Masakan kita mahu menukar hukum Allah Tuhan Sekelian Alam dengan hukum taghut seperti demokrasi. Ini bukan akhlak seorang Muslim.

Dalam urusan pemerintahan negara, Syariat Islam menuntut supaya rakyat taat kepada pemerintah Islam mereka dalam apa jua keadaan. Hal ini menjadi suatu ijmak (persepakatan) bahkan menjadi antara prinsip utama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berbeza dengan golongan sesat seperti Khawarij dan Syiah.

Imam Al-Nawawi menjelaskan, “Adapun menentang (pemerintah) serta memerangi mereka, ia adalah haram menurut ijmak (persepakatan) Umat Islam walaupun mereka (pemerintah) fasik dan zalim. Hadis-Hadis cukup jelas dalam hal ini dan Ulama Ahli Sunnah telah ijmak (sepakat) bahawa pemerintah tidak boleh diturunkan dengan hanya kerana kefasikan mereka(Syarah Sahih Muslim, Imam Al-Nawawi).

8. AMALAN-AMALAN DEMOKRASI DALAM KONTEKS MALAYSIA

Tidak dinafikan bahawa amalan demokrasi di Malaysia adalah suatu sistem yang telah kita warisi daripada penjajah. Dalam masa yang sama harus kita sedar bahawa untuk menukar sistem taghut ini ia tidak boleh dilakukan dalam sehari semalam.

Hanya mereka yang jahil Agama dan jahil realiti dunia sekelilingnya akan beranggapan sebegitu. Mereka tidak sabar dan terburu-buru mahu merealisasikan impian mereka tanpa berfikir panjang dan tanpa mengira kesan buruk yang jauh lebih besar daripada maslahat yang ingin direalisasikan. Walhal kaedah Syarak menetapkan bahawa ‘Menghindari Mudarat Lebih Utama daripada Meraih Maslahat’.

Walaupun demokrasi diamalkan atas dasar darurat kerana keterpaksaan berdasarkan kaedah Syarak ‘Keadaan Terdesak (Darurat) Akan Mengharuskan yang Terlarang (Haram)’ tetapi dalam masa yang sama kaedah Syarak ‘Keadaan Darurat Ditentukan Berdasarkan Kadar Keperluannya’ juga perlu diraikan.

Dengan erti kata lain, keterpaksaan untuk beramal dengan demokrasi tidak bererti bahawa segala aspek-aspek demokrasi itu turut dibenarkan. Hanya sekadar untuk memenuhi keperluan sahaja yang diharuskan.

Maka amalan kepartian memecah-belahkan masyarakat kepada parti-parti politik tetap haram. Membangkang kerajaan atau pemerintah secara terang-terangan tetap dilarang. Menghasut masyarakat supaya benci kepada pemerintah tetap tidak dibolehkan. Begitu juga dengan menyebut keaiban, memperlekeh, menghina dan mencaci-maki pemerintah; kesemuanya tetap haram.

Begitu juga dengan amalan-amalan demokrasi yang lain seperti penetapan hukum halal dan haram melalui parlimen, pembubaran parlimen, penetapan tempoh pemerintahan kerajaan, pilihanraya dan berkempen yang tidak selari dengan Syariat Islam ia tetap batil dan tidak boleh dipakai.

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam:

فَمَا بَالُ رِجَالٍ يَشْتَرِطُونَ شُرُوطًا لَيْسَتَ فِي كِتَابِ اللَّهِ مَا كَانَ مِنْ شَرْطٍ لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَهُوَ بَاطِلٌ وَإِنْ كَانَ مِائَةَ شَرْطٍ فَقَضَاءُ اللَّهِ أَحَقُّ وَشَرْطُ اللَّهِ أَوْثَقُ

Mengapa ada kaum yang meletakkan syarat-syarat yang tidak terdapat dalam Kitab Allah? Sesungguhnya apa jua syarat yang tidak terdapat dalam Kitab Allah maka ia adalah batil walaupun ia seratus syarat. Ketetapan Allah lebih benar dan syarat Allah lebih sempurna(Bukhari dan Muslim).

9. PENDOKONG DEMOKRASI JATUH DALAM JERAT MUSUH

Sungguh malang bagi mereka menggunakan demokrasi sebagai jalan ke arah mengislahkan Umat akibat tertipu dengan propaganda musuh kononnya demokrasi adalah jalan ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Masakan kemajuan dan kemakmuran bukan sahaja di dunia tetapi lebih penting lagi di Akhirat akan dapat dicapai melalui produk orang kafir Yahudi dan Nasrani yang ingin menghancurkan Umat Islam.

Ramai yang tertipu dengan slogan kebebasan dan keadilan demokrasi menyebabkan mereka bertindak membantah dan membangkang kerajaan secara terang-terangan. Usaha mereka akhirnya tidak lebih daripada membawa kepada ketegangan, benci-membenci, perpecahan dan huru-hara sesama saudara seIslam.

Apakah mereka menyangka bahawa kemenangan dan pertolongan Allah akan dapat dicapai dengan tidak patuh dengan perintah Syarak supaya taat kepada pemerintah semata-mata kerana demokrasi taghut membenarkannya?

Tidak kurang juga yang keliru tentang kewajipan taat kepada pemerintah sehingga mereka membezakan antara pemerintah kerajaan persekutuan dan negeri. Syara’ sama sekali tidak memerintahkan supaya taat kepada dua pemerintah yang saling bermusuhan. Ketaatan hanya kepada pemerintah yang tertinggi (Perdana Menteri) serta wakilnya di seluruh negara. Mana-mana golongan orang Islam  yang menentang dianggap sebagai bughat atau Khawarij walaupun demokrasi mengiktiraf mereka sebagai pemimpin kawasan atau negeri dalam sesebuah negara.

Akibat terikut-ikut dengan rentak demokrasi, ramai yang menyangka bahawa sesebuah kerajaan Islam itu tidak akan lagi dianggap sebagai sah sekiranya tempoh pemerintahannya sudah berakhir dan Parlimen sudah dibubarkan. Akhirnya pilihanraya dianggap sebagai satu jalan yang sah untuk menukar sesebuah kerajaan Islam yang sediada.

Amalan ini jelas tidak selari dengan Syara’ yang tidak menetapkan sebarang tempoh bagi sesebuah kerajaan. Amalan para Khulafa’ Al-Rasyidin dan pemerintah Islam yang datang sesudah mereka menjadi buktinya.

Jelas bahawa pilihanraya adalah satu muslihat musuh Islam yang sangat licik bertujuan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan Islam dan menawan negara tanpa peperangan. Tanpa disedari rakyat dipergunakan oleh musuh untuk menghuru-harakan negara serta melantik pemimpin yang mereka suka.

Akhir kalam, kepada seluruh umat Melayu yang beragama Islam di negara ini , Taatlah kepada Allah, Rasul dan Ulil amri yang sah selain itu pentadbiran negara kita adalah dengan berteraskan 5 prinsip Rukun Negara, semoga dengannya kita semua tidak akan termasuk dalam golongan Khawarij Akhir Zaman di mana akhir hayat matinya adalah di dalam "Kematian Jahiliyah"  – Wallahua’alam.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Advertisements

1 November 2014 - Posted by | Politik dan Dakwah |

2 Comments »

  1. MR wrote:

    Yang paling baik umat Melayu Islam Malaysia BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT terhadap Ulil amr yang sedia ada sekarang, sudah jelas lagi nyata hukum Islam tetap mengHARAMkan umat Islam menjadi pembangkang terhadap ulil amr yang beragama Islam …..

    Muhasabah Ke Atas Pemerintah Adalah Kewajipan Yang Utama

    Salah satu keindahan di dalam Islam adalah adanya konsep muhasabah. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan hak kepada setiap individu muslim mahupun jemaah/gerakan untuk melakukan muhasabah ke atas saudaranya. Muhasabah ke atas pemerintah adalah jauh lebih utama berbanding ke atas individu atau jemaah. Kerana pemerintah adalah orang yang diamanahkan oleh Allah untuk menerapkan hukumNya sekaligus menjaga kemaslahatan semua warganegara. Pemerintah adalah orang yang ditugaskan menjaga hak Allah dan juga hak umat, maka sedikit penyimpangan oleh pemerintah bermaksud ia telah melakukan maksiat/dosa. Berbeza dengan maksiat yang hanya dilakukan oleh seseorang individu.

    Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

    ”Penghulu para syuhada adalah Hamzah ibn Abdul Muthallib dan seseorang yang berhadapan dengan penguasa yang zalim lalu ia menasihati penguasa tersebut, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut).” [HR Hakim]

    Wajib untuk menasihati penguasa yang zalim dan ganjaran bagi mereka yang berbuat demikian adalah baik. Inilah janji Allah. tegurlah sesiapa sahaja yang berbuat zalim.

    Siapakah orang lebih zalim dari pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah? Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

    ”Dan barangsiapa yang tidak menerapkan hukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [TMQ al-Maidah:45].

    Mana-mana penguasa kaum Muslimin yang telah melakukan kesalahan, memaksiati Allah, merampas hak-hak rakyat, mengabaikan kewajipan-kewajipan terhadap rakyat atau memerintah dengan hukum kufur maka wajib hukumnya bagi rakyat atau gerakan Islam untuk bangun menegur seterusnya meluruskan pemerintah tersebut.

    Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Umi Salamah, bahawa Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam bersabda, ”Akan ada para pemimpin yang kalian mengetahui kemakrufan dan kemungkarannya, maka sesiapa sahaja yang membencinya dia akan bebas (dari dosa), dan siapa sahaja yang mengingkarinya dia akan selamat. Tetapi siapa sahaja yang redha dan mengikutinya (dia akan celaka).” Mereka bertanya: ”Tidakkah kita perangi saja mereka?” Baginda menjawab: ”Tidak selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam)”.

    Dalam riwayat Imam Muslim yang lain,

    ”Maka, siapa sahaja yang membencinya, dia akan terlepas (dari dosa). Dan siapa sahaja yang mengingkarinya dia akan selamat. Tetapi, siapa sahaja yang rela dan mengikuti (akan celaka)”

    Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam memerintahkan kepada kita agar mengingkari atau tidak taat kepada pemimpin yang telah melakukan kemungkaran atau maksiat kepada Allah. Sesiapa yang mahu selamat mestilah mengingkari perbuatan pemimpin tersebut, sedangkan yang redha dan mengikuti akan celaka. Untuk tidak mentaati pemimpin yang salah maka wajib dilakukan muhasabah terhadap mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan di dalam firman-Nya:

    ”Hendaklah ada di antara kalian sekelompok umat yang mengajak kepada kebaikan (Islam) serta menyeru kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang beruntung ”
    [TMQ Ali-Imran: 104]

    Di dalam Sistem Kapitalis, setiap tindakan yang diambil oleh pemimpin adalah menjurus kepada pemenuhan kehendak peribadi atau kelompok (kroni). Pemikiran sekular yang dibawa oleh Ideologi Kufur ini mengajarkan bahawa tujuan hidup adalah untuk mencapai kepuasan jasmani/material semaksima mungkin. Ideologi Kapitalis tidak pernah memandang bahawa agama adalah sebagai pengatur kehidupan, baik di dunia mahupun akhirat. Mereka mengiktiraf kewujudan agama tetapi agama mesti dipisahkan dari kehidupan.

    Agama dan kehidupan tidak boleh dipisahkan. Allah Maha Mencipta dan Maha Mengatur. Apabila kita meyakini bahawa Allah adalah Maha Pengatur, maka kita wajib mengambil segala peraturan yang Allah cipta.

    Sebagai seorang muslim, kita yakin bahawa jika kita mengambil aturan Allah, maka Allah akan redha kepada kita dan InsyaAllah kita akan meraih syurgaNya. Sebaliknya, jika kita tinggalkan aturan Allah, maka murka Allah jualah yang akan menimpa dan nerakalah balasannya. Na’uzubillah min zalik.

    Kembalilah kepada aturan Islam, yang penuh dengan kesempurnaan dan keindahan. Agama Allah ini diciptakan untuk menyelesaikan segala masalah manusia. jika terjadi perselisihan atau perbezaan pendapat, ingatlah akan firman Allah

    ”Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qu’ran) dan (sunnah) Rasul(Nya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian…” [TMQ an-Nisa’:59]

    Rasulullah telah mengingatkan kita bahawa jika kita benar-benar berpegang kepada dua perkara yang baginda tinggalkan (kitabullah dan sunnah baginda) nescaya kita tidak akan sesat selama-lamanya. jika meninggalkan kitabullah dan sunnah baginda, maka umat Islam akan hidup di dalam kesesatan selama-lamanya.

    Di Malaysia, setelah hampir 50 tahun kita merdeka dari penjajah kufur, adakah kita benar-benar telah mengikuti Al-Qur’an dan As-Sunnah? Adakah undang-undang Allah yang kita terapkan? Adakah sunnah Rasulullah yang kita amalkan? Atau kita masih terbelenggu dengan undang-undang kufur ciptaan British dan pemikiran-pemikiran kufur mereka? Kembalilah kepada apa yang Rasulullah telah tinggalkan kepada kita.

    ’Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu khianati amanah (yang telah dibebankan ke atasmu) sedangkan kamu mengetahuinya’ [TMQ Al-Anfal: 27]

    Comment by JKKKP | 1 November 2014 | Reply

  2. Dari: MR [mailto:ustmdcd@gmail.com]

    ISLAM MENGHARAMKAN ORANG ISLAM JADI PEMBANGKANG KERAJAAN ORANG ISLAM

    KAMI MEMPERSILAKAN mana-mana pihak dari kalangan orang yang beragama Islam yang begitu taksub dengan parti politik pembangkang seperti PAS, PKR di negara Islam seperti MALAYSIA sekarang ini yang mampu menangkis segala apa yang yang telah dibuktikan melalui Al-Quran, Hadis-hadis Sahih, Ijma’ para ulama’ terdahulu dan sejarah para khalifah Islam darihal adab dan ketaatan terhadap Ulil amri (Pemerintah).Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah: 111, “…Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

    SEBELUM INI terdapat balasan sebuah blog penyokong pembangkang, Al-Bakistani, di mana diperturunkan hujah seperti berikut:
    Kebencian itu ditambahi lagi, dengan dinyatakan oleh Allah, bahawa orang zalim tidak layak menjadi pemimpin dikalangan orang beriman.

    Firman Allah yang maksudnya, “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”. Allah berfirman: “Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.””
    Maka jika dianalisa dengan penafsiran teliti yang dibuat oleh Al-Bakistani terhadap ayat tersebut, maka jelaslah bahawa kerajaan hari ini adalah TIDAK ZALIM kerana telah terbukti ‘DIPILIH’ oleh ALLAH SWTuntuk menerajui NEGARA ISLAM MALAYSIA sejak tahun 1957 lagi.

    Comment by JKKKP | 1 November 2014 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: