Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Isu siasatan dan tangkapan khalwat

Soalan: Apa pandangan Ustaz berkenaan kenyataan Dr. Asri (Mufti baru Perlis) sebagaimana disiarkan dalam New Straits Times, 15hb Disember2006, mukasurat 11 yang bertajuk: STOP SNOOPING AROUND FOR KHALWAT COUPLES (HENTIKAN TINDAKAN MENGENDAP PASANGAN KHALWAT)

Jawapan

Saya telah membaca pandangan beliau tersebut sebagaimana yang tersiar dalam akhbar berkenaan. Kesimpulan yang dapat saya buat adalah seperti berikut;

(*Mohon maaf kepada para pembaca yang tidak suka artikel panjang. Bagi isu ini saya rasa perlu mengulas dengan panjang lebar. Bacalah dengan sabar.)

“Banyak kenyataan di dalam artikel tersebut mengelirukan. Saya tidak tahu kenyataan-kenyataan tersebut terbit dari mulut Dr. Asri sendiri atau hanya olahan pengarang berita. Jika ia benar-benar terbit dari mulut Dr. Asri sendiri, maka amat mengecewakan kita kenyataan-kenyataan sebegitu dibuat.

Pertama; Ia boleh menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap nama baik Jabatan Agama dan pegawai-pegawai agama. Seolah-olah mereka merupakan orang-orang yang suka mengintai dan mengendap untuk mencari salah dan ‘aib orang lain. Walhal mereka melakukan tugas atas nama jawatan dan tanggungjawab rasmi yang diperakui oleh undang-undang. Sepatutnya, jika ada kesilapan yang berlaku, beliau sepatutnya mengemukakan teguran mengikut saluran yang betul, bukan membuat kenyataan di dada akhbar yang dibaca oleh khalayak ramai dan akan menimbulkan salah-tanggapan orang ramai.

Kedua; Ia jelas berniat jahat kepada pegawai-pegawai agama yang bertugas membenteras maksiat. Penggunaan bahasa “mengintip, mengendap atau mencari-cari pasangan….”, jelas merupakan suatu penghinaan yang ditujukan kepada mereka. Amat mengecewakan jika bahasa sebegitu keluar dari mulut seorang mufti. Bahasa yang sepatutnya ialah “menyiasat, membuat tinjauan, menyelidik…”.

Adakah apabila pegawai-pegawai agama tersebut memperolehi maklumat atau mendapat laporan tentang su kes di mana dua orang (lelaki dan wanita) yang meragukan di dalam sebuah bilik (di mana orang yang melapor mengkhuatiri mereka berdua bukan pasangan suami-isteri), lalu pegawai agama datang untuk menyiasat, ia mengetuk pintu bilik, apabila dibuka ia meminta dari mereka berdua surat atau sijil pengesahan perkahwinan, maka apakah perbuatannya itu dapat dikatakan sebagai mengintip atau mengendap.

Jika hendak dikatakan ‘aib, apa yang aibnya bagi kedua pasangan tersebut untuk mengemukakan surat atau sijil pengesahan nikah jika mereka benar-benar pasangan suami isteri. Apabila polis meminta kad pengenalan dari kita, kemudian kita memberinya, adakah itu suatu yang mendatangka ‘aib bagi kita? Jika memberi surat/sijil pengesahan nikah apabila diminta merupakan suatu yang ‘aib, maka tidak ada gunanya undang-undang memperkenalkan sijil tersebut, begitu juga tiada guna masing-masing ada kad pengenalan kerana ia mengaibkan orang dan melanggar hak individu.

Begitu juga, apabila pihak jabatan agama mendapat laporan ada tempat-tempat awam (taman-taman, kawasan-kawasan reakreasi) yang menjadi sarang maksiat dari orang ramai, lalu mereka melakukan operasi tinjauan dengan pergi menyiasat tempat-tempat tersebut, maka apakah mereka dapat kita katakana mengintai dan mengintip. Kemudian, dalam siasatan tersebut mereka menangkap pasangan yang sedang bercumbu-cumbuan (beromen), apakah tangkapan tersebut salah di sisi Syarak. Apa yang ingin kita tegaskan, sekalipun suami-isteri, bercumbu-cumbuan di tempat terbuka yang terdedah kepada khalayak ramai atau ada kemungkinan besar akan dilihat oleh orang lain merupakan suatu dosa di sisi Syarak. Di dalam hadis Rasulullah menegah si suami menceritakan kisah hubungan (seks) antaranya dengan isterinya kepada orang lain, begitu juga ditegah si isteri menceritakan kisah hubungannya dengan suaminya. Jika menceritakan sudah dilarang, maka lebih-lebih lagilah dilarang jika hubungan itu dilakukan di hadapan orang lain.

Ketiga; ada kenyataan-kenyataan beliau –sebagaimana tulisan akhbar tersebut- bercanggah dengan prinsip dan pendirian Islam yang sebenar;

(1) Menyalah-tafsirkan makna hak peribadi menurut Islam.

Artikel akhbar tersebut menyebutkan; “Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin mengatakan amalan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip hak peribadi menurut ajaran Islam dan juga terjumlah kepada suatu tindakan pencerobohan”.

Penjelasan: Di dalam Islam, hak peribadi diiktiraf selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak. Tidak ada di dalam Islam apa yang dinamakan hak atau kebebasan untuk melakukan maksiat atau kemungkaran. Seorang muslim tidak hanya diseru menjauhi munkar dan maksiat, malah diseru agar mengelak dari tempat-tempat yang meragukan, yakni menimbulkan salah tanggap orang lain terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

دَعْ ما يَرِيبُكَ إلى ما لا يَرِيبُكَ

“Elakkanlah dari yang meragukan kepada yang tidak meragukan”.

(Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)

Berkata Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah (Hukum-Hakam Pemerintahan) dalam bab berkenaan al-Hisbah (Tugas menjalan amar makruf nahi munkar); “Jika orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas amar makruf nahi munkar (yakni al-Muhtasib) telah melihat seorang lelaki bersama seorang wanita di satu jalan yang sunyi, maka kedududukan jalan yang sunyi itu merupakan suatu yang menimbulkan keraguan (terhadap pasangan tersebut), maka hendaklah ia menegah mereka, namun janganlah tergesa-gesa mengenakan hukuman/denda ke atas mereka berdua kerana dibimbangi wanita itu adalah mahramnya. Jika ia dapati wanita itu adalah mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki tersebut; ‘Jagalah wanita kamu itu dari tempat-tempat yang mendatangkan keraguan’. Adapun jika ia mendapati wanita itu bukan mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki itu; ‘Takutlah kepada Allah dari bersunyian (dengan wanita yang bukan mahram) yang akan membawa kamu kepada melakukan maksiat kepada Allah’. Dan cara ia bertindak mencegah perkara tersebut hendaklah bergantung kepada tanda-tanda yang dilihatnya”. (Halaman 376)

Jika berada di satu jalan yang sunyi sudah dianggap meragukan, maka bagaimana jika seorang lelaki dan wanita yang diketahui bukan muhrim dilihat oleh orang yang mengenali mereka telah menyewa bilik yang sama, tidakkah itu lebih meragukan? Adakah hal sedemikian perlu dibiarkan dengan alasan menjaga hak peribadi?

(2) Terdapat kenyataan beliau di dalam akhbar tersebut; “Islam tidak menggalakkan manusia untuk pergi mendedahkan perbuatan maksiat”.

Penjelasan; Sememangnya Islam tidak menggalakkan pendedahan maksiat, namun harus diingat bahawa Islam juga mewajibkan maksiat dicegah apabila ia berlaku atau diketahui akan berlaku. Pencegahan terhadap munkar menjadi tanggungjawab yang amat besar di dalam Islam. Ini dibukti dengan banyaknya ayat di dalam al-Quran yang mewajibkan umat Islam melaksanakan tugas al-Amru Bil-Makruf Wa an-Nahyu ‘Anil-Munkar (Mengajak kepada makruf dan mencegah dari Munkar). Mengikut banciannya, sebanyak sembilan kali perintah tersebut diulang oleh Allah di dalam al-Quran.

Apabila dua orang yang bukan mahram dilihat atau diketahui berada dalam satu bilik yang tertutup, adakah mereka tidak perlu diselidiki atau dicegah dengan alasan Islam tidak membenarkan pendedahan maksiat atau munkar? Apakah apabila telah berlakunya zina dan perempuan yang terlibat dilihat mengandungkan anak haram, ketika itu barulah pencegahan boleh dibuat?

Kita meyakini bahawa para pegawai agama yang menjalankan operasi pencegahan maksiat, niat dan tujuan mereka pergi ke sarang maksiat atau ke tempat-tempat yang dikhuatiri berlaku maksiat bukan untuk mendedah maksiat tetapi untuk menyelidik dan melakukan pencegahan jika didapati maksiat/munkar benar-benar berlaku. Tugas ini menepati peranan Hisbah yang telah lama dihuraikan oleh ulamak-ulamak Islam dalam kitab-kitab karangan mereka. Malah menurut ulamak, peranan Hisbah ini merupakan salah satu cabang tugas atau tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan Islam. Huraian lebih terperinci tentang Hisbah ini akan kita kemukakan di depan nanti.

(3) Antara kenyataan beliau dalam akhbar tersebut; “Prinsip amr makruf nahi munkar hanya boleh dilaksanakan apabila sesuatu perbuatan maksiat dan jenayah dilakukan secara terbuka”.

Penjelasan; Kenyataan tersebut pada amnya benar, namun ia memerlukan penjelasan lanjut untuk mengelak kekeliruan.

Dalam Sistem Pemerintahan Islam terdapat satu jawatan khusus yang dinamakan al-Hisbah. Orang yang menjawatnya dinamakan dengan al-Muhtasib. Jawatan Hisbah tersebut berperanan secara rasmi bagi menangani tugas dalam negara untuk mengajak orang ramai kepada makruf (melaksana perintah Allah) dan mencegah munkar dan maksiat.

Menurut ulamak, antaranya Imam al-Mawardi; Al-Muhtasib (orang yang menjawat jawatan Hisbah tersebut) hendaklah benar-benar menjalankan peranannya tersebut. Tidak harus ia meninggalkan peranan tersebut kerana urusan-urusan yang lain. Atas dirinya tugas amar makruf nahi munkar adalah fardhu ‘ain yang tidak boleh diabaikannya. Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa betapa pentingnya tugas amar makruf dan nahi munkar dalam sebuah negara dan masyarakat Islam pada pandangan ulamak. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 363)

Dalam hal berkaitan dengan perbahasan kita, Imam al-Mawardi menjelaskan; “Harus al-Muhtasib untuk menyelidik kemungkaran-kemungkaran yang diketahui secara zahir dengan tujuan untuk mencegahnya dan juga menyemak jika ada perkara makruf (perintah Allah) yang diabaikan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai melaksanakannya…”.

Sememangnya munkar yang menjadi tanggungjawab al-Muhtasib menurut ulamak ialah munkar yang dzahir. Lebih jelas, para ulamak meletakkan tiga syarat bagi munkar yang hendak dicegah oleh al-Muhtasib;

a) Munkar itu adalah munkar yang zahir.

b) Munkar itu ialah munkar yang sedang berlaku atau dikhuatiri berlaku, yakni bukan munkar yang telah berlalu (kerana munkar yang telah berlalu menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengenakan hukuman).

c) Munkar itu bukanlah yang diiktilafkan terhadap hukum munkarnya.

Namun demikian, perlu difahami bahawa syarat pertama (iaitu “Hendaklah munkar itu zahir”), bukan bermaksud hanya munkar yang berlaku terang-terangan atau di depan mata sahaja yang perlu diselidiki dan dicegah. Secara tepatnya, syarat tersebut bermaksud; “Hendaklah munkar itu terdedah kepada al-Muhtasib atau sampai ke pengetahuannya, bukan melalui intipannya”. Menurut penjelasan Dr. Abdul-Karim Zaidan; “Termasuk dalam pengertian munkar yang zahir (nyata) ialah mana-mana tempat yang dirasai oleh al-Muhtasib dengan sangkaan yang ghalib bahawa terjadi munkar di situ, maka wajib atasnya untuk keluar ke tempat tersebut dan melakukan pemeriksaan serta pencegahan. Tidak harus ia mengabaikan perkara tersebut dengan duduk di rumahnya dengan alasan munkar itu belum berlaku atau belum diketahui…”. (Usul ad-Dakwah, hlm. 190).

Berhubung dengan hukum melakukan intipan oleh al-Muhtasib, menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah; larangan-larangan Allah (maksiat atau munkar) yang tidak zahir (yakni yang tidak terdedah atau tidak sampai ke pengetahuan al-Muhtasib), tidak harus ia membuat intipan terhadapnya.

Oleh demikian, tidak harus al-Muhtasib mengintai-ngintai ke dalam rumah seseorang untuk melihat ada berlaku munkar atau tidak.

Namun dalam pada itu, beliau (yakni Imam al-Mawardi) menegaskan; jika al-Muhtasib merasai dengan sangkaan yang ghalib bahawa ada kumpulan atau pasangan sedang merancang secara rahsia untuk melakukan munkar berdasarkan tanda-tanda atau kesan-kesan yang dapat dilihat atau menjadi petunjuk, maka dalam hal ini, hendaklah diperhatikan jenis munkar tersebut;

Pertama; Munkar dari jenis yang boleh membawa kepada rosaknya kehormatan jika dibiarkan seperti pembunuhan atau penzinaan. Contohnya; al-Muhtasib telah diberi tahu oleh seorang yang siqah (dapat dipercayai) bahawa seorang lelaki sedang bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahram) untuk berzina dengannya. Dalam kes ini menurut Imam al-Mawardi, harus al-Muhtasib membuat intipan dan melakukan tinjauan atau siasatan.

Kedua; Munkar dari jenis yang tidak sampai pada tahap tersebut, maka tidaklah harus dilakukan intipan oleh al-Muhtasib.

(Rujuk; Halaman 379-380)

Itu adalah ulasan Imam al-Mawardi tentang munkar yang berlaku secara tertutup. Adapun munkar atau maksiat yang dilakukan di tempat terbuka (di taman, di tepi jalan, tempat-tempat reakreasi dan sebagainya), apa yang dapat kita fahami dari tulisan beliau dalam kitab tersebut ialah; munkar-munkar yang berlaku secara terang-terangan tidak harus dibiarkan sama sekali. Menjadi kewajipan al-Muhtasib (atau pegawai agama yang bertangjawab hari ini) untuk melakukan tindakan mencegahnya sama ada dengan amaran atau disusuli dengan denda/hukuman jika perlu. Malah beliau menyebutkan; “Jika seorang lelaki terang-terangan meminum arak di khalayak ramai, jika ia seorang muslim, maka hendaklah dicurahkan araknya dan dikenakan hukuman ke atasnya. Jika ia seorang kafir zimmi, hendaklah didenda atas kesalahan meminum arak secara terang-terangan (bukan atas kesalahaan meminumnya)”. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 377).

Wallahu-a’lam

Sumber: Laman Soal Jawab Agama

12/10/2014 Posted by | Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Kutip dan bayar cukai itu haram…..???

“Isk! Haram! Dalam Islam, mana ada cukai…”

 

Demikianlah mungkin gambaran kasar mengenai kefahaman umum umat Islam terhadap cukai. Benarkah demikian? Apakah status sebenar cukai di sisi Islam? Apakah dalam Islam memang tiada system cukai yang diaplikasikan? Apakah pada zaman dahulu, khususnya zaman Rasulullah SAW dan khulafak ar-Rasyidin memang tiada perlaksanaan sebarang system percukaian ini?

 

Hakikatnya, isu ini sering menjadi bahan perdebatan yang agak panas dalam kalangan masyarakat awam, justeru umumnya umat Islam memang menyatakan bahawa Islam memang tidak meraikan cukai untuk dikenakan ke atas orang-orang Islam. Pandangan ini bukanlah sebuah omongan kosong, justeru memang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW, misalnya sebuah hadis daripada Imam Ahmad di dalam musnadnya yang menyatakan: “Pengutip cukai berada di dalam neraka.”

 

Mafhum daripada hadis ini, menurut fuqaha jelas mengindikasi dan menunjukkan bahawa cukai itu adalah HARAM hukumnya di sisi Islam, kerana hanya dengan melakukan perkara yang haram sahajalah maka seseorang itu boleh terjebak ke dalam neraka. Maka, pastilah mengutip dan membayar cukai adalah haram di sisi Islam.

 

DEFINISI CUKAI

 

Cukai disebut dalam bahasa arab antaranya dharibah, yang pada asasnya bermakna ‘beban’ atau ‘yang ditimpakan.’ Allah SWT menyatakan kalimah ini pada ayat 61 surah al-Baqarah yang maksudnya: “Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.”

 

Dalam definisi yang dikehendaki oleh pemakaian sehari-hari: “Bayaran (bea, sumbangan) yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang perseorangan (perbadanan, syarikat, barang-barang, dll) utk perbelanjaan negara dll.” (Kamus Dewan Edisi 4)

 

Mudahnya cukai bermaksud: ‘Sejumlah bayaran yang perlu diserahkan kepada pihak kerajaan atas perintah kerajaan untuk kegunaan negara.’

 

BAGAIMANA APLIKASI CUKAI ZAMAN RASULULLAH SAW DAN SAHABAT?

 

Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW telah pun menerima sistem cukai ini, iaitu jizyah (cukai individu) dan kharaj (cukai tanah) yang berbentuk cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang mendapat perlindungan di dalam negara Islam (disebut kafir zimmi). Namun begitu, zaman dahulu segala cukai ini tidak dikenakan kepada orang-orang Islam, sebaliknya ia hanya dikenakan kepada golongan non-muslim, sama ada mereka termasuk golongan kafir zimmi mahu pun mereka yang tunduk kepada kekuasaan Islam.

 

Kenapa demikian? Hal ini kerana, bagi orang Islam sudah ada sistem zakat yang bersifat perintah tetap. Zakat dikenakan kepada orang-orang kaya berdasarkan harta-harta tertentu dengan jumlah atau kadar yang tertentu. Manakala bagi non muslim, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; namun mereka hakikatnya mendapat pelbagai kebaikan kerana berada di dalam naungan Islam. Maka, mereka diminta menunaikan cukai.

 

Cukai-cukai ini sebenarnya, menjadi sebahagian daripada mekanisme menambah pendapatan negara demi kebaikan seluruh rakyat. Zaman dahulu, semua sumber harta yang diperoleh oleh kerajaan akan dimasukkan ke dalam Baitul Mal dan kemudiannya akan diagih-agihkan kembali untuk kegunaan negara. Cukai ini hakikatnya seiring dengan zakat yang dikenakan ke atas umat Islam. Kadarnya juga tidak banyak bezanya dengan zakat (namun ia tidak tetap), yakni tidak sampai membebankan.

 

Di dalam kitab Al-Amwal oleh Abu Ubaid, beliau meriwayatkan daripada az-Zuhri yang mengatakan: “Rasulullah SAW menerima jizyah daripada orang Majusi Bahrain.” Az-Zuhri menambah lagi: “Siapa sahaja di antara mereka yang memeluk Islam, maka keislamannya diterima, dan keselamatan diri dan hartanya akan dilindungi melainkan tanah. Kerana tanah tersebut adalah tanah fai’ (rampasan) bagi kaum muslimin, kerana orang itu tidak menyerah diri sejak awal, sehinggalah dia terlindungi.” Maksudnya sehingga mereka di lindungi oleh kaum Muslimin.

 

BEBERAPA JENIS CUKAI DALAM KERAJAAN ISLAM

 

1. JIZYAH

– Bermakna cukai ke atas individu (atau cukai per orang) bagi setiap individu non-muslim yang mendiami negara Islam. Mulai diperkenalkan semasa nabi SAW masih ada. Penduduk Tabuh pernah membayar jizyah satu dinar seorang pada setiap tahun kepada Rasulullah SAW.

 

2. KHARAJ

– Bermakna cukai ke atas tanah yang dimiliki oleh Negara Islam dan diusahakan oleh non-muslim. Ia juga diperkenalkan semasa Nabi SAW masih ada. Kadarnya sekitar 5 peratus dan boleh berubah mengikut pertimbangan pemerintah.

 

3. USYUR

– Bermaka cukai ke atas kapal-kapal yang dimiliki oleh pedagang non-muslim yang datang berlabuh dan menjalankan perdagangan di Negara Islam. Ia mulai diperkenalkan pada zaman pemerintah Umar al-Khattab RA. Kadarnya pula 10 peratus bagi negara musuh yang berdagang dan 5 peratus bagi kafir zimmi.

 

4. DHARIBAH

– Bermakna sejenis cukai yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada umat Islam yang kaya saat negara berada dalam keadaan gawat (darurat) dan pada ketika itu sumber di Baitul Mal juga sudah kering, hukumnya wajib bagi rakyat menunaikannya. Kadarnya pula ditetapkan oleh pihak kerajaan sesuai dengan keperluan.

 

ADAKAH ZAKAT JUGA SATU BENTUK CUKAI?

 

Zakat adalah rukun Islam. Ia adalah ketetapan yang mutlak (qatie). Cukai pula perkara baharu, ia mendatang sifatnya dan hanya bersifat ijtihadi. Zaman dahulu, umat Islam hanya diwajibkan menunaikan zakat, tidak diwajibkan membayar cukai. Manakala, orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; maka mereka dikenakan cukai.

 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (al-Baqarah: 277)

 

Oleh itu, interaksi umat Islam dan zakat adalah amat intim perkaitannya. Tidak sempurna keislaman seseorang tanpa menerima adanya zakat. Menolak zakat sebagai elemen syariat, membawa kepada kekufuran di sisi Allah SWT. Orang yang kufur atau murtad, wajib kembali kepada Islam, menerima kefarduan zakat dan tunduk patuh kepada hukum-hakam yang telah ditetapkan Allah SWT.

 

Di samping itu, tindakan segelintir manusia yang menyamakan zakat sebagai elemen cukai dalam Islam juga merupakan suatu kesalahan. Zaman silam, seperti mana pernah dikupas di dalam kitab tafsir, ada orang Islam yang telah menyamakan zakat sebagai cukai dan akibatnya mereka dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

 

Maka, keimanan seseorang muslim itu tertakluk kepada keimanannya kepada zakat. Zakat mesti diyakini, difahami dan diamalkan. Tanpa zakat, seluruh keimanannya akan tertolak. Inilah ketinggian zakat di sisi umat Islam.

 

Atas nama menjaga ketinggian itu jugalah, Abu Bakar as-Siddiq pernah bertegas dalam hal ini saat mendepani sikap segelintir umat Islam yang enggan menyerahkan zakat kepadanya setelah kewafatan Rasulullah. Kata Abu Bakar: “Akan aku perangi orang-orang yang enggan menyerahkan zakatnya kepadaku, sebagaimana dahulunya mereka menyerahkan zakat kepada Rasulullah SAW.”

 

APAKAH HUKUM MENGAMBIL CUKAI DARIPADA ORANG ISLAM?

 

Asasnya dalam Islam, mengambil harta mestilah dengan izin, sesuai dengan sabda Nabi SAW di saat haji wada’: “Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

 

Maka, fuqaha menyatakan tidak boleh mengambil harta umat Islam, melainkan di sana adanya satu keperluan yang mendesak sahaja. Itulah yang disebutkan sebagai dharibah di sisi Islam.

 

Fuqaha seperti al-Qurtubi, al-Ghazzali dan al-Suaitibi menyatakan, hanya dharibah yang boleh dikenakan kepada orang Islam, selain daripada itu tidak dibenarkan.

 

BAGAIMANA ZAKAT DAN CUKAI BERINTERAKSI PADA HARI INI?

 

Mutakhir ini, umat Islam di Malaysia dikenakan kedua-duanya, sama ada zakat mahupun cukai pendapatan; juga zakat perniagaan mahu pun cukai perniagaan. Maka, bijaksanalah dalam meraikan kedua-dua keperluan ini. Misalnya, manfaatkanlah rebat cukai pendapatan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan, dengan menunaikan zakat (sama ada zakat harta mahu pun zakat fitrah) dan selepas itu, cukai pendapatan dapat dikurangkan.

 

Manakala bagi para peniaga, potongan masih diberikan walaupun hanya sebatas 2.5 peratus atas pendapatan agregat syarikat yang dizakatkan, namun ia masih memberikan sedikit kelegaan. Mudah-mudahan, pihak kerajaan boleh memikirkan untuk meninggikan lagi jumlah rebat zakat perniagaan ke atas cukai perniagaan, kerana kondisinya agak membebankan umat Islam.

 

Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): Individu muslim yang menunaikan bayaran yang wajib di sisi agama termasuklah zakat fitrah berhak mendapat rebat ke atas setiap pembayaran berkenaan ke atas cukai pendapatannya, dengan mengemukakan resit yang sah yang dikeluarkan oleh badan agama yang sah di sisi undang-undang pada tahun taksiran semasa.

 

Pelarasan PCB – SPG (Pekeliling Kerajaan 1 Jan 2001), kaedah-kaedah Cukai Pendapatan juga wajar dijadikan kesempatan yang bermanfaat untuk umat Islam menangani isu cukai.

 

KESIMPULAN

 

Rasionalnya, zakat tidak boleh dikenakan kepada golongan bukan Islam kerana mereka tidak mempunyai cukup syarat, iaitu mesti beragama Islam untuk menunaikan zakat. Namun, mereka tetap perlu memberikan sumbangan kepada negara melalui jizyah atau kharaj kepada pemerintah negara. Menurut Mohammad Assad di dalam bukunya ‘Islam at the Crossroads’, konsep zakat dan jizyah ini adalah sama, iaitu sebagai sumbangan kepada negara.

 

Perkembangan Negara Islam, khususnya pasca kewafatan Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq, amat memberangsangkan. Umar al-Khattab RA telah berjaya mengembangkan Islam sehingga ke luar perbatasan sempadan tanah Semenanjung Arab, dan menyaksikan banyak juga negara yang menerima ketuanan dan mengiktiraf Islam; tetapi mereka masih enggan memeluk Islam.

 

Maka, lahirlah beberapa jenis cukai lain dan pemerintah Islam meraikan perkembangan itu. Misalnya, cukai usyur telah diperkenalkan bagi mengutip cukai ke atas kapal-kapal milik pedagang bukan Islam yang menjalankan perniagaan di Negara Islam. Begitu juga dengan cukai kharaj yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam yang mengerjakan tanah atau pertanian, ia semakin meluas dilaksanakan.

 

Sekali imbas, pemerintah Islam yang bersifat adil itu mengenakan segala jenis cukai ini bukanlah dengan maksud untuk menekan golongan bukan Islam; sebaliknya untuk mengiktiraf sumbangan mereka dan pada masa yang sama, agar wujud keadilan di antara orang-orang Islam dan non-Muslim di dalam bernegara.

 

Cukai jizyah boleh dianggap seperti zakat pendapatan ke atas muslim, cukai usyur pula seperti zakat perniagaan dan cukai kharaj pula seakan-akan zakat pertanian. Mungkin dari aspek kadar yang dikenakan ada sedikit perbezaan; namun ia masih tidak membebankan.

 

Yang jelas, legasi dan kemampuan zakat ke atas umat Islam dan cukai kepada non-muslim dalam menjana negara dan umat sudah terbukti dalam lipatan sejarah Islam. Ia menjadi alat terpenting di dalam pembinaan sebuah negara, seperti mana kemakmuran Madinah dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman Turki Uthmaniyyah ribuan tahun lamanya.

 

Oleh: USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID

 

*Artikel ini telah dibentangkan di Persidangan Zakat dan Cukai Kebangsaan, anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), pada 31 Disember 2013, Kuala Lumpur.

12/10/2014 Posted by | Fiqh, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized | 3 Comments

   

%d bloggers like this: