Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Apakah kedudukan wanita yang menghadapi darah istihadhah pada hukum Syarak?

Mereka adalah seperti wanita yang suci kerana darah yang keluar dari faraj mereka tidak dianggap oleh Syarak sebagai darah haid, tetapi darah penyakit atau istihadhah. Kerana itu, mereka wajib menunaikan solat dan berpuasa serta diharuskan bagi mereka perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang haid (yakni tawaf, sujud, membaca al-Quran, I’tikaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya).

Oleh demikian, wanita Istihadhah wajib mandi apabila menyedari bahawa hari-hari haidnya telah tamat sekalipun darah masih keluar dari kemaluannya (yakni darah istihadhah). Hukum ini telah menjadi ijmak ulamak berdalilkan arahan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. (yang menghadapi masalah istihadhah); “…..tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”.

Apa maksud darah istihadhah?

Darah istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Darah istihadhah merangkumi;

(1)

a) Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.

b) Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.

c) Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.

d) Darah yang melebihi tempoh maksima nifas.

e) Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie.

f) Darah yang keluar melebihi umur putus haid

Darah istihadhah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil

(2) Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).

(3)Apa caranya untuk membezakan antara darah haid dan darah istihadhah jika seorang wanita menghadapi masalah keluar darah yang berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., ada tiga kaedah untuk ia membezakannya;

1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu.

Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada Wanita yang istihadhah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi s.a.w.;‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi s.a.w. menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat , bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.

2. Dengan melihat kepada perbezaan darah.

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. ).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.

3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita.

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. ).

Adalah wanita yang menghadapi masalah tersebut wajib merujuk kepada ulamak?

Ya, wajib ia merujuk kepada ulamak. Berkata Imam Ibnul-Jauzi dalam kitabnya (Hukum Hakam Wanita); apabila berlaku kepada seorang wanita yang kedatangan haid keadaan-keadaan yang berbeza dengan kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya menceritakan kepada para fuqahak pada setiap apa yang berlaku (untuk mendapat pandangan Syarak serta fatwa). (Halaman 42).

Rujukan:
(1)Wahbah Zuhaili, 1/478.
(2) Al-‘Azil ; menurut kamus al-Marbawi bermaksud urat yang mengalir darinya darah istihadhah.
(3) Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 50.

(Sumber: Hafiz Amri)

Advertisements

6 October 2014 - Posted by | Ibadah | , ,

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: