Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Mujahadah- Pahit yang Awal, Manis di Penghujung

Mujahadah itu amat payah kerana Syurga Allah itu sangat indah. Mujahadah itu pahit pada permulaannya sahaja. Kemanisannya akan dirasai saat kaki sudah bertapak di Syurga Ilahi nanti. (Allahumma Ameen!). Pernahkah kita merasai gula-gula yang pahit pada mula kita menggigitnya, namun, manis bila kita sudah mengunyahnya? Begitulah mujahadah. Hanya pada permulaannya saja, mungkin, kita akan rasa keperitan dan kepahitan. Kerana, Allah mahu menguji, apa benar mujahadah kita kerana-Nya? Sebab itu, Dia datangkan ujian dan cubaan untuk kita, yang bergelar hamba-Nya.

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surah al-Ankabuut : 2)

Bagaimana mungkin kita hanya bergoyang kaki saja di dunia ini, kemudian, mati dan terus boleh masuk Syurga? Andai begitu, senangnya mahu masuk Syurga! Tidak perlu kepada mujahadah dan sebagainya. Namun, hakikatnya adalah sebaliknya. Syurga Allah itu terlalu mahal dan untuk mendapatkan sesuatu yang mahal, perlu kepada pengorbanan yang bersungguh-sungguh. Iaitu, mujahadah!

Andai kita selak kisah cinta dalam lipatan sejarah, pasti kita akan bertemu dengan nama insan-insan hebat yang mana, Syurga menunggu kehadirannya. Bagaimana mereka bertemu dengan kebenaran setelah menentang Islam itu sendiri? Bagaimana hati mereka diketuk dengan sapaan hidayah-Nya, setelah mereka membunuh ramai insan yang tidak berdosa?

Kita ini sering leka dengan maksiat. Kita ini sering terlupa dengan nikmat yang dibuai dunia. Kita ini sering alpa dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Hingga semua itu, menutup mata hati kita untuk melihat dan mengenal cinta Allah yang sebenar.

“Dan barang siapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).” (Surah al-Israa’ : 72)

Biarlah permulaan penghijrahan hidup kita dihiasi dengan ujian, dugaan dan cubaan sepanjang kita menuju ke arah mujahadah kerana-Nya. Asalkan di akhir natijah hidup kita nanti, Syurga Allah yang bakal kita kecapi. InsyaAllah.

Jika kita yakin dan percaya dengan rahmat dan kasih sayang Allah, maka, kita akan dihinggapi rasa ketenangan sentiasa. Tidak ada gundah yang tidak berpenghujung. Tidak ada rasa sedih dan resah yang tidak akan berakhir. Ujian dan dugaan akan terus datang untuk menguji kita. Semua itu hanya akan berakhir bilamana nafas kita di dunia ini juga berakhir.

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk : 2)

Imam Hambali pernah ditanya oleh anaknya, “Ayah, bila kita boleh berehat?”

Maka, jawab Imam Hambali, “Kita hanya akan berehat bila kita benar-benar sudah menjejak ke Syurga”.

MasyaAllah! Jadi, dunia ini adalah tempat untuk kita berpenat! Kerana Syurga adalah tempat rehat kita yang sebenar-benarnya!

Imam al-Ghazali pernah mengatakan bahawa seseorang tidak akan dapat menjadi hamba Allah dengan sebenarnya jika masih mencintai dunia.

Allah s.w.t. mengingatkan kita “dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.” (Surah Al-An’am, 6:32)

Wassalam

Sumber: JAKIM

Advertisements

24 May 2014 - Posted by | Tazkirah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: