Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kau yang Zalim!

AL-asfahani dalam al-Mufradat fi Gharib al-Quran menjelaskan makna zalim dari sudut bahasa dan kebanyakan ilmuwan ialah menetapkan sesuatu bukan pada tempat yang sepatutnya, sama ada dengan mengurangkannya atau membuat penambahan.

Berdasarkan pengertian ini, maka semua perbuatan yang mengundang dosa dan maksiat kepada ALLAH sama ada melakukan perkara yang haram atau meninggalkan perkara yang wajib termasuk dalam perbuatan zalim. Ini kerana dia telah melakukan perkara bukan pada tempat yang ALLAH reda.

ALLAH dengan sifatnya Maha Adil sama sekali tidak akan melakukan kezaliman kepada makhluk ciptaanNya. Namun, manusia itu sendiri yang menzalimi diri sendiri. ALLAH menegaskan: “Sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi manusia sesuatu apa pun, tetapi manusia itu sendirilah yang menzalimi diri mereka sendiri.”. (Surah Yunus: 44).

Dalam hadis qudsi, ALLAH secara jelas menegah diriNya dari sifat zalim. Rasulullah berkata: ALLAH berfirman: “Wahai hambaku, sesungguhnya aku haramkan kezaliman ke atas diriku, dan aku jadikannya haram juga dalam kalangan kamu, maka janganlah kamu berlaku zalim…”. (Riwayat Muslim)

Apabila ALLAH mengharamkan diriNya melakukan kezaliman ke atas hambaNya, maka ALLAH juga mengharamkan manusia melakukan kezaliman ke atas manusia lain. Bahkan ditegaskan supaya berlaku adil dan menegakkan keadilan sesama manusia.

“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. dan bertakwalah kepada ALLAH, Sesungguhnya ALLAH Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: 8)

Secara asasnya, zalim boleh dibahagikan kepada dua jenis: kezaliman yang besar dan kezaliman yang kecil. Kezaliman yang besar ialah apabila seseorang menzalimi dirinya sendiri dengan kufur dan syirik kepada ALLAH.

Kezaliman yang kecil ialah selain daripada perbuatan syirik dan ia boleh dilihat dari dua aspek. Pertama; seseorang itu menzalimi diri sendiri dengan perbuatan maksiat di antara dirinya dengan ALLAH. Kedua; seseorang itu melakukan perbuatan zalim ke atas orang lain dan mencabuli hak-hak mereka.

Syirik adalah kezaliman yang terbesar. Manusia yang syirik dikira melakukan kezaliman kerana dia meletakkan ibadahnya kepada selain dari ALLAH. ALLAH menjelaskan “Sesungguhnya syirik itu kezaliman yang besar”. (Surah Luqman: 13)

Dalam sebuah hadis, Abdullah bin Mas’ud bertanya kepada Rasulullah: Dosa apakah yang paling besar? Rasulullah menjawab: Kamu jadikan sekutu bagi ALLAH, sedangkan Dia yang menciptakan kamu”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dosa kezaliman yang terbesar ini tidak akan diampunkan melainkan dengan taubat nasuha sebelum ajal datang menjelma. Sesiapa yang mati dalam keadaan kufur dan syirik kepada ALLAH, maka dosanya tidak akan diampunkan dan kekal di dalam neraka.

Seseorang yang melakukan maksiat kepada ALLAH, sebenarnya dia terjebak dengan kezaliman yang kecil. Dia menzalimi dirinya sendiri. Namun begitu, peluang yang disediakan baginya untuk kembali memperbetulkan diri sangat luas. Perbanyakan istighfar dan segera bertaubat. ALLAH sedia menanti untuk menerima taubat dan mengampunkan dosa.

Selain itu, kezaliman juga berlaku antara manusia ke atas manusia lain. Kezaliman boleh berlaku dalam dua keadaan sama ada dengan menafikan hak-hak yang sepatutnya mereka berhak perolehi atau melakukan sesuatu yang mendatangkan kesusahan dan  mudarat ke atas diri mereka.

Antara contoh kezaliman ini ialah:

• Kezaliman anak kepada ibu bapa

ALLAH meletakkan perintah taat dan berbuat baik kepada ibu bapa di tempat yang tertinggi selepas perintah tauhid dan ibadat kepada ALLAH. Menderhakai ibu bapa pula adalah dosa besar selepas dosa syirik. “ dan hendaklah kamu beribadat kepada ALLAH dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. (Surah al-Nisa’: 36).

• Kezaliman ibu bapa kepada anak

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan kewajipan ke atas anak-anak. Antaranya ialah kewajipan nafkah, memberi pendidikan terutamanya yang berkaitan urusan agama, mendidik dengan peribadi dan akhlak mulia dan sebagainya. Mana-mana ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab sebenarnya mereka telah berlaku zalim kepada anak-anak.

• Kezaliman suami kepada isteri

Suami wajib menunaikan tanggungjawabnya yang diperintahkan ke atas isterinya. Menyediakan nafkah, tempat tinggal dan pakaian merupakan kewajipan asas yang perlu diambil berat oleh suami. Di samping itu, kewajipan yang lebih besar ialah membimbing dan mengingatkan isteri agar menjadi isteri yang solehah, tidak melakukan perkara yang boleh menjerumuskan dirinya ke neraka. Suami yang membiarkan isterinya melakukan kemaksiatan dan tidak pula ditegurnya, maka itulah dayus yang sebenar. Mana-mana suami yang mengabaikan tanggungjawab ini maka dia telah berlaku zalim kepada isterinya.

•  Kezaliman isteri kepada suami

Kezaliman isteri kepada suami boleh berlaku dalam beberapa keadaan. Antaranya ialah tidak mentaati perintah suami dalam perkara kebaikan dan tidak melanggar syariat. Isteri yang enggan memenuhi keinginan suami untuk melakukan hubungan, tanpa ada sebarang keuzuran, maka dia telah berlaku zalim kepada suaminya. Keluar rumah tanpa izin suami, berkelakuan buruk dengan suami, menyebarkan keaiban suami kepada orang lain, meminta talak dari suami tanpa ada sebab yang diiktiraf oleh syariat.

Ini adalah contoh-contoh bagaimana kezaliman dari isteri ke atas suaminya.

•  Kezaliman ahli ilmu dan pendakwah

Ahli ilmu dan pendakwah sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada masyarakat lain. Tidak sepatutnya mereka ini terjebak dalam kancah kezaliman kerana ianya boleh mencemarkan kredibiliti mereka di mata masyarakat. Namun, amat malang dan menyedihkan apabila ada di kalangan mereka yang terlibat dalam dunia dakwah, turut melakukan kezaliman. Contoh kezaliman yang dilakukan ialah apabila adanya perasaan hasad dengki, cemburu dan iri hati sesama mereka.

Akibatnya ada yang sanggup menyebarkan fitnah, membuka keaiban bahkan ada yang sengaja mencari-cari kesalahan pendakwah atau ahli ilmu yang lain. Selain itu, menyembunyikan fakta kebenaran demi meraih sokongan dan menarik minat masyarakat kepadanya juga merupakan suatu kezaliman. Berdiam diri dengan kemungkaran yang jelas bahkan menyokong pula kemungkaran tersebut adalah kezaliman yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ahli ilmu dan pendakwah.

Inilah sebahagian contoh kezaliman yang melibatkan hak manusia dengan manusia yang lain. Kezaliman juga berlaku daripada pihak pemerintah terhadap rakyatnya. Hak-hak dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat namun dinafikan oleh pihak pemerintah yang berkuasa, maka ini adalah kezaliman. Pemerintah yang dilantik untuk memegang tampuk kekuasaan bukanlah tiket untuk mereka mengaut keuntungan dan mengumpul harta kekayaan dengan melakukan penindasan dan kezaliman. Rakyat diminta untuk berjimat cermat, sedangkan mereka berbelanja bagai tiada had. Rakyat tertekan dan menderita disebabkan kenaikan harga, sedangkan mereka sedikit pun tidak terasa. Bahkan terus sombong dan megah dengan pangkat dan kuasa.

Jika kita terlibat dalam dosa melakukan kezaliman sama ada kezaliman kepada Sang Pencipta atau sesama makhluk ciptaanNya, rebutlah peluang memohon ampun, selagi pintu taubat masih terbuka. Sesungguhnya kezaliman adalah penyesalan di hari akhirat kelak. Biar menyesal di dunia, jangan sampai dibawa ke akhirat sana kerana itulah kerugian yang nyata.

“dan Segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada ALLAH Yang tetap hidup, lagi yang kekal mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman”. (Surah Toha: 111)

ALLAH tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya sedikit pun, tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri. “Sesungguhnya ALLAH tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri”. (Surah Yunus: 44)

Abd Razak Muthalib – Perunding motivasi di RK Training & Management merangkap pensyarah di International Islamic College.

Sumber: Sinar Harian

18/05/2014 - Posted by | Tazkirah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: