Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ungkapan Ketika Nazak: Dua Kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid?


Fatwa Malaysia

ISU:
Ungkapan Ketika Nazak: Dua Kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid?

PENJELASAN:
Terdapat perbincangan ulama berkenaan apakah ungkapan yang dituntut oleh syarak untuk disebut oleh orang yang sedang nazak, agar ia menjadi ungkapan terakhirnya sebelum menemui Allah Taala. Di sana terdapat dua pandangan yang berbeza di kalangan ulama.
Pendapat Pertama:
Yang dituntut ialah mengucapkan Kalimah Tauhid, iaitu لا إله إلا الله
Pendapat Kedua:
Yang dituntut ialah mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, iaitu أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

Perselisihan kepada dua pandangan ini wujud dalam semua mazhab fiqah, di mana setiap mazhab mempunyai perbezaan pandangan dalam isu ini.
Kedua-dua pandangan ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang sama, cuma pentafsiran yang berbeza tentang maksud nas yang menjadi sandaran.

Dalil-dalil yang menjadi sandaran dalam isu ini ialah:
Pertama:
Hadis berkenaan kelebihan menyebut kalimah tauhid sebagai perkataan terakhir sebelum mati, iaitu Hadis Mu’az Bin Jabal, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang akhir perkataannya ialah ‘La IlahaIllallah’ maka dia akan masuk syurga”. (Riwayat Abu Daud, 3/190, no: 3116; dan Al-Hakim, 1/503, no: 1299).

Kedua:
Hadis berkenaan tuntutan supaya dibacakan kalimah tauhid kepada orang yang sedang nazak, iaitu hadis Abu Sa’idal-Khudri, bahawa Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Bacakan kepada orang-orang yang hampir mati: ‘La IlahaIllallah’ (Riwayat Muslim, 2/631, no: 916).

Oleh sebab kedua-dua pandangan adalah bersandarkan kepada dalil-dalil yang sama, maka yang menjadi perbincangan ialah bentuk pendalilan yang dikemukakan oleh kedua-dua pandangan.

(i)Pendapat Pertama: Kalimah Tauhidلا إله إلا الله

Pendapat ini dinisbahkan kepada majoriti ulama. Imam Nawawi mengatakan, “Pengarang (kitab Al-Muhazzab) dan majoriti berpendapat bahawa diucapkan kepada dia (orang yang hampir mati): ‘La IlahaIllallah’. (Al-Majmuk, 5/115).

1-Zahir hadis menunjukkan bahawa yang dimaksudkan ialah bacaan ‘La Ilaha Illallah’ sahaja, dan bukannya dua kalimah syahadah. Ini boleh dilihat daripada semua riwayat-riwayat daripada hadis tersebut, tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebut dua kalimah syahadah.

Imam Nawawi menguatkan pandangan ini dengan hujah zahirhadis dengan katanya, “Maka hendaklah cukup sahaja dengan ungkapan ‘La IlahaIllallah’ kerana zahir hadis. (Al-Majmuk, 5/115).

2-Illah ungkapan tersebut dituntut untuk diucapkan ialah supaya orang yang mati tersebut memperoleh kelebihan menyebut kalimah tersebut sebelum mati, dan bukannya untuk membawanya masuk ke dalam agama Islam kerana dia sudah pun seorang yang beragama Islam.

Imam Nawawi menjelaskannya dengan mengatakan, “Dalil majoriti ialah orang tersebut adalah seorang yang sudah bertauhid..”.(Al-Majmuk, 5/115).

3-Orang yang menyebut ‘La IlahaIllallah’ sahaja sudah pasti dia meyakini dua kalimah syahadah secara sempurna. Justeru adalah mencukupi bagi seseorang Muslim yang nazak untuk mengucapkan ‘La IlahaIllallah’ sahaja.

Imam Nawawi menjelaskan hujah ini, “…Maka dengan ucapan ‘La IlahaIllallah’ sudah pasti dia mengiktiraf syahadah yang kedua (Muhammad Rasulullah)”. (Al-Majmuk, 5/115).

Al-Mardawi juga mengatakan, “Ikrarnya (pengiktirafannya) terhadap syahadah yang pertama (iaitu La IlahaIllallah) adalah ikrarnya juga terhadap syahadah kedua (Muhammad Rasulullah).” (Al-Furu’, 3/271).

(ii)Pendapat Kedua: Dua Kalimah Syahadah

Sebahagian ulama berpandangan bahawa diajarkannya ungkapan dua kalimah syahadah kerana hujah-hujah berikut:

1-Tujuan diajarkan ungkapan tersebut ialah bagi memastikan seseorang itu mati dalam Islam. Tetapi kalimah ‘La IlahaIllallah’ sahaja tanpa diiringi dengan ‘Muhammad Rasulullah’ tidak membawa seseorang itu menjadi Islam. Justeru, yang perlu diungkapkan oleh orang yang sedang nazak ialah dua kalimah syahadah.

Imam Nawawi menyebut hujah pandangan ini, “Yang dimaksudkan ialah memperingatkannya berkenaan tauhid, dan ia (tauhid) bergantung pada dua kalimah syahadah”. (Al-Majmuk, 5/115).

Ibn Hajaral-Asqalani pula menghujahkan, “Yang dimaksudkan dengan ‘La IlahaIllallah’ dalam hadis ini dan juga hadis-hadis lain ialah dua kalimah syahadah”. (Fathul Bari, 3/110).

2-Tujuan diajarkan ungkapan tersebut juga ialah untuk menghilangkan was-was apabila diganggu oleh syaitan-syaitan yang akan cuba untuk menghasut supaya mati dalam keadaan kufur. Maka ungkapan yang boleh menghilangkan was-was adalah dua kalimah syahadah.

Dalam Hasyiyahal-Saawi, “… supaya dengan ungkapan tersebut dapat dihalau syaitan-syaitan yang hadir di sisinya untuk mengajak supaya menukar agama”. (Hasyiyahal-Saawi, 1/562).

3-Dalam syarak, perkataan ‘La IlahaIllallah’ dianggap sebagai satu perkataan yang menunjukkan kepada dua kalimah syahadah.

Ini disebut oleh Ibnal-Munayyir sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Hajar, “Perkataan ‘La IlahaIllallah’ merupakan satu laqab (gelaran) yang diberikan kepada sebutan dua kalimah syahadah, dari sudut syarak”. (Fathul Bari, 3/110).

Justeru, sekalipun dalam hadis menyebut ‘La IlahaIllallah’ sahaja, tetapi maksudnya adalah dua kalimah syahadah, kerana ungkapan ‘Muhammad Rasulullah’ adalah ikutan kepada kalimah tersebut.

Ibn Muflih menjelaskan penghujahan ini, “Sebahagian ulama mengatakan bahawa diajarkan kepadanya dua kalimah syahadah, kerana syahadah kedua (Muhammad Rasulullah) adalah ikutan (kepada yang pertama)”. (Al-Mubdi’, 2/219).
Kesimpulan

Daripada perbahasan hujah kedua-dua pandangan yang disebut di atas, didapati bahawa ia adalah persoalan khilafiyyah. Oleh sebab kedua-dua pandangan adalah bergantung pada dalil yang sama, maka antara elemen yang boleh menentukan ketepatan sesuatu pendapat adalah dengan melihat kepada illah dan hikmah daripada ungkapan tersebut.

Terdapat dua illah yang dikemukakan. Pertama: Illah di sini ialah untuk memastikan seseorang itu mati dalam keadaan Islam. Maka berdasarkan illah ini maka yang wajar diucapkan ialah dua kalimah syahadah. Kedua: Illah di sini ialah untuk mendapat ganjaran dan kelebihan daripada ungkapan tersebut. Maka yang wajar diucapkan ialah sekadar kalimah ‘La IlahaIllallah’ kerana itulah yang warid dalam hadis.

Justeru, kedua-dua pendapat adalah pendapat yang muktabar. Dan bagi meraikan kedua-duanya dan meraikan illah daripada hadis tersebut, maka ungkapan yang wajar diajar kepada orang yang nazak boleh berbeza-beza melihat kepada keadaan orang tersebut.

Jika sekiranya dia seorang Muslim yang secara zahirnya tidak melakukan perkara-perkara berbentuk syirik, maka yang diajar kepadanya ialah ‘La IlahaIllallah’ supaya dia mendapat kelebihan menyebut kalimah tersebut pada akhir hayatnya, dan perbuatan tersebut adalah lebih hampir kepada zahir tuntutan syarak dalam hadis.

Manakala seorang yang dibimbangkan keimanannya ketika hampir mati kerana mungkin pernah terjebak dalam perkara-perkara syirik, maka hendaklah diajarkan kepadanya dua kalimah syahadah, supaya dapat dipastikan bahawa dia mati dalam keadaan Islam.

Wallahu a’lam.

Advertisements

8 April 2014 - Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | ,

1 Comment »

  1. Boleh tak kita mengajar hanya menyebut kalimah Allah….Allah… kerana dikuatiri tidak sempat menghabiskan kalimah laillahaillallah…tkasih ustaz.

    Comment by Zainon mohamad | 17 March 2017 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: