Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

HUDUD: Jangan bercakap ikut andaian logik

Fatwa Malaysia

Pemilik Kuasa Tertinggi

Manusia merupakan makhluk yang memerlukan penghidupan sosial yang kolektif. Manusia tidak mampu hidup bersendirian dalam memenuhi semua keperluan hidupnya kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh sebab itu, semenjak awal kejadian manusia, sudah terbentuk sebuah hidup bermasyarakat, sehingga terbentuk sebuah negara. Antara persoalan penting dalam sesebuah negara ialah, soal kuasa mutlak atau kuasa tertinggi yang diistilahkan sebagai kedaulatan. Kuasa tertinggi tersebut mempunyai peranan penting dalam mencorak undang-undang yang akan digubal dan dilaksanakan dalam sesebuah negara.

Dalam falsafah politik Islam, isu kedaulatan dikemukakan secara jelas iaitu Allah SWT sahaja yang memiliki kuasa tertinggi di dunia dan di akhirat. Allah SWT yang mencipta alam dan segala isinya, memiliki kuasa untuk mengurus dan mentadbir ciptaan-Nya. Kehendak Allah SWT bersifat mutlak dalam mengurus alam ciptaan-Nya. Oleh sebab itu, kehendak Allah SWT wajib ditaati oleh setiap makhluk, termasuk dalam sesebuah masyarakat dan negara. Dia sahaja yang berdaulat dan segala undang-undang yang digubal hendaklah bertepatan dengan kehendak-Nya (Maududi, Sayed Abul A’la, Islamic law and constitution).

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 67 yang bermaksud, "…Kuasa menetapkan sesuatu hukum itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri."

Elak Polemikkan Hukum Hudud

Isu hukuman hudud dan pelaksanaannya sering menjadi topik hangat perbincangan daripada semasa ke semasa. Isu ini ditimbulkan semula apabila sesetengah pihak mengulas isu pelaksanaan hukuman Syariah di Negara Brunei bermula April 2014. Ada sesetengah pihak yang begitu angkuh menyatakan bahawa hudud adalah ciptaan manusia dan terbuka kepada perdebatan.

Harus diingat bahawa isu hukum hudud ini bukan hanya sekadar perbincangan isu politik semasa dan undang-undang semata-mata. Apa yang berlaku di kalangan sebahagian umat Islam ialah mereka sewenang-wenangnya mengeluarkan pendapat yang didakwa bersifat intelektual, tanpa mempedulikan bahawa isu ini mempunyai signifikan yang besar terhadap akidah.

Masyarakat perlu memahami bahawa dalam isu hudud ini terdapat perkara yang bersifat teras kepercayaan dalam Islam (qat’ie) dan ada yang bersifat ijtihad yang menjadi ruang perbahasan dan perdebatan dalam kalangan sarjana (zanni). Allah SWT tidak menghalang hambaNya daripada menggunakan akal untuk menganalisa setiap isu yang berlaku dalam kehidupan, namun analisa tersebut perlulah berasaskan ilmu dan dibahaskan oleh sarjana yang berkelayakan sahaja. Sebagai bandingan, jika dalam sistem undang-undang sivil, ulasan dan penggubalan undang-undang perlu dilakukan oleh sarjana yang berkelayakan, maka adakah dalam isu undang-undang Islam, ia boleh diulas dan digubal oleh sesiapa sahaja, tanpa memerlukan sebarang kelayakan? Perlu juga diingat bahawa hanya pakar jantung sahaja yang boleh merawat pesakit jantung, bukan doktor gigi.

Fahami Prinsip Perundangan Islam

Perintah Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir seisi alam dinyatakan dalam al-Quran dan seterusnya dijelaskan oleh Nabi Muhammad saw dalam Sunnahnya. Untuk memahami perundangan Islam, terdapat tiga aspek yang perlu diberi perhatian dan difahami sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan apa jua pendapat, iaitu Sumber hukum, Kefahaman hukum daripada sumber dan Kaedah pelaksanaan hukum.

Sebagaimana kaedah yang dijelaskan oleh pakar perundangan Islam, sumber hukum dalam perundangan Islam dan kefahaman hukum daripada sumber itu dikategori kepada dua status: iaitu Qat’ie dan Zanni. Al-Quran merupakan sumber Qat’ie iaitu setiap ayat al-Quran wajib diyakini kebenarannya dan sesiapa yang menafikan walau satu huruf daripada al-Quran, maka akan terjejaslah akidah individu berkenaan.

Manakala hadis Nabi SAW dikategori kepada dua: Hadis Mutawatir adalah sumber Qat’ie, dan hadis selainnya adalah sumber Zanni. Hadis dalam kategori sumber Zanni bermaksud, terdapat perbahasan dan perdebatan dalam kalangan pakar perundangan Islam dalam menerima status sesuatu hadis. Islam membenarkan para sarjana menganalisa sumber Zanni, tetapi analisa tersebut wajib berasaskan ilmu yang berautoriti, bukan berasaskan sangkaan semata-mata.

Selanjutnya dalam memahami hukum yang dinyatakan dalam sesuatu sumber; sama ada al-Quran atau sunnah, kefahaman tersebut juga dikategori kepada dua; Qat’ie dan Zanni. Kefahaman Qat’ie bermaksud sumber tersebut menjelaskan maksud hukum yang jelas dan spesifik. Manakala kefahaman Zanni bermaksud terdapat pelbagai interpretasi dalam kalangan sarjana dalam memahami hukum yang dimaksudkan dalam sesuatu sumber (Abu Zahrah, Usul al-Fiqh, hlm. 71)

Manakala elemen ketiga yang wajib diketahui ialah kaedah pelaksanaan hukum yang difahami daripada sesuatu sumber tersebut. Secara umumnya, semua perintah Allah wajib dilaksanakan. Namun bagi melaksanakan sesuatu perintah Allah, para sarjana perundangan Islam diberi ruang untuk berijtihad bagi memilih kaedah terbaik bagi melaksanakan perintah tersebut.

Isu hudud dan pelaksanaannya

Terdapat beberapa jenis jenayah yang dijelaskan hukumannya dalam al-Quran dan Sunnah secara detail. Hukuman dan jenayah ini yang diistilahkan dalam Undang-Undang Jenayah Islam sebagai Hudud dan Qisas. Secara umumnya, hukum melaksanakan perintah Allah SWT berkaitan hukuman kepada sesuatu jenayah adalah wajib. Namun, ruang perbahasan tentang isu ini kembali kepada prinsip qat’ie atau zanni.

Bagi setiap jenayah hudud dan qisas terdapat elemen qat’ie dan zanni. Hanya bagi elemen zanni, Islam memberi ruang untuk perbahasan yang berasaskan ilmu yang berautoriti. Contohnya dalam jenayah zina, sumber hukumnya ialah firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 2 yang bermaksud, "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."

Setiap orang Islam wajib beriman bahawa Allah memerintahkan agar pesalah zina dihukum dengan seratus (100) kali sebatan, ini adalah elemen qat’ie dalam ayat ini. Manakala persoalan lain berkaitan jenayah zina itu, adalah termasuk dalam elemen zanni seperti apakah syarat seseorang penzina itu boleh dijatuhkan hukuman seratus kali sebatan dan bagaimana cara pelaksanaan hukuman sebatan.

Sumber kedua hukum berkaitan jenayah zina ialah hadis mutawatir yang menjelaskan bahawa hukuman penzina muhsan adalah rejam sampai mati. Elemen qat’ie ialah wajib menghukum penzina muhsan dengan rejam sampai mati. Manakala pendetilan tentang syarat muhsan yang membolehkan pesalah zina itu direjam, kaedah pelaksanaan hukuman rejam, dan seumpamanya, adalah termasuk dalam elemen zanni, kerana terdapat pelbagai pendapat sarjana berkaitan dengannya.

Tersasar Tanpa Ilmu

Rata-rata masyarakat pada hari ini, termasuk juga orang bukan Islam begitu berminat berbicara mengenai hukum Hudud. Namun berapa ramai yang bebar-benar memahami hudud dalam konteks Islam yang sebenar. Andaian berdasarkan logik akal semata-mata akan menyesatkan kita. Janganlah disebabkan kedangkalan ilmu, kita sanggup mengungkapkan bahawa "adalah mundur untuk menggunakan pendekatan hudud dalam menangani isu jenayah".

Seluruh umat Islam perlu jelas bahawa isu hukum hudud dan pelaksanaannya ini perlu dilihat daripada aspek qat’ie dan zanni. Elemen qat’ie tidak boleh dipertikai sama sekali, manakala elemen zanni diberikan ruang untuk para sarjana berijtihad kerana Islam menggalakkan manusia menggunakan akal untuk menganalisa ayat al-Quran dan hadis bagi melaksanakan perintah Allah SWT.

Namun sebagai seorang muslim yang meyakini Rukun Iman dan Rukun Islam, mereka yang ingin mengemukakan pendapat berkaitan hukum Allah SWT dan kaedah pelaksanaannya wajib memiliki dan memahami ilmu-ilmu teras berkaitan seperti Ilmu Usul Fiqh dan Fiqh supaya analisa atau kritikan yang dibuat dan disebarkan tidak tersasar daripada Ajaran Islam yang sebenar dan seterusnya menyesatkan orang lain.

Wallahu a’lam

Sumber:

Oleh:
Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Felo Fatwa

Advertisements

8 April 2014 - Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: