Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Denda Lewat Bayar Di Bank Islam Riba?

Denda Lambat Bayar Di Bank Islam Macam Konvensional?

Soalan :

Bolehkah ustaz jelaskan adakah apabila kita mengmbil pembiayaan secara islam dari bank-bank Islam, kemudian kita terlewat bayar kita dikenakan denda juga ? adakah ini tidak dikira Riba? Tolong jelaskan dengan sejelas-jelasnya. Dan jika ada cara tertentu, siapakah yang memantau pembahagiannya?

Jawapan

Telah saya sebutkan di web saya in juga dahulu  bahawa di dalam praktis perbankan Islam yang mengenakan sejumlah wang sebagai denda itu sebenarnya adalah di anggap bayaran kos rugi (ta’widh atau ‘compensation’) yang dihadapi oleh Bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dijanjikan, pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh Bank-bank Islam dengan penalti oleh Bank Konvensional.

Ganti rugi atau compensation yang di kenakan oleh Bank Islam adalah terhasil dari proses jual beli dengan byaraan ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti Bank Konvensional adalah hasil dari kontrak pinjaman semata-mata.

Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Bin Mani’, Majlis Penasihat Shariah Bank islam Jordan, dan Fatwa Persidangan dallah Al-Barakah (Dr. Muhyidin Al-Qurra Daghi, Musykilat ad-Duyun al-Mutaakhirat, International Shariah Dialogue, BNM, 8 Nov 2006),

Menurut mereka keharusan ini berdasarkan ‘Maslahat Mursalat’ dan tindakan mengenakan gantirugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun diketika mempunyai wang, ia dinamakan MUMATIL yang disebut oleh Nabi SAW :

مطل الغني ظلم

Ertinya : "Penangguhan sengaja (dari membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu Kezaliman" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2167, 2/799 )

Justeru, di ketika zaman lemahnya amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan menyekat mudarata besar kepada dari berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, maka apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta’widh (gantirugi) akan dikenakan.

Sebahagian ulama mengharuskan jumlah gantirugi ini digunakan oleh Bank dengan syarat ianya adalah jumlah sebenar kerugian. Sebarang wang lebih dari kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank-bank Islam. 

Manakala sebahagian besar ulama lain berpendapat bahawa ta’widh yang dikenakan oleh Bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan Bank Islam, malah mestilah di agihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh kebanyakan Bank-bank Islam di Malaysia seperti Asian Finance Bank Berhad, Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan RHB Islamic Bank Berhad. Saya hanya menyebut nama-nama ini sahaja adalah kerana ini saya tidak mengetahui kaedah yang digunakan oleh bank-bank Islam lain.

Bagi bank-bank Islam yang saya sebutkan namanya ini, mereka lebih cernderung untuk menuruti keputusan majoriti  ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Konsep yang digunakan adalah konsep sedeqahkan duit (ta’widh = compensation) kepada faqir miskin adalah dibuat atas konsep Iltizam at-tabarru’ yang disebut di dalam kitab Fiqh Mazhab Maliki.

Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya  kepada bank dalam waktu yang telah dipersetujui. Ia berjanji akan bersedeqah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa buah bank-bank Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak menghadkan penggunaan wang ta’widh (compensation) kepada faqir miskin sahaja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka. Perkara ini mungkin telah disahkan harus oleh majlis penasihat Shariah masing-masing. Justeru, ia telah selesai dengan ijtihad majlis Penasihat masing-masing.

Berkenaan pertanyaan ‘siapa yang memantau’

Jawabnya, di kebanyakan Bank-bank Islam, Jabatan Shariah dan Majlis Penasihat Shariah yang akan memantau, malah keputusan Majlis Penasihat Shariah juga ,mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul dari ta’widh akan terus masuk ke akaun khas ‘charity’ sebagai contoh. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada ‘charity’ kecuali setelah disahkan layak oleh Majlis Penasihat Shariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian. Inilah yang dilakukan di Asian Finance Bank ( Qatar Islamic Bank Malaysia).

Kesimpulannya, isu ini dibawa ke persidangan Fiqh Malaysia dan Sedunia, keputusannya bagi menyekat kecuaian sengaja ini, maka diharuskan mengenakan denda ta’widh dengan syarat ianya hanya 1 % sahaja, ia tidak bersifdat ‘compounding’. Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh Bank konvensional adalah compounding (ertinya) penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman dan jika kena penalti lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal + penalti. Ini lah zalim dan amat menindas.

Sekian

Sumber: Ust Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

03/03/2014 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , | Leave a comment

Benarkah Bank Islam ini Islam?

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Soalan Pertama :

Saya ada mendengar ada pandangan yang mengatakan Bank-bank Islam hari ini tidak dijalankan secara Islam dengan tepat. Adakah ianya benar ? dan apakah proses yang dilakukan di bank-bank Islam bagi memastikan produknya benar-benar bertepatan dengan kehendak Islam?

-Ingin Tahu-

Jawapan ;

Menurut pengamatan dan pengalaman saya di dalam operasi perbankan Islam, boleh saya katakan tanggapan si penanya ada benarnya dan ada salahnya. Ikhlas saya katakan, ianya tertakluk kepada kesungguhan tiga pihak (paling kurang) dalam memastikan pelaksanaan dan operasi dilaksanakan bertepatan dengan Shariah. Tiga pihak tadi adalah :-

1) Ketua Pegawai Operasi (CEO) sesebuah Bank Islam itu.

2) Majlis Penasihat Shariah Bank (Luaran).

3) Pegawai Shariah Dalaman.

Ketiga-tiga pihak ini perlulah menjadi individu yang bersungguh-sungguh untuk menjaga konsep-konsep Shariah dalam operasi, tanpa kesungguhan mereka, memang mudah pelaksanaan perbankan Islam tersasar dari prinsip Shariah tanpa di sedari dan terjadilah apa yang didakwa tadi.

Bagi maklumat pembaca, antara proses biasa yang dijalankan atau mesti dijalankan dalam Bank-bank Islam dan bahagian Islam (di dalam bank konvensional terdapat Islamic Division yang menwarakan produk Islam) bagi memastikan sesuatu produk dan operasinya berjalan mengikut kehendak Shariah, perkara berikut akan dilakukan:-

1) Pegawai Shariah dalaman (yang sepatutnya mempunyai latar belakang kepakaran Shariah secara rasmi) akan melakukan semakan awal konsep Shariah yang digunakan dalam sesuatu produk. Ia akan meyemak samada rukun dan syarat sesuatu konsep dijaga dalam produk yang ingin di tawarkan. Selain itu, memastikan “diagrammatic flow” adalah sah menurut Shariah. Semua standard kontrak juga perlu disemak dengan terperinci oleh pegawai Shariah dalaman, kadangkala ia memerlukan perbincangan dengan para peguam bagi memastikan sebarang keperluan pindaan Shariah boleh “fit” atau menepati peruntukan undang-undang Malaysia. Jika tidak, penyelesaian akan dicari bagi memenuhi kehendak Shariah dan Undang-undang Malaysia. Jelasnya, ia bukanlah sebuah kerja yang mudah. Justeru, kekuatan, kepekaan dan kelayakan Shariah pegawai Shariah dalaman juga akan menentukan kebersihan pelaksanaan sesebuah Bank Islam.

2) Hasil semakan dan nasihat pegawai Shariah dalaman bersama pegawai Bank yang lain, kemudiannya akan dibawa ke perbincangan rasmi dengan Majlis Penasihat Shariah Luaran. Pembentangan yang komprehsenfi tanpa sebarang selindung perlu dilakukan. Isi kandungan Kontrak, borang, “diagrammatic flow” transaksi dan lain-lain akan dibincangkan dengan lebih teliti. Proses ini memerlukan ketelusan pegawai Bank dalam mendedahkan semua proses kepada Penasihat Shariah. Justeru, pegawai Shariah dalaman mestilah memahami dan menentukan semua pembentangan adalah telus tanpa selindung atau merekalah yang bakal menanggungnya di akhirat. Kebiasaanya, penasihat Shariah luaran sesebuah Bank akan bergantung penuh kepada maklumat yang diberikan oleh pegawai bank, sebarang kesilapan maklumat atau ketidakfahaman penasihat Shariah terhadap maklumat yang diberikan pasti menghasilkan fatwa yang silap juga.

3) Hasil keputusan akan di bawa ke Lembaga Pengarah Bank untuk pemakluman sebelum ditawarkan kepada pelanggan ( jika ia produk yang telah diluluskan oleh Bank Negara), bagaimanapun jika ia produk baru yang belum di masukkan di dalam senarai Produk lulus di Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan Bank Negara Malaysia, Ia perlu di bawa ke Bank Negara terlebih dahulu untuk kelulusan.

4) Setelah diluluskan, suatu program latihan “training” dan penerangan tentang konsep dan pelaksanaan produk ini akan dibuat untuk para pegawai perbankan Islam yang akan terlibat dalam pemasaran dan pelanggan secara langsung. Proses ini nampak mudah, tapi ia adalah sukar kerana kebanyakan pegawai di bank-bank Islam, dahulunya bekerja di Bank Konvensional juga serta kurang pengetahuan tentang konsep-konsep Shariah. Kerana itulah tidak hairan jika terdapat rungutan orang awam yang mengatakan Bank Islam tidak Islam, ia adalah kerana pegawai yang bertemu dengan pelanggan tidak faham konsep produk yang ditawarkan lalu membuat penerangan yang salah. Padahal semua produk, kontrak dan transaksinya telah di semak dan diluluskan oleh penasihat Shariah.

Itulah secara ringkas, proses pemastian sesebuah produk pembiayaan menepati Shariah atau tidak. Adapun dalam hal pelaburan wang simpanan dan wang pelaburan pelanggan menurut konsep “Mudarabah”, Urusan tapisan syarikat yang ingin di labor akan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana “client-friendly”, iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau “transparent” dengan “client”. Sebelum melabur dalam sesuatu syaraikat atau membiayai projek sesuatu syariakt menggunakan wang pelaburan pelanggan, pihak Bank akan membuat penilaian dari sudut “asset” mahupun “lialibilities” sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan “filter” Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-

i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)

ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai “impure interest income” berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )

Demikian secara ringkas, manakala halangan-halangan yang ditempuhi oleh Bank-bank Islam dan perbankan Islam dalam memastikan semua operasi dan pelaksanaan berjalan mengikut kehendak Shariah adalah seperti berikut :-

a- Halangan Kefahaman Individu :

Ketidakfahaman terhadap konsep dan pelaksanaan perbankan Islam menyukarkan pengamal Perbankan Islam untuk terus maju ke hadapan dan menyempurnakan ketapatan pelaksanaanya. Individu yang dimaksudkan di sini adalah :-

· Pegawai dan Kakitangan Perbankan Islam sendiri ( Islamic Bankers) ; Masih ramai kakitangan Bank-bank Islam sendiri belum cukup faham perbezaan antara bank Islam dan Konvensional. Ini berlaku kerana kebanyakan kakitangan ini datang dari industri perbankan konvensional, justeru proses memberikan ilmu sebenar kepada mereka ini memerlukan suatu usaha yang sedikit panjang dan bersungguh.

· Peguam dan Hakim ; Para peguam bertanggung jawab menyediakan dokumen-dokumen seperti kontrak dan lain-lain, ketidakfahaman mereka sudah pasti amat menyukarkan pelaksanaan perbankan Islam di kalangan masyarakat. Hakim pula akan membuat keputusan kiranya ada pihak yang mengheret Bank-Bank Islam ke Mahkamah, maka adalah malang kiranya pihak Hakim sendiri kurang faham tentang proses perbankan Islam.

· Pelanggan Dan Penjual ; Terlampau ramai pelanggan, ‘car dealer’ dan ‘home developer’ yang masih tidak faham perbezaan antara kedua industri perbankan ini, ini menyebabkan ramai di antara mereka kerap menyamakan perbankan islam dengan konvensional, justeru apabila bank-bank Islam mengenakan banyak dokumen dan ditandatangani, ramai pula yang merungut dan akhirnya menjauhkan diri dari bank Islam.

b- Halangan Undang-undang sedia ada

Terdapat juga undang-undang yang menyekat kelancaran perlaksanaan konsep-konsep Islam dalam produk perbankan Islam, contohnya; “Rules of the High Court, 1980” (yang mana tidak melindungi kepentingan dan keperluan perbankan Islam) dan begitu juga dengan beberapa klausa yang terkandung di dalam Kanun Tanah Negara “National Land Code”.

Oleh yang demikian, masyarakat perlu memahami bahawa dalam keadan-keadan tertentu, contohnya dengan wujudnya batasan undang-undang seperti ini maka ia adalah suatu perkara yand berada di luar bidang kuasa dan kapasiti bank-bank Islam untuk bertindak, apatah lagi meneruskan usaha pengalikasian konsep perbankan Islam secara menyeluruh.

c- Halangan Kekuatan Asset ;

Dari segi kekuatan aset dan kewangan, status aset-aset dan kewangan bank-bank Islam adalah masih baru dan berada di peringkat permulaan berbanding bank-bank konvensional yang telah lama bertapak dalam dunia perbankan. Ini sedikit sebanyak membataskan keupayaan bank-bank Islam untuk mengusahakan sendiri perkara-perkara tertentu seperti mempunyai gudang simpanan kereta sendiri sebelum kereta-kereta dapat dijual kepda pelanggan, atau mempunyai pekerja khas yang ditugaskan sepenuhnya untuk menangani sesuatu urusan Musyarakah dengan pelanggan.

Harapnya penerangan di atas dapat difahami sebaiknya oleh rakyat Malaysia, terutamanya individu Islam. Maka keluarkanlah diri anda dari semua jenis urusan kewangan dengan perbankan konvensional yang diharamkan secara putus oleh Islam kerana ribanya.

03/03/2014 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Ilmu Hadis ?

Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bila timbul isu anti hadis, maka timbullah minat masyarakat untuk mengetahui ilmu tentang hadis. Mamahami ilmu hadis, membolehkan kita beramal dengan hadis yang sahih, menolak tuduhan golongan anti hadis dan dapat mengetahui unsur-unsur israilliat dalam pentafsiran Al-Quran.

Apakah pengertian Hadis? Hadis ialah perkataan, perbuatan, perkhabaran, taqrir dan sifat yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Diantara fungsi hadis ialah mengukuhkan hukum yang telah ditentukan di dalam Al-Quran, mentafsir ayat Al-Quran yang mujmal, mentaqyidkan ayat Al-Quran yang mutlak, mentakhsiskan ayat Al-Quran yang umum dan menetapkan hukum yang tiada dalam Al-Quran. Terdapat begitu banyak pembahagian hadis dan jenis-jenisnya, antaranya ;

1. Apakah makna Hadis Qudsi ? Ialah sesuatu yang dikhabarkan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w melalui ilham atau mimpi kemudian baginda menyampaikan dengan menggunakan perkataan baginda sendiri. Contoh :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” قَالَ اللَّهُ: أَنْفِقْ يَا ابْنَ آدَمَ، أُنْفِقْ عَلَيْكَ

Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda, “Allah SWT berfirman, berinfaklah wahai anak adam, (jika kamu berbuat demikian) Aku memberi infak kepada kalian."

(HR : Bukhari dan Muslim)

2. Hadis Mutawatir ialah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh ramai sahabat. Diantara syarat-syarat Hadis Mutawatir ialah diriwayatkan oleh perawi yang ramai yang mencapai satu tahap mustahil untuk mendustakan hadis Rasullah s.a.w. Jumlah perawi seimbang pada setiap peringkat dan hadis diterima melalui pendengaran dan penglihatan. Maka, kita wajib beriman dengan Hadis Mutawatir dan menolaknya adalah jatuh kafir @ kufur.

3. Hadis Ahad pula ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi atau dua orang atau lebih yang tidak memenuhi syarat-syarat Hadis Mutawatir. Hukum beramal dengan Hadis Ahad ialah wajib beramal dan berhujah pada setiap Hadis Ahad tetapi tidak kufur sesiapa yang menolaknya.

4. Masih ada lagi jenis hadis seperti Hadis Aziz, Hadis Gharib dan Hadis Masyhur. Hadis Aziz ialah suatu hadis yang diriwayatkan oleh dua orang perawi pada setiap peringkat manakala Hadis Gharib ialah suatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi pada mana-mana peringkat sanad. Hadis Mashyur pula ialah hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang perawi @ lebih pada setiap peringkat tetapi tidak sampai had dan tahap Hadis Mutawatir.

5. Bagaimana pula dengan Hadis Sahih, Hadis Hasan dan Hadis Dhaif ? Hadis menjadi Hadis Sahih sekiranya menepati syarat Hadis Sahih seperti perawi bersifat adil, bersambung sanad, tiada syaz, tiada I’llah dan bersifat dhabit (kuat ingatan). Sekiranya kurang satu daripada syarat-syarat di atas jatuhlah dia sebagai Hadis Hasan. Walaubagaimanapun, kedua-dua martabat hadis ini wajib beriman dengannya dan hadis ini boleh dijadikan hujah. Sifat perawi yang adil adalah islam, baligh, berakal, tidak fasik dan tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah diri.

6. Hadis Dhaif pula merupakan hadis yang lemah. Walaupun begitu, kita dibolehkan untuk beramal dengan Hadis Dhoiif tetapi hadis ini tidak boleh dijadikan hujah dlm menentukan halal dn haram. Cara untuk beramal dengan Hadis Dhaif ialah hadis itu mestilah berkaitan dengan fadhailul amal (fadhilat beramal) sahaja, faktor kedhaifan bersifat sederhana dan mafhum Hadis Dhaif ada pada nas-nas syara’ yang sahih.

7. Hadis Maudhu’ ialah hadis palsu, apa-apa yang direka dan disandarkan kepada Nabi saw atau selainnya dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat baginda tetapi secara dusta.

KESIMPULAN :

Sekurang-kurangnya selepas ini, apabila disebut hadis kita tahu serba sedikit. Bukan semestinya kita wajib ingat semuanya, memahami sudah memadai sebagai seorang yang mengaku Islam.

Wallahu a’lam….

Sumber: Ust Hazri Hashim AlBindany‬#

03/03/2014 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: