Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay)

Cicak Tokay

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay) . Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa para fuqaha’ telah mengklasifikasikan Cicak Gekko Geckko (Tokay) sebagai binatang yang haram dimakan kerana tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan (khabis) dan mempunyai racun. Begitu juga dengan uruf masyarakat Islam di Malaysia yang tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan. Selain itu, sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan bahawa Cicak Gekko Geckko (Tokay) mampu menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan Cicak Gekko Geckko (Tokay) adalah diharamkan oleh Islam. Manakala untuk tujuan perubatan, penggunaan Cicak Gekko Geckko (Tokay) diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan dari segi saintifik dan tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkaitan.

20/12/2013 Posted by | Fatwa, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Apakah hukumnya jika surau atau masjid melaungkan azan menggunakan pita rakaman, bukannya melalui muazzin yang melaungkan azan.

Azan

 

Fatwa Malaysia

PENJELASAN:

Azan merupakan salah satu syiar dalam Islam yang disyariatkan sebagai tanda masuk waktu sembahyang fardu. Ia juga adalah satu ibadah kepada Allah Taala yang tidak sah dilakukan kecuali oleh muazzin yang mencukupi syarat-syaratnya.

Justeru para ulama yang membincangkan berkenaan azan menegaskan bahawa tidak sah azan dilaungkan oleh orang bukan Islam atau orang yang tidak siuman kerana tidak mencukupi syarat-syaratnya. Al-Shirazi menyebut:

ولا يصح الأذان إلا من مسلم عاقل فأما الكافر والمجنون فلا يصح أذانهما لأنهما ليسا من أهل العبادات

Maksudnya: “Tidak sah azan kecuali daripada seorang muslim yang berakal. Manakala orang kafir dan gila tidak sah azan mereka, kerana mereka bukan dari kalangan ahli ibadat”. (Al-Muhazzab, 1/111).

Oleh itu laungan azan dengan menggunakan pita rakaman, cakera padat, dan seumpamanya adalah tidak sah dan tidak dikira sebagai azan secara syar’ie. Azan secara syar’ie mestilah dilakukan oleh seseorang mukallaf yang mencukupi syarat-syaratnya.

Beberapa badan fatwa negara Islam dan kesatuan fikah sedunia telah memutuskan bahawa azan melalui pita rakaman dan seumpamanya adalah tidak sah.

Antaranya, Majmak al-Fiqh al-Islamiy (Islamic Fiqh Council) yang bernaung di bawah Muslim World League dalam persidangan ke-9 yang berlangsung di Makkah pada tahun 1406H telah meluluskan resolusi berikut:

أن الاكتفاء بإذاعة الأذان في المساجد عند دخول وقت الصلاة بواسطة آلة التسجيل ونحوها لا يجزئ ولا يجوز في أداء هذه العبادة، ولا يحصل به الأذان المشروع، وأنه يجب على المسلمين مباشرة الأذان لكل وقت من أوقات الصلوات في كل مسجد على ما توارثه المسلمون من عهد نبينا ورسولنا محمد صلى الله علية وسلم إلى الآن.

Maksudnya: “Laungan azan di masjid-masjid ketika masuk waktu solat dengan menggunakan peralatan rakaman adalah tidak memadai, tidak harus dalam menunaikan ibadah ini, dan tidak terhasil azan yang syar’ie. Adalah wajib ke atas orang Islam untuk melakukan azan secara sendiri setiap kali masuk waktu solat di setiap masjid, sebagaimana amalan yang diwarisi oleh umat Islam sejak zaman Nabi dan Rasul kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, hingga sekarang”.

Dalam masalah kanak-kanak lelaki melaungkan azan, maka Mazhab Syafie dan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafiah dan Hanabilah menegaskan azan tersebut adalah tidak sah melainkan dia sudah Mumaiyiz iaitu sekitar usia 11 hingga 12 tahun sebelum baligh. Maka mereka menyimpulkan bahawa kanak-kanak lelaki yang sudah Mumaiyiz boleh melaungkan azan dan sah azannya walaupun yang lebih utama azan tersebut dilaungkan oleh lelaki dewasa.

Namun yang demikian para ulama Malikiyah berpendapat kanak-kanak sama ada yang belum baligh, diharamkan dari melaungkan azan sama ada sudah Mumaiyiz atau tidak (Hashiyah Al-Dasuki 1/344).

Keterangan Jumhur Ulama’ dapat dilihat pada keterangan Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani: “Mereka (ulama’ Hanafiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah) sepakat bahwa azan dari anak yang sudah Tamyiz untuk jemaah dewasa statusnya sah” (Ikhtilaf a’immatil-Ulama 1/94).

Azan oleh kanak-kanak yang belum Mumaiyiz statusnya tidak sah dan wajib diulang walaupun suara kanak-kanak itu seperti orang dewasa dan walaupun dia mempunyai bakat melaungkan azan. Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani menjelaskan:

“Tidak sah azan kanak-kanak yang belum Mumaiyiz, dan laungannya tidak menggugurkan kewajiban azan satu kampung.” (Al-Fiqh ‘Alaa Al-Madzahib Al-Arba’ah, 1/463)

Wallahu A’lam.

 

20/12/2013 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: