Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Karamah

Karamah adalah dari bahasa Arab yang bermaksud kemuliaan atau kemurahan iaitu kemuliaan atau kemurahan yang Allah kurniakan pada hamba-Nya yang bertaqwa, yang bukan bertaraf rasul dan nabi tetapi pada yang bertaraf wali. Ia berlaku pada seseorang itu dengan menyalahi adat kebiasaan, di luar logik akal atau khawariqul ‘adah. Umpamanya dapat rezeki tanpa diduga atau tanpa logik, dapat ilmu tanpa berguru, dapat bantuan-bantuan yang tidak terduga, dapat kasyaf, hatif dan firasat. Ini semua dikatakan karamah.

Apa yang kita sebut tadi semuanya adalah kemuliaan atau kemurahan yang datangnya dari Allah. Siapa yang mahu menafikan bahawa itu semua adalah satu kemuliaan? Memiliki karamah maknanya memiliki beberapa kemuliaan yang Allah kurniakan tanpa diduga, tanpa usaha, tanpa logik dan di luar kebiasaan atau menyalahi adat.

Karamah boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu:

1. Karamah zahir

2. Karamah maknawiah (batiniah)

KARAMAH ZAHIR (KARAMAH LAHIR)

Ia boleh dilihat oleh mata kepala kerana mata mudah melihat dan menilainya. Antara contohnya, dapat berjalan di atas air, dapat terbang di udara, ditikam atau ditembak tidak lut, racun diminum tidak membawa maut, daun dipegang bertukar men-jadi duit, digenggam buah keluar darah, binatang ganas seperti harimau jadi jinak dan jadi khadamnya, boleh melompat ke atas gunung dan ribuan macam bentuk lagi. Untuk mengetahui secara luas, saya cadangkan pada para pembaca membaca buku

Jami’u Karamatil Auliya’

KARAMAH MAKNAWIAH (KARAMAH BATINIAH)

 

Karamah ini hanya pada makna saja, tidak pada rupa. Karamah ini tidak dapat dilihat oleh mata lahir tetapi boleh dirasa adanya dan dinilai oleh mata hati sahaja. Ia lebih baik dari karamah lahir dan lebih berkesan. Contohnya, mudah memerangi hawa nafsu tanpa mujahadah yang bersungguh-sungguh, hati tidak terpaut dengan dunia, mendapat ilmu tanpa belajar (ilmu laduni), lidah masin yakni cakap atau nasihat mudah terkesan di hati orang hingga boleh mengubah jiwa dan sikap seseorang dengan cepat, kasyaf, hatif dan rasa hatinya tepat. Itulah yang dikatakan ilmu firasat. Dalam Hadis, sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan cahaya dari Allah.” (Riwayat Tirmizi dan At Tabrani)

Karamah maknawiah itu juga termasuklah seseorang itu mendapat kasyaf atau dapat melihat alam ghaib, orang lain memberi kasih sayang yang luar biasa padanya, musuh terasa gerun dan memandangnya hebat tanpa dia mengetahuinya, dia istiqamah beramal sama ada amalan fardhu ataupun sunat. Jiwanya juga tenang kerana hatinya kuat dengan Allah dan terlalu sabar waktu diuji. Sama ada dipuji atau dikeji, dia tidak terasa apa-apa. Tanpa mujahadah, baginya tidak ada perbezaan antara pujian dan kejian. Jiwanya teguh serta mempunyai azam yang kuat dalam menegakkan kebenaran. Walau apa pun bentuk ujian yang ditimpakan padanya, ia tidak menggoncangkan sikap dan jiwanya.

Karamah ini diberi mengikut keperluan seseorang, sesuai dengan keadaan semasa dan kepentingannya. Kalau dia seorang abid, ertinya dia bukan seorang pemimpin masyarakat, Allah berikan karamah batin yang bersesuaian dengan watak abidnya itu. Manakala pada seorang pemimpin yang diperlukan oleh umatnya, selalunya Allah kurniakan karamah zahir atau batin sesuai dengan keperluannya pula. Sayidina Abu Huzaifah r.a. adalah seorang ahli abid, bukan pemimpin. Karamah maknawiah yang Allah kurniakan padanya ialah dapat mengetahui sama ada seseorang itu munafik atau tidak. Sebab itu sekiranya ada orang yang meninggal dunia, Sayidina Umar akan melihat sikap Abu Huzaifah terlebih dahulu. Kalau Abu Huzaifah menyembahyangkan jenazah tersebut, maka dia pun akan turut serta.

Begitulah sebaliknya. Ertinya, Sayidina Umar tidak diberi karamah batin sepertimana karamah Abu Huzaifah yang mengetahui orang munafik. Padahal dari segi ilmu lahirnya, siapa yang lebih tinggi darjat dan kemuliaannya antara mereka berdua? Tentulah kelebihannya ada pada Sayidina Umar. Beliau termasuk antara sepuluh Sahabat yang dijamin Syurga oleh Rasulullah, tergolong antara Sahabat yang rapat dengan Rasulullah, yang terawal memeluk Islam, mertua Rasulullah, ahli Badar serta khalifah yang kedua selepas Rasulullah. Kelebihannya juga pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW sendiri, antaranya: “Kalaulah ada nabi selepas aku, tentulah dia Umar bin Al Khattab.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Hakim) Kuatnya iman Sayidina Umar sehingga Rasulullah pernah berkata sekiranya suatu lorong itu pernah dilalui oleh Sayidina Umar, maka syaitan selama-lamanya tidak akan menempuh jalan tersebut. Jika syaitan tempuh jalan itu, ia terasa sakit, menderita dan terseksa. Betapa pulalah kalau ia berjumpa dengan Sayidina Umar. Tentulah lagi dahsyat kesannya.

Itulah antara kelebihan yang ada pada Sayidina Umar. Tetapi pelik, mengapa Sayidina Umar tidak dapat kenal siapa orang yang munafik? Mengapa Abu Huzaifah pula yang dapat karamah itu? Ini kerana Abu Huzaifah lebih kepada watak abid daripada watak pemimpin. Karamah Sayidina Abu Huzaifah kebanyakan untuk dirinya tetapi karamah Sayidina Umar untuk keselamatan masyarakat dan umat yang dipimpinnya. Kalau karamah itu diberi kepada Sayidina Umar, tentu sukar baginya untuk memimpin umat dan meratakan kasih sayang terhadap rakyat yang sedang dididiknya. Akibatnya, tentulah haru-biru masyarakat.

Karamah Sayidina Umar bukan untuk dirinya sahaja tetapi ia ada hubungkait dengan kepentingan masyarakat umum. Pernah berlaku, sewaktu Sayidina Umar berada di Madinah, dia dapat memberikan arahan kepada ketua tenteranya bernama Sariyah di Palestin. Waktu itu Sayidina Umar sedang menyampaikan khutbah dan Tuhan telah perlihatkan kepadanya secara kasyaf tentang keadaan tenteranya yang di dalam bahaya.

Anehnya, Sayidina Umar dapat memberitahu ketua tenteranya, “Hai Sariyah, tolong betulkan kedudukan tentera kamu. Naik di atas bukit kerana di belakang bukit itu ada satu pasukan tentera musuh akan memukul kamu.” Ketua tentera tersebut pula dapat mendengar dengan jelas kata-kata Sayidina Umar itu dan terus membetulkan kedudukan tenteranya. Sedangkan di waktu itu tidak ada telefon, faks atau internet dan lain-lain alat-alat perhubungan teknologi canggih. Tetapi begitulah canggihnya karamah Sayidina Umar ini. Suara taqwanya sudah cukup untuk didengar oleh ketua tenteranya dari jarak 1000 batu tanpa menggunakan apa-apa alat pun. Untuk menyelamatkan umat, Allah beri karamah kepada Sayidina Umar sesuai dengan peranannya sebagai seorang pemimpin yang tugasnya menyelamatkan umat. Allah berikan karamah kepada seorang pemimpin tidak sama dengan karamah yang diberi kepada orang soleh yang membawa dirinya sahaja. Apakah hikmahnya? Karamah itu tujuannya untuk keindahan, bantuan dan keselamatan tetapi kalau menimbulkan kesulitan, ia bukan lagi satu karamah atau kemuliaan. Bahkan dianggap satu penghinaan pula.

Sebagai contoh, katalah ada seorang pemimpin yang berdakwah ke kawasan pedalaman. Dengan izin Allah, dia dikurniakan karamah boleh berjalan atas air. Bila dia sampai di sungai, dia terus meluncur berjalan di atas air. Sedangkan pengikut-pengikutnya tidak. Cuba gambarkan bagaimana dengan keadaan pengikut-pengikutnya yang ikut sama. Tentulah mereka tertinggal di belakang sedangkan pemimpinnya sudah sampai ke seberang. Ini tentulah menjadi bala kepada mereka, bala ditinggal pemimpin. Pengikut tertinggal 3 jam, pemimpin pula terpaksa menunggu 3 jam. Sebab itulah Allah tidak berikan karamah bentuk itu kepada para pemimpin. Contoh lain, katakanlah seorang ketua panglima perang yang membawa bersama-samanya tentera yang terpaksa menempuh gurun, padang pasir dan bukit-bukit serta gunung-ganang. Pemimpin tersebut dapat melompat ke sebelah bukit atau gunung itu tetapi pengikut-pengikutnya tidak. Terpinga-pingalah pengikut-pengikutnya mencari jalan untuk sampai kepada pemimpinnya. Tentulah susah, payah dan makan masa yang lama.

Pemimpin juga dapat bala. Bala menunggu pengikut. Akhirnya sama-sama susah. Walaupun pemimpin tersebut dapat melompat, sampai dulu dalam sekelip mata tetapi terpaksa menunggu anak buah, itu pun satu penyeksaan juga. Adakalanya Allah berikan karamah pada seseorang itu tanpa disedarinya. Kebanyakan mereka itu bukan dikurniakan karamah lahir tetapi karamah maknawiah. Sebab itu sesetengah orang tidak menganggap itu karamah.

Contohnya:

1. Lidah masin

Biasanya dikurniakan kepada seorang pemimpin. Di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat.

2. Kasyaf Karamah ini menjadikan Sayidina Umar nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam itu. Ertinya menyelamatkan umatnya. Banyak lagi karamah-karamah yang dikurniakan pada pemimpin-pemimpin selain daripada Sayidina Umar yang semuanya untuk keindahan, kemudahan dan keselamatan umat.

3. Firasat

Sayidina Umar pernah berkata, “Akan ada nanti dari sulbiku se-orang yang akan memenuhi bumi dengan keadilan dan bertanda di dahinya.” Itulah dia Sayidina Umar Abdul Aziz, cicit Sayidina Umar yang menjadi khalifah dan mujaddid di kurun pertama yang terkenal taqwa dan warak dalam sejarah itu. Pemimpinpemimpin yang mendapat karamah-karamah ini tidak banyak kerana Allah kurniakan hanya pada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka.

4. Ilmu laduni

Iaitu ilmu yang Allah kurniakan pada seseorang yang terus jatuh ke hatinya, tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentelaah dan tanpa berguru. Ianya terus jatuh ke hati dan akhirnya jadi ilmu. Ini biasanya diberikan pada pemimpin-pemimpin yang bertaqwa dan yang warak. Orang yang sayang kepadanya, terlalu sayang hingga hilang pertimbangan. Sebaliknya orang yang benci kepadanya juga terlalu benci sehingga hilang pertimbangan. Hikmahnya, orang yang kasihkannya itulah yang akan jadi kawan untuk membantu perjuangannya. Manakala terhadap orang yang membencinya, dia dapat bersabar dengan mereka. Maka dia akan dapat pahala sabar dari-Nya.

5. Hatif

Iaitu mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin yang soleh, malaikat atau waliyullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira atau berita yang negatif. Tujuannya Allah hendak menghiburkannya. Kalau berita itu berita gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya kalau berita itu duka, juga akan menggembirakannya kerana ia telah tahu terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya dia boleh bersiap sedia menghadapi ujian itu. Atau agar dia dapat mengelak daripada bahaya itu sebagai rahmat dari Allah.

Oleh: Usaha Taqwa

Advertisements

8 September 2013 - Posted by | Aqidah, Tasauf, Tazkirah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: