Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Demonstrasi Yang Diharuskan Oleh Syara’–Satu Pandangan Ilmiah

Jemaah dakwah pun hebat

Tidak di namakan ikut syara’ jika terdapat pada demonstrasi itu pergaulan bebas lelaki,wanita dan pendedahan aurat.


Demonstrasi yang berbentuk menuntut hak, menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan rakyat dalam berhadapan dengan pemerintahan yang zalim yang melakukan kemungkaran adalah diharuskan.

Hal ini berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1- Hukum asal bagi sesuatu perkara (selain dalam konteks ibadah) adalah harus. Kaedah “أن الأصل في الأشياء الإباحة

Demonstrasi adalah dalam konteks urusan dunia, tidak termasuk dalam konteks ibadah, maka hukum asal bagi konteks urusan dunia adalah harus dan terpulang kepada kebijaksanaan manusia dalam menguruskan wasilah yang pelbagai dan sesuai dengan zaman mereka selagimana tidak bertentangan dengan nas-nas yang mengharamkan sesuatu perkara.

Hal ini demikian kerana demonstrasi adalah wasilah kepada sesuatu tujuan yang ingin disampaikan. Maka sekiranya tujuan untuk menuntut hak yang dirampas dan keadilan yang sebanar dengan wasilah demonstrasi secara aman tanpa merancang menimbulkan huru-hara maka ia adalah diharuskan.

Islam memerintahkan umatnya mencegah kemungkaran dan menetang kezaliman. Adapun cara atau wasilahnya berdasarkan kesesuaian tempat, masa dan pihak yang membawa kebenaran. Maka konteks hikmah dan peringatan yang baik adalah berdasarkan kepada kesesuaian realiti dan peringkat serta kemampuan. Maka kita dapat lihat bagaimana setiap zaman para rasul adalah berbeza pendekatan yang dilakukan. Contohnya, Nabi Ibrahim berhujah dengan Namrud, Nabi Musa menggunakan mukjizat dalam berhadapan dengan ahli sihir, Ratu Balqis tertawan dengan pemerintahan yang adil yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman bahkan di zaman Nabi Muhamad SAW terdapat banyak peperangan.

2- Dr Yusuf Al-Qardhawi menerangkan 3 cara apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jelas melakukan kemungkaran, bahkan apabila mencegah sekiranya diam atau rahsia masih tidak berjaya, maka wajib ke atas umat Islam apabila mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencegahnya melalui :

-undian pilihanraya

– kuasa tentera

-kuasa rajyat

Dalam konteks kuasa rakyat adalah termasuk sekali dengan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak bersetuju dengan kemungkaran yang dilakukan oleh pihak pemerintah. – rujuk kitab Fiqh Ad-Daulah, karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi dan artikel MANHAL PMRAM dihttp://www.manhal.pmram.org/2012/04/kewajipan-membebaskan-penjajahan-ke.html

Perbahasan ini adalah merujuk kepada perbahasan mencegah kemungkaran melalui 3 peringkat yang disuruh oleh Nabi SAW dalam sabdanya :

مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسانِه، فَإن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِه، وذلك أَضْعَفُ الإِيْمان

“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran,maka wajib mengubahnya dengan menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”– Muslim

Dan juga Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas RA :

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi. Maka bertanya sahabat : Wahai Rasulullah SAW, aku mengetahui bahawa untuk membantu orang yang dizalimi maka bagaimana cara untuk membantu orang yang zalim? Maka jawab Nabi SAW : menghalangnya atau mencegahnya daripada berterusan melakukan kezaliman maka demikian kamu telah membantunya.” – Bukhari (6438)

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَشْكُو جَارَهُ فَقَالَ « اذْهَبْ فَاصْبِرْ ». فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا فَقَالَ « اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِى الطَّرِيقِ ». فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِى الطَّرِيقِ فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ فَعَلَ اللَّهُ بِهِ وَفَعَلَ وَفَعَلَ فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ ارْجِعْ لاَ تَرَى مِنِّى شَيْئًا تَكْرَهُهُ

Abu Hurairah meriwayatkan ada seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai jirannya, lalu Baginda SAW berkata “Pulanglah dan bersabarlah”. Situasi itu berlaku 2 ataupun 3 kali lalu kata Baginda SAW “Pulanglah dan buang barangmu di atas jalan”. Lalu setelah lelaki tersebut melakukan sebagaimana yang disarankan, ramai orang bertanya puncanya, lalu lelaki ini menceritakan situasinya. Ini membuatkan semua orang yang lalu di situ mencerca jiran lelaki tersebut. Tidak lama selepas itu, jirannya itu datang dan memohon maaf padanya dan berjanji peristiwa lama tidak berulang lagi.

Berdasarkan kepada hadis di atas, Imam Ibnu Qayyim menyebutkan di dalam kitab beliau I’lam Al-Muwaqqi’in bahawa tidak mengapa bagi seseorang yang dizalimi untuk menceritakan kezaliman yang diterimanya bagi mendapatkan sokongan dan kekuatan dalam mendapatkan kembali hak yang telah dizalimi. Sekiranya dengan perbuatan yang dilakukan tersebut mampu untuk mencegah kezaliman dan cara nasihat yang baik tidak memberikan kesan.

3- Menunjukkan keizzahan dan kekuatan Islam adalah diharuskan. Hal ini dapat dilihat kepada beberapa situasi di zaman Nabi SAW iaitu :

– Ketika penghijrahan sahabat, antara sebab keberjayaan para sahabat keluar berhijrah adalah apabila terdapat sahabat yang gagah dan berani dengan memberikan amaran kepada pihak musyrikin Mekah agar tidak mengganggu penghijrahan para sahabat.Antaranya Saidina Umar Al-Khattab. Hasilnya para sahabat dapat keluar berhijrah beramai-ramai mengikut peringkat-peringkat yang telah disusun.

– Ketika Nabi SAW tiba di Madinah maka penduduk-penduduk Madinah termasuk wanita dan kanak-kanak keluar dengan bergembira berhimpun sambil mengalunkan nasyid menandakan kegembiraan mereka kedatangan Nabi SAW

–    Ketika solat sunat Hari Raya, Nabi SAW menggalakkan juga wanita yang haid untuk keluar (tetapi tidak solat dan berada dalam masjid, cuma keluar bersama-sama bagi menyambut Hari Raya) agar menampakkan ramainya umat Islam dalam menyambut perayaan hari kebesaran dalam Islam.

–      Kisah Bai’ah Ridhwan. Ia apabila Nabi SAW mneghantar utusan untuk berjumpa dengan pembesar Mekah, namun dikhabarkan bahawasanya mereka telah membunuh Saidina ‘Uthman, maka Nabi SAW dan para sahabat telah membuat persepakatan untuk berjuang menuntut bela terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada Saidina ‘Uthman.

*antara peristiwa-peristiwa yang menunjukkan para sahabat berhimpun dalam menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan umat Islam. Boleh rujuk kitab sirah-sirah.

Kesimpulan

Hasil pengkajian ringkas di atas mengenai demonstrasi,maka dapat difahami dengan jelas beberapa perkara :

1- Demonstrasi merupakan satu bentuk wasilah bagi sesuatu tujuan. Ia termasuk dalam urusan dunia yang asal pada hukumnya adalah harus.

2- Bentuk-bentuk demonstrasi yang diharamkan ialah menggulingkan pemerintah yang adil, menyerang pemerintahan Islam dan mengangkat senjata bagi melakukan huru hara dan mendatangkan mudharat.

3- Manakala demonstrasi yang berbentuk menyatakan pendirian bagi menuntut hak-hak yang telah dicabuli, mencegah kemungkaran dan menunjukkan keizzahan Islam adalah tidak bertentangan dengan syara’ dan ia diharuskan.

4- Sehubungan itu, penganjur demostrasi mestilah mengingatkan kepada peserta demonstrasi untuk menjaga adab dan tidak melakukan perkara-perkara yang memudharatkan orang awam dan batasan syara’.

5- Sekiranya tujuan dan wasilah yang dirancang adalah baik,namun terdapat beberapa kekacauan selepas demontrasi di luar dugaan, maka ia tidak menjejaskan hukum asal bagi demontrasi tersebut. Hal ini demikian samajuga seperti musafir yang mubah namun di tengah perjalanan berlaku perkara maksiat, maka masih dibolehkan untuk solat jama’ dan qasar. Namun sekiranya niat musafir adalah untuk maksiat, maka ia berbeza dan ulama menyatakan adalah haram untuk solat jama’ dan qasar.


Wallahu a’lam

Disediakan oleh : Muhamad Zuhaili Saiman,Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :

1- Sirah An-Nabawiyyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr

2- Al-Halal Wa Al-Haram Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah

3- Fiqh Ad-Daulah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah

4- Dirasah Fi Fiqh Maqasid Al-Syariah, Dr Yusuf Al-Qardhawi,cetakan Maktabah Wahbah

5- Dhawabit Al-Maslahah Fi As-Syariah Al-Islamiyyah, Dr Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr

6- Nail Ar-Raja’ bisyarh Safinah An-Naja’, oleh Al-‘Allamah Al-Faqih As-Sayyid Ahmad bin Umar Asy-Syatiri

7-  Al-Qaawaid Al-Fiqhiyyah, oleh Dr Abdul Aziz Muhd Azzam, cetakan Dar Al-Hadis

Advertisements

25 June 2013 - Posted by | Politik dan Dakwah | ,

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: