Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Benarkah harus menunjukkan gambar tidak bertudung kepada lelaki?

Soalan; salam,,,ustaz apa hukum seorang perempuan berchating secara webcam tidak menutup kepala dan tidak menampakkan auratnya yang lain kecuali rambut sahaja. saya ada mendengar hukum menunjukkan gambar tidak menutup kepala kepada orang lelaki tidak dikira berdosa kecuali mendatangkan syahwat.. saya ingin mendapatkan kepastian sebab saya adlah pelajar jurusan pengajian Islam.

Jawapan;

Terdapat larangan yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah ke atas wanita beriman agar menutup aurat iaitu seluruh badan kecuali muka dan dua tangan sahaja yang harus didedahkan. Lihat surah an-Nur, ayat 31. Antara yang disuruh Allah agar ditutup ialah bahagian kepala. Firman Allah (bermaksud); "Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita mukmin) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga menutupi belahan leher baju mereka" (Surah an-Nur, ayat 31). Menurut ulamak tafsir; ayat ini bermaksud supaya wanita-wanita beriman menutup kepala mereka, leher serta dada mereka dengan kain-kain tudung (Lihat; Tafsir al-Jalalain).

Diriwayatkan dari Aisyah -radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Asmak binti Abu Bakar suatu hari telah masuk bertemu Rasulullah -shallallahu ‘alaihi wasallam- dengan memakai pakaian yang nipis, lantas baginda berpaling dari melihatnya sambil bersabda; "Wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila telah kedatangan haid (yakni sampai umur), tidak harus dilihat badannya melainkan ini dan ini sahaja" sambil baginda menunjuk ke muka dan dua tangannya" (HR Imam Abu Daud dari Aisyah).

Maksud dari arahan menutup aurat ialah tidak mendedahkannya untuk tontonan orang lain yang tidak diizinkan Allah melihatnya, iaitulah lelaki-lelaki yang bukan mahram. Apabila seorang wanita mengambil gambar dirinya ketika ia tidak menutup aurat, kemudian ia menunjukkan gambar itu kepada lelaki yang bukan mahramnya, apakah itu tidak dinamakan mendedahkan auratnya kepada orang yang tidak diizin Allah. Jawapannya tidak lain adalah "Ya". Jadi tidak syak lagi bahawa perbuatan tersebut adalah dilarang. Kewajipan wanita Islam menutup aurat bukan atas alasan timbul syahwat orang atau tidak (jika ia mendedah aurat), tetapi kerana menyahut arahan Allah dalam al-Quran dan hadis tadi. Menjaga dari timbulnya syahwat hanyalah hikmah dari arahan menutup aurat, bukan illah (sebab) kepada menutup aurat kerana illahnya ialah arahan Allah. Contoh lain; sekalipun tiada kebimbangan berlaku zina, haram seorang wanita berduaan dengan lelaki yang bukan mahramnya kerana berduaan itu dilarang oleh Nabi. Tidak harus seorang wanita berkata; "Tidak mengapa saya berduaan dengannya kerana saya yakin dapat menjaga diri dari zina".

Selain arahan supaya menutup aurat, terdapat juga arahan supaya menjaga pandangan mata. Firman Allah (bermaksud); "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki mukmin; hendaklah mereka menahan pandangan-pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 30). "Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman; hendaklah mereka menjaga pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 31).  Sabda Nabi (bermaksud); "Apabila seorang lelaki muslim menahan pandangannya tatkala terlihat wanita cantik, Allah akan gantikan untuknya (bagi mujahadahnya menahan pandangan itu) dengan kemanisan beribadah" (HR Imam Ahmad dari Abi Umamah). Persoalan; apabila seorang lelaki melihat gambar wanita yang tidak menutup aurat (seperti mendedahkan rambutnya), apakah ia dianggap menjaga pandangannya? Jawapannya sudah tentu "Tidak". Oleh demikian, anggapan bahawa gambar dikecualikan dari ayat yang menyuruh menutup aurat dan ayat yang menyuruh menjaga pandangan, anggapan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ia bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ayat, malah membuka jalan kepada perbuatan dosa yang lebih besar lagi iaitu melihat gambar lucah dan menonton video lucah dengan alasan ia bukan sebenar tetapi hanya foto atau rakaman. Dalam kaedah (prinsip) Fiqh ada dinyatakan "Ma Adda Ila al-Haram Fahuwa Haramun" (Sesuatu yang mendorong kepada yang haram, ia turut diharamkan".

Wallahu a’lam. 

Sumber:  USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL [http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/06/benarkah-harus-menunjukkan-gambar-tidak.html]

25/03/2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | 2 Comments

Cara menguruskan najis

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya menjaga ibu mertua yang berusia 90 tahun. Ibu mertua saya masih boleh berjalan walau agak payah. Olehitu, beliau enggan memakai lampin pakai buang. Kerana faktor usia beliau kadang kala tidak dapat menahan najis (kecil dan besar) dari tercicir di aas lantai. Soalan saya ialah, bagaimanakah cara menguruskan najis yang tercicir atas lantai rumah? Adakah memadai dengan sayang membuang ain najis tersebut kemudian saya  mopkan kawasan yang terkena najis dengan air sebanyak 2 kali bilas? Perlukan saya mengalirkan air sebanyak 2 kolah untuk membersihkan najis tersebut? Jika saya berbuat begitu, dikhuatiri bekas najis tersebut akan merebak ke bahagian lain. Selepas dicuci, bolehkan kita bersolat ditempat yang pernah terkena najis? Bagaimana pula dengan pakaian mertua saya? Bolehkah saya membuang najis dengan membilas pakain tersebut dengan air mengalir kemudian membasuhnya bersama pakaian lain di dalam mesin basuh? Bolehkah pakaian yang dibasuh bersama pakaian mertua saya dibawa bersolat? Saya amat berharap agar Ustaz dapat menjawab soalan saya ini untuk menghilangkan rasa was was sambil berusaha menjaga mertua dengan sebaik mungkin.

Jawapan;

1. Buang ‘ain najis terlebih dahulu, kemudian alirkan air ke atas tempat/kawasan yang dikenai najis dan lapkan. Lakukan sehingga hilang kesan najis. Jika perlu menggunakan sabun untuk menanggalkan najis, gunakanlah. Bilangan basuhan tidak disyaratkan. Yang disyaratkan ialah hilang kesan najis iaitu bau, warna dan sebagainya. Jika dengan sekali basuhan kesan najis telah hilang, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Begitu juga, tidak disyaratkan kuantiti air mesti air dua kolah. Hanya disyaratkan air mutlak dengan kadar yang mencukupi untuk menghilangkan najis. Jika dengan air yang sedikit (yakni kurang dua kolah) sudah dapat menghilangkan kesan najis tadi, sudah memadai basuhan itu. Malah berlebihan menggunakan air tanpa perlu, hukumnya makruh kerana membazir.

2. Pakaian yang dikenai najis; tidak harus dibasuh dengan merendamkannya ke dalam tank (bekas) mesin basuh kerana ia akan menajisi air di dalam tank tersebut. Dari segi hukum, air yang kurang dari dua kolah jika dimasuki/dijatuhi najis otamatik air itu menjadi mutanajjis (yakni air yang bercampur najis) walaupun tidak nampak kesan najis pada air itu dan tidak harus digunakan lagi air itu untuk bersuci. Jika diputarkan pakaian bernajis di dalam tank mesin basuh, basuhan itu tidak dikira melainkan setelah dibilas kemudiannya dengan air bersih (mutlak) barulah dianggap suci pakaian tersebut dengan syarat tidak ada lagi kesan najis pada pakaian tersebut (warna, bau dan sebagainya).

Adapun membasuh pakaian yang kotor/cemar tetapi tidak najis (seperti pakaian yang berpeluh,terkena kuah makanan, tanah dan sebagainya) tidak mengapa merendamnya ke dalam tank mesin basuh dan memutarkannya kerana bahan-bahan kotor/cemar itu tidak akan menajisi air (kerana ia bukan najis). Tujuan basuhan tersebut bukan untuk menghilangkan najis, tetapi hanya untuk menghilangkan kesan cemar pada pakaian, kerana itu tidak dikenakan syarat sebagaimana basuhan najis. Oleh itu, sebaiknya pakaian yang bernajis tidak dicampurkan dengan pakaian yang tidak bernajis di dalam satu tank mesin basuh. Jika ingin dicampurkan,hendaklah dipastikan semua pakaian dibilas (yakni dialirkan air ke atasnya) setelah diputarkan dalam mesin basuh (termasuk pakaian yang tidak bernajis juga perlu dibilas).

3. Pakaian bernajis yang telah dibasuh dengan sempurna hingga hilang kesan-kesan najis darinya, ia kembali kepada hukum asalnya (iaitu suci/bersih) dan harus dipakai ketika solat. Tidak perlu lagi ada perasaan was-was apabila basuhan telah sempurna dan kesan najis tidak ada lagi.

Wallahu a’lam.

 

Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL [http://ilmudanulamak.blogspot.com/2012/09/cara-menguruskan-najis.html]

25/03/2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Fidyah puasa wanita yang menyusu dan hamil

Soalan; Assalammualaikum..Saya ada beberapa soalan mengenai puasa..

1) 2 tahun lepas 2010 saya tidak puasa kerana melahirkan bayi. Lebih kurang seminggu sebelum akhir Ramadhan saya telah boleh puasa. Maka saya berpuasa. – masih meyusukan anak. selepas itu anak saya kembung perut. Jadi 1 hari sahaja saya puasa. Selepas 6 bulan. Tidak menyusukan bayi lagi saya menggantikan puasa selama 29 hari. Habis ganti sebelum Ramadan berikutnya. Pada masa itu saya tidak tahu kalau tinggal kan puasa sebab meyusukan bayi dan hamil kena bayar fidyah. Bagaimana saya mahu kira semula fidyah untuk 2 tahun lepas kerana saya tidak pasti tarikh sebenar saya boleh puasa..

2) Pada puasa tahun 2012 ini saya hamil 3 bulan. saya berpuasa cuma 1 hari sehingga pukul 5 petang saya tidak tahan lapar rasa nak pengsan. maka saya berbuka. Ini perlu fidyah juga?

Terima kasih..

Jawapan;

1. Fidyah yang dikenakan ke atas wanita menyusu tidak berganda dengan bergandanya tahun. Jadi, puan hanya perlu membayar fidyah untuk hari-hari yang puan terpaksa berbuka kerana maslahah anak yang disusui. Contohnya; jika puan tidak berpuasa 6 hari kerana maslahah anak yang disusui itu, maka fidyah yang diwajibkan 6 fidyah sahaja. Ia menjadi tanggungan seumur hidup (mesti dikeluarkan sebelum mati) dan tiada gandaan dikenakan jika menangguhnya, cuma yang terbaik ialah segera mengeluarkannya.

2. Jika puan berbuka kerana maslahah puan (bukan maslahah anak dalam kandungan) iaitu puan sendiri yang merasakan tidak mampu berpuasa (bukan berbuka kerana bimbangkan anak dakam kandungan), tidak dikenakan fidyah ke atas puan. Puan hanya wajib mengqadha sahaja puasa yang dibuka itu.

Wallahu a’lam.

 

Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL [http://ilmudanulamak.blogspot.com/2012/09/fidyah-wanita-yang-menyusu-dan-hamil.html]

25/03/2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , | 2 Comments

Hukum aqiqah dengan lembu

Soalan; Adakah harus saya melakukan aqidah untuk anak saya dengan lembu?

Jawapan;

Asal binatang untuk aqiqah ialah kambing sebagaimana hadis riwayat Ummu Kurzin yang menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah);

عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ، وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاْةٌ

“Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 5623. Diriwayatkan juga oleh Imam at-Tirmizi, namun dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut at-Tirmizi, ia adalah soheh)

Begitu juga, hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشاً كَبْشاً

“Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”. (Riwayat Imam Abu Daud)

Menurut mazhab Syafi’ie, harus aqiqah dengan unta, kerbau dan lembu, iaitu binatang-binatang yang harus dibuat korban. Sepertujuh (1/7) bahagian unta, kerbau atau lembu menyamai seekor kambing. Jadi seekor unta, kerbau atau lembu boleh dikongsi tujuh bayi untuk aqiqah. Dan harus juga orang yang melakukan aqiqah berkongsi dengan orang yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk dagingnya sahaja. Hukum ini sama sebagaimana dalam Korban.

Selain ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie, sahabat nabi Anas bin Malik r.a. dan Imam Malik juga mengharuskan aqiqah dengan unta, kerbau dan lembu. Namun Imam Ibnu al-Munzir menaqalkan pandangan dari Hafsah binti Abdurrahman bin Abu Bakr yang berkata; tidak harus aqiqah melainkan dengan kambing.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56.

2. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321 dan 339-340.

Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZI [http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/12/aqiqah-dengan-lembu.html]

25/03/2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Melakukan Aqiqah dengan dua ekor kambing di hari yang berbeza

Soalan; Assalamualaikum, Akikah utk Baby lelaki. Boleh tak majlis akikah buat 2 Kali; Majlis akikah yg pertama seekor kambing, Majlis akikah yg ke 2 (Hari yg berbeza) seekor lagi kambing …Atau 1 bahagian lembu. Terima kasih

Jawapan;Aqiqah untuk anak lelaki disunatkan dua ekor kambing sebagaimana dalam hadis; “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (HR Imam Abu Daud dari Ummu Kurzi al-Ka’biyah RA. Sunan Abu Daud, 2834). Menurut ulamak mazhab Syafiie; harus dilakukan juga dengan dua tumpuk lembu. (lihat jawapan sebelum ini; Hukum Aqiqah dengan lembu).

Sebaik-baiknya dua ekor kambing (atau dua tompok) itu dilakukan bersama kerana dapat segera terhasil pahala beraqiqah dengan dua ekor kambing sebagaimana yang disunatkan oleh Nabi SAW bagi anak lelaki tadi. Namun jika hendak dilakukan seekor dulu, tidaklah dilarang kerana menurut ulamak; sekalipun aqiqah untuk anak lelaki digalakkan dua ekor kambing, namun jika dilakukan seekor sahaja ia adalah sah dan terhasil pahala aqiqah. Nabi SAW sendiri walaupun menggalakkan dua ekor, tetapi baginda hanya melakukan seekor sahaja untuk cucunya. Ibnu ‘Abbas RA menceritakan; “Rasulullah SAW melakukan aqiqah bagi Hasan RA dan Husain RA dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (HR Imam Abu Daud. Sunan Abu Daud, 2841).

Apabila telah dilakukan seekor, kemudian dilakukan lagi seekor maka yang kedua dianggap penyempurnaan bagi aqiqah yang pertama, namun pahalanya tidak sama dengan yang pertama kerana ibadah aqiqah -apabila telah tiba waktunya- lagi segera/cepat dilaksanakan, lagi baik.

Masa terbaik melakukan Aqiqah ialah pada hari yang ke tujuh bayi dilahirkan (hari lahir dihitung sebagai hari pertama jika dilahirkan siang hari). Saidatina ‘Aisyah RA menceritakn; “Nabi SAW melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua (yakni dicukur rambut mereka)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi. Lihat; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320).

Menurut ulamak; Jika tidak dapat dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).

Wallahu a’lam.

 

Sumber:  USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL [http://ilmudanulamak.blogspot.com/search/label/Ibadah]

25/03/2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Melakukan Aqiqah dengan dua ekor kambing

Soalan; Assalamualaikum, Akikah utk Baby lelaki. Boleh tak majlis akikah buat 2 Kali; Majlis akikah yg pertama seekor kambing, Majlis akikah yg ke 2 (Hari yg berbeza) seekor lagi kambing …Atau 1 bahagian lembu. Terima kasih
Jawapan;

Aqiqah untuk anak lelaki disunatkan dua ekor kambing sebagaimana dalam hadis; “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (HR Imam Abu Daud dari Ummu Kurzi al-Ka’biyah RA. Sunan Abu Daud, 2834). Menurut ulamak mazhab Syafiie; harus dilakukan juga dengan dua tumpuk lembu. (lihat jawapan sebelum ini; Hukum Aqiqah dengan lembu).

Sebaik-baiknya dua ekor kambing (atau dua tompok) itu dilakukan bersama kerana dapat segera terhasil pahala beraqiqah dengan dua ekor kambing sebagaimana yang disunatkan oleh Nabi SAW bagi anak lelaki tadi. Namun jika hendak dilakukan seekor dulu, tidaklah dilarang kerana menurut ulamak; sekalipun aqiqah untuk anak lelaki digalakkan dua ekor kambing, namun jika dilakukan seekor sahaja ia adalah sah dan terhasil pahala aqiqah. Nabi SAW sendiri walaupun menggalakkan dua ekor, tetapi baginda hanya melakukan seekor sahaja untuk cucunya. Ibnu ‘Abbas RA menceritakan; “Rasulullah SAW melakukan aqiqah bagi Hasan RA dan Husain RA dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (HR Imam Abu Daud. Sunan Abu Daud, 2841).
Apabila telah dilakukan seekor, kemudian dilakukan lagi seekor maka yang kedua dianggap penyempurnaan bagi aqiqah yang pertama, namun pahalanya tidak sama dengan yang pertama kerana ibadah aqiqah -apabila telah tiba waktunya- lagi segera/cepat dilaksanakan, lagi baik.
Masa terbaik melakukan Aqiqah ialah pada hari yang ke tujuh bayi dilahirkan (hari lahir dihitung sebagai hari pertama jika dilahirkan siang hari). Saidatina ‘Aisyah RA menceritakn; “Nabi SAW melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua (yakni dicukur rambut mereka)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi. Lihat; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320).
Menurut ulamak; Jika tidak dapat dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).
Wallahu a’lam.

Sumber:  USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL [http://ilmudanulamak.blogspot.com/search/label/Ibadah]

25/03/2013 Posted by | Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: