Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Tanda tanda kita takut kepada Allah

Foto dhekkazone.blogspot.com

Tanda-tanda takut kepada Allah SWT kelihatan dalam tujuh perkara :

1- Lidahnya tidak berdusta, mengumpat, menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap tetapi lidah orang yang bertaqwa sentiasa berzikir kepada Allah SWT, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmiah.

2- Hatinya tiada permusuhan,kebodohan, kedengkian pada sahabat kerana kedengkian akan menghapuskan segala pahala kebaikan.

3- Pandangannya tidak suka memandang makanan, minuman, pakaian atau lain-lain perkara haram dan tidak terpikat pada dunia. Rasulullah SAW bersabda ” Sesiapa memenuhi matanya daripada perkara Haram, maka Allah SWT akan memenuhinya dengan daripada api pada hari Kiamat .

4- Perutnya tidak dipenuhi dengan hasil haram, Rasulullah SAW telah bersabda ” Setiap suapan daripada yang haram masuk ke perut seseorang, maka segala Para Malaikat di langit dan di bumi melaknatnya selama suapan itu berada dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di dalam Neraka “.

5- Kedua tangannya tidak diguna untuk perkara haram malah kedua tangannya diguna untuk perkara keTaatan kepada Allah SWT.

6- Pada kedua kakinya tidak melangkah ke tempat maksiat , malah kedua kakinya hanya melangkah ke tempat Ketaatan kepada Allah SWT.

7- Segala Ketaatan kepada Allah SWT bukanlah bertujuan Riya’ atau berbersifat Munafiq tetapi segala Ketaatannya adalah Ikhlas kepada Allah SWT semata-mata.

Lihatlah Ganjaran dan Janji Allah SWT kepada mereka yang bertaqwa ( Takut kepada Allah SWT )

Sesungguhnya orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air ( Syurga )
Surah Al-Hijr : 45.

Kitab Penenang Jiwa Imam Al-Ghazali .

12/02/2013 Posted by | Tasauf, Tazkirah | Leave a comment

Islam beri cara damaikan dua pihak bertelagah

Rujuk al-Quran, sunnah satukan perpecahan ummah

MENGURUS manusia dikatakan lebih rumit daripada mengurus haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manusia mempunyai akal pemikiran dan pendapat yang berbeza.

Kadangkala dengan perbezaan pemikiran dan pendapat dipengaruhi emosi dan nafsu itu menyebabkan manusia hidup dalam keadaan berpuak-puak dan berpecah-belah.

Oleh sebab itu, mengurus manusia amat penting dan rumit, lebih-lebih lagi dalam mengurus perpecahan dalam kalangan mereka sehingga ia kembali menjadi tenang dan aman.

Al-Quran dan al-Sunnah meletakkan dasar penting dalam mengurus perpecahan manusia itu. Maka, untuk mengurus perpecahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini, kita wajib menjadikan dasar yang diletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan utama.

Antara ayat al-Quran menjelaskan cara mengurus perpecahan manusia ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika dua puak daripada orang beriman berperang, maka damaikan di antara keduanya; jika salah satunya melakukan kezaliman terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikan antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah) serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang bertindak adil.” (Surah al-Hujurat ayat 9)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan mengenai tindakan yang sepatutnya dilakukan ketika berlaku persengketaan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam yang boleh membawa kepada perpecahan serta pertumpahan darah.

Dengan itu, Allah SWT menyeru semua umat Islam berusaha mendamaikan dua golongan yang saling bertelagah dan fitnah-memfitnah, seterusnya berusaha menyekat daripada berlakunya peperangan yang boleh mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

Terdapat beberapa peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat di atas antaranya seperti yang diriwayatkan Anas bin Malik ra. Menurut Anas terdapat seorang sahabat berkata kepada Nabi SAW: “ Bagaimana kalau kiranya engkau (Rasulullah) pergi menemui Abdullah bin Ubay bin Salul?”

Tanpa memberi sebarang jawapan, lantas Baginda SAW terus pergi menemui Abdullah bin Ubay dengan menaiki seekor keldai dan diikuti kaum Muslimin yang lain. Kemudian mereka tiba di suatu kawasan tanah gersang.

Rasulullah SAW terus menemui Abdullah, lalu Abdullah berkata kepada Baginda SAW: “Jauhkan dirimu daripada aku, demi Allah bau busuk keldaimu menyakitkan aku.”

Setelah mendengar kata Abdullah itu, seorang sahabat daripada kaum Ansar berkata: “Demi Allah bau keldai Rasulullah SAW lebih harum jika dibandingkan dengan dirimu.” Lalu salah seorang daripada sahabat turut memarahi Abdullah.

Selepas itu, salah seorang pengikut Abdullah pula memarahi Rasulullah SAW sehingga terjadinya pergaduhan (perang mulut) di antara kedua-dua belah pihak. Bahkan masing-masing daripada kedua-dua belah pihak bertindak memukul antara satu sama lain. Berhubung kejadian ini turunlah ayat sembilan Surah al-Hujurat di atas (Hadis riwayat al-Bukhari).

Berhubung peristiwa yang berlaku ini, jelas sekali pertelagahan dan perpecahan yang berlaku tidak boleh dibiarkan sama sekali. Ia hendaklah segera diurus dengan adil dan bijaksana demi mewujudkan perdamaian dalam kehidupan.

Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya berdiri sebagai penonton dan membiarkan perpecahan bertambah buruk dan parah. Setiap orang yang cerdik, bijak serta mempunyai kemampuan, haruslah membabitkan diri sebagai pengurus untuk mengekang perpecahan yang berlaku itu.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menjelaskan mengenai keutamaan mengurus perpecahan serta bahayanya jika dibiarkan perpecahan dan pertelagahan itu dari terus berlaku.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu mahu aku beritahukan suatu perbuatan yang lebih utama daripada keutamaan puasa, sembahyang dan sedekah? Mereka (sahabat) menjawab: Ya! Maka Rasulullah SAW bersabda: Iaitu mendamaikan persengketaan yang sedang berlaku. Rosaknya hubungan persaudaraan kerana perpecahan seperti mencukur. Aku tidak bermaksud mencukur rambut, tetapi mencukur yang bermaksud merosakkan agama.” (Riwayat al-Timiziy dan Abu Dawud).

Dalam proses mengurus perpecahan, kita hendaklah membincangkan isu yang menyebabkan berlakunya perpecahan itu dalam keadaan aman. Apabila selesai saja proses perbincangan itu, hendaklah dijatuhkan hukuman kepada pihak yang bersalah dengan hukuman yang seadil-adilnya.

Oleh itu, puak yang berpecah atau bertelagah wajib menerima hukuman yang dijatuhkan dengan tenang dan terbuka. Sekiranya salah satu daripada dua pihak yang bermusuh itu menolak hukuman dan enggan tunduk atau patuh terhadap proses perdamaian yang dilakukan, maka wajarlah dalam keadaan yang sebegini hakim menjatuhkan hukuman ke atas golongan yang ingkar itu supaya mereka kembali tunduk dan patuh kepada Allah SWT, seterusnya bersetuju menerima perdamaian.

Jikalau umat Islam sentiasa berpandukan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah dalam mengurus perpecahan dalam kalangan umat Islam, nescaya tidak akan berlaku sebarang peperangan antara negara Islam atau sesama umat Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya semua orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang berpecah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10).

Menerusi ayat ini, jelaslah bahawa Islam adalah agama yang demokratik kerana ia menyatukan semua umat manusia dan membuatkan mereka menjadi satu umat yang kuat dan disegani.

Oleh: Mohd Shukri Hanapi

12/02/2013 Posted by | Politik dan Dakwah, Tazkirah | Leave a comment

Kenali siapakah musuh hakiki kita yang sebenarnya

Saidina Umar Al-Khattab R.A pernah berkata bahawa: “Ikatan keIslaman seseorang akan terungkai jika seseorang itu hidup di dalam Islam tetapi tidak mengenal jahiliyah.”

Di dalam Al-Quran juga terdapat banyak ayat-ayat Allah yang memperkenalkan kepada kita hakikat sebenar musuh agama ini seperti kisah Firaun, kisah tipu daya iblis, kisah helah kaum Yahudi dan niat tersembunyi orang-orang kafir dan munafiq dan sebagainya. Hikmah ayat-ayat Al-Quran ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana Allah SWT mahu mengajar kepada kita supaya kita mengenali hakikat musuh, dan agar kita sentiasa berwaspada dan berlepas diri dari pelbagai agenda jahiliyah dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah mereka. Menurut kata Ahmad Rasyid di dalam buku tulisannya Al-Masar, di antara strategi musuh-musuh Islam bilamana puak minoriti memimpin puak majoriti di dalam sesebuah negara umat Islam ialah pemimpin minoriti tersebut pasti akan berlaku kejam terhadap orang-orang Islam bagi menstabilkan kedudukan kekuasaan mereka. Adakah kita sedar hakikat dan potensi ianya boleh berlaku di negara kita ini?

Di dalam konteks di negara kita, kepimpinan Melayu Islam di negara ini adalah suatu nilai tetap yang mesti dihormati dan tidak akan boleh tercapai melainkan selepas bangsa Melayu bersatu dan kuasa politik terus dikekalkan di tangan orang-orang Melayu. Perpecahan sebaliknya akan menyebabkan Bangsa Melayu menjadi lemah dan terus ketinggalan di belakang dan jika perkara ini dibiarkan berterusan, kuasa politik (ie Ketuanan Melayu) yang kini merupakan kuasa tunggal milik bangsa Melayu boleh bertukar tangan kepada bangsa lain dan seterusnya kepimpinan Melayu Islam pasti akan terganggu-gugat. Di sinilah peri pentingnya orang-orang Melayu bersepakat demi memastikan kelangsungan kedaulatan Islam di negara ini atau ringkasnya ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

Oleh: Dr Amirudin Wahab,
Setiausaha Agung,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

12/02/2013 Posted by | Politik dan Dakwah, Tazkirah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: