Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ALLAH: Tuhan penganut Kristian?

Kristian memanggil Yahweh

Paderi-paderi Kristian tidak sepakat dalam masalah ini; bahawa ALLAH adalah Tuhan kepada Musa dan Jesus, sebaliknya mereka sepakat untuk mengatakan bahawa Yahweh adalah nama Tuhan yang dicatat sebanyak 9,000 kali dalam Alkitab (Injil). Walaupun gereja (mazhab) Roman Katolik pernah menyatakan bahawa ALLAH dan Jehova adalah Tuhan yang sama, tetapi kenyataan ini dibantah beberapa gereja lain seperti Gereja Baptis, Gereja Anglican, termasuk para ilmuwan Katolik sendiri.

Dave Armstrong, seorang tokoh dari Gereja Roman Katolik menerangkan ‘sikap sebenar’ Vatican terhadap kalimah ALLAH. Dalam artikel “Does the Catholic Church Equate Allah and Yahweh?”, beliau berkata: “Hakikatnya, tidak mungkin untuk menyamakan ALLAH dan Yahweh, kerana kita beriman kepada Tuhan yang terdiri daripada 3 kesatuan, dan Muslim (dan Yahudi) tidak demikian. Vatican II hanyalah menggunakan ‘bahasa diplomasi’ dalam kenyataan tersebut”.

Pemahaman ini juga dizahirkan banyak mubaligh Kristian; mengatakan bahawa ALLAH dan Yahweh adalah Tuhan yang berbeza. Sepertimana Sam Shamoun membantah Syeikh Jalal Abualrub yang menghasilkan buku berjudul The Prophet of Mercy. Sam Shamoun menulis sebuah artikel dengan tajuk ALLAH of Islam, Is He Yahweh God of the Bible? untuk menyangkal dakwaan Syeikh Jalal Abualrub bahawa ALLAH adalah Tuhan dalam Alkitab.

Begitu juga Rob Phillips, Pengarah Komunikasi bagi Missouri Baptist Convention, seorang mubaligh Gereja Baptis yang terkenal, beliau nyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang beliau selalu kunjungi dalam misi penyebaran agama Kristian, bahawa ALLAH bukanlah Tuhan yang dinyatakan dalam Alkitab, melalui artikel beliau bertajuk Yahweh (the God of the Bible) vs Allah (the god of the Koran).

Alasan mereka sangat mudah; bahawa Yahweh atau Jehovah yang dinyatakan dalam Alkitab merupakan kesatuan Tiga Entiti sementara ALLAH itu Tunggal, tidak memiliki anak. Mereka juga berkata ALLAH adalah nama Tuhan Bulan, salah satu Tuhan agama Pagan di Tanah Arab sementara Yahweh atau Jehovah adalah nama Tuhan kepada Musa dan Jesus. Justeru menamakan Tuhan dalam Alkitab selain dari Yahweh atau Jehovah, terutama menggunakan nama ALLAH, merupakan sebuah kesalahan besar oleh umat Kristian.

ALLAH, bukanlah nama kepada Tuhan Bulan seperti pemahaman beberapa ilmuwan Kristian, sebaliknya nama Tuhan Yang Tunggal yang menciptakan jagatraya ini. Masyarakat Arab sejak dahulu lagi memanggil ‘ALLAH’ kepada Tuhan Yang Tunggal tersebut.  Mereka menamakan Kaabah sebagai ‘Rumah ALLAH’ dan menamakan anak lelaki mereka sebagai ‘Hamba ALLAH’, seperti Abdullah bin Salam. Ini semua adalah kesan dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as di Mekah.

Kristianofobia dalam sejarah

Seandainya desakan demi desakan terus dilakukan sebahagian komuniti Kristian, terutamanya dalam tuntutan untuk menggunakan nama ALLAH sebagai ganti kepada kata ‘Tuhan’ atau ‘Yahweh’, kemungkinan “Kristianofobia” boleh meletus.

Kristianofobia pernah berlaku kepada umat Yahudi dan Islam satu ketika dahulu. Sejarah penyebaran agama Kristian yang panjang, mencatatkan pelbagai kisah dan rupa.

Peristiwa-peristiwa yang pelbagai ini bukan sahaja diakui oleh lawan, malah para ilmuwan Kristian ketika membicarakan tentang sejarah agama mereka.

Henry Charles Lea, seorang sejarawan Amerika, menulis tentang Mahkamah Inkuisi di Spanyol dalam empat jilid bukunya: A History of the Inquisition of Spain. Sementara itu Peter de Rosa dalam bukunya, Vicars of Christ: The Dark Side of the Papacy menjelaskan peranan Gereja Roman Katolik kepada umat Yahudi, Islam dan gereja-gereja lain seperti Gereja Unitarian dan Protestant. Manakala Gustave Le Bon dalam bukunya La Civilisation Islamique er Arabe menerangkan keadaan umat Islam ketika Baitulmuqaddis ditakluk oleh tentera salib.

Lalu dalam masalah kalimah ALLAH, kita tidak tahu, apakah Lim Guan Eng benar-benar berdoa kepada Tuhan sambil menyeru nama ALLAH atau hanya memanggil ‘Tuhan’. Sebaliknya kita selalu dengar penganut Kristian di Malaysia hanya menyeru ‘Tuhan’ dalam doa-doa mereka, bukannya ALLAH. Justeru untuk apa DAP menjuarai sebuah isu walhal umat Kristian di Malaysia sendiri jarang memakai kalimah ALLAH.

Oleh itu, sangatlah menghairankan apabila ada kumpulan Kristian di Malaysia yang bersungguh-sungguh memperjuangkan penggunaan kalimah ALLAH sebagai ganti nama Yahweh, sedangkan dunia Kristian sendiri bertelagah dalam masalah ini. Kita berharap agar agama tidak dijadikan modal politik: sama ada agama Kristian ataupun agama Islam.

Umat Islam di Malaysia tidak pernah mengharamkan upacara keagamaan kaum lain, terutamanya agama Kristian walaupun jumlah penganutnya hanya sekitar 9 peratus sahaja. Kerajaan tidak pernah menghalang ritual yang dibuat oleh umat Kristian, selagi mana ia tidak melibatkan umat Islam, seperti perayaan Maulid Nabi Isa (Hari Kelahiran Jesus) walaupun kebanyakan Gereja Kristian menyesatkan amalan tersebut. ALLAH menyatakan tentang pengakuan seluruh manusia terhadap Diri-Nya dalam Perjanjian Terakhir: “Siapakah Yang memiliki langit yang tujuh dan Yang memiliki ‘Arsy yang besar?” Mereka akan menjawab: “Kepunyaan ALLAH.” Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak bertakwa?” Katakanlah: “Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?”

Mereka akan menjawab: “Kepunyaan ALLAH.” Katakanlah: “(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?” (Al Mu’minun: 86-89)

Namun kita bimbang umat Islam di Malaysia keliru akibat penggunaan kalimah ALLAH lantas mengalami krisis keimanan.

Sekadar persoalan; kenapa hanya Kristian di Indonesia dan Arab sahaja yang menggunakan kalimah ALLAH, sementara bangsa lain di dunia memanggil ‘Tuhan’ dalam terjemahan Alkitab mereka? Jika ini adalah usaha untuk mendekatkan bangsa Melayu kepada agama Kristian, bererti tindakan tersebut menyalahi undang-undang negara.

Hakikat pengabdian Jesus kepada Yahweh

Sekiranya umat Kristian di Malaysia, terutamanya Gereja Sidang Injil Borneo dan Gereja Roman Katolik tetap mahu menggunakan kalimah ALLAH sebagai kata ganti Yahweh, bererti kita telah bersetuju kepada satu kesimpulan yang tidak ada perselisihan di antara kita: bahawa Tuhan ALLAH itu Esa, dan kepada-Nya segala kebaktian dan doa panjatkan. “Dia adalah ALLAH, Tuhan yang Tunggal, ALLAH tempat meminta segala sesuatu, tidak memiliki anak dan tidak diberanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia”. (Al-Ikhlas : 1 – 4)

Hal ini telah dijelaskan oleh Jesus bahawa Tuhan itu Tunggal dalam Perjanjian Baru: “Dengarkanlah hai orang Israel, Tuhan kita, Tuhan itu Esa” (Markus 12 : 29). Jesus telah menggunakan perkataan “kita” yang menunjukkan seluruh bangsa Israel termasuk diri baginda hanya boleh menyembah satu Tuhan sahaja, sekaligus menafikan bahawa dirinya adalah Tuhan.

Nabi Musa telah menegaskan bahawa ibadah dan penyembahan hanya kepada Tuhan yang Tunggal tersebut dalam Perjanjian Lama: “Jangan ada padamu Tuhan lain di hadapan-Ku. Jangan kamu membuat patung yang menyerupai apa pun, yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau yang ada di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud menyembah kepadanya atau beribadah kepadanya, sebab, Aku Tuhan kamu, merupakan Tuhan yang cemburu” (Keluaran 20 : 3 – 5 dan Ulangan 5: 7 – 9) Lantaran itu Jesus tidak pernah menyuruh muridnya menyembah dirinya, tetapi berkali-kali menegaskan bahawa seluruh kebaktian khusus untuk Yahweh sahaja. Dalam Perjanjian Baru, ketika baginda berkata kepada Iblis: “Engkau harus menyembah Tuhan mu, dan hanya kepada Dia sahaja engkau berbakti” (Lukas 4 : 8). Jesus tidak menyuruh Iblis menyembah dirinya tetapi beribadah hanya kepada Tuhan Yang Esa, malah Jesus sendiri pun beribadah kepada Tuhan tersebut.

Tidaklah wajar seorang Tuhan menyembah Tuhan yang lain. Jesus mengajar muridnya untuk berdoa terus kepada Tuhan Yang Esa, bukan kepada dirinya, sepertimana ajaran Nabi Yohanes kepada muridnya: “Jawab Jesus kepada mereka ‘Apabila kamu berdoa, katakanlah ‘Bapa, disucikanlah nama Mu, datangkanlah kerajaan Mu, berikanlah kami setiap hari makanan yang secukupnya, dan ampunilah kami terhadap dosa kami, sebab kami juga akan memaafkan setiap orang yang bersalah terhadap kami, dan janganlah Engkau mendatangkan cubaan kepada kami” (Lukas 11 : 2 – 4)

 

Sumber: Sinar Harian 5 Jan 2013

Oleh: Ustaz Mohd Radzi bin Othman – Setiausaha 1 Ilmuan Malaysia (ILMU)

*Penulis ialah pengkaji Perbandingan Agama, Mazhab, Falsafah dan Tamadun

30/01/2013 - Posted by | Aqidah, Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) |

3 Comments »

  1. Assalamualaikom wbr.

    Surat Mantan Naib Canselor Universiti Malaya Prof. Datuk Dr Hashim Yaacob bertajuk “Sesungguhnya-engkaulah-anak-kepada-Allah” kepada Utusan Malaysia bertarikh 17 Jan 2013 di rujuk

    Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas kerana Prof. Datuk sanggup membuka bible dalam membincangkan isu akidah yang sungguh penting ini, sesuatu yang mungkin belum di lakukan oleh Mufti atau Ustaz apabila mengupas isu ini. .

    Saya tidak bercadang untuk mempertikaikan kajian separuh masak yang telah di lakukan oleh Prof. Datuk kerana memang tetap sekali dan tidak dapat di nafikan, majority Krisitian mempercayai sebagaimana yang Prof. Datuk nyatakan.

    Apa yang Prof.Datuk nyatakan bukan sahaja berlaku di Malaysia hari ini tetapi telah berlaku lebih 1433 tahun yang lalu.

    Allah utusnya Nabi Muhammad s.a.w untuk membetulkan amalan syirik tersebut dengan turunnya surah Al Ikhlas dan ayat ayat lain;

    “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.” Al Ikhlas

    Termasuk ayat yang menemplak mereka yang mengatakan Al Masih itu Allah.

    “Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): “(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?” Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Maaidah 5:17)

    Akan tetapi sebagai seorang Islam kita jangan lupa peringatan Allah seperti berikut:

    “Janganlah disebabkan kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kamu kerana ia lebih hampir kepada taqwa.”

    Ingin saya mendapat penjelasan, apakah niat atau motifnya Prof. Datuk, meninggalkan ajaran para Nabi Musa dan Nabi Isa dan para Ambia’ yang begitu jelas tertulis dalam bible tu.

    Bukankah ajaran Nabi Nabi ini mengajak mengtauhidkan Allah, Tuhan yang maha Esa, tiada berbeza dengan Akidah yang di ajar oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w?

    Apakah ketika membuat kajian Prof. Datuk tak berjumpa ayat ayat di bawah:

    1. Then one of the scribes came, and having heard them reasoning together, perceiving that he had answered them well, asked him, “Which is the first commandment of all?” Jesus answered him, “The first of all the commandments is: `Hear, O Israel, the LORD our God, the LORD is one. And you shall love the LORD your God with all your heart, with all your soul, with all your mind, and with all your strength.’This is the first commandment. And the second, like it, is this: `You shall love your neighbour as yourself.’There is no other commandment greater than these.” (Mark 12:28-31)

    2. But when the Pharisees heard that he had silenced the Sadducees, they gathered together. Then one of them, a lawyer, asked Him a question, testing Him, and saying, “Teacher, which is the great commandment in the law?” Jesus said to him, ” `You shall love the LORD your God with all your heart, with all your soul, and with all your mind.’ This is the first and greatest commandment. And the second is like it: `You shall love your neighbour as yourself.’ On these two commandments hang all the Law and the Prophets.” (Matthew 22:34-40)

    3. “Hear, O Israel: The LORD our God, the LORD is one! You shall love the LORD your God with all your heart, and with all your soul, and with all your strength.” (Deuteronomy 6:4-5)

    4. “.. the devil took him to a very high mountain and showed him all the kingdoms of the world and their splendor. 9 “All this I will give you,” he said, “if you will bow down and worship me. Jesus said to him, “Away from me, Satan `Worship the Lord your God, and serve him only.” ( Matthew 4:9-10)

    5. And this is eternal life, that they may know You, the only true God, and Jesus Christ whom You have sent (John17:3)

    6. And Jesus answered and said unto him, Get thee behind me, Satan: for it is written, Thou shalt worship the Lord thy God, and him only shalt thou serve.(Luke:4:8)

    7. “The most important one,” answered Jesus, “is this: `Hear, O Israel: The Lord our God, the Lord is one. (Mark 12 : 29)

    Allah telah mewahyukan Al Quran yang merakamkan kisah kisah benar para Nabi dan Ambia yang telah di selewangkan oleh penulis penulis bible.

    Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”. (Al-Maaidah 5:20)

    Sebelum menutup, hanya satu soalan untuk Prof. Datuk.

    Apakah hukumnya sekiranya ada mereka yang segaja menyembunyikan yang hak, hingga menyebabkan kekeliruan umat, hingga sanggup mengajak membakar Bible yang ada Allah di dalamnya?

    Marilah kita kembalilah mengamalkan ajaran murni Al Quran dan contoh yang di tunjukkan oleh ArRasul rahmatan fil alamin semakin diabaikan.

    “Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. (Ali-Imran : 64)

    Semuga Allah mengampunkan dosa dosa dan kecuaian kita.

    Wassalam.

    Rujukan

    http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130117/fo_01/Sesungguhnya-engkaulah-anak-kepada-Allah—Matthew-1433

    Like

    Comment by abraham | 31/01/2013 | Reply

  2. anda bertanggungjawab

    Like

    Comment by Mohammad Firdaus | 30/01/2013 | Reply

  3. Reblogged this on Ujud"Nya" pasti.

    Like

    Comment by cucu tokki.com | 30/01/2013 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: