Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hujjatul Islam Imam al Ghazali di kritik hebat oleh golongan anti Tasawuf

Imam Al Ghazali

Pengkritik dan golongan  anti-tasawuf seringkali menuduh bahawa kitab-kitab karangan para ulama’ tasawuf sarat dengan hadith-hadith dhaif. Tuduhan paling berat pernah dihalakan kepada sosok tubuh tokoh tasawuf  dan ulama Islam agung  yang diberi gelaran “Hujjatul Islam” iaitu Imam al-Ghazali radiyallahu anhu sendiri. Mereka menuduh di dalam karyamagnum opus  empat jilid  Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali itu penuh dengan hadith-hadith dhaif. Sebenarnya, perbahasan berhubung dengan kedudukan hadith-hadith dhaif tidak perlulah kita bicarakan di sini kerana perbahasannya yang panjang cuma cukuplah kita nukilkan bahawa  para ulama hadith seperti al-Hakim di dalam al-Madkhal li `ilm al-hadith,  Imam al- Bayhaqi dalam Dala’il al-nubuwwah, Imam Nawawi dalam al-Tibyan fi `ulum al-qur’an. Bahkan Imam al-Sakhawi  dalam al-Qawl al-badi` fi al-salat `ala al-habib al- shafi` menyebut bahawa ianya disepakati para ulama yang membenarkan penggunaan hadith dhaif  selama mana ianya bertujuan untuk menunjukkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadha’ilul amal) dan menggalakkan orang ramai beramal dengannya dan menjauhi dari melakukan maksiat (al-targhib wa tarhib). Status hadith dhaif tidak sama dengan hadith palsu yang sama sekali tidak boleh beramal dengannya bahkan meriwayatkannya juga haram dan berdosa. Namun kelompok pelampau ini telah menyamatarafkan hadith dhaif dan hadith palsu sebagai satu kategori sama dan mendakwa kononnya kedua-duanya tidak boleh digunakan sama sekali. Ini telah  menimbulkan kekeliruan dan keresahan  di kalangan masyarakat dan mula memandang hina terhadap hadith dhaif. Tindakan biadap sebegini tidak pernah diamalkan oleh para ulama silam yang muktabar dan justeru it kita  jangan keliru dengan propaganda para asatizah ini yang kononnya ingin membawa islah dan tajdid dalam masyarakat agar beramal hanya dengan hadith Sahih sahaja.

Imam al-Ghazali jahil ilmu hadith?

Antara tuduhan keterlaluan yang dilemparkan terhadap Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ialah kononnya beliau jahil ilmu hadith dan kerana itulah banyak hadith-hadith dhaif dalam Ihya’ Ulumiddin. Ada juga yang mendakwa kononnya di akhir hayat beliau, Imam al-Ghazali meninggalkan tasawuf dan menjadi ahli hadith kerana beliau ditemui meninggal dunia dengan kitab Sahih Bukhari di tempat tidurnya. Harus diingati bahawa tiada manusia lain di atas mukabumi ini yang digelar “Hujjatul Islam” melainkan Imam al-Ghazali. Gelaran itu diberikan oleh masyarakat pada zamannya kerana kehebatan ilmu yang beliau miliki yang tiada tolok tandingnya. Imam Salahuddin al-Safadi (w.764) yang mengarang kitab al-Wafi, sebuah kitab biografi para ulama silam atau digelar ‘tabaqat’ yang mengandungi 14,000 para ulama menyebut bahawa bahawa “Imam al-Ghazali adalah seorang ulama mazhab Shafi’e yang tiada tandingnya di zaman beliau”.  Ulama kontemporari seperti Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa Imam al-Ghazali adalah mujaddid kurun ke-5 hijri sepertimana Imam al-Shafie di zamannya dan Umar bin Abdul Aziz di zamannya.

Yang lantang mengkritik Imam al-Ghazali sebenarnya hanya beberapa orang tokoh ulama seperti ulama anti-sufi  seperti Ibn al- Jawzi  melalui kitabnya  I`lam al-ahya’ bi aghlat al-Ihya’  dan Talbis Iblis, dan diikuti oleh Ibn Taymiyyah dan pelajarnya al-Dhahabi. Manakala majoriti ulama di zaman Imam al-Ghazali dan selepasnya semuanya mengkagumi kehebatan beliau. Hari ini kelompok ‘islah dan tajdid moden’ yang mengkritik Imam al-Ghazali mengutip kembali kritikan-kritikan ketiga-tiga orang tokoh ulama ini dan menghamburkannya kepada masyarakat sehingga masyarakat hilang hormat pada Imam al-Ghazali.

Sebagai manusia biasa, Imam al-Ghazali sudah tentu  ada kelemahannya namun sumbangan besar Imam al-Ghazali dalam ilmu akhlak atau tasawuf melalui karya Ihya Ulumiddinnya itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sekalipun sehingga dikatakan “andaikata seluruh kitab-kitab di atas mukabumi ini musnah, dan tinggal Ihya sahaja, maka ianya sudah memadai untuk membimbing manusia”. Imam Fakhruddin al-Razi mengatakan bahawa “seolah-olah Allah SWT mengumpulkan seluruh ilmu di bawah satu bumbung dan menunjukkannya kepada Imam al-Ghazali”.

Ya, memang diakui bahawa hadith-hadith dalam Ihya ada yang bersifat Hadith Dhaif sepertimana senarai yang diberikan oleh Imam Tajuddin al-Subki dalam Tabaqat al-Shafi’iyyah nya, namun sebagai sebuah kitab akhlak  yang bertujuan untuk ‘menggalakan beramal dan menjauhkan maksiat’ (targhib wa tarhib), ianya dikira tidak menyalahi disiplin ilmu hadith seperti yang  kita sebut sebelum ini. Kerana itulah tokoh-tokoh hadith seperti  Imam al-Hafiz Al-`Iraqi (w. 806)  dan Imam al-Hafiz al-Zabidi (w. 1205) ketika menyemak satu persatu hadith-hadith dalam Ihya mengatakan bahawa Ihya’ secara keseluruhannya sebuah kitab tasawuf yang cukup hebat walaupun di sana ada hadith-hadith dhaif. Bahkan mereka ini, seperti Zainuddin al-Iraqi, Ibn Hajar, al-Zabidi dan ramai lagi turut mengarang Syarah berjilid-jilid kepada kitab Ihya yang hanya empat jilid.  Imam al-Safadi turut mengatakan bahawa kritikan terhadap Ihya hanya kerana di sana ada hadith-hadith dhaif tidak boleh diterima kerana kriteria ketat untuk hadith hanyalah dalam hal-hal Aqidah dan Fekah sepertimana disepakati majoriti ulama. Adapun dalam hal-hal tasawuf, akhlak atau etika, maka kelonggaran diberi di sana.

Tuduhan bahawa Imam al-Ghazali tidak belajar ilmu hadith  juga adalah tuduhan biadap yang pernah kita dengar berlegar di dalam masyarakat kita hari ini.  Ianya tidak benar samasekali, walaupun kepakaran Imam al-Ghazali lebih menonjol dalam bidang Tasawuf, namun kita tidak boleh nafikan bahawa beliau juga pernah mendalami ilmu hadith.  Ibn ‘Asakir  turut menyebut bahawa Imam al-Ghazali pernah belajar Sahih Bukhari dari Imam Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad al-Hafsi. Manakala guru-guru hadithnya yang lain ialah seperti Imam Nasir ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, pakar hadith Imam Abu al-Fityan ‘Umar ibn Abi al-Hasan al-Ru’asi al-Dahistani dan  ramai lagi. Wallahu’alam.

 

(Sumber: http://roskiman.com/blog/2012/07/20/imam-al-ghazali/)

13/01/2013 Posted by | Bersama Tokoh, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | , | 2 Comments

Cara melupuskan Al Quran Lama dan Kalimah kalimah

Mushhaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an tidak boleh dikoyak atau dicarik-carik, kerana cara itu bererti memutuskan huruf-huruf dan kalimatnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi, membakar atau menanamnya

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan pernah membakar mushhaf-mushhaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya.

Setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan al-Qur’an,bukan merendahkan apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan al-Kalâm: 2/210)

Mengenai dengan tempat pemusnahan atau pembakarannya itu, bolehlah ditentukan sendiri dimana-mana yang difikirkan sesuai.

Sumber Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam

 

Bagi melupuskan al-Qur’an lama dan kalimah Allah, pihak Percetakan al-Quran KDN telah menyediakan kaedah seperti berikut:

1.Dibakar kemudian abunya dihanyutkan ke dalam air sungai  @ laut yang mengalir deras.

2.Dibakar kemudian abunya ditanam ke dalam tanah.

3.Ditanam  pada tempat  tinggi yang tidak dilalui oleh orang ramai

4.Dihantar ke Bahagian Percetakan Al-Quran  di KDN sama ada di Putrajaya atau cawangan di negeri-negeri  untuk tujuan pelupusan.

5.Menghantar di pusat pelupusan al-Quran dan buku-buku agama di batu 10 jalan Ceras Kajang untuk pelupusan.

Panel nasihatkan agar anda ikut seperti yang dicadangkan demi kebaikan anda dan orang ramai. Wallahu  a’lam.

(Sumber: JAKIM)

13/01/2013 Posted by | Ibadah, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Isu kalimah ALLAH – Tilawah BIBLE dalam bahasa Arab

Jika kalimah ALLAH di benarkan di guna oleh kristian.Dan kita tidak ada sedikit pun rasa curiga dan cemburu dalam beragama ini lah akan terjadi di Malaysia.TILAWAH BIBLE

13/01/2013 Posted by | Aqidah, Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: