Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Boleh kah non muslim namakan Tuhan mereka ALLAH?

Pokok perbincangan isu kalimah Allah bukan melibatkan persoalan bolehkah orang bukan Islam menyebut kalimah Allah, akan tetapi berkaitan persoalan bolehkah mereka dibenarkan untuk menamakan tuhan mereka dengan kalimah Allah.

“Isu besar yang berkait dengan maslahah ummah sebenarnya adalah bolehkah orang Kristian menamakan tuhan mereka dengan Allah? Maknanya dalam Bible mereka ada perkataan God, bolehkah God itu ditukar perkataannya kepada Allah. Dalam Bible mereka ada Jesus, ataupun Indonesia dia sebut Yesus, bolehkah itu ditukar perkataannya kepada Allah?

“Bolehkah tuhan mereka yang triniti tu, ditukar perkataannya kepada Allah? Sebab isu ini sebenarnya adalah merupakan satu isu yang timbul hasil daripada permohonan untuk membenarkan Bible menggunakan Allah menggantikan perkataan tuhan dalam Bible.”

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah maghrib tentang isu kalimah Allah di Surau Bangi Perdana Ahad lalu.

Menurutnya, isu pokok ini perlu difahami supaya mana-mana pihak tidak silap membuat kenyataan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam.

Dalam kuliah tersebut, Ustaz Fauzi menjelaskan dengan terperinci asal-usul nama tuhan orang Kristian dan Allah bukanlah nama tuhan mereka.

Menyentuh kenyataan seorang ahli politik yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam berdasarkan dalil ayat Al-Quran, Ustaz Fauzi menolak pandangan tersebut kerana tidak mengikut kaedah bahasa Arab dan tafsir yang betul.

Sebagai contoh dalam Surah Al-Hajj ayat 40, telah disebut perkataan Allah dalam masjid dan rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan Kristian, namun ketika itu agama tersebut masih belum diseleweng.

“Jadi bila kita tengok tafsir itu, dia sama ada akan diterjemahkan berdasarkan kepada pandangan Ibnu Abbas bahawa nama Allah itu hanya disebut di masjid sahaja, ataupun berdasarkan pandangan ahli tafsir lain yang mengatakan nama Allah itu disebut di semua tempat ibadat itu tetapi tempat ibadat yang disebut dalam Al-Quran itu adalah tempat ibadat sebelum berlakunya penyelewengan agama tersebut.”

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas akhir tahun lalu mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Bible berbahasa Melayu sepertimana yang dibenarkan di Malaysia Timur sejak 50 tahun lalu dan telah digunakan ribuan tahun di Timur Tengah.

Ustaz Fauzi menolak hujah Lim Guan Eng dengan berkata, sekalipun ia telah digunakan sekian lama, namun hukum syarak menolaknya, maka perkara itu perlu ditolak.

“Adakah apa yang berlaku di Sabah Sarawak dan Indonesia itu betul lalu kita kata boleh guna? Jawapannya tidak, sebab di sana ada satu kaedah syarak, al-urful fasid la yughaiyiru haqaiqas syar’ie.

“Maknanya uruf yang rosak tidak akan mengubah hakikat syarak yang merupakan suatu yang ditunjukkan di dalam Al-Quran.

“Mana-mana penggunaan, uruf ataupun kebiasaan tetapi kebiasaan yang merosakkan tetap tidak akan mengubah hakikat syarak. Jadi walaupun telah diamalkan selama 10 kurun tetapi kalau syarak kata tak boleh, maka tetap tak boleh,” jelasnya.

Katanya lagi, memang benar orang Arab Jahiliyah menggunakan kalimah Allah tetapi penggunaan itu merujuk kepada maksud yang sebenar iaitu zat yang Esa berdasarkan dalil Surah Luqman ayat ke-25.

“Dalam konteks ini, mereka berhujah orang Arab dulu guna kalimah Allah, jadi maknanya kita boleh kias orang Kristian pun boleh menggunakan kalimah Allah.

“Arab dulu dia guna kalimah Allah merujuk kepada zat yang tunggal di dalam penciptaan dan mentadbir alam, tetapi mereka mensyirikkan Allah SWT dari sudut hakimiyah dan perundangan.

“Tetapi orang Kristian bukan begitu, bila dia sebut Jesus nak tukar kepada Allah, bila dia sebut God nak tukar kepada Allah, ataupun Lord nak tukar kepada Allah, dia merujuk kepada tuhan yang memang dari awal lagi adalah merupakan triniti.

“Jadi dia nak namakan yang ini Allah. Maknanya kita tak boleh kias penggunaan orang Arab dengan penggunaan orang Kristian sebab digunakan dalam konteks berbeza.”

Ustaz Fauzi yang ditemui wartawan ISMA selepas kuliah tersebut berkata, kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kerana ia merujuk kepada zat yang Esa dan tidak boleh ditafsirkan kepada perkara lain.

“Perkataan Allah itu bukan satu perkataan yang boleh merujuk kepada itu atau ini, tapi telah digunakan oleh orang-orang Islam untuk merujuk kepada zat yang tunggal, yang Esa.

“Jadi tak boleh nak ditafsirkan kepada tafsiran-tafsiran yang lain. Mereka tidak ada hak untuk mengatakan bahawa Allah itu bermaksud sekian sekian.”

Beliau juga meminta semua pihak menyokong fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Memang majlis fatwa ketika membuat fatwa tersebut faham tentang implikasi bila digunakan kalimah Allah untuk menggantikan nama-nama tuhan Kristian, berdasarkan pengalaman yang boleh dilihat di Indonesia, Sabah Sarawak dan seumpamanya.

“Sebab itu pada saya fatwa itu adalah merupakan satu fatwa yang memang sepatutnya kita kena sokong.”

Selain Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti Pulau Pinang telah mewartakan 40 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam termasuk kalimah Allah, haji dan masjid.

 

(Oleh : Ustaz Fauzi Asmuni via FB/MISB)

10/01/2013 Posted by | Aqidah, Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | | 1 Comment

Di Malaysia kalimah ALLAH hanya boleh di guna oleh Muslim sahaja?

isu kalimah Allah 1Isu kalimah AllahIsu kalinah Allah

Asma’ul Husna (99 nama Allah yang baik) dimaklumkan oleh Allah swt dalam KitabNya dan oleh Rasulullah saw dalam Sunnahnya. Nama yang menghimpunkan semua 99 nama (Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus dll.) dan sifat (Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Suci dll.) tersebut adalah nama “ALLAH”. Nama inilah yang kita seru, sebut, sembah dan memohon. Firman Allah bermaksud, “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka serulah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu” (Al-A’araf). [Dr. Ali Liban, Asas-asas Islam, Jilid 01, Ikatan Muslimin Malaysia, m.s. 152-153].

Dari penerangan diatas, jelas nama “Allah” sama sekali tidak boleh diitlak(pakai)kan kepada tuhan-tuhan lain didalam agama-agama lain seperti Nabi Isa, Maryam ibu Nabi Isa, Holy Spirit yang dijadikan tuhan-tuhan didalam agama Kristian, Uzair didalam agama Yahudi dan lain-lain. Ini adalah kerana sebagai makhluk-makhluk, mereka memiliki sifat-sifat kekurangan dan ini sudah tentunya bertentangan dengan sifat “ALLAH” yang memiliki kesemua 99 nama baik (asmaul husna) dan sifat kesempurnaan tersebut. Begitu juga sembahan-sembahan makhluk lain didalam agama-agama lain di Malaysia seperti Buddha, Hindu dan sebagainya.

Firman Allah swt bermaksud, “Dan apabila Allah berkata kepada Isa bin Maryam adakah engkau berkata kepada manusia “ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain Allah”? Nabi Isa berkata mahasuci Engkau, aku tidak boleh berkata apa yang tidak ada kebenaran padaku. Sekiranya aku berkata sedemikian tentunya Engkau telah mengetahuinya. Engau mengetahui apa yang ada didalam jiwaku dan aku tidak mengetahui apa yang ada didalamMu. Sesungguhnya Engkau sangat mengetahui hal-hal yang ghaib” (Ali Imran :116). Dari ayat diatas Allah swt melarang Nabi Isa mengatakan dirinya dan diri ibunya sebagai Allah. Dengan itu penggunaan perkataan “Allah” bagi Nabi Isa, ibunya Maryam dan lain-lain makhluk selainNya adalah mengelirukan dan bercanggah dengan ayat di atas.

Lafaz Allah juga tidak pernah disebut didalam teks bahasa Greek yang merupakan tulisan asal Bible. Perkataan Tuhan dalam bahasa Greek adalah “Theos” dan bukannya “Allah”. Kitab Old Testament (buku Perjanjian Lama) pula adalah dalam bahasa Hebrew yang menyebut tuhan dengan nama El, Eloh, Elohim an Yhwh.

Tuhan penganut Kristian “Jesus Christ”. Layakkah umat Islam membenarkan permintaan terkini para penganutnya untuk ia diseru secara resmi dengan nama “Allah” ?

Pada 8 Januari 2013, Hadi Awang, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang bersepakat membenarkan orang-orang kafir menggunakan perkataan “ALLAH” untuk tuhan-tuhan mereka, sekaligus membelakangkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 yang mengeluarkan fatwa bahawa lafaz ALLAH merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Tuhan penganut Hindu “Ganesh”. Layakkah umat Islam membenarkan permintaan terkini para penganutnya untuk ia diseru secara resmi dengan nama “Allah” ?

Dengan ini Perkataan suci “Allah” yang telah digunakan oleh umat Islam secara eksklusif di Malaysia, tidak boleh digunakan oleh umat bukan-Islam untuk tuhan-tuhan mereka kerana ia adalah zat yang berbeza sama sekali, mencemar kesucian perkataan tersebut dihadapan umat Islam, mencabar maruah akidah umat Islam dan boleh menimbulkan kekeliruan didalam masyarakat.

Walaupun kalimah “Allah” telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi disesetengah umat di negara-negara tertentu, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk ia boleh dilakukan di Malaysia. Undang-undang berbeza dari satu masyarakat ke satu masyarakat berdasarkan realiti setempat.

Selepas berhijrah ke Mesir dan berdepan dengan realiti tempat dan masyarakat ang baru, Imam Syafie ra banyak merubah fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan semasa beliau tinggal dan mengajar di Iraq. “Allah” dalam bahasa Arab Kristian bermakna “tuhan” yang merangkumi Nabi Isa, Maryam ibu Nabi Isa, Holy Spirit dsb. sedang “Allah” dalam bahasa Malaysia bermakna “Allah” yang merangkumi segala 99 nama dan sifat kesempurnaan yang disebut didalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Paderi-paderi Melayu berusaha gigih memurtadkan seramai mungkin umat Melayu Islam, rumpun tunggak Islam di Nusantara.

Buku-buku dakyah Kristian didalam berbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu hanya menunggu ketetapan dan kesediaan umat untuk digunakan perkataan “ALLAH” untuk nama tuhan-tuhan mereka bagi mengelirukan dan menarik minat golongan umat Islam yang lemah dan jahil tentang agama untuk mengikuti agama mereka.

Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara tahun lalu mendapat restu pihak berkuasa agama dan Undang-undang Syariah Selangor, tetapi ditentang oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor. Mulai dari itu, Exco Agama Kerajaan Selangor ketika itu, Dr Hasan Ali, setelah melalui beberapa perkembangan di luar dan dalaman PAS, dipecat dari kepimpinan PAS dan Kerajaan Negeri Selangor.

Realiti Islam di Malaysia berbeza dengan negara-negara lain. Ada yang Mesir lebih terkedepan berbanding Malaysia seperti sambutan dan suasana bulan Ramadan, ramai yang menghafaz Al-Quran dari kalangan professional dsb, dan ada yang Malaysia lebih terkedepan berbanding Mesir diantaranya sambutan Aidil Fitri lebih meriah, menyumbang wang di majlis perkahwinan dsb. Hasil dari pengaruh dan perjuangan datuk nenek moyang terdahulu di Malaysia, Malaysia dan banyak negara umat Islam adalah lebih terkedepan dari sebilangan negara dimana perkataan “Allah” hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.

Menggunakan hujjah “jika negara lain boleh, maka di negara Malaysia pun boleh” bukan sahaja tidak menepati perbezaan penggubalan undang-undang sesebuah negara yang sedia diterima masyarakat antarabangsa, malah ia bertentangan dengan Siyasah Syar’iyyah sendiri yang memberi kredit kepada adat resam sesebuah masyarakat boleh diambil pakai (Al-Aadah muhakkamah), menutup pintu-pintu yang boleh membawa mudharat (Sadd Az-Zara’ik) dan kaedah-kaedah Syarak lain seumpamanya.

Dengan contoh lain, kita tidak boleh menggunakan jenama “Nokia” atau “Samsung” bagi handset klon (tiruan) yang kita buat dikilang sendiri di rumah yang boleh mengelirukan para pelanggan dengan jenama aslinya, hanya dengan beralasan di Brazil, Argentina dsb ramai orang berniaga buat macam tu !! Dalam Siyasah Syar’iyyah, suasana realiti yang berbeza boleh mencapai kesimpulan dan hukum yang berbeza, selagi Maqasid Syarak dijaga termasuk menjaga Agama (Hifz Ad-Deen) disamping menjaga nyawa, harta, kehormatan dan keturunan.

Oleh itu membenarkan umat bukan-Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk tuhan-tuhan mereka yang berbeza zatnya dari Allah yang sebenar adalah langkah mengundur kebelakang dan meruntuhkan pencapaian-pencapaian yang telah dihasilkan oleh generasi umat Islam di Malaysia turun temurun yang terdahulu dalam menjaga kesucian nama “Allah”.

Menggunakan dalil firman Allah yang bermaksud, “Katakanlah wahai Ahlul Kitab, marilah kepada satu kalimat yang sama diantara kami dan kamu (iaitu) jangan kita menyembah selain Allah, jangan kita mensyirikkanNya dengan sesuatu, jangan sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain menjadi tuhan-tuhan selain Allah.

Maka jika mereka berpaling maka kamu katakanlah (kepada mereka) persaksikanlah oleh kamu bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam” (Ali Imran : 64) bagi membenarkan penggunaan perkataan “Allah” untuk tuhan-tuhan orang-orang bukan-Islam di Malaysia adalah menyalahi kaedah penafsiran Al-Quran itu sendiri. “Kalimat” didalam ayat diatas bermaksud “ajaran wahyu “ yang sama yang diturunkan didalam Taurat, Injil dan Al-Quran kepada kita (umat Islam) dan kepada kamu (Ahlul Kitab) iaitu ajaran-ajaran berupa jangan kita menyembah selain Allah, jangan mensyirikkanNya dengan sesuatu dan jangan mengambil paderi-paderi mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.

Aat diatas bukan bererti “penggunaan kalimat Allah yang sama” dan sekadar itu. Bahkan hakikatnya ayat tersebut menempelak Ahlul Kitab dan menyatakan kepada mereka bahawa tuhan-tuhan dan ajaran-ajaran mereka telah jauh tersasar dari Kebenaran yang didatangkan Allah didalam Al-Quran, seperti yang dijelaskan leh ayat-ayat Al-Quran yang lain yang ditujukan kepada Ahlul Kitab.

Umat Islam di Malaysia semakin hari semakin hilang kepimpinan dikalangan umat mereka, kesan dari ketidakjelasan fikrah perjuangan dan lemah semangat juang mencontohi Rasulullah saw lalu samada menjadi korup, liberal maupun pragmatik (mengikut arus atau tekanan). Namun Allah swt akan tetap memelihara umat ini dari kerosakan. “Jika kamu berpaling, Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain. Mereka tidak akan seperti kamu” (Al-Quran). “Sesungguhnya Allah akan melahirkan dari kalangan umat ini pada setiap awal kurun orang yang akan memperbaharui (menjernihkan kembali aqidah dan memperbaharui ruh perjuangan) bagi mereka urusan agama mereka” [Hadis]

Berita yang pernah menggemparkan negara apabila seorang ibu tunggal bersama anak-anak kecilnya dibiaya kehiduan dan persekolahan mereka oleh Gereja Kristian Ampangan, Seremban sekian lama dan menghadiri gereja dari masa ke semasa. Akhirnya mereka dapat diselamatkan.

Dengan penjelasan sangat ringkas di atas, kita bersetuju dengan keputusan muzakarah jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5-7 Mei 2008 di Alor Setar, Kedah mengenai isu tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah seperti berikut (diringkaskan) :

Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan-Islam yang lain.

Wajib keatas umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalimah Allah (lafaz Al-Jalalah) adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan ertinya berbeza dengan erti Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian. Juga, kalimah Allah yang dugunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis (Trinity – 3 in 1), sedang pada Islam ia bersifat Tauhid.

Sikap membenarkan siapa sahajamenggunakan kalimat tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam. Membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama (ajaran Pluralisme).

Walaupun masyarakat bukan-Islam di Malaysia terdiri dari berbagai parti politik yang berbeza, namun mereka mempunyai agenda-agenda yang disepakati bersama seperti Pendidikan di Sekolah-sekolah Cina, dan disusun bersama dan bersepakat didalam forum atau majlis yang sama seperti di Chinese Chamber of Commerce (CCC) dll. Ini adalah kerana kepentingan paling uama mereka adalah kepentingan ekonomi.

Bagi umat Islam di Malaysia pula dimana kepentingan akidah dan agama adalah yang teratas, walaupun mereka terdiri dari berbagai parti dan pertubuhan, mereka mestilah diikat dan disepakatkan melalui sesuatu forum atau majlis ulamak kebangsaan yang non-partisan seperti Institusi Yang Dipertuan Agong, Majlis Fatwa Kebangsaan dan seumpamanya. Adapun berbincang sesama ahli-ahli politik semata-mata, termasuk dengan orang bukan Islam pula dengan membelakangkan majlis-majlis ulamak kebangsaan seperti diatas adalah langkah yang tidak tepat dalam etika berijtihad serta boleh mengelirukan pemikiran dan tindakan masyarakat.

“99 nama tersebut adalah satu nama yang diletakkan untuk Zat yang Maha Suci iaitu lafaz jalalah “ALLAH”. Selain dari nama tersebut adalah memberi makna sifat-sifat (Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Perkasa … dll.). adakah nama “ALLAH” itu nama terbitan atau bukan nama terbitan ? Itu adalah masalah khilaf ulamak Islam. Ia tidak membawa kepada kesan yang praktikal pun.

Cukuplah kita bahawa nama Zat itu adalah nama yang Satu (Esa) sedang nama-nama lain adalah terpancar darinya berupa sifat-sifat. [Imam Hasan Al-Banna, kitab Majmu’ah Rasail]

Kita mengajak seluruh lapisan masyarakat Islam dari pelbagai pertubuhan, tokoh-tokoh dan individu untuk bangkit menyuarakan bantahan terhadap pendirian yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Januari 2013 yang disepakati bersama oleh Presiden PAS, Penasihat DAP dan Ketua Umum PKR bahawa penggunaan perkataan “Allah” boleh digunakan oleh penganut Kristian “dengan syarat ia tidak disalahgunakan”. Bantahan ini juga lahir dengan tulus dari maqasid Siyasah Syar’iyyah itu sendiri demi kepentingan aqidah Umat Islam di Malaysia dan Alam Melayu, dan bukan dari percaturan dan percakaran politik kepartaian seperti yang dilihat sebahagian pemerhati sempena demam musim Pilihanraya yang hampir tiba.

Ustaz Halim http://www.inijalanku.wp.com/

10/01/2013 Posted by | Aqidah, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: