Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Foto foto hukum hudud

Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.

Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.

Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengantakzir (discretionary punishment).(Mantan Mufti Perlis Dr Asri)

Ini foto hukuman rejam sampai mati di Somalia yang dipost oleh seorang kawan Melayu di Malaysia kepada saya :

Si pesalah di tanam separuh badan.

Beliau diingatkan untuk bertaubat dan mengucap Kalimah Syahadah sebelum menemui ajalnya.

Si pesalah terus mengucap Kalimah Syahadah. Tanda jari telunjuk tersebut adalah kebiasaan orang Arab ketika mengucap bermakna “hanya Allah yang SATU” (tanda TAUHID/ESA) dalam lafaz “Tiada Tuhan Melainkan Allah. Muhammad itu Pesuruh Allah“.

Ketika direjam oleh sebahagian lelaki Islam sambil sebahagian yang lain menyaksikan hukuman tersebut demi mengambil pengajaran dan keinsafan.

Setelah menjalani hukuman rejam sampai mati. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun.

Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa si pesalah di atas yang dilakukan sepanjang hayatnya, dimasukkan ke dalam SyurgaNya dan semoga Allah menjauhkan saudara-saudara seIslamnya dari maksiat-maksiat yang terkutuk. Ameen.

Setelah seorang sahabat Rasulullah saw bernama Maiz mati direjam kerana kesalahan berzina dengan seorang sahibiah bernama Ghamidiah, Rasulullah saw bersabda, Laqad taba, lau wuziat taubatahu ila ahlil madinah lakafat” (Sesungguhnya Maiz telah bertaubat, dan jika taubatnya dibahagi-bahagikan kepada seluruh penduduk Madinah, nescaya ia mencukupi untuk mereka semua).

“Dan orang-orang yang mencuri, lelaki dan wanita, potonglah tangan mereka, sebagai hukuman terhadap apa yang telah mereka lakukan. Ia sebagai balasan dari Allah. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sesiapa yang bertaubat setelah (melakukan) kezalimannya dan membaiki dirinya maka sesungguhnya ALlah memberi taubat kepadanya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Al-Maidah:38 – 39)

Hukum hudud potong pergelangan tangan kerana kesalahan mencuri.

Di Negara-negara Sekular, seseorang boleh mencuri secara terhormat seperti pecah amanah wang simpanan ratusan juta ringgit, kemudian memindahkan secara membahagi-bahagikan wang tersebut kepada suku sakatnya menjadikan mereka sekumpulan jutawan sekelip mata. Apabila beliau dihukum penjara atau denda dan tidak dapat membayar dendaan tersebut, beliau di istihar “Muflis” dan mungkin dipenjarakan untuk sesuatu tempoh. Apabila tamat tempoh penjara, beliau melangkah keluar dari penjara sebagai seorang jutawan lagi menjutawankan orang lain. Suku sakat jutawan beliau boleh memulangkan sepenuh atau sebahagian dari jutaan wangnya dengan cara halus mengikut perjanjian dan terma yang mereka sepakati bersama. Demikian berbilion wang rakyat dilesapkan sepanjang masa. Di dalam Islam, jika sabit kesalahan seperti itu, beliau akan kehilangan tapak tangannya kerana dipotong, dan hutangnya jatuh ke tangan warisnya dalam hal-hal tertentu.

Seorang pesalah sedang dipancung. Pedang telah diangkat betul-betul di atas tengkuk. Kelihatan seorang lagi pesalah (berpakaian putih) telah dipancung lehernya.

Kedua-dua pesalah telah dipancung.

Pada Musim Haji 2007M/1428H yang lalu ketika di Madinah saya sempat melihat perkumpulan manusia di satu padang untuk menyaksikan hukuman pancung, katanya akan berlangsung pukul 11.00 pagi. Malangnya apabila saya balik ke hotel untuk mengambil kamera video dan tiba di tempat tersebut pukul 10.30 pagi, hukuman tersebut telah pun dilaksanakan pada pukul 10.00 pagi sebenarnya. Yang ada di situ ialah tompokan-tompokan darah yang sedang dipancutkan air ke atasnya oleh para pekerja.

Di Aceh

(Sumber: Ini Jalan Ku)

25/07/2012 Posted by | Fiqh, Ibadah, Informasi, Tazkirah | | 5 Comments

Hadith palsu kelebihan Tarawih


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘Alaihi Wasallam serta para sahabatnya.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut.

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:

  • Malam Pertama:  Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
  • Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
  • Malam Keenam:  Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
  • Malam Ketujuh:  Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
  • Malam Kelapan:  Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
  • Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
  • Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1.   Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2.   Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.

3.   Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4.   Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Petikan dari terbitan dan edaran percuma:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.

25/07/2012 Posted by | Informasi, Tazkirah | | Leave a comment

Amalan tabur bunga atas kubur harus

Foto: waeyenee.blogspot.com

Tiada tegahan ziarah pusara asalkan iktikad untuk mendoakan si mati

Soalan:

APAKAH pandangan ustaz mengenai adab menziarahi pusara? Bagaimana dengan perbuatan menabur bunga dan daun pandan di pusara dan bagaimana dengan bacaan ayat suci yang sepatutnya? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak tahu di mana pusara ibu atau bapa kerana kematian berlaku ketika anak masih kecil? Apakah memadai dengan sedekahkan ayat suci al-Quran? MD RADYUWAN, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Imam al-Bukhari meriwayatkan, daripada Ibn Abbas, bahawa Nabi Muhammad SAW melalui dua kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang di azab dan tidaklah kedua-duanya di azab kerana dosa besar. Adapun yang ini di azab kerana tidak menjaga (kebersihan) daripada kencing manakala yang ini pula kerana suka mengadu domba.” Lalu Nabi SAW meminta pelepah dan mematahkannya (menjadi) dua bahagian. Kemudian Baginda memacakkan di atas (kubur) ini satu dan di atas (kubur) ini satu.

Kalangan sahabat Nabi bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan hal ini?” Baginda menjawab: “Mudah-mudahan diringankan azab itu daripada kedua-duanya selama pelepah kurma itu belum kering.”

Hadis kedua pula riwayat Muslim daripada Jabir, Rasulullah SAW melalui dua kubur dan Baginda dengan mukjizatnya berkata, kedua-duanya penghuni kubur ini sedang diseksa…lalu Baginda meminta pelepah tamar yang masih basah dan mematahkan menjadi dua bahagian dan memacakkan pada setiap kubur, lalu bersabda,” Aku berharap syafaatku dapat meringankan azab kedua-duanya, selama pelepahnya masih basah.”
Daripada kisah hadis itu, sebenarnya kalangan ulama berselisih pendapat atau pandangan mengenai hukum meletakkan pelepah di atas kubur. Pandangan segolongan ulama yang menegah menyatakan perbuatan itu disyariatkan khusus untuk Nabi Muhammad SAW.

Keberkatan ada pada Nabi SAW saja. Syaikh Ahmad Syakir (dalam syarah Sunan al-Tirmizi) berpendapat amalan menabur bunga dan meletak kalungan bunga ini diambil dari amalan masyarakat Kristian.

Pandangan ulama yang mengharuskan pula mengatakan perbuatan itu diharuskan kepada semua orang Islam. Syeikh Atiyah Saqar (iaitu seorang Mufti Lajnah Fatwa al-Azhar) berkata: “Ini adalah masalah antara golongan mengharuskan dan golongan yang menegah. Saya melihat tiada tegahan pada perkara ini selagi mana ia beriktikad (menyakini) bahawa yang memberi manfaat dan mudarat itu hanyalah Allah SWT. Apa yang kita hadiahkan kepada si mati seperti doa, sedekah dan lain-lain lagi adalah ‘min babil asbab’ semata-mata mengharapkan rahmat Allah SWT.

Justeru, perbuatan menaburkan bunga sebagai menggantikan pelepah dan ranting basah adalah harus. Bagaimanapun, jika bunga itu dibeli dengan harga mahal semata-mata untuk melakukan perbuatan itu, dibimbangi ia akan jatuh kepada haram disebabkan membazir.

Selain itu ketika menziarahi pusara, anda juga harus membaca al-Fatihah dan surah Yasin. Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca surah Yasin bagi masyarakat Muslimin (yang akan atau sudah) meninggal dunia. Wallahua’lam.

(Oleh: Ustaz Dr Zahzan Mohamad di BH News 25/7/2012)

25/07/2012 Posted by | Aqidah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: