Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Mufti Perak tegur kegilaan Parti PAS.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Haji Zakaria Khamis melondeh serta membongkar cerita lama mengenai kegilaan PAS sehingga menyebabkan masyarakat Islam khusus orang-orang Melayu berada dalam keadaan berpecah belah.Selain dari itu beliau memberikan nasihat kepada para pemimpin parti itu supaya berhenti dari mengeluarkan “fatwa” yang songsang sesuka hati kerana ia mengelirukan umat lslam.Bahkan mufti itu juga menggunakan perkataan “tekong” perpecahan merujuk kepada perbuatan PAS yang memecahbelahkan perpaduan umat lslam di negara ini.

Serentak itu sambil menjawab tuduhan Menteri Besar Kelantan mengenai dirinya campurtangan dalam politik, Harussani selain menafikan tuduhan PAS itu bahawa beliau mencampuri urusan politik berkata:“Tuduhan tok guru Nik Aziz bahawa saya campur politik . . .ia tidak betul, saya selama ini tidak mencampuri mana-mana parti poliltik”.“Bahkan saya tidak pernahpun mendaftar diri sebagai ahli dalam mana-mana parti politik”.

Harussani memberitahu sejarah penglibatan keluarganya dalam politik serta bagaimana tindakan PAS memulau abang iparnya kerana fahaman politik kepartian.“Bahkan dari awal sejarahnya bapa saya semua ahli UMNO. Tapi apabila tertubuh PAS dan PAS kemudian keluar daripada UMNO, semua masuk Pas.. tapi PAS waktu itu lebih bertujuan kepada dakwah.

Walaubagaimanapun Harussani menjelaskan ““ akhir-akhir ini kita melihat perkara itu tidak berlaku lagi bahkan saya melihat PAS sudah menuju seolah –olah menjadi `tekong’ kepada perpecahan umat Islam dan orang Melayu.

“Banyak contoh boleh diberi seperti umpamanya pada akhir tahun 1970 an berlaku di Kedah. Orang- orang Islam iaitu orang UMNO menyembelih ayam sepikul lebih (terpaksa) dibuang ke dalam sungai kononnya haram (tidak halal) dimakan.

“Jadi saya katakan sedangkan Yahudi nasarah dibenarkan Tuhan halal sembelihannya bagaimana orang Islam yang sembahyang lima kali sehari, jadi imam pula tidak boleh sembelih. . . haram.

“Yang kedua yang paling menyayat hati saya ialah abang ipar saya seorang ahli PAS dan dia seorang peniaga kedai runcit di tempatnya tu di Kedah jugak..yang datang membeli banyak orang PAS dan orang UMNO pun ada.“Kebetulan satu ketika seorang ketua UMNO di kampong itu meninggal dunia,.jadi abang ipar saya datang menziarah dan kerana itu saja dia dipecat daripada parti dan dipecat dari ahli khairat kematian,” katanya.Kerana insiden tadi Harssani menjelaskan abang iparnya diboikot sehingga tutup kedai dan kembali memotong getah semula “..sampai begitu mereka buat dia..jadi dia datang jumpa saya . . .tapi saya kata sabarlah orang begini tak boleh buat apa.

“Banyak lagi yang saya bangkitkan umpamanya akhir-akhir ini kita lihat ceramah-ceramah yang dibuat oleh pemimpin PAS merupakan kutukan, cacian, laknat sedangkan itu adalah larangan Allah . . . jadi itu bukan dakwah lagi.“Kalau sudah seorang ustaz, berceramah mengutuk, memaki hamun dan sebagai nya maka orang menganggap itu halal mengikut masa itu..kutukan umpamanya kita lihat saja apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan bahwa (demonstrasi) Bersih 3.0 itu haram kerana telah bertukar corak kepada keganasan sebagainya.“Dia orang kata apa…mufti-mufti tidak lebih daripada anjing, jadi bolehkah kita mengelar orang anjing? Ini satu perkara yang sangat bertentangan samasekali dengan hukum syarak. “

“Jadi kalau itu yang dibawa sekarang maka dia bukan lagi membawa kepada Islam..dia membawa kepada syaitan..parti syaitanlah kalau memaki hamun dan sebagainya. Parti syaitanlah kerana syaitan itu nak membawa kepada perpecahan” ujarnya.

Mufti Perak berkata “bila kita lihat berlaku di Terengganu dan beberapa tempat (sembahyang) dua imam…kita di masjid hanya satu imam, satu kariah itu satu imam. Kita sembahyang . … sepatutnya kenapa kita berpecah dan ini dihalalkan oleh pihak pemimpin PAS.”

“Dan ini saya merasa pelik keadaan-keadaan seperti ini sehingga berpecah . . . dalam sekampung berpecah, kenduri pun berpecah jadi ini buruk sungguh keadaan Islam.”Bukan buruk daripada orang itu saja bahkan kita melihat seolah-olah syariat Islam itu terlalu buruk..jadi itu yang dinilai orang-orang kafir sekarang.

‘Kerana itu Islam tidak pernah mendapat tempat pada orang kafir di Malaysia kerana melihat keadaan orang Melayu yang beragama Islam . . . sudahlah hidupnya susah dalam negeri yang kaya ..asyik berpolitik di kedai-kedai kopi dan sebagainya langsung tak buat kerja . . . berkelahi sesama sendiri.

Katanya “Inilah yang menjadikan masyarakat kita makin mundur dan sebagainya.

“Akhir-akhir ini pula banyak fatwa dikeluarkan iaitu menyamakan tunjuk perasaan Bersih 3.0 itu disamakan dengan saf jemaah bersembahyang..kita sembahyang beribadat bukan tunjuk perasaan kepada Tuhan…kita mengadap bersyukur kepada Allah swt.. Dia (Allah) suruh kita bersatu, bahkan dalam bersembahyang kita diwajibkan berjemaah . . .” “Bermakna kita bersatu tapi kita di sini sekarang diwajibkan berpecah . . ..itu satu perkara yang bertentangan.

“Kemudian ada pula yang menyamakan dengan mengatakan Omar Ibnu Khattab pernah menunjuk perasaan . . . sebenarnya Omar tidak menunjuk perasaan tapi dia memulakan dakwah secara terang terangan.“Ini kerana Saidina Omar apabila memeluk Islam dia bertanya apakah ini agama yang benar dari Allah . . ..Rasullulah menjawab ia… kenapa kita duduk bersembunyi.,.dia terus bertakbir dan hentam orang jahiliah.

“Begitu juga isteri-isteri Nabi tidak pernah menunjuk perasaan kepada Nabi kerana tidak cukup makan .. Cuma itulah bila kita tunjuk perasaan ini satu penghinaan kepada sahabat-sahabat Rasullullah .. .”
“Ini bukan perbuatan orang-orang ahli sunnah tapi perbuatan syiah..dan terakhir ini kita ada mendengar fatwa kata mengundi parti itu masuk syurga, tak mengundi masuk neraka.. apakah neraka syurga ini boleh ditentukan oleh manusia atau ditentukan oleh Allah swt.

“Jadi hal-hal sebegini sedang berlaku sehingga menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat, jadi kerana itu sebagai seorang mufti bukan kerana politik saya memberi nasihat dan memberitahu bahawa tunjuk perasaan dengan niat untuk mengguling kerajaan itu satu perkara salah.

“Kerana kerajaan yang sah sekarang diketuai oleh seorang Islam iaitu Yang diPertuan Agong, Raja-raja dan dipimpin sekalipun . . . haram kita memberontak.

“Tapi sekarang ini orang dah pakai demokrasi, bila pakai demokrasi, kita ada jalan untuk menurunkan kerajaan dengan mengundi tapi bukan dengan cara tunjuk perasaan, dengan menimbulkan kekacauan . . .”

Harussani menjelaskan lagi“Saya tidak mengatakan siapa yang benar siapa yang salah tapi apa yang kita lihat perkara yang dilakukan itu bertentangan dengan hukum syarak. Pertama, dataran itu (Dataran Merdeka) dimiliki oleh DBKL .. . DBKL tidak membenarkan membuat tunjuk perasaan di situ maka tidak boleh pergi.”

“Kerana Allah menyebut dalam Quran kita tidak boleh masuk ke dalam rumah melainkan kita minta kebenaran. Jadi kita kiaskan itu hak milik bukan di rumah saja, kalau kampong orang orang tak bagi masuk, tak boleh masuk .

Katanya lagi “Kedua kita tidak boleh merosakkan harta benda tapi kita lihat terang terang (mereka) merosakkan harta benda, memukul orang sehinggakan kereta polis pun dirosakkan, anggota polis dipukul dan seorang wartawan hampir mati kerana mempertahankan anggota polis itu.

“Ini kita pelajari dari tunjuk perasaaan pertama (Bersih 1.0) kedua (Bersih 2.0) dan ketiga (Bersih 3.0), jadi ini dah tak betul, jadi kerana itu saya kata ajarannya banyak menyeleweng daripada ajaran Islam yang berasaskan kepada empat asas.“Iaitu Islam berasal daripada silmun maknanya kedamaian, yang kedua salamun berasal daripada pokok perkataan salam.
“Salam maknanya kesejahteraan, yang ketiga sulamun maknanya kita menuju ke peradaban yang tinggi.. .manusia ini meningkat darjahnya, perwatakannya dan yang keempat kita menyerah bulat-bulat kepada Allah..

Dengan nada kesal Harussani berkata “Tapi ini Islam dikaitkan dengan semua itu tadi ..jadi ini yang saya merasa cukup terpanggil dan terkilan untuk membuat kenyataan walaupun saya tidak hadir dalam ,majlis fatwa yang lalu kerana saya dalam keuzuran tapi saya rasa terpanggil untuk menjawab dalam surat khabar apabila dikatakan ahli majlis fatwa kebangsaan ini tidak lebih daripada anjing.. .bolehkah kita mensifatkan ulama sebagai anjing?.

Katanya “Ini satu perkara yang cukup berat dan saya lihat kalau itu tidak disetujui oleh ketua-ketua PAS tapi tidak ada langsung pun teguran daripada mereka . . . . sepatutnya mereka menegur orang dibawah supaya tidak bersikap demikian.

“Tapi seolah-olah mereka menyokong. Saya rasa terpanggil untuk menyatakan yang hak dan saya bukannya daripada parti manapun .

“Tapi apabila diselewengkan maka saya wajib menegur beliau . . . jadi Nik Aziz ini memang patut ditegur kerana terlalu banyak. . . . Nik Aziz pernah mengelar mufti-mufti (sebagai) terompah kayu dan macam macam lagi dan ini dia memburukkan nama sahabat nabi dengan mengatakan para sahabat tunjuk perasaan kepada Tuhan.

“Kemudian ibadat disamakan dengan tunjuk perasaan ini semuanya salah jadi kita jangan telan bulat-bulat perkara yang salah..walaupun dia seorang ulama, mungkin dia terlajak maka itu saya memberi peringatan supaya jangan . . . . saya tak ada musuh dengan sesiapa ..selama inipun doa saya tak pernah tinggal tiap-tiap lima kali sembahyang minta Allah ampuni seluruh umat Islam.

Menjawab satu soalan bahawa PAS sudah terikut-ikut dengan DAP sehingga dilihat sanggup menggadai prinsip,Harussani berkata:
“Peringkat awal dulu kenapa PAS keluar daripada Perikatan? Masa itu kenapa bila ditubuh Perikatan, PAS keluar kerana tidak mahu sekongkol dengan orang kafir masa itu, keluarlah fatwa bersekongkol dengan orang kafir jadi kafir..tapi hari ini orang yang terang terang menentang Islam, yang katakan langkah mayat (dia) kalau nak laksana hukum Islam.

“Yang kedua kita melihat Ambiga (Datuk) sebagai ketua dalam majlis peguam dulu telah merangka beberapa undang undang untuk menjatuhkan Islam dengan hendak menubuhkan IFC dan (perkara) ini mufti tentang waktu itu.

Beliau hairan kerana “orang ini pula yang kita sokong, kemudian kita dengar akhir-akhir ini, PAS melantik orang bukan islam . . .apakah kita akan mengharap orang bukan Islam untuk membela dan bangun untuk menegakkan islam?

“Quran banyak sekali meletakkan ayat-ayat supaya kita jangan melantik ketua kita orang bukan islam.

Nasihatnya kepada puak-puak ini dan umat lslam seluruhnya ”. . . kita (perlu) berhati-hatilah dalam masalah agama ini, kita lihat betul- betul, jangan kita hanya taksub kepada orang atau parti sehingga kita sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang salah dan melanggar hukum Allah. “

Harussani mengakhiri interbiu itu dengan berkata “Inilah peringatan saya sebagai orang tua yang masih diberi Tuhan kuasa bercakap, kalau tak mahu dengar itu terpulang . . .Kita hanya menyampaikan”, katanya.

 

 

Nota kaki:

Menteri Besar Kelantan itu dalam respon nya ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang mufti.

 

18/05/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

ANTARA 2 ABDUL AZIZ, PAS DAN DAP

 

KELMARIN, dua pemimpin pembangkang membuat dua kenyataan yang berbeza. Kedua-duanya melibatkan individu bernama ‘Abdul Aziz’.

Kenyataan pertama dibuat oleh Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat keputusan meninggalkan parti itu selepas dikecam hebat oleh kepimpinan DAP yang salah seorang pemimpinnya ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Segalanya bermula apabila Tunku Abdul Aziz enggan menyokong perhimpunan haram Bersih yang dianggap melanggar undang-undang negara serta hanya mencetuskan huru-hara. Akibat ketegasannya Tunku Abdul Aziz tidak disambung tempoh perkhidmatan sebagai Senator oleh DAP.

Ketika Tunku Abdul Aziz tegas dengan pendiriannya dan sanggup kehilangan kedudukan demi menegakkan kebenaran, kita juga dihidangkan dengan kenyataan keras oleh seorang lagi bernama Abdul Aziz iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang mufti.

Sebelum ini, dalam isu Bersih, Nik Abdul Aziz ternyata meletakkan kepentingan politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya apabila Mursyidul Am Pas itu menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hanya menggunakan sebelah mata apabila mengaitkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan huru-hara dan umat Islam haram menyertainya.

Malahan dalam kenyataan melalui Facebook, Nik Abdul Aziz secara sinis berkata, mata yang digunakan oleh jawatankuasa fatwa itu pula adalah kabur dengan cermin mata yang telah rosak.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau bersetuju perhimpunan yang bertujuan mencetuskan huru-hara dan merosakkan harta benda adalah haram, tetapi bukan Bersih 3.0. Beliau turut menyifatkan jawatankuasa itu membuat keputusan hanya berdasarkan laporan akhbar prokerajaan, tanpa mendapat penjelasan daripada penganjur Bersih 3.0.

Namun cuba kita kaji apa kata Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih pada 26 April lalu sehingga memungkinkan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan DAP. Menurut Tunku Abdul Aziz, beliau membantah perhimpunan itu kerana berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.

”Walaupun saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih. Saya tak akan sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi sebaliknya," kata beliau ketika itu.

Mungkin Tunku Abdul Aziz membuat bantahan tersebut kerana melihat apa yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu yang kesudahannya berakhir dengan kekecohan. Dan pada tahun ini penganjur sengaja mencari fasal apabila tetap ingin mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka biar pun ia sudah ada perintah mahkamah melarang mereka berbuat demikian.

Ternyata telahan Tunku Abdul Aziz menjadi kenyataan apabila perhimpunan Bersih 3.0 turut berakhir dengan kekecohan dan lebih teruk lagi ada keberanian luar biasa di kalangan penunjuk perasaan untuk merempuh sekatan polis.

Tetapi Pas termasuk Nik Abdul Aziz sengaja tidak mahu mengakui fakta ini, sebaliknya parti berkenaan bersekongkol dengan Majlis Peguam menyalahkan pihak berkuasa. Lidah rasmi Pas menunjukkan gambar kononnya polis bertindak ganas tetapi mereka tidak pula memaparkan bagaimana Unit Amal parti itu merempuh sekatan polis yang dikatakan menjadi salah satu penyebab utama perhimpunan tempoh hari menjadi ganas.

Tindakan Tunku Abdul Aziz meletakkan jawatan, sekali lagi memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya sentiasa berpegang kepada prinsip dan konsisten dalam apa juga yang dilakukan.

Tunku Abdul Aziz boleh sahaja menyokong Bersih kalau beliau mahu tempoh senatornya disambung tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana ini menyentuh soal prinsip. Tunku Abdul Aziz tidak mahu menjadi seperti pemimpin-pemimpin Pas yang sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana perjuangan politik.

Mungkin hujah ini tidak disenangi oleh Pas dan Nik Abdul Aziz tetapi inilah kenyataannya. Walaupun banyak pihak sudah melihat bahawa perhimpunan Bersih tidak akan mendatangkan sebarang faedah apatah lagi dengan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah namun ia tidak dipedulikan oleh Pas dan sekutunya.

Oleh itu, mereka mahu mana-mana juga pihak termasuklah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyokong perhimpunan berkenaan, kalau membuat kenyataan berbeza dengan apa yang mereka perjuangkan maka pihak-pihak berkenaan akan dituduh pak turut kerajaan.

Sebab itulah, apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengatakan perhimpunan Bersih haram, maka melompatlah kepimpinan Pas. Pelbagai dalil dan hujah dikeluarkan oleh mereka bagi mempertahankan Bersih dan ada antaranya memperlekehkan keputusan majlis tersebut.

Sebagai contoh, seorang pelajar Malaysia di Jordan dalam satu tulisan yang disiarkan oleh blog-blog memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan meminta anggota majlis tersebut bersikap terbuka biar pun menerima gaji daripada kerajaan BN.

Inilah sikap pemimpin dan penyokong Pas, kalau sesuatu keputusan itu tidak menyebelahi politik mereka, maka ia ditolak bulat-bulat biar pun ia dibuat berlandaskan al-Quran dan hadis.

Jika situasi ini diambil kira, jelaslah Tunku Abdul Aziz jauh lebih matang berpolitik berbanding kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz. Ia memandangkan Tunku Abdul Aziz bersedia menerima risiko bagi menyatakan kebenaran tetapi Pas sentiasa sahaja berdolak-dalik dan membuat sesuatu keputusan berdasarkan perhitungan politik semata-mata.

Justeru tidak hairanlah apabila kepimpinan Pas bercakap soal hudud, tidak ada sebarang perasaan takut di kalangan pemimpin-pemimpin DAP atau PKR untuk membantah perkara tersebut. Ini kerana mereka memahami kepimpinan Pas terlalu taksub berpolitik dan tetap akan bersama dengan pakatan pembangkang biar pun apa juga berlaku.

Begitulah juga dalam isu Bersih, ketegasan Tunku Abdul Aziz dan keputusan Jawatankuasa Fatwa sudah pasti tidak akan mengugat Pas untuk terus menyokong perhimpunan haram berkenaan biar pun ia telah membawa kesan yang amat buruk kepada negara.

Pemikiran kepimpinan Pas sudah terkepung dengan politik untuk menjatuhkan kepimpinan BN melalui sasaran memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Apa pun Tunku Abdul Aziz boleh dianggap memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz supaya konsisten dalam memperjuangkan sesuatu dan perlu menjadikan apa yang berlaku kepada beliau sebagai isyarat mengenai wajah sebenar politik DAP.

 

(Sumber: Empayar Pemuda)

18/05/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: