Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Masyarakat Papua peluk Islam beramai ramai

02/03/2012 Posted by | Aqidah, Renungan & Teladan, Video | | Leave a comment

BERADAB apabila berhadapan dengan kesilapan ULAMA

Di dalam menghadapi persoalan semasa, keadaan menunjukkan telah wujud sebilangan golongan yang terlalu bersikap kurang ajar dengan para ulama. Mereka sanggup menghina ulama dengan pelbagai tohmahan disebabkan pandangan ulama itu tidak sependapat dengan mereka.

Berkata al-Imam al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn Syakir:
Ketahuilah saudaraku! Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada aku dan kamu untuk mendapat redhaNya serta menjadikan kita orang yang sentiasa takut dan takwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketakwaan. Sesungguhnya daging para ulama adalah beracun dan kebiasaannya telah dimaklumi bahawa Allah akan membinasakan orang yang menghina ulama. Sesungguhnya sesiapa yang menggunakan lidahnya dengan mencela / menfitnah para ulama maka Allah akan menurunkan bala kepadanya, iaitu sebelum matinya maka hatinya telah mati terlebih dahulu.

Oleh itu, saya ingin menyeru umat Islam agar memahami penjelasan ringkas yang cuba saya terangkan ini agar kita tidak terjebak di dalam lembah kerosakan. InsyaAllah.

Dr. Talaat Afifi di dalam karyanya al-Ulama baina al-Tauqir wa al-Tatawul telah mengariskan beberapa adab ketika berhadapan dengan kesilapan para ulama. Kesimpulannya saya ingin nyatakan seperti mana berikut:

1. Tidak gopoh menyalahkan ulama.

Kita perlulah menyelidik terlebih dahulu kenapakah seseorang ulama itu mengeluarkan pendapatnya sedemikian rupa. Selepas diteliti, mungkin terdapat alasan-alasan tertentu yang menyebabkan ulama itu mengatakan sebegitu. Keadaan ini bagi memelihara sikap buruk sangka terhadap ulama sehingga boleh menimbulkan fitnah. Kadang-kala wujud segelintir golongan yang tidak memahami dengan jelas pendapat serta hujah ulama itu, maka mereka terus menyalahkan ulama tersebut, walaupun hakikatnya mereka yang melakukan kesalahan dalam memahami sesuatu perkara itu.

2. Membataskan kesilapan ulama.

Jika benar ulama telah melakukan kesilapan, maka kita perlulah membataskan kesilapan ulama itu setakat apa yang menjadi kesilapan itu sahaja dan bukan berlebih-lebihan dalam mengkritiknya. Nukilkan dengan ikhlas kesilapan itu dan menjelaskannya dengan dalil-dalil serta pandangan ulama lain. Pandangan ulama lain perlu diketengahkan memandangkan mereka yang lebih memahami tentang kesilapan seseorang ulama itu.

Kita perlu sedar bahawa kesilapan ijtihad ulama beroleh satu pahala dan jika berbetulan pula memperolehi dua pahala. Oleh itu, elakkan sikap yang melampau ketika berhadapan dengan kesilapan itu. Kadang-kala jika seseorang terlalu membenci seseorang ulama itu, maka dia menganggap tiada langsung kebenaran yang boleh diambil oleh ulama tersebut. Kesilapan ulama dalam ijtihadnya tidak sedikit pun mengurangkan penghormatan terhadapnya.

3. Memberi pertimbangan antara positif dan negatif.

Jika berhadapan dengan kesilapan ulama, kita perlu bertanya diri sendiri, manakah yang lebih baik antara menyebarkan kebaikkan positif atau keburukan negatif? Sesungguhnya terlalu banyak kebenaran dan jasa para ulama jika dibandingkan dengan kesilapan yang mereka tidak sengaja lakukan. Bagaimana pula dengan diri kita yang tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap Islam? Bagi mereka yang beriman sudah tentu akan mengambil jalan untuk menyebarkan kebaikkan para ulama dari melaga-lagakan khilaf antara ulama sehingga timbul perpecahan di kalangan umat Islam.

4. Bukan untuk menandingi ulama.

Sebilangan golongan mungkin sengaja mencari-cari kesilapan ulama semata-mata untuk menaikkan imej peribadinya di mata masyarakat. Mungkin anggapannya para ulama sebenarnya tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan dirinya yang boleh menyanggah pendapat para ulama itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk menandingi para ulama atau mengalahkan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka.(Riwayat al-Tirmizi). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk berbangga dengannya akan para ulama atau untuk berdebat dengannya akan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu di dalam api neraka.(Riwayat Ibn Majah).

 

KESIMPULAN

Sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan untuk menghormati para ulama sebagai pewaris para nabi. Penghormatan ini diberikan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah).

(Sumber: buluh.iluvislam.com).

02/03/2012 Posted by | Informasi, Renungan & Teladan, Tazkirah | , , | Leave a comment

Bakar al-Quran konspirasi keji

SEBAHAGIAN umat Islam di Malaysia yang mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandom membantah isu bakar al-Quran oleh tentera NATO di Kedutaan Amerika Syarikat, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEJAK kebelakangan ini kaum Muslimin diuji keimanan dan kesabarannya. Betapa tidak, diberitakan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan minggu lalu.

Kemudian NATO mengeluarkan kenyataan mereka tidak sengaja melakukannya dan memohon maaf.

Serentak dengan itu aksi para penunjuk perasaan dan demonstrasi diadakan di seluruh dunia khususnya di Afghanistan, Pakistan dan lain-lainnya.

Diberitakan dua tentera NATO telah ditembak mati di Afghanistan.

Sebelum itu, pendeta Terry Jones telah membakar al-Quran di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang menuduh Islam dan hukum syariah bertanggungjawab atas tercetusnya keganasan dan runtuhnya gedung World Trade Center (WTC) di New York pada 11 September 2001.

“Islam adalah syaitan, agama itu menyebabkan jutaan orang masuk neraka, agama menipu, agama keganasan,” katanya ketika diwawancara CNN, baru-baru ini.

Dalam laman webnya, mereka mengemukakan 10 alasan mengapa al-Quran harus dibakar. Di antaranya, al-Quran dianggap tidak asli, tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan dan mengajarkan totalitarisme kekuasaan.

Islam juga dianggap tidak sesuai dengan demokrasi dan Barat. Kebetulan pula hari pembakaran al-Quran itu bertepatan Hari Raya Aidilfitri 1431 hijrah.

Langkah Terry Jones menunjukkan betapa Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) merebak luas di kalangan orang AS. Serangan 11 September itu dikatakan dilakukan oleh pengganas Muslim.

Sejak itulah Amerika melancarkan ‘perang melawan pengganas’ atau war on terrorism dengan menjadikan Islam sebagai sasarannya. Pada hal Theiry Meyssan, wartawan dari Perancis menemukan bahawa apa yang dikatakan oleh Amerika dan didukung oleh medianya (yang 90% milik Yahudi) adalah pembohongan besar.

Ia mengungkap temuannya dalam buku berjudul 9/11 The Big Lie America.

Jadi ‘aneh bin ajaib’ jika Terry Jones membuat logikal, WTC runtuh dan pelakunya adalah Muslim yang mendapat inspirasi oleh al-Quran. Sebab itu al-Quran harus dibakar sebagai simbol perlawanan dan permusuhan serta kebencian di mulut dan di hati merekalah yang menjadikan Islam tetap dianggap sebagai agama pengganas.

Kenyataan ini makin menegaskan kebenaran firman Allah SWT yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu mengikuti agama mereka. (al-Baqarah: 120).

Allah SWT juga menegaskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud: Mereka (kaum kafirin) tidak pernah berhenti (menimbulkan kemudaratan atas kamu). Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi (bahayanya). (ali-Imran: 118).

Seharusnya penguasa negara-negara Muslim, melalui diplomasi luar negaranya boleh menekan dan berbudi bicara mengenai kes-kes seperti ini agar tidak berulang.

Harus bersikap tegas dan serius serta tidak ingin kejadian ini akan melahirkan akibat lebih buruk lagi dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Umat Islam tentu dapat memberi respons dengan cara mereka sendiri bagi mengelak kejadian ini agar tidak bertambah parah.

Sabar ada had

Kesabaran umat Islam pun ada had dan batasannya jika diuji. Kerana itu setiap agama di dunia ini mahu hidup dengan harmoni, dengan lain kata pengharaman membakar kitab-kitab agama masing-masing adalah dilarang sekeras-kerasnya.

Para penguasa Muslim harus mencontohi para khalifah dahulu, di mana Perancis pernah merancang pertunjukan drama yang diambil dari hasil karya Voltaire.

Isinya bertema ‘Muhammad atau kefanatikan’. Di samping mencaci Rasulullah SAW, drama tersebut menghina Zaid dan Zainab.

Waktu itu Sultan Abdul Hamid menjadi khalifah Usmaniyah, beliau mengetahui berita tersebut melalui dutanya di Perancis. Beliau segera mengancam pemerintah Perancis agar menghentikan pementasan drama tersebut. Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ada ‘tindakan politik’ yang akan dihadapi Perancis jika mahu meneruskan dan mengizinkan pementasan itu. Perancis akhirnya membatalkannya.

Jelas hakikat drama itu sama dengan hakikat berbagai penghinaan kaum kafir Barat terhadap Islam dan umatnya ketika ini.

Bermula dengan karikatur Nabi SAW di Denmark, pelarangan jilbab dan merosakkan masjid di Eropah, hingga entah apa lagi yang akan diperbuat mereka untuk menghina al-Quran, Nabi Muhammad SAW, sekali gus juga sebagai mencabar Allah SWT.

Oleh itu, demi kemuliaan Islam dan kaum muslimin, demi al-Quran dan Rasulullah SAW serta demi keredaan Allah SWT, kita haruslah menangani masalah serius ini mengajak ummah menegakkan kebenaran abadi dan membela agama Allah di bumi ini.

Ini supaya Islam tidak dipijak-pijak dan dihina-hinakan oleh kaum kafirin. Ya Allah, Ya Rabb, tolongilah kami dari kaum kafirin. Kerana itu, saksikanlah. Amin Ya Rabbal Alamin.

(Oleh IBRAHIM ABDULLAH – Utusan Malaysia 2hb Mac 2012)

02/03/2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Informasi, Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: