Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Malaysia Kecam Insiden Bakar Al-Quran Di Afghanistan – Anifah

KUALA LUMPUR Jumaat Februari 24, 2012 :

Malaysia kecam dengan insiden pembakaran Al-Quran oleh anggota tentera Amerika Syarikat di Bagram, Afghanistan, awal minggu ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya tindakan tidak bertanggungjawab dan sensitif itu telah mencetuskan gelombang kemarahan yang tidak wajar di Afghanistan serta beberapa bahagian lain di dunia termasuk Malaysia.

“Malaysia sedih dengan kehilangan beberapa nyawa akibat tindakan itu dan terkejut serta kecewa dengan perbuatan hina itu telah berlaku ketika usaha-usaha dijalankan untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di Afghanistan dan rantau itu.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya menghalang usaha-usaha komuniti antarabangsa memulihkan keamanan dan kestabilan di Afghanistan,” kata Anifah dalam kenyataan di sini, malam Jumaat.

Malaysia juga meminta semua pihak yang marah dengan insiden itu supaya tidak mengambil sebarang tindakan ganas manakala sikap tidak ambil kisah dan tidak bertanggungjawab oleh anggota tentera Amerika yang terbabit tidak boleh ditolak ansur, katanya.

Anifah berkata Malaysia berharap pihak berkuasa berkaitan akan mengambil tindakan sesuai dengan segera terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu.

“Malaysia juga menyambut baik jaminan oleh kerajaan Amerika Syarikat serta komander Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di Afghanistan bahawa perkara itu akan disiasat dengan teliti dan mengambil tindakan supaya mengelak insiden seperti itu berulang pada masa depan,” katanya. – BERNAMA

Foto: Berita Harian

 

25/02/2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa | | Leave a comment

Fahami konsep berBaiah politik dalam Islam

“Bai’ah yang memaksa individu mentaati parti sehingga boleh mendatangkan kecelakaan dan laknat daripada Allah apabila tidak akur kepada parti adalah bersalahan dengan etika berpolitik dan bertentangan dengan ajaran Islam”.

 

Bai’ah bukan merupakan senjata terpenting untuk mengekalkan kekuatan parti. Bai’ah setia kepada parti tidak menyalahi prinsip berpolitik di mana pemimpin dan ahli-ahli politik yang ingkar kepada peraturan parti boleh disingkirkan daripada parti.

Politik bukan satu agama tetapi ia hanya satu aspek yang dibicarakan dalam agama Islam. Pemimpin dan ahli-ahli parti politik mempunyai hak untuk menentang dan keluar daripada parti politik. Ia tidak membabitkan pembalasan di akhirat sama ada dimasukkan ke dalam neraka atau disiksa.

Perkara yang membabitkan dosa dan pahala dalam berpolitik adalah berdasarkan kepada sikap dan sifat para pemimpin dan ahli-ahli politik. Jika mereka amanah, jujur, bertanggungjawab dan berkorban untuk masyarakat dan negara, mereka juga dimasukkan ke dalam syurga walaupun parti politik mereka tidak menggunakan slogan Islam.

Parti politik yang sering menakutkan ahli-ahli mereka dengan pembalasan di akhirat jika mereka keluar daripada parti mempunyai ciri-ciri neo-Kharijites (menganuti ideologi Khawarij yang menghukum orang Islam yang bukan kumpulan mereka sebagai kafir). Pergerakan neo-Kharijites ini adalah terdiri daripada kumpulan fanatik yang radikal.

Parti politik begini tidak akan dapat memberi keselesaan kepada para ahli yang menyertai mereka kerana terdapat unsur-unsur yang menghapuskan fitrah ciptaan manusia yang bebas membuat keputusan berdasarkan kepada bisikan hati dan pemikiran yang rasional.

Parti politik yang menganuti sistem demokrasi tidak akan mengaitkan keingkaran para ahli menyertai politik tersebut dengan pembalasan di hari akhirat kerana anggapan begini adalah sama dengan konsep menggunakan agama demi kepentingan politik. Apabila ciri-ciri begini dipertonjolkan kepada masyarakat maka jelas menunjukkan bahawa parti politik tersebut tidak mengamalkan konsep demokrasi seperti mana dituntut oleh agama.

Realiti dan fakta sejarah berkaitan dengan politik umat Islam perlu dikaji supaya sikap dan tindak tanduk dalam berpolitik tidak mengundang perpecahan dan perselisihan umat yang keterlaluan sehingga menghancurkan sebuah negara Islam. Rakyat dan masyarakat bebas memilih setiap parti politik yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka, agama dan negara.

Dalam pertengahan abad ke-tujuh Masihi, Saidina Ali yang merupakan pemimpin parti politik memberi kebebasan kepada ahli-ahli politiknya keluar dari parti politiknya apabila mereka tidak bersetuju dengan prinsip berpolitik yang dianuti oleh beliau. Beliau tidak bersetuju dengan sekumpulan kecil penyokongnya yang terlalu ghairah menyalah gunakan ayat-ayat al-Quran menghukum Muawiyah (khalifah wilayah umat Islam ketika itu) sebagai kafir. Kumpulan tersebut keluar daripada parti Ali dan menubuhkan pergerakan sendiri yang mana dikenali sebagai Khawarij.

Saidina Ali mempunyai prinsip yang kukuh dalam berpolitik dan mamahami konsep berpolitik dalam Islam. Beliau menentang kumpulan Khawarij apabila mereka menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran. Beliau secara tegas mengatakan bahawa penentangan beliau terhadap Muawiyah hanyalah berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran dalam negara bukan berkaitan dengan akidah Muawiyah.

Sikap dan pendirian Saidina Ali berkaitan dengan politk sepatutnya dijadikan panduan kepada umat Islam jika parti politik mereka tidak menerajui kepimpinan negara. Prinsip dan objektif perjuangan menentukan hala tuju perjuangan politik. Jika prinsip dan matlamat perjuangan hanya untuk mendapat kuasa maka pelbagai bentuk bai’ah yang menggerunkan digunakan kerana ditakuti kehilangan para ahli.

Jika prinsip dan objektif perjuangan berdasarkan kepada keredaan Ilahi dan kefahaman yang mendalam terhadap kepentingan agama dan masyarakat maka parti politik yang memperjuangkan syariah Islam tidak gentar mempunyai bilangan ahli yang sedikit kerana kekuatan parti bergantung kepada ketaatan dan kesetiaan secara sukarela bukan paksaan.

Perjuangan politik yang memperjuangkan Islam mempunyai pendirian yang mantap dan memahami kekuatan dan kelemahan parti politiknya. Kegigihan memperbaiki parti dan pemantauan terhadap kegiatan para pemimpin ahli politik dalam melaksanakan tugas dijadikan satu agenda terpenting untuk mendapat sokongan rakyat bukan berkompromi dengan musuh Islam sehingga mengorbankan prinsip dan objektif perjuangan suci.

Lantaran kuasa menjadi matlamat perjuangan maka kedudukan parti politik berslogan Islam terumbang-ambing dalam pergolakan pakatan parti politik yang tidak mempunyai haluan perjuangan Islam. Akhirnya, perjuangan selama berpuluh tahun terkandas dan prinsip perjuangan asal terkubur lantaran terlalu ghairah dengan kemenangan tanpa mengkaji risiko dan kesannya terhadap umat Islam.

Oleh itu, masyarakat Islam sepatutnya meneliti dan mengkaji sejauh manakah parti politik umat Islam memperjuangkan Islam sebelum membuat pilihan parti memerintah supaya mereka tidak terjerumus dalam peristiwa pisang berbuah dua kali.

 

(Nukilan dari tulisan: Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman,  Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM di Utusan Online).

25/02/2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | Leave a comment

Orang bodoh tak kenal orang pandai

ORANG PANDAI SANGAT KENAL KEBODOHAN ORANG BODOH

ORANG BODOH TAK KENAL DENGAN KEPANDAIAN ORANG PANDAI

ORANG PANDAI KENAL ORANG BODOH

SEBAB DIA PERNAH JADI ORANG BODOH

ORANG BODOH TAK KENAL ORANG PANDAI

SEBAB DIA BELUM PERNAH PANDAI

JADI ORANG BODOH JANGAN JADI BERTAMBAH BODOH

SUKA MENGATA ORANG PANDAI BODOH.

NUKILAN HUKAMAK

25/02/2012 Posted by | Madah dan Sajak | 1 Comment

   

%d bloggers like this: