Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Maulidurrasul S.A.W semarakkan perjuangan Islam

Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:

Maksudnya :  Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah tegas terhadap orang-orang kafir serta berlemah lembut sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda mereka nampak jelas pada muka mereka daripada kesan sujud. Demikianlah sifat mereka dalam Taurat dan sifat mereka dalam Injil iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu membesar dan tegak lurus di atas pokoknya di mana tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah hendak menyakitkan hati orang-orang kafir dengan kekuatan orang-orang mukmin. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar

Rabiul Awwal pernah mencatat sejarah gemilang dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w Nabi akhir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu al-Quran bagaikan mentari yang bercahaya terang menerangi alam semesta yang dulunya diselubungi kegelapan jahiliah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan. Sudah menjadi sunnatullah di mana setiap yang batil akan dikalahkan oleh yang hak, setiap kesesatan nafsu akan dikuburkan oleh kebenaran wahyu, setiap kegelapan jahiliah akan dihilangkan dengan cahaya Islam dan setiap ancaman kekufuran akan dipadamkan oleh siraman keimanan. Oleh itu, Allah melalui para rasulNya termasuk Nabi kita Muhammad s.a.w telah memberi petunjuk yang jelas kepada umatnya dalam membeza antara yang hak dan batil seterusnya menyuruh agar diikut ajaran yang benar dengan menolak sebarang ajaran yang sesat. Ini ditambah pula dengan betapa sempurnanya ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi lagi Rasul akhir zaman di mana ajarannya meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk aqidah, ibadat, muamalat, perundangan.

Kedatangan Rabiul Awwal kali ini sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh umat Islam pada hari ini untuk kembali semula kepada semua ajaran dan sistem Islam yang menyeluruh agar kita kembali menjadi umat mulia. Apa gunanya kita menghabiskan wang yang beribu dalam memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sedangkan apabila dituntut agar dilaksanakan seluruh ajaran Nabi maka kita tidak mahu. Bezakanlah sambutan Maulidurrasul yang kita adakan saban tahun dengan Maulidurrasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Kita mesti ingat bagaimana Abu Lahab sanggup memerdekakan hambanya Suwaibah serta menyembelih 100 ekor unta kerana terlalu gembira menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w tetapi akhirnya apabila Nabi menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam maka dialah antara mereka yang paling utama menentang Nabi sehingga dia mengatakan celaka kepada Nabi tetapi Allah telah menyatakan bahawa Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil yang celaka bukannya Nabi sebagaimana yang tertera dalam surah al-Masad. Kita dapat saksikan bagaimana permusuhan Abu Lahab terhadap Nabi begitu kuat antaranya dia sanggup mengahwinkan dua orang anaknya dengan  anak Nabi iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthom tetapi apabila Nabi menyatakan kenabiannya maka Abu Jahal menyuruh agar kedua anaknya itu menceraikan anak Nabi bagi menambah bebanan dan tekanan terhadap Nabi. Begitu juga ketika berlakunya pemulauan terhadap suku Bani Hashim maka Abu Lahab turut serta memulaunya walau pun dia sendiri dari suku yang sama kerana bencinya terhadap Nabi. Manakala isterinya Ummu Jamil sanggup menyakiti Nabi dengan meletak duri disepanjang jalan yang digunakan oleh Nabi.

Oleh itu umat Islam perlu sedar dan insaf  bahawa sambutan Maulidurrasul yang diadakan mestilah selari antara apa yang dipuji dalam bacaan berzanji dan selawat dengan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Janganlah pula kita begitu bersungguh memuji akhlak Nabi dan cara baginda menangani masalah sosial dengan sistem Islam sedangkan adanya umat Islam hari ini yang berusaha bersungguh-sungguh dalam memerangi pengajian agama sedangkan dalam masa yang sama menggalakkan hiburan yang melalaikan serta penambahan kelab malam yang lebih banyak melahirkan pelacur dari kalangan umat Islam sendiri. Jangan kita hanya tahu memuji Nabi yang mengharamkan arak sedangkan adanya umat Islam yang mengizinkan pembinaan kilang arak dalam negara. Jangan hanya tahu memuji Nabi yang mengharamkan judi yang banyak membawa masalah kepada negara sedangkan adanya umat Islam yang terang-terang memberi lesen dalam menambah bilangan pusat perjudian dalam negara. Jangan hanya tahu memuji Nabi yang telah berjaya menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia serta berusaha dalam memperkukuhkan aqidah dan mengawal daripada berlakunya murtad dengan perundangan Islam sedangkan umat Islam hari ini bukan sahaja tidak melakukan kerja dakwah bersungguh-sungguh malah aqidah umat Islam semakin tercabar. Jangan hanya tahu memuji Nabi yang mampu membina ekonomi berasaskan Islam yang kukuh dengan menghapuskan riba sedangkan umat Islam hari ini ramai yang terus bergelumang dengan riba serta negara dihantui oleh masalah ceti haram yang sememangnya menghidupkan amalan riba.

Sambutan Maulidurrasul s.aw yang kita adakan saban tahun jika benar-benar dilakukan dengan ikhlas kerana Allah sebagai menyambut tubuh dan seluruh ajaran yang dibawa oleh Nabi akan menjadi dalil dalam menjawab tohmahan dan cacian tokoh kafir Quraisy yang pernah mengatakan :

“ Biarkan Muhammad  kerana dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”.

Nabi Muhammad s.a.w yang diuji dengan kewafatan kesemua anak lelakinya ketika kecil iaitu Qasim, Abdullah dan Ibrahim agak tertekan dengan cacian tersebut sehinggalah Allah menghiburkan nabi dengan turunnya ayat 1-3 surah al-Kauthar :

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang melimpah ruah. Oleh itu, dirikanlah solat dengan ikhlas kerana Tuhanmu dan korbankanlah pada hari raya haji. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau maka dialah orang yang putus keturunan.

Surah ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w dikurniakan nikmat yang terlalu banyak dan berterusan serta menolak dakwaan bahawa dakwah Nabi akan terputus kerana tiada anak lelaki yang bakal meneruskan dakwahnya. Sebaliknya Allah menyatakan bahawa mereka yang kufur sebenarnya yang terputus kejahatannya kerana nama Nabi Muhammad s.a.w terus disanjung sehingga hari ini sedangkan mereka yang menentangnya terus dilupa. Malah dakwah Islam terus berkembang sehingga seluruh pelusuk dunia sedangkan kekufuran yang dibawa oleh oleh musuhnya terus lenyap. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus kerana ia tetap menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar-umbinya jauh ke dalam. Sebaliknya apa yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan walau bagaimana pun ia membesar dan kuat.

Semoga kehadiran Rabiul Awwal kali ini memberi sinar kepada umat Islam sebagaimana bersinarnya dunia setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. Umat Islam mesti kembali bersatu atas landasan Islam dengan menolak sekuler dan semangat kebangsaan sempit. Umat Islam mesti bersatu atas dasar iman dengan menolak ideologi ciptaan manusia yang sesat dan membawa kepada kekufuran. Cukuplah dengan penjajahan baru yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan penderitaan umat Islam di Palestin terutama Menteri Dalam Negeri Israel telah mengumumkan bahawa Yahudi dibenarkan masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa untuk beribadat. Jangan tunggu sehingga satu demi satu negara umat Islam dijajah barulah kita mahu bersatu terutama Asia Tenggara kini mula bergolak kembali setelah Asia Barat dihancurkan. Selatan Filiphina telah kembali bertelagah setelah gencatan senjata ditarik balik. Kedudukan Acheh bagaikan menunggu masa untuk dihancurkan oleh saudara seagama Indonesia walau pun usaha baru damai sedang dijalankan. Malah tuduhan bahawa militan Islam terlibat dalam menyerang kem tentera di Yala tidak lebih daripada usaha Thailand dalam menjemput Amerika membuka pusat anti pengganas di Selatan Thailand yang diduduki oleh majoriti umat Islam. Oleh itu kembalilah bersatu sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya :

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan

Bersungguh dalam bersatu dengan Islam sebagai wadah perjuangan. Semarakkan semangat jihad agar kita tidak terus menjadi  mangsa penindasan kuffar. Kita tidak akan sama sekali tunduk kepada kekufuran. Biar bermandi darah asalkan Islam kembali gagah. Biar darah membasahi bumi asalkan Islam dijulang tinggi. Yakinlah kepada pertolongan Allah dan kemenangan yang dijanjikan. Umat Islam yang bermaruah tidak sama sekali menyerah kalah walau pun kita sedar bahawa kemenangan Islam bukannya mudah. Biar pelbagai ujian, halangan, cabaran dan tentangan yang datang dalam perjalanan mencari keredhaan Allah namun perjuangan Islam mesti diteruskan sehingga datangnya ketentuan daripada Allah.

Firman Allah dalam ayat  65 surah al-Anfal:

Maksudnya :  Wahai Nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti

(Intisari dari ekhutbah wordpress.com)

27/01/2012 - Posted by | Tazkirah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: