Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Hudud: Ulasan pembahasan Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi mengenainya

Bicara al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang ‘Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini’ yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.

Garis panduan tersebut-yang dirumuskan daripada pengamatan beliau terhadap pendekatan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum hudud-sangat penting dari segi menyatukan pandangan umat Islam hari ini dalam soal kaedah perlaksanaan hukum tersebut.

Atau paling kurang, merapatkan jurang perselisihan pandangan berhubung soal ini.

Trend semasa wacana hudud di negara ini memperlihatkan, pihak-pihak yang memperkatakan tentang perlaksanaan hukum hudud atau yang berusaha melaksanakannya, kurang memberi perhatian terhadap kaedah atau pendekatan yang digunakan Nabi SAWdalam melaksanakan hukum itu.

Trend ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pelebaran jurang perbezaan pendapat berhubung soal ini.

Merujuk kepada kaedah Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Qaradhawi telah mengetengahkan satu fakta, yang barangkali boleh ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.

Fakta itu menyatakan, ‘sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.

(Rujuk : http://www.qaradawi.net/)

Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat ‘perlaksanaan hudud’ sebagai ‘agenda teratas’ dalam sesebuah negara Islam.

Penegasan ini sebaliknya menuntut sesebuah Negara Islam, melaksanakan hukum hakam Islam dan tuntutan-tuntutan Islam yang lain terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah untuk melaksanakan hukum hudud.

Gambaran yang jelas tentang kuantiti hukum hakam dan tuntutan-tuntutan Islam ini boleh diperolehi melalui tinjauan ke atas pembahagian ulama terhadap jenis-jenis hukum hakam Islam.

Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk, iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan perbuatan manusia.

Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).

Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).

Pembahagian ini memperlihatkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.

Sementara kedudukannya dalam ‘jadual’ perlaksanaan pula ialah pada kedudukan atau tertib terakhir, seperti yang telah dinyatakan Qaradhawi.

Pandangan Qaradhawi ini turut dikongsi oleh Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib, seorang tokoh terkenal pergerakan Ikhwanul Muslimin masa kini, yang juga merupakan pengarang Risalah al-Ta’lim, Syarh Usul al-‘Isyreen dan lain-lain.

Dengan ungkapan yang jelas, Muhammad Abdullah al-Khatib mengatakan,”hudud dalam Islam…datang pada [kedudukan] penghujung [proses] pensyariatan [hukum] kerana Islam lebih prihatin terhadap tangan manusia [daripada dipotong akibat mencuri], kehormatan, hak milik dan kehidupan mereka keseluruhannya”.

Justeru, beliau menolak dakwaaan sesetengah pihak yang mengatakan perlaksanaan hukum hudud berada pada kedudukan teratas dalam ‘jadual perlaksanaan Islam’ berbanding hukum hakam yang lain.

Beliau menyatakan, “[hukum] hudud sebagaimana yang kamu lihat dengan syarat-syaratnya yang ketat, dan dengan [syarat] menyediakan keperluan-keperluan asas kepada setiap individu umat ini [sebelum melaksanakannya], datang pada [kedudukan] penghujung hukum hakam [Islam dari segi perlaksanaan], bukannya pada permulaannya, seperti yang didakwa sesetengah [pihak]”.

(Lihat http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=82931&SecID=391)

Qaradhawi bagaimana pun tidak pula menyatakan dengan jelas, dalil yang menjadi asas kepada pandangan beliau ini. Namun, boleh difahami daripada bicara beliau ketika diwawancara oleh setesen satelit, al-Jazeera pada 10 Januari 2011 itu, dalilnya ialah waktu turun ayat-ayat yang memerintahkan perlaksanaan hukuman-hukuman hudud, iaitu zina, qazaf, mencuri, dan hirabah.

Menurut beliau, ayat-ayat tersebut-yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud- adalah antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan dari segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini dari segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama dari segi perlaksanaan.

Oleh sebab itu, beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan [hukum] hudud, beri makan [terlebih dahulu] kepada orang yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih [para] pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan [hukum] hudud”.

Bagi menyokong pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hudud ini, Qaradhawi juga dilihat berdalilkan dengan hakikat bahawa Islam tidak beria-ia mahu menghukum manusia yang melakukan kesalahan hudud. Hakikat ini adalah jelas kerana amalan Nabi SAW dan hadis-hadis Baginda sendiri menyatakan hal ini.

Jika demikian, umat Islam perlulah bergerak seiring dengan amalan Nabi SAW dari segi mengelak mengenakan hukuman hudud, meskipun ke atas orang yang datang membuat pengakuan secara sukarela.

Ini boleh dilakukan dengan berusaha menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong manusia melakukan kesalahan hudud, seperti desakan, tekanan dan keperluan hidup.

Dari sinilah, perlunya hukum hakam Islam berkaitan kewajipan menjaga kebajikan rakyat, sifat kebersamaan dan apa sahaja yang menjurus ke arah penghapusan dorongan-dorongan jahat itu, didahulukan sebelum dilaksanakan hudud.

Dengan berbuat demikian, umat Islam telah bergerak seiring dengan amalan Nabi dari segi berusaha mengelak sedaya mungkin daripada mengenakan hukum hudud ke atas pesalah.

Kesimpulannya, kaedah perlaksanaan hukum hudud-seperti yang dijelaskan oleh Qaradhawi-ialah mendahulukan perlaksanaan Islam secara keseluruhan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu.

Justeru, dalam keadaan perlaksanaan Islam secara menyeluruh ini belum selesai dalam sesebuah Negara Islam, hudud bukan sahaja tidak dilaksanakan, bahkan tidak juga diwartakan sebagai undang-undang Negara yang boleh dilaksanakan, sehinggalah urusan perlaksanaan Islam secara menyeluruh tadi selesai dijayakan.

Demikianlah yang difahami daripada penjelasan dan kenyataan-kenyataan Qaradhawi yang turut disokong oleh Muhammad Abdullah al-Khatib, yang disertakan petikannya dalam tulisan ini.

Pemahaman ini nampaknya selaras dengan tindakan Syaidina Umar r.a menangguhkan perlaksanaan hukum hudud secara total pada musim kelaparan, meskipun di kalangan rakyatnya tentu ada orang yang kaya atau berada yang terselamat daripada bencana kelaparan tersebut.

Tidak ada pula pihak yang membantah tindakan beliau itu dengan berhujjah bahawa hukum hudud perlu diteruskan seperti biasa, dengan membebaskan orang yang sabit mencuri disebabkan kelaparan dan mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang terbukti mencuri bukan kerana desakan kelaparan.

Syaidina Umar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau menangguhkan perlaksanaan hudud di musim kelaparan secara total.

Syaikh Qaradahwi, dengan pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hukum hudud ini, sesungguhnya telah membuat satu anjakan penting dalam diskusi dan wacana hudud, iaitu membuka perbincangan berkenaan aspek berkaitan hukum hudud yang tidak dibincangkan secara serius di negara ini, iaitu kaedah perlaksanaan hukum hudud dalam masyarakat.

Semoga dengan pandangan tokoh besar Islam ini, wacana hudud di negara ini tidak terus dikurung atau dilihat dikurung dalam skopnya yang lama, yang hanya berlegar di sekitar kewajipan melaksanakan hukum hudud, keadilan hukum hudud, kesesuaiannya dalam masyarakat majmuk dan seumpamanya.

(Penulis Shamsul Muda –  lulusan Syariah & Pengajian Islam Univ. Mu’tah, Jordan).

PERHATIAN:

Subjek saperti Hudud  sebenarnya merupakan tajuk2 besar yang telah di bincang dengan panjang lebar oleh ilmuwan dan ulama dahulu dan kini.Buku2 yg mampu menjawab persoalan di atas dgn lengkap ialah Fatawa Mu’asirat dan Malameh alMujtama’ alIslami oleh Dr al Qardhawi.

Advertisements

29 December 2011 - Posted by | Aqidah, Politik dan Dakwah | , ,

12 Comments »

  1. Assalamualaikum…sy ingin bertanya apakah perbezaan hudud dan qisas…boleh share sikit ttg isu qisas menurut fatwa syeikh yusuf al-qardhawi…kalau adalah…sy memerlukan info tersebut utk assignment sy…harap dapat membantu…

    Comment by Aliyah | 27 September 2015 | Reply

    • Waalaikumusalam wbt.

      Mungkin link ini boleh membantu anda utk dpt kan maklumat.
      wordpress.com/2012/10/10/penerangan-hudud-tazir-dan-qisas/

      Comment by amri el wahab | 27 September 2015 | Reply

  2. Salam. Tumpang bertanya 1 soalan.

    Berkenaan dengan situasi negara kita yang semakin penuh dengan kes2 jenayah seperti rogol, rompak, zina dan sebagainya, bagaimanakah caranya untuk kita mengurangkannya selain daripada menggunakan hudud?

    Ini kerana pada hemat saya, masyarakat sekarang tidak takut kepada apa2 hukum melainkan hudud, mungkin kerana kerasnya hukum ini untuk mengelakkan jenayah2 ini berlaku.

    Comment by Syazwan | 20 July 2012 | Reply

    • Assalam sdr Syazwan,

      Menurut pandangan Dr Yusuf Al Qardahwi dalam Kitab nya “Ciri Ciri Unggul Masyarakat Islam” (Terjemahan) bahawasanya masyarakat Islam tidak di bina berdasarkan pengsyariatan sahaja.Sebaliknya ia memerlukan kepada dua jalan ia itu dakwah dan pemahaman,pengajaran dan pendidikkan di samping syariat dan undang undang.Bahkan pengsyariatan dan pengaktaan undang undang adalah jalan yang terakhir.

      Islam merupakan akidah yang mentafsirkan erti kehidupan, ibadah yang mendidik rohani,akhlak yang membersih jiwa, pemahaman pemahaman yang membetulkan gambaran, nilai nilai yang mengangkat martabat manusia dan adab kesopanan.Mengadakan undang undang saperti hudud semata mata tidak boleh mengubah masyarakat menjadi baik.Mengubah apa yang ada di dalam jiwa manusia itu lah yang paling utama.

      Hukuman bukanlah faktor terbesar dalam membendung perlakuan jenayah menurut pandangan Islam.Sebaliknya pencegahan darinya dengan menghalang segala puncanya merupakan faktor terbesar.Islam tidak boleh dipisah pisahkan.Jika hendak memerangi jenayah berdasarkan hukum hudud, ia tidak boleh dilakukan semata mata dengan hudud sahaja dan bukan juga dengan perundangan sahaja.Sebaliknya hudud adalah langkah terakhir dalam memperbaiki manusia.Wallahu’alam.

      Comment by amri el wahab | 20 July 2012 | Reply

  3. Malaysia kan dah diiktiraf sebagai negara Islam..
    Islam sudah tersebar luas semenjak zaman melayu Melaka lagi.
    jadi perlu tunggu berapa ratus tahun lagi untuk melaksanakan hukum Islam?

    pelaksanaan Islam secara keseluruhan?bukan ke kita di Malaysia memang sudah hidup dengan cara Islam?solat dan mengamalkan agama Islam bebas di Malaysia tiada larangan untuk melakukan ibadat.

    jadi bila?tunggu dulu?sampai bila akhirnya baru akan dilaksanakan?

    Comment by faaz | 19 April 2012 | Reply

    • Salam sdr Faaz,
      terima kasih kerana meluangkan masa utk sama sama berkongsi ilmu di sini.

      Mungkin sdr perlu baca sekali lagi tajuk ini dengan teliti sampai habis untuk mendapat jawapan dari persoalan sdr itu.

      Terima kasih.
      Wasaallam.

      Comment by amri el wahab | 20 April 2012 | Reply

  4. Hukum hudud dilaksanakan selepas tertegaknya Islam dan kehidupan Islam. Masalahnya adakah pemerintahan Malaysia sekarang berusaha ke arah menegakkan Islam dan kehidupan Islam?

    Comment by nik li | 22 March 2012 | Reply

    • Adakah syarat untuk menegakkan negara islam mesti bermula dengan Hudud?

      Rakyat Malaysia sedar Pemerintah Malaysia memang sedang berusaha sedikit demi sedikit kearah menegakkan Islam dan kehidupan islam.Tetapi kita mesti menerima hakikat ianya tidak boleh di laksanakan dalam satu malam.Saperti pepatah Inggeris yang mengatakan “Rome was not built in a day”.

      Kebangkitan islam di Malaysia bukan sahaja di usahakan oleh kerajaan, bahkan turut di usahakan oleh semua umat islam yang cintakan islam melalui NGO, Jemaah, Harakah dan individu mengikut bidang dan kepakaran masing masing.Mithalnya pendakwah berjuang melalui dakwah.Orang politik berjuang cara politik dan sebagainya.

      Agar kita tergolong dalam golongan orang yang turut serta dalam perjuangan ini.Allahu Akhbar!

      Wallahu’alam.

      Comment by amri el wahab | 23 March 2012 | Reply

  5. Masalahnya satu golongan ingin melaksanakan hukum hudud dan satu golongan yg lain pula langsung tiada niat utk melaksanakannya malah menakut2kan org pula

    Comment by Ahmad Farid | 1 January 2012 | Reply

  6. Usaha itu adalah mencari jalan untuk laksana bukan mencari alasan untuk tidak laksana,jgn kita samakan apa yg dikatakan oleh Dr Yusof qardawi dgn suasana negara kita yg mana pemimpin melayu memperlekeh undang2 Allah lepas tu bekerjasama dgn org bukan Islam menghina hukum Allah,adakah gamaknya pemimpin negara kita ni sedang berusaha untuk mendidik manusia kejalan Allah seterusnya melaksana Undang2 Allah?berusaha menjauhkan umat Islam dari Islam ada ler,alahai hentikanlah berpusing2 mencari alasan seluruh dunia untuk menjustifikasikan alasan untuk membela pemimpin yg nak mengelak dari melaksanakan undang2 Allah.
    Hentikankanlah..taat le kepada Allah.

    Wallahuaklam

    Comment by Kamarul | 1 January 2012 | Reply

    • Salam,

      Sdr Kamarul,
      Jika anda lihat sesuatu ilmu yang di sampaikan itu dari sudut fahaman politik sahaja, anda tidak akan dapat menyerap ilmu itu dan mendapat hidayah dan petunjuk darinya.Apabila anda menuntut ilmu, anda perlu kaji dan rujuk ilmu itu dari berbagai sudut.Perlu merujuk ilmuwan dan ulama tanpa mengira batas fahaman politik.Dalam menuntut dan mengkaji kita akan pasti bertembung dengan pendedahan ilmu yang kadang kala pahit untuk kita telan apabila ianya bertentang dan berbeza dari apa yang kita faham dari guru kita selama ini .(Itulah yang di terjemahkan dalam setiap tulisan saya).Namun kita wajib terima kerana ILMU, bukan macam permainan politik, tidak pernah menipu dan berbohong kalau di ambil dari sumber yang sah.Anda sering menggesa agar saya perlu rujuk kepada al Quran dan Hadis (mungkin anda anggap semua tulisan saya tidak pernah merujuk kpd sumber ilmu yg sah).Dan saya tambah, dalam fahaman Ahlil Sunnah Wal Jamaah kita perlu juga rujuk kepada ijmak ulama dan qias.Bukan kah hukum Islam terbina di atas sumber Al Quran, Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias? Dan bukan dari sumber al Quran dan Sunnah sahaja kan?

      Saya yakin sikap anda akan berbeza sekiranya pandangan YQ itu selari dengan fahaman politik golongan anda.Dan ketika itu saperti biasa golongan anda akan memukul canang dan memuji muji YQ.Saperti contoh, itu hari YQ telah mengeluarkan fatwa menghalalkan demonstrasi dan penentangan rakyat Mesir terhadap pemerintah mereka.Sedangkan ramai di antara mufti mufti di TimurTengah , termasuk Mufti Mekah dan Syeikhul Al Azhar tidak setuju dgnnya.Wah! bukan main seronok kerana fatwanya selari dengan sikap dan fahaman golongan anda yang suka berdemo dan menentang pemerintah.Saya tidak lihat seorang pun dari golongan anda mengatakan saperti yang anda sebut di sini “suasana di Mesir tak sama dengan di Malaysia kita tidak boleh terima fatwa YQ yang ini”.

      Saya bagi satu contoh yang lebih dekat lagi.Tak kah anda lihat tindakkan PAS menerima dasar perjanjian PR “tidak akan” melaksanakan hudud buat masa ini sekira PR berjaya adalah tindakan yang selari dengan fahaman Mufti Mesir dan YQ ini?.PAS tangguh kerana perlu menunggu keadaan yang sesuai dan mengizinkan untuk melaksanakan.Dengan lain perkataan melihat dulu suasana kondusif untuk melakasanakannya ( pinjam kata Mufti Mesir).Adakah dalam suasana politik masa ini apabila PAS menangguh hudud bererti menolak hudud? Dan adakah apabila pemerintah BN tidak laksanakan hudud buat masa ini mereka tolak hudud?

      Sdr Kamarul,pemikiran kita harus matang sebelum menuduh ilmuwan atau ulama ulama saperti YQ sengaja mengeluarkan fatwa sebagai alasan untuk tidak laksanakan hudud .Saya ingin ingatkan kepada anda dalam menerima dan menyampaikan ilmu kita tidak boleh bersikap bias atau hipokrit.Kebenaran ilmu yang di sampaikan oleh ilmuwan dan ulama itu perlu di terima walaupun ianya pahit untuk di telan kerana tidak sefahaman dengan ilmu yang di sampaikan oleh guru kita yang seorang dua itu.Kalau tidak mahu terima pun jangan lah menghina mereka dengan tuduhan2 mengkut nafsu serakah fahaman politik anda.

      Wallahu’alam.

      Comment by amrielwahab | 1 January 2012 | Reply

      • Assalamualaikum wbt

        Masa sudah tiba , kita umat islam mencari jalan perpaduan, bukan perbesarkan pepecahan. masa sudah tiba kita kemukakan kebaikan satu sama lain, bukan keburukan.

        Comment by aks qodhait | 9 January 2012 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: