Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Beberapa Permasalahan Perihal Radha‘ (Penyusuan)

c0227

i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar

Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah Al-Baqarah: 233)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:Maksudnya: “Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun).”(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)

Sabda Baginda lagi: Maksudnya: “Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya

Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan.

Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.

 

iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur

Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.

Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.

Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5)

 

(Sumber: Jabatan Mufti Brunei)

9 November 2011 Posted by | Ibadah | | Leave a comment

Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan

Apabila seorang perempuan menyusukan anak damit orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: “Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al-Qu‘aisy.”

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Qu‘aisy).”

Rasulullah bersabda: “Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu.” ‘Urwah berkata: “Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: “Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan.”(Hadis riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak damit susuan itu:

i. Perempuan yang menyusukan

ii. Suami ibu susuan

iii. Ibu bapa kepada ibu susuan

iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan

v. Adik beradik kepada ibu susuan

vi. Adik beradik kepada bapa susuan

vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan

viii. Anak-anak kepada ibu susuan

ix. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahramkepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hinggafuru‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.

(Sumber: Jabatan Mufti Brunei)

9 November 2011 Posted by | Ibadah | Leave a comment

Hukum anak Susuan

Rukun Radha‘ah (Penyusuan) Dan Syaratnya

Rukun radha‘ah dan syaratnya yang menyebabkan seorang anak damit itu disabitkan sebagai anak susuan dan menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukannya ada tiga perkara iaitu:

1. Al-Murdhi‘ iaitu perempuan yang menyusukan. Disyaratkan orang yang menyusukan itu perempuan yang hidup dan telah mencapai usia sembilan tahun qamariah.

2. Ar-Radhi‘ iaitu anak yang disusukan. Disyaratkan anak damit itu hidup dan umurnya tidak melebihi dua tahun qamariah (haulain) sekalipun lebihnya itu pada kadar sehari.

3. Al-Laban iaitu air susu perempuan. Disyaratkan air susu itu sampai masuk ke perut anak damit berkenaan sehingga ia boleh menyebabkan pertumbuhan badan anak tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidak menjadi mahram daripada susuan melainkan apa yang menumbuhkan daging dan menguatkan tulang.”(Hadis riwayat Ahmad)

Disyaratkan juga had penyusuan itu tidak kurang daripada lima kali dalam waktu yang berasingan dengan kadar penyusuan mengikut kebiasaan. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah atsar shahabi daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:Maksudnya: “Menurut apa yang diturunkan daripada Al-Qur’an sebelumnya bahawa sepuluh kali susuan yang telah dipastikan itu akan mengharamkan mereka (menjadikan mereka sebagai mahram). Kemudian (ketetapan itu) dimansukhkan dengan hanya lima kali susuan yang telah dipastikan. Maka wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan (sebahagian mereka) terus membacanya (ayat lima kali susuan) daripada ayat Al-Qur’an (sehinggalah mereka berpakat untuk menasakhkan pembacaannya).” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan pemansuhan ayat “sepuluh kali susuan” itu adalah pada pembacaan dan hukumnya, namun pemansuhan bagi ayat “lima kali susuan” itu adalah pada pembacaan sahaja bukan hukumnya. (Syarah Shahih Muslim: 10/26)

Disyaratkan pada kadar penyusuan yang dikira sebagai sekali penyusuan itu adalah mengikut kebiasaan. Maksud daripada penyusuan mengikut kebiasaan itu ialah apabila seorang perempuan menyusukan anak damit dengan susu dadanya, nescaya anak damit itu akan menghisapnya dan apabila dipisahkan daripadanya nescaya dia akan melepaskannya (kenyang). Proses sedemikian sudah dikira sebagai sekali susuan.

Jika proses penyusuan itu diselangi dengan sesuatu keadaan yang tidak lama, seperti terputus penyusuan ini disebabkan anak tersebut bernafas, keletihan, termengah-mengah atau terputus disebabkan kesedakan kerana air susu terlalu banyak di mulutnya, kemudian anak tersebut kembali menghisap susu dada perempuan itu, maka penyusuan yang demikian ini masih dikira sebagai sekali susuan. Demikian juga halnya apabila dipindahkan anak itu daripada susu dada sebelah kanan kepada susu dada sebelah kiri.

Jika terputus anak damit itu daripada penyusuan dengan tanpa sebarang sebab kemudian kembali untuk menyusu, maka dalam keadaan ini tertakluk kepada jangka masa terputusnya itu, jika hanya seketika nescaya ianya dikira sekali susuan, namun jika jangka masa yang lama nescaya dikira dua kali susuan. (Majmuk: 20/92-93)

Hukum Anak Susuan

Apabila sabit seorang anak kecil menyusu kepada seorang perempuan yang bukan ibunya atau bukan mahramnya dengan rukun dan syarat di atas, maka anak susuan tersebut akan dikaitkan dengan sebahagian hukum hakam anak kandung (nasab), seperti dalam hal haram berkahwin, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Haram dengan sebab susuan seperti apa yang haram dengan sebab nasab keturunan.”( Hadis riwayat Bukhari)

Begitu juga persamaan pada hukum dalam perkara wudhu apabila bersentuhan, ‘aurat dan khalwat.

Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa hukum hakam yang berbeza antara anak susuan dengan anak kandung, seperti perwarisan, nafkah, pengguguran hukum qishah, tidak dipotong tangan apabila mencuri harta dan penjagaan (wilayah) ke atas harta atau diri sendiri, yang mana kesemua ini tidak sabit ke atas anak susuan. (Asna Al-Mathalib: 3/415ab

(Sumber: Jabatan Mufti Brunei)

9 November 2011 Posted by | Ibadah | Leave a comment

Apabila Ibadah Haji PM di Politikkan!

Hari Raya Haji baru sahaja berlalu.  Ketika saya menulis nota ini, maka kita sedang melalui hari-hari Tasyrik. Umat Islam masih lagi melakukan ibadat korban dan masjid-masjid masih lagi  mengalunkan bacaan Takbir Hari Raya setelah solat 5 waktu. Di Malaysia dan juga di mana-mana pun seluruh dunia, suasana Hari Raya Haji tidak semeriah dan segemilang seperti suasana bagi orang-orang yang menyambutnya di Mekkah, iaitu para Jemaah Haji. Bayangkan, segala kesusahan dan pengorbanan mereka meninggalkan ahli keluarga, berkorban wang ringgit dan harta benda, serta mengharungi kesesakan jutaan manusia dalam keadaan berpantang ihram semata-mata kerana inginkan keredhaan Allah SWT dalam mengejakan Rukun Islam yang ke 5 ini.

Saya terpilih untuk mengerjakan Haji dan berkhidmat untuk negara pada tahun 2008 semasa Operasi Haji tahun itu. Ia merupakan satu kenangan paling manis dalam hidup saya dan tidak dapat saya lupakan selamanya. Ia tetap menjadi kenangan paling manis bagi saya, walaupun pada tahun itu saya mengharungi dua perkara paling mendukacitakan dalam hidup saya, iaitu kewafatan ayah saya dan kekecewaan di dalam kehidupan.  Seolah-olah Allah SWT menjemput saya ke rumahNya bagi mengubati hati saya serta menghiburkan saya seperti yang dilakukan Allah kepada Rasulullah pada Tahun Kedukacitaan.  Saya berada di sana selama 82 hari, satu tempoh yang cukup lama jika dibandingkan dengan Jemaah Haji Malaysia yang kebanyakannya duduk di Tanah Suci sekitar 45 hingga 52 hari sahaja. Justeru itu, masa berada di sana saya luangkan secara maksima untuk beribadat, berkhidmat, mengejar peluang berdoa di tempat-tempat mustajab serta menghayati serta menghayati sirah peninggalan Rasul.

Setiap tahun selepas dari itu, saya sentiasa merindui untuk pergi semula beribadat di sana. Tahun 2009, saya ditawarkan sekali lagi tetapi saya terpaksa menundanya kerana sedang melanjutkan pengajian. Saya amat gembira melihat jemaah-jemaah haji bertolak saban tahun pergi ke Mekkah. Dari adik beradik saya, orang kampung dan jiran tetangga hinggalah kepada pemimpin negara atau negeri yang berkunjung saban tahun ke Tanah Suci, semua ini menggembirakan hati saya dan saya sentiasa mendoakan semoga ibadat haji mereka diterima dan mereka pulang sebagai insan yang
lebih baik dari sebelumnya. Malah ketika Nik Aziz menunaikan haji pun, saya bergembira dan mendoakan agar dia pulang dan meninggalkan politik khawarij dan kembali kepada sunnah yang sebenar.

Pada tahun ini Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Hj. Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah berangkat menunaikan haji bersama ahli keluarga terdekat  dan beberapa pemimpin kerajaan. (ini bukanlah Haji pertama bagi Perdana Menteri). Malangnya, pemergian beliau tidak terlepas dari ditohmah dan diremeh-remehkan.

Saya cukup hairan, bermula dari hari pertama beliau tiba di Mekkah, gambar beliau diiringi askar Saudi untuk melakukan Tawaf disiarkan di media-media pro pembangkang serta blog-blog pro pembangkang juga di facebook wall rakan-rakan yang menyokong Pakatan. Seorang sahabat yang menyokong PAS mengirimkan gambar di atas kepada saya dan menulis,”aku nak komen skitla pic terkini ni…najib ni masih blum kukuh keimanan dia, masih bergntung harap pada org lain (askar yg mengelilinginya), moga diberi hidayah utk melihat Islam yg sebenar2nya…”

Saya cukup hairan dengan fikiran mereka-mereka yang taksub dengan pembangkang khususnya PAS ini. Bagi mereka yang sudah biasa ke Tanah Suci, sudah semestinya mengetahui bahawa ini adalah merupakan protokol keselamatan Saudi bagi mana-mana pemimpin negara yang datang menunaikan Haji di Mekkah.Malah para Imam Masjidil Mekah seperti Syaikh Abdul Rahman As Sudaisi  dan Syaikh Syuraim yang bacaan Quran mereka sering berkumandang di radio-radio serta di dalam kereta kita masuk untuk mengimami solat 5 waktu di Mekah dalam kawalan keselamatan tentera Saudi sama seperti yang dilakukan terhadap Perdana Menteri kita.Adakah para pentaksub ini ingin mengatakan bahawa para Imam Masjidil Haram Mekkah ini tidak kukuh keimanan mereka? Alangkah bodohnya orang yang beranggapan sedemikian.Sesungguhnya kawalan keselamatan kepada Ketua-ketua kerajaan adalah merupakan Standard Operating Procedure dan merupakan hak Raja Arab Saudi untuk memberikan penghormatan itu kepada tetamu baginda yang difikirkannya perlu.Kawalan ini adalah perlu kerana sebarang perkara buruk yang berlaku ke atas pemimpin tersebut boleh menggugat hubungan diplomatik antara kerajaan.Malah, Presiden Iran Ahmadinejad yang berakidah Syiah yang mengkafirkan para sahabat juga dikawal sedemikian ketika datang ke Mekkah oleh Kerajaan Saudi! Inikan pula PM Najib Tun Razak yang berakidah Sunni.

Isu kawalan keselamatan untuk Perdana Menteri ini bukan sahaja dimainkan dan dikritik oleh orang Islam, malah juga turut dipersendakan oleh orang bukan Islam. Seorang sahabat saya telah memuatkan gambar PM dikawal tentera Saudi tadi di facebook nya dan kemudian mengatakan bahawa, “Bukankah sepatutnya semua manusia serupa di sisi Tuhan? Maka mengapakah keistimewaan sebegitu diberikan kpd PM?”

Saya menerangkan kepada beliau dan dalam proses itu terlibat di dalam satu perdebatan yang hangat dan panjang dengan seorang sahabat kepada sahabat saya ini yang merupakan seorang Atheist yang memandang agama sebagai satu penipuan sistematik.Hujah si atheist ini sama dengan hujah rakan Muslim saya di atas, “Dia mempertikaikan, “Jika Tuhan begitu berkuasa, kenapakah perlu kepada kawalan keselamatan sebegitu rupa di Rumah Tuhan? Tidak yakinkah dengan kekuasaan Tuhan?”  Si Muslim tadi menulis,” Najib ni tak kukuh iman dia, masih bergantung harap pada askar yang mengelilinginya.”

Ini adalah merupakan satu kefahaman yang sesat dikalangan umat Islam. Apabila kita melihat ular di dalam rumah, kita akan lari atau mencari buluh untuk menghalau dan membunuhnya. Apabila kita melihat api, kita akan cuba memadamkannya atau memanggil bomba untuk mengawal kebakaran. Kita tidak duduk bersila di hadapan ular atau api tersebut dan berdoa semoga Allah menghalau ular dan memadamkan api. Ini adalah satu kebodohan, kerana Allah telah menganugerahkan fikiran dan otak untuk kita berfikir. Dalam kita berdoa, kita tetap perlu berikhtiar mencari jalan penyelesaian bagi  permasalahan kita. Memang di dalam Islam, semua manusia adalah sama, tetapi agama kita juga mengajar kita untuk memuliakan dan mempertahankan serta melindungi pemimpin kita dari ancaman. Apakah kamu tidak berfikir??

Setelah isu kawalan keselamatan Saudi itu, gambar-gambar Perdana Menteri melakukan ibadat serta menziarahi para jemaah Haji Malaysia khususnya di Abraj Al Janadriyah (Ibupejabat Tabung Haji di Mekkah) menjadi bahan untuk kritikan para penyokong Pakatan.Mereka mengatakan bahawa ini perbuatan menunjuk-nunjuk, riak dan amalan ibadat Perdana Menteri tidak diterima. Baca saja komen-komen di Malaysiakini yang cukup memualkan dari mereka-mereka yang merasakan diri mereka lebih Islam dari yang lain, berhak komen berkenaan ibadat haji Perdana Menteri, sedangkan mereka ini tak pernah pun ke sana malah mak dan ayah mereka pun belum tentu sudah jejakkan kaki ke Tanah Suci.

Mengapakah neraca pengadilan para pentaksub ini berbeza-beza? Ketika Nik Aziz menunaikan Haji, penuh di blog-blog dan harakah gambar Nik Aziz melakukan ibadat Haji, bersolat, tidur, gambar di tempat pemginapan dan sebagainya. Semua gambar-gambar ini dipuja oleh para pentaksub ini. Tak pulak mereka kata ini menunjuk-nunjuk dan riak. Malah gambar-gambar ini ditatap dengan penuh takjub sambil air liur mereka meleleh memikirkan darjat tingkat syurga mana yang Allah tetapkan untuk Nik Aziz.Mujurlah ketika Nik Aziz mandi ataupun berak tidak ada kamera. Jika tidak, itupun akan dilihat para pentaksub ini, mungkin hingga inzal.

Saya hanya menggelengkan kepala melihat ketaksuban para penyokong tegar PAS ini. Kemuncaknya adalah apabila saya membaca Malaysiakini hari ini. Dimuatkan di berita utama Malaysiakini BM bahawa, Mufti Terkejut Perdana Menteri,Rosmah selesai tunai Ibadah Haji. Di dalam versi Malaysiakini Bahasa Inggeris, berita ini diletakkan di bawah sedikit.

Ini jelas merupakan kesinambungan perbuatan jahat untuk menggambarkan bahawa Ibadah Haji Perdana Menteri telah rosak. Lalu berkokok dan menyalaklah para pentaksub Pakatan ini dan menulis di sini sana bahawa Perdana Menteri jahil dan ibadah haji nya tidak diterima.Sesungguhnya, hanya mereka yang berada di sana (Mekkah) sahaja yang tahu rasanya menunaikan ibadat haji. Semasa berniat ihram hinggalah melakukan semua kerja-kerja haji, setiap jemaah haji terikat kepada pantang larang haji seperti tidak boleh memakai wangi-wangian, diharmkan memakai pakaian berjahit, hanyalah dua helai kain ihram yang menyelimuti badan, haram menutup kepala, mencabut rambut atau bulu dan kuku dan banyak lagi.Mereka berada dalam pantang larang ihram ini berhari-hari lamanya malah mungkin berminggu.Setelah mereka berwukuf di Padang Arafah dan bermabit di Muzdalifah, maka mereka semua akan berangkat untuk bermabit di Mina. Setelah tiba di Mina, iaitu pada hari Nahar (10 Zulhijjah, Hari Raya Haji), para jemaah akan berpusu-pusu untuk melontar di Jamratul Kubra yang merupakan Tahiyyatul Mina (penghormatan buat Mina).Saat melontar pada 10 Zulhijjah itu adalah merupakan masa yang paling menggembirakan, mengharukan, saat yang kita rasakan kita begitu dekat dan  disayangi oleh pencipta kita. Air mata akan bercucuran walaupun seberapa  ‘brutal’, macho dan muka ‘legend’ sekalipun kita.Ini kerana setelah melontar ini, dan bertahalul awal, maka para jemaah haji akan terbebas dari 10 daripada 13 pantang larang ihram. Mereka sudah boleh berwangi-wangian, merapikan janggut dan bercukur  serta memakai pakaian-pakaian Hari Raya yang berwarna-warni. Mereka tinggal di Mina dan relax sahaja dari 10 hingga 13 Zulhijjah  sambil menunggu masa melontar ketiga-tiga Jamrah, sebelum kembali ke Mekah menghabiskan kerja-kerja Haji lain yang simple. Di Mina lagi para Jemaah Haji akan saling usik mengusik sesama mereka dengan memanggil sesama mereka Ya Haji Si Polan bin Si Polan dan Ya Hajjah Si Polanah bte Si Polanah. Sungguh meriah! Dan setelah melontar pada Hari Nahar tadi itulah, maka kebiasaannya Jemaah Haji akan menelefon para ahli keluarga serta kenalan rapat di Tanah Air untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan memaklumkan bahawa ‘urusan haji mereka selesai’.Saya sendiri menelefon ibu saya dengan tangisan kegembiraan setelah melontar sambil memaklumkan, “Dah melontar mak. Dah selesai dah…tinggal 3 lagi pantang larang sahaja yang perlu dipatuhi.”   Ini bukan bermakna kita telah complete melakukan ibadah haji. Tetapi kita berkongsi kegembiraan bahawa ibadah haji kita hampir selesai tinggal beberapa saja yang ‘kacang’. Saya percaya bahawa twitter Perdana Menteri pada 6 November bahawa,”Alhamdulillah, urusan Haji kami sudah selesai” bermaksud sebegitu.Perdana Menteri menzahirkan kegembiraannya bahawa urusan Haji beliau hampir selesai.

Adalah hampir mustahil bahawa Perdana Menteri yang bukan mengerjakan Haji untuk kali pertama, serta sudah pasti diiringi oleh Pegawai Agama dan Ketua Rombongan Haji Malaysia serta Konsul Haji akan meninggalkan kerja-kerja hajinya dan merosakkan haji. Ini perkara ibadat, bukan main-main.Hanya berdasarkan satu kenyataan twitter beliau yang sebaris itu, maka ramai yang menghukum seorang sembrono bahawa ibadat haji Perdana Menteri tidak sah, Haji Marlboro etc. Kita dituntut untuk bersangka baik sesama Islam. Saya juga ingin menasihatkan Mufti Perlis Dr Juanda. Saya percaya beliau diperdayakan Malaysiakini untuk mengeluarkan kenyataan terhadap Perdana Menteri.
Wahai Mufti, hayatilah ayat Quran dalam Surah Al Hujurat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” ( Al Hujurat ayat 6 )

Mufti Perlis sedang berada di Mina juga ketika ini melakukan kerja-kerja hajinya. Maka, adalah lebih molek jika Mufti Perlis bertanya terus dengan  Perdana Menteri sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media fasiq seperti Malaysiakini.

Saya yakin beliau diperdayakan dalam mengeluarkan kenyataan umum terhadap VVIP (jelas beliau tidak menamakan siapa). Mungkin sekadar ditelefon Malaysiakini sambil ditanya, “Bolehkah seseorang selesai Haji nya pada 6 November”, dan beliau berikan respond terbuka.Keyakinan saya itu adalah kerana saya yakin Mufti Perlis seorang yang berprinsip salaf sesuai dengan Negeri Perlis dan Raja nya yang mengamalkan La Mazhabiyah.Dari Iyadh bin Ghunaim radliyallahu ‘anhu berkata, bersabda Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam :”Barangsiapa yang ingin menasihati penguasa maka janganlah melakukannya dengan terang-terangan di hadapan umum. Akan tetapi dengan cara mengambil tangan penguasa tersebut dan menyendiri. Jika ia menerimanya maka inilah  yang diharapkan, jika tidak menerimanya maka ia telah melakukan kewajibannya.” (HR. Ahmad, Ibnu Abi Ashim, Al Hakim, dan Baihaqi. Dishahihkan Al Albani dalam Adz Dzilal).

Saya mendoakan agar ibadah haji semua Jemaah Haji Malaysia diterima oleh Allah SWT.

Selamat Hari Raya Aidil Adha. Semoga kita kembali kepada sunnah dan  meninggalkan bidaah yang menyesatkan.

(Penulis:  Dr. Rahman Kadir)

9 November 2011 Posted by | Politik dan Dakwah | | 2 Comments

Berapa amalan FARDHU KIFAYAH dari sejarah ISLAM

Pembinaan Masjid Nabawi

Tindakan pertama yang diambil oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebaik sahaja berhijrah ke Madinah al-Munawwarah ialah membina masjid yang selain berfungsi sebagai pusat ibadat kepada umat Islam, ia juga merupakan pusat pentadbiran, markas ketenteraan, gedung ilmu pengetahuan, sumber bantuan dan pertolongan, tempat perlindungan dan pusat kegiatan masyarakat dan dakwah yang menghubungkan manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah.

Piagam Madinah

Piagam ini diadakan bagi mengatur kehidupan dan hubungan antara komuniti-komuniti yang merupakan komponen-komponen masyarakat majmuk di Madinah. Piagam ini merangkumi aspek sosial, ekonomi, politik dan keamanan masyarakat majmuk pada waktu itu dan dimartabatkan oleh para pemimpin dan pakar ilmu politik Islam sebagai konstitusi atau undang-undang dasar bagi negara Islam pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah.

Musyawarah

Musyawarah merupakan satu mekanisme yang digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dalam mengambil sesuatu keputusan berkenaan hal-hal bersangkutan kepentingan bersama umat Islam pada masa itu. Musyawarah adalah penting bagi mengukur sejauh mana anggota masyarakat dilibatkan di dalam urusan kenegaraan. Rasulullah s.a.w. telah membudayakan amalan bermusyawarah ini bersama-sama para sahabat. Contohnya ketika menjelang pertempuran Badar, Rasulullah s.a.w. telah memutuskan lokasi bagi pasukan Islam iaitu suatu tempat berdekatan mata air. Kemudian datang seorang Ansar bernama Hubab bin Mudhir mengadap baginda s.a.w. sendiri lalu bertanya tentang keputusan baginda s.a.w. itu sama ada keputusan tersebut atas petunjuk Allah yang tidak dapat diubah lagi atau keputusan baginda s.a.w. sendiri.

Sistem Rondaan

Selepas penghijrahan, Rasulullah s.a.w. mula menghantar pasukan-pasukan tentera peninjau untuk membuat rondaan di kawasan sekitar Madinah. Tujuan menghantar pasukan-pasukan rondaan ini adalah untuk menjaga sempadan-sempadan Negara Madinah, mengawasi pergerakan musuh dan menunjukkan kepada pihak Quraisy dan lain-lain pihak bahawa kini telah wujud sebuah kerajaan yang teratur dan Madinah sebagai ibukotanya. Rondaan ini juga dibuat untuk memberikan pengalaman tentang kegiatan-kegiatan tentera secara tersusun, bergerak seperti jentera di bawah arahan pemerintah pusat, mempelajari taktik-taktik ketenteraan dan menguasai keupayaan melaksanakan tugas-tugas seperti yang diperintahkan sekalipun dalam keadaan sulit.

Seruan Dan Perwakilan Antarabangsa

Pada tahun 7 hijrah, Rasulullah s.a.w. mengirim surat-surat melalui utusan-utusan khas kepada pemerintah-pemerintah di negara-negara jiran yang suasana pada masa itu rakyat tidak mendapat hak-hak warganegara dan raja-raja tidak suka sebarang orang luar menemui rakyat mereka secara langsung. Antara isi kandungan surat ialah mengisytiharkan Islam sahaja yang akan membawa kesejahteraan dan pada masa yang lain pula memberi amaran sekiranya mereka menolaknya maka mereka tidak akan selamat. Isi kandungan surat ini tidak tetap kerana ia mengambil kira suasana-suasana tertentu dan kecenderungan agama di setiap negara. Di samping itu, utusan yang dihantar kepada setiap pemerintah adalah orang yang mengetahui bahasa pemerintah berkenaan.

PANDANGAN SEMPIT TERHADAP FARDHU KIFAYAH

Rata-rata umat Islam di negara kita beranggapan bahawa Fardhu kifayah hanya terbatas dan dikenali ketika memandi dan menyembahyangkan jenazah sahaja.konsep serta ruang fardhu kifayah tidak pernah dihuraikan oleh para ulamak Islam secara terperinci seperti limu fardhu ain yang perbahasannya sampai membawa kepada perselisihan faham mazhabi yang kronik. Nyatanya umat Islam dari dulu hingga hari ini berpecah akibat penghuraian ilmu fardhu ain yang terlalu dititikberatkan.

Hakikatnya urusan fardhu kifayah lebih melebar dan sentiasa berkembang selari dengan keperluan hidup manusia. Jelasnya segala kemajuan yang dicapai oleh umat lain yang selari dengan hukum syarak menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam menguasainya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membebaskan pergantungan umat Islam kepada orang lain, seterusnya penguasaan mereka. Menjadi umat yang terjajah adalah suatu musibah besar kepada umat Islam era globalisasi hari ini.

Salah satu pandangan yang kurang tepat ialah apabila kemajuan berupa pembangunan material seperti bangunan yang megah berunsur Islam dikatakan satu pembangunan membazir. Ia merupakan syiar Islam yang dituntut untuk menyemarakkan lagi rasa ‘izzah di kalangan umat Islam. Begitu juga dengan kewujudan bangunan pencakar langit yang dianggap sebagai membazir walaupun pada saat dan ketika ia dibina keadaan ekonomi mengizinkan. Walau bagaimanapun kewujudan bangunan-bangunan tersebut selalu disalah ertikan sebagai penyebab kepada wujudnya perkara yang semata-mata disebabkan oleh pembangunan material yang pesat tetapi oleh kerana ketahanan diri (iman) yang tidak kental. Maksiat akan terus melebarkan sayapnya sekiranya umat ini tidak prihatin kepada pembangunan rohani. Bukan hanya di bandar, bahkan

Justeru umat Islam semestinya memahami batasan dan ruang lingkup tuntutan fardhu kifayah yang semakin mendesak untuk melepaskan diri dari dibelenggu oleh umat lain yang melihat bahawa dunia ini adalah untuk sebuah kehidupan yang terpenting. Kita tidak mahu negara umat Islam terkenal dengan suasana yang miskin yang mundur seolah-olah Islam ini merupakan agama yang melahirkan kemunduran dan kedhaifan hidup. Allah S.W.T. telah menegaskan dalam firman-Nya:

Maksudnya: ‘Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan mengubah apa sahaja yang ada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa sahaja dengan diri mereka sendiri’.
(Ar-Ra’d : 11)

Apapun sikap kita, mentadbir dunia bukanlah merupakan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kebijaksanaan dan kecekapan serta kecepatan bertindak dan terserah kepada kita sendiri dengan panduan syariat Allah S.W.T. kerana Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada sahabat baginda yang bermaksud ‘Kamu lebih tahu dengan urusan dunia kamu’.

FARDHU KIFAYAH SATU DIMENSI BARU

Islam sangat menggalakkan pembangunan sama ada daripada segi material mahupun kerohanian. Akan tetapi apalah gunanya pembangunan material andainya aspek kerohanian merosot dan begitu juga sebaliknya apalah gunanya aspek kerohanian kental jika pembangunan material pincang menjurus kepada kehancuran umat.

Di sinilah letaknya keunikan dan keistemewaan yang menghiasi Islam mendokong konsep-konsep dua kefardhuan iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah yang perlu diseimbangkan dan difahami dengan sejelas-jelasnya untuk keperluan di dunia dan di akhirat.

Sehubungan itu, usaha-usaha yang dilakukan untuk mengubah salah tanggap tentang erti fardhu kifayah perlulah digalakkan. Ini kerana ia mempunyai kaitan dengan aspek pembangunan yang menyumbang kepada keselesaan hidup dan keselamatan umat Islam. Malah seluruh umat Islam akan berdosa jika tidak ada pihak yang sanggup berusaha melaksanakan dan menyediakan keperluan bagi keselesaan hidup umat Islam di negara ini.

Islam sentiasa mendorong kepada kecemerlangan, kemakmuran dan pembangunan dalam semua segi kehidupan. Sayangnya dalam bidang inilah kita mengalami kelemahan dan kemunduran. Dalam pada itu kecemerlangan dan pembangunan tidak juga bermakna jika tanpa disertai jiwa yang tenang dan perut yang kenyang. Kita juga memerlukan sebuah masyarakat saintifik dan progresif yang bermoral, adil dan penyayang. Maka dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan umat Islam mereka mestilah bersama-sama memainkan peranan membangunkan umat melalui pengertian fardhu kifayah yang sebenarnya. Mereka tidak sewajarnya menyempitkan fahaman mereka terhadap fardhu kifayah tentang perkara yang berkaitan dengan kematian sahaja sedangkan makna tuntutan fardhu kifayah sangat luas.

Umat Islam dengan ini walau apapun peranan mereka, mereka bertanggungjawab merancang cara-cara mengukuhkan sumber ekonomi. Ia seperti membangunkan tanah wakaf, membeli dan mendapatkan tanah pertanian, industri, mendirikan pusat-pusat latihan dan perlindungan untuk golongan yang kurang bernasib baik, menubuhkan koperasi, menjalankan perniagaan dan banyak lagi. Dengan itu, tuntutan fardhu kifayah yang lebih menyeluruh dapat kita laksanakan, serentak itu juga kita boleh dijadikan model kerana wujudnya keseimbangan antara pembangunan rohani dengan pembangunan jasmani. Ini sekaligus dapat membina imej bahawa agama Islam adalah agama yang mementingkan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Sesungguhnya hanya dengan fahaman yang sebenarnya tentang fardhu kifayah sahajalah umat Islam dapat membina kehidupan mereka dengan cemerlang. Segala prasarana ilmu yang disediakan perlu digunakan dengan sebaik-baiknya, malah peluang yang ada pada hari ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab melaksanakan tuntutan fardhu kifayah sewajarnya tidak lagi dimiliki oleh orang perseorangan atau kelompok masyarakat sedangkan golongan lagi memencilkan diri. Sebaliknya setiap orang perlu merebut peluang menunaikan tuntutan fardhu kifayah supaya umat Islam terselamat daripada memahami konsep tunggu dan biarkan orang lain buat.

Oleh itu kita harus bersaing dan berlumba, masing-masing perlu berusaha sebanyak mungkin untuk menentukan kewujudan dan survival diri atau umat Islam di negara ini.

Sekali lagi ditekankan, kita perlu cepat merebut peluang yang ada. Ini kerana kita sedang berada dalam era pembangunan dan era perindustrian yang maju. Dalam bidang pembangunan ilmu pengetahuan, teknologi dan perindustrian kita tidak lagi berada dalam zaman primitif dan mundur. Semua kemudahan yang disediakan memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ke arah masyarakat maju dan terkemuka dalam semua bidang iaitu dalam bidang pembangunan, teknologi, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.

Cuma apa yang perlu bagi kita adalah pengisian. Fikrah dan halacara hidup kita sebagai umat Islam perlu diperbetulkan dari terus membincangkan persoalan fardhu ain, ibadat khusus dan mengulang-ulang apa yang telah dibicarakan sejak berabad-abad lalu tanpa membuka minda masyarakat dengan lebih luas tentang aspek fardhu kifayah yang perlu diberi nafas baru. Kita masih ketinggalan dalam mengisi peluang yang disediakan melalui aspek I.T. Kita masih tidak melihat kemudahan tersebut diisi dengan program dan pendekatan secara Islamik yang lebih berkualiti. Lantas, bidang tersebut direbut oleh pihak lain lalu diisi dengan bahan-bahan yang lebih menjurus kepada kerosakan dan penyelewengan. Maka jadilah ruang-ruang tersebut diremehkan oleh umat Islam lalu ia diwarnai oleh pandangan negatif yang tid

Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu memahami dengan sungguh-sungguh erti fardhu kifayah. Kita perlu ada usaha untuk memprojekkan teknologi canggih yang telah tersedia dengan program pembangunan, penyelidikan dan pengisian yang bercorak keagamaan. Apakah yang akan terjadi jika semua bahan kandungan dan perbincangan tentang Islam diserahkan kepada orang bukan Islam. Bayangkanlah orang bukan Islam mengendalikan program I.T. tentang Islam? Kita tidak boleh meminggir diri semata-mata beralasan I.T. itu alat imperialis tetapi kita tiada alternatif lain untuk mengatasinya.

Seperkara lagi, perjuangan membangunkan ummah tidak boleh bergantung kepada sesuatu program tertentu sahaja dan tidak boleh diharap dapat mencapai kejayaannya dalam tempoh masa yang pendek. Malah kita perlu ingat proses pembangunan umat yang teguh memerlukan kerja yang berterusan. Kita akan terkebelakang dan ketinggalan jika kita sering mempamerkan kelemahan dan memberi peluang kepada orang lain mengaut dan mengeksploitasi keuntungan. Dalam bidang ekonomi contohnya, kita masih terkebelakang ditinggalkan oleh bangsa asing sedang kita asyik membicarakan apakah sesuatu itu boleh atau tidak, antara boleh atau tidak itulah maka orang lain sudah kaya-raya dan berjaya mendirikan bangunan indah dan memiliki harta.

Memahami kemelut yang dihadapi oleh umat Islam dewasa ini maka langkah segera pihak kerajaan untuk mengatasinya kini telah menampakkan kejayaan. Ketika kebanyakan negara Islam tidak mengambil langkah yang serius untuk menyedarkan masyarakat tentang perlaksanaan sistem ekonomi antara mereka, pihak berkuasa tampil membantu mengawal pembahagian kekayaan dari peringkat asas lagi menerusi pembahagian saham di kalangan bumiputera. Penubuhan Bank Islam dan Tabung Haji mencerminkan langkah-langkah mengislamkan sistem ekonomi di Malaysia. Malaysia masih merupakan negara yang terbaik dan berjaya melaksanakan sistem ekonomi Islam dan menjadi model kepada negara Islam yang lain.

Sebagai contoh, tugas Tabung Haji bukan lagi sebagaimana yang ada pada masa dulu iaitu mengembangkan tabungan di kalangan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji di Mekah semata-mata, akan tetapi ia turut mengembangkan kedudukan ekonomi mereka keseluruhannya di samping berperanan menjaga keselamatan ekonominya daripada dihakis oleh perkembangan semasa. Orang ramai kini tidak lagi menganggap Tabung Haji sebagai pengurus kepada hal ehwal pemergian umat Islam menunaikan haji semata-mata. Lebih daripada itu, ia sebagai pengurus pelaburan yang cekap bagi meningkatkan modal umat Islam melaburkannya dalam sektor halal lagi menguntungkan. Dengan mengadakan skop pelaburan lebih luas itu Tabung Haji secara langsung memberikan umat Islam pilihan alternatif bagi pelaburan jangka panjang mereka.

Umat Islam hendaklah berusaha memperbaiki kehidupan diri mereka ke arah kebaikan, kemajuan dan kesejahteraan. Ini kerana kita masih lagi serba kekurangan dan lemah dalam segenap bidang kehidupan. Kita masih tidak mempunyai kekuatan untuk mempertahankan diri apatah lagi untuk menolong umat Islam lain yang ditindas.

Kita masih bergantung kepada orang asing untuk makanan, pakaian, kenderaan, pembinaan, pengetahuan, pertahanan dan sebagainya. Negara kita terpaksa mengimport makanan dari luar negara sedangkan tanah air kita begitu subur. Kita terpaksa membeli pakaian, kapal terbang, senjata, membawa masuk pekerja-pekerja asing dan sebagainya untuk pembangunan, keperluan dan keselamatan negara kita.

Juga jelas, selagi kita tidak boleh berdikari maka selama itulah umat Islam akan terpaksa mengikut telunjuk bangsa lain yang sudah maju. Selagi itulah juga umat Islam di mana jua di dunia akan ditarik hidung mereka, dipersenda dan diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak mahu melihat tamadun Islam gemilang semula.

Di sinilah tanggungjawab kita untuk berazam dan berusaha melengkapkan lagi tahap kepandaian, ilmu dan kekuatan ummah bagi membangun semula tamadun Islam.

Inilah konsep fardhu kifayah yang perlu dihayati oleh umat Islam masa kini. Ia bukan sahaja menyelamatkan Islam daripada dihimpit oleh kemelesetan ekonomi malah sekaligus membuktikan bahawa Islam adalah agama contoh dan releven untuk diamalkan sepanjang zaman.

Sumber: (JAKIM http://www.islam.gov.my/fardhu-kifayah-dalam-konteks-pembangunan-negara)

9 November 2011 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

Ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah

Kifayah dari segi bahasa bermaksud ‘mencukupi’ dan ‘memadai’. Dari segi istilah ia membawa maksud kewajipan yang difardhukan ke atas seluruh umat Islam dengan tujuan untuk menegakkan agama Islam seperti menuntut ilmu al-Quran, ilmu Hadith, menyempurnakan jenazah dan mengajak kepada amar ma’ruf nahi mungkar.

Imam an-Nawawi pula menyatakan bahawa perlaksanaan fardhu kifayah itu dituntut atau dikenakan ke atas semua orang Islam yang mukallaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu dari seluruh umat Islam.

Menurut Ibn Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama dalam menjalani kehidupan. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan pengemblengan tenaga kerja sesama manusia dan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian memiliki kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.

Pengetahuan terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang menjadi fardhu ain yang menjadi fardhu kifayah.

Fardhu ain bermaksud perkara yang wajib bagi setiap orang Muslim dan ia mencakupi dua perkara:

Pertama:

Mengetahui kewajipan-kewajipan agama yang menjadikan akidah keimanan dan fardhu-fardhu yang ditetapkan oleh Islam itu sah. Ia berupa beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Hari Kiamat, dan ketentuan qadar yang baik dan jahat. Begitu juga rukun-rukun dan fardhu-fardhu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Ini adalah apa yang dinyatakan di dalam hadith Ibn ‘Umar yang disepakati kesahihannya yang bermaksud:

‘Dibina Islam itu atas 5 perkara: Menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji bagi sesiapa yang mampu melakukannya.’

Begitu juga mesti mengetahui usul-usul muamalat yang perlu dan mesti wujud di dalam kehidupan setiap orang Muslim untuk bertukar ganti manfaat barangan, menyuburkan kehidupan bermasyarakat dan menstabilkannya seperti halalnya jual beli, meminjam, bersyarikat, ketentuan perwarisan, juga hukuman-hukuman yang telah dinaskan terhadap jenayah seperti hukuman murtad, membunuh, zina, qazaf, mencuri, hirabah dan hukuman meminum arak.

Kedua:

Mengetahui perkara haram yang qat’i dan menafikan agama seperti syirik kepada Allah, pengharaman menderhaka kepada kedua-dua ibubapa, menipu, khianat, memakan harta dengan batil, riba, merampas, menipu (putar belit), pengharaman membunuh, zina, qazaf, mencuri, minum arak, pengharaman mendedahkan aurat, wanita-wanita yang menjadi mahram di dalam perkahwinan, pengharaman memakan bangkai, memakan daging babi dan binatang yang disembelih untuk selain Allah kecuali bagi mereka yang terpaksa.

Fardhu Kifayah ialah perkara yang apabila dilaksanakan oleh sebahagian manusia, maka gugurlah kewajipan terhadap manusia yang lain seperti mengetahui perkara secara terperinci tentang sesuatu fardhu ain, hukum-hukum cabangnya dan dalil-dalilnya daripada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas ataupun dalil-dalil lain yang mengikutinya, juga mengetahui seluruh perkara yang diperlukan oleh umat yang mana mereka tidak akan bangun tanpa kewujudannya.

Perkara ini bukanlah sekadar perkara yang berkaitan dengan ilmu-ilmu syariah dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya, tetapi ia menjangkau kepada semua ilmu, kepakaran, pekerjaan dan perindustrian.

Al-Imam al-Ghazali telah menulis suatu bab tentang ilmu yang terpuji dan ilmu yang keji, bahagian-bahagian dan hukum-hukum kedua-duanya. Beliau menjelaskan apa yang fardhu ain dan apa yang fardhu kifayah. Dinyatakan di dalam bab ini di bawah tajuk ‘Penjelasan tentang ilmu fardhu kifayah’:

‘Ketahuilah bahawa fardhu itu tidak dapat dibezakan daripada yang selainya melainkan dengan disebutkan bahagian-bahagian ilmu. Ilmu apabila disandarkan kepada fardhu yang akan kita bahagikan ini terbahagi kepada ilmu syariah dan ilmu yang bukan syariah. Maksud saya terhadap ilmu syariah ialah ilmu yang kita perolihi daripada para Nabi a.s. Ia tidak dihasilkan oleh akal seperti ilmu perubatan dan juga tidak diperolihi melalui pendengaran seperti ilmu bahasa. Ilmu–ilmu yang bukan syariah terbahagi kepada ilmu yang terpuji, ilmu yang dikeji dan kepada ilmu yang diharuskan.

Ilmu yang jadi fardhu kifayah ialah semua ilmu yang diperlukan untuk membangunkan urusan dunia seperti ilmu perubatan kerana ia adalah suatu keperluan untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan manusia. Begitu juga dengan ilmu perakaunan kerana ia adalah keperluan di dalam hubungan muamalat, pembahagian wasiat, pewarisan dan sebagainya. Ilmu-ilmu seperti ini sekiranya sesebuah negeri tidak memilikinya maka penduduk negeri itu akan berada di dalam kesusahan. Apabila seorang daripada mereka memilikinya, maka ia sudah memadai dan jatuhlah kefardhuan daripada yang lain.

‘Janganlah merasa pelik daripada kata-kata kami bahawa ilmu perubatan dan ilmu perakaunan adalah termasuk dalam fardhu kifayah. Sesungguhnya ilmu tentang prinsip-prinsip perindustrian juga adalah termasuk fardhu kifayah seperti ilmu perladangan, tekstil dan pengurusan. Bahkan ilmu bekam dan menjahit juga adalah ilmu fardhu kifayah. Sekiranya suatu negeri tidak mempunyai tukang bekam, maka akan cepatlah kehancuran negeri tersebut dan mereka akan menghadapi kesusahan kerana mereka akan berhadapan dengan kehancuran. Sesungguhnya Tuhan yang menurunkan penyakit juga telah menurunkan ubatnya, menunjukkan cara penggunaan ubat tersebut dan menyediakan jalan-jalan untuk memperolihi ubat tersebut. Oleh itu tidak boleh menyerahkan diri kepada kerosakan dengan mengaibkan ilmu tersebut.’

‘Manakala ilmu yang dianggap sebagai suatu kelebihan dan bukan kefarduhan adalah seperti mendalami perkara-perkara yang amat halus lagi rumit tentang ilmu matematik, hakikat-hakikat perubatan dan sebagainya yang tidak terlalu diperlukan. Tetapi ia memberi faedah untuk menambahkan kekuatan daripada kadar yang diperlukan.

‘Ilmu yang dibenci ialah seperti ilmu sihir, ilmu hitam dan ilmu guna-guna. Dan ilmu yang diharuskan ialah seperti ilmu-ilmu syair yang berfaedah, ilmu-ilmu sejarah dan yang seumpamanya.’

Sumber: (JAKIM http://www.islam.gov.my/fardhu-kifayah-dalam-konteks-pembangunan-negara)

9 November 2011 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: