Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Deklarasi HIMPUN Sejuta Umat–Selamatkan Akidah Umat.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

Sabtu 22hb Oct 2011 di Stadium Shah Alam

DEKLARASI HIMPUN

“Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah “

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Bahawasanya Islam adalah Risalah Illahi  yang dengan rahmatNya telah mengangkat martabat bangsa Melayu dan semua bangsa yang lain dengan mesej “rahmatan lil ‘alamin” . Lantaran itu hanya dengan menghayati dan mengamalkan  Islam sepenuhnya sahaja merupakan satu-satunya jalan untuk menjamin kemuliaan, keselamatan, kejayaan dan kehormatan bangsa Melayu mahupun mana-mana bangsa yang lain di negara ini.

Menginsafi bahawa asas pegangan umat Islam adalah Aqidah Tauhid yang menjadi tunjang kepada seluruh pegangan hidup umat Islam dan prinsip ini tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak . Bahawa kedudukan istimewa dan status yang khas agama Islam sebagai agama Persekutuan telah ditetapkan sejak dari kemerdekaan negara ini dan ia wajib dipertahankan oleh setiap warga Muslim dan dihormati oleh semua warga Malaysia.

Bahawa penyebaran agama lain dari Islam kepada orang Islam dengan tujuan memurtadkan orang Islam dilarang sama sekali berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Islam berpendiran tegas terhadap gejala murtad dan pemurtadan yang dianggap jenayah berat yang  perlu diperangi  habis-habisan. Perlanggaran terhadap peruntukan ini boleh mengundang kepada tergugatnya keselamatan nasional dan mengundang keteganggan agama di Negara ini.

Bahawa kami pada hari ini, 24hb Zulkaedah 1432H bersamaan 22hb Oktober 2011 di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, di dalam Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah (HIMPUN), bersepakat dan mengambil ketetapan untuk:

PERTAMA :

Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

KEDUA :

Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara ini dihormati.  Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina  dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

KETIGA :

Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

KEEMPAT :

Menuntut supaya KERAJAAN mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

KELIMA :

Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

KEENAM :

Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

KETUJUH :

Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian Islam.

KELAPAN :

Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya IBUBAPA mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.

KESEMBILAN :

Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

KESEPULUH :

Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan  ini mahupun yang tidak dapat hadir,  melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Deklarasi ini dimaktubkan pada hari ini 24 Zulkaedah 1432 bersamaan dengan 22 Oktober 2011.

15/10/2011 - Posted by | Berita dan Isu Semasa

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: