Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Koleksi soal jawab sekitar ibadah puasa : Soalan 101 hingga 118

Soal jawab di bawah adalah koleksi dari beberapa laman web seperti http://www.islam.gov.my/soal/puasa.html#17 semoga memberi manfaat kepada pembaca sekalian.

Soalan 101:
Ibu saya meninggal dunia pada hari yang ke sepuluh Ramadhan kerana sakit dan tidak dapat puasa. Apakah hukumnya?

Jawapan:

Tidak dikenakan apa-apa fidyah kerana dengan sebab tidak ada masa untuk dirinya mengqada’kan puasanya.

Soalan 102:
Apakah pada bulan Muharram itu ada hari diharamkan berpuasa?

Jawapan:
Tidak ada, harus berpuasa sepanjang bulan.

Soalan 103:
Adakah fidyah puasa boleh diberi kepada anak yatim?

Jawapan:
Tidak boleh diberi kepada anak yatim. Yang berhak menerima fidyah puasa ialah kepada fakir miskin.

Soalan 104:
Bolehkah puasa sepanjang tahun selain dari 2 hariraya dan hari-hari tasyrik?

Jawapan:

Boleh berpuasa bahkan sunat berpuasa sekiranya kuasa dan tidak terjejas tanggungjawab yang diwajibkan ke atasnya.

Soalan 105:
Kenapakah awal puasa dan hari raya tidak sama di antara negara-negara Islam di dunia.

Jawapan:
Awal puasa dan hari raya tidak sama kerana tidak sama matlaknya, tidak boleh disamakan waktu seperti waktu sembahyang contohnya di negara kita sudah masuk waktu Isyak tetapi di Mekah belum Maghrib lagi.

Soalan 106:
Adakah boleh berpuasa sunat di hari Jumaat?

Jawapan:
Boleh tetapi makruh puasa hari Jumaat sahaja kecuali dihubungkan dengan hari sebelum atau hari selepas. Sekiranya hari itu jatuh hari sunat berpuasa seperti sepuluh Muharram maka disunat berpuasa.

Soalan 107:
Apakah hukum orang yang berpuasa dan makan kerana terlupa?

Jawapan:
Sah puasanya kerana makan dengan tidak sengaja.

Soalan 108:
Assalammualaikum..
Di sini saya ada kemusykilan berkenaan dengan orang yang telah menninggal dunia. contohnya jikalau seorang bapa telah meninggal dunia bolehlah anaknya menggantikan puasanya, haji dan umrah bagi pihaknya.?

Jawapan:
Menurut Qaul Jadid Asy-Syafi’ie, tidak dibolehkan menggantikan (qadha) puasa orang mati secara mutlaq (baik ia mempunyai kesempatan masa hidup atau tidak) tetapi memadai dikeluarkan (fidyah) dari harta peninggalannya satu cupak sehari mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkan.

An-Nawawi menyatakan dibolehkan warisnya mengggantikan puasa si mati. Tetapi jika dia meninggalkan harta wajib salah satunya (qadha atau fidyah) Sah menghajikan orang yang sudah mukhallaf apabila dia tidak mampu menunaikan haji kerana tua, sakit (yang tidak ada harapan sembuh) atau meninggal dunia. Hadis di bawah dijadikan qias.

“Dari Ibnu Abbas r.a: Pernah Al Fadlu bin Abbas duduk di belakang Rasulullah s.a.w.. Lalu datang seorang wanita dari “Khats’ama” Mulailah Al Fadhlu memandang kepadanya dan wanita itu memandang kepadanya. Lalu Nabi s.a.w. memalingkan muka Al Fadhlu ke arah lain. Lalu wanita itu berkata: Ya Rasulullah sesungguhnya kewajiban Ibadah haji dari Allah itu, atas semua hambaNya. Sedangkan aku mendapatkan masa hidup ayahku dalam keadaan terlalu bangka, tidak kuat lagi naik kenderaan. Apakah saya boleh hajikan dia. Baginda menjawab: Ya. Dan peristiwa itu pada waktu Haji Wada'” (Muttafaqun Alaihi)

Soalan 109:
Seseorang yang ingin membuat sesuatu ibadat kada’ sebagai denda (kifarah) kerana melanggar larangan ketika mengerjakan ibadah puasa. Dia tidak mampu hendak berpuasa berturut-turut, tiada hamba sahaya untuk dimerdekakan dan hanya mungkin mampu padanya untuk memberi makan pada 60 fakir miskin. Masalahnya sekarang susah untuk mendapatkan fakir miskin. Jika dia hanya dapat seorang sahaja fakir miskin. Bolehkah dia memberi makan pada seorang fakir miskin itu sebanyak 60 kali/hari?

Jawapan:
Tatacara membayar kafarat bulan Ramadhan. Kafarat ialah sesuatu yang mesti ditutup atau dibayar kerana melanggar syariat; cth di atas ialah bersetubuh disiang hari di bulan Ramadhan; di mana kafaratnya ialah samada membebaskan seorang hamba abdi, puasa dua bulan berturut-turut, atau memberi makan orang miskin seramai 60 orang satu mud beras atau bijirin. Hikmah kafarat: untuk menjaga syari’at supaya tidak dipermainkan.

Beberapa perbahasan dalam bab kafarat jima’ di bulan puasa.

1. Tidak wajib kafarat bagi muslim yang lupa, terpaksa atau yang jahil akan hukumnya (jumhur ulama)
2. Jika isteri dipaksa oleh suami, kafarat itu hanya untuk suami (bagi madzhab Syafi’iy, kafarat itu hanya untuk suami baik terpaksa atau sengaja; ini diperkuat oleh Imam Nawawi); bagi isteri hanya dikehendaki mengkadha puasa hari itu sahaja.
3. Kafarat itu hanya untuk kesalahan bersetubuh sahaja, jika mereka makan atau minum dulu sebelum jima’ tidak dikenakan kafarat (ini pandangan Imam Syafi’iy)
4. Jika seorang itu jima’ (setubuh) berulang kali di bulan Ramadhan, menurut Syafi’iy, Maliki dan Hanbali kafarat itu mengikut jumlah persetubuhan; manakala madzhab Hanafi cukup satu kafarat sahaja.
5. Tambahan kepada kafarat, pelakunya hendaklah dikenakan hukum takzir oleh pemerintah dan dikehendakki menghabiskan puasanya pada hari itu (ini pandangan Syafi’iy)
6. Persetubuhan itu hendaklah sempurna bukan separuh jalan.

Cara melakukan kafarat: Jumhur ulama menggariskan tatacara melaksanakan kafarat adalah sebagaimana maksud hadis Muslim HR Abu Hurairah yakni mengikut kemampuan: pertama memerdekakan hamba abdi; jika tidak kuasa, berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tidak mampu memberi makan 60 fakir miskin.

Menurut saudara penanya masalah di sini ialah susah hendak berjumpa dengan orang miskin. Ini kena berhubung dengan projek PPRT (projek pembasmian rakyat termiskin) yang telah menakrifkan pendapatan bulanan bagi rakyat termiskin dan terdapat senarai lengkap mengikut daerah atau berhubung dengan pejabat kadhi untuk mengetahui kadar sukatan beras bagi kafarat (satu mud beras berbeza mengikut negeri-negeri persekutuan) juga senarai rakyat termiskin, juga boleh menghubungi jabatan kebajikan masyarakat untuk mendapat senarai rakyat miskin;

Rujukan: Fiqhu sunnah: Sayyid Sabiq vol bab siyyam, Syaikh Jabir al Jazairy Minhaj al Muslim; al Umm asSyafi’iy.

Soalan 110:
Bagaimanakah caranya untuk kita mengira beberapa hari yang tertinggal untuk menggantikan (kada’) ibadah puasa atau solah yang tertinggal pada zaman remaja, yang tidak dapat dikira kerana terlalu banyak (kadang-kadang buat, kadang-kadang tinggal)?

Jawapan:
Amalan fiqh Syafi’iy di Malaysia dan Hanbali di Saudi, wajib diganti puasa yang terdahulu dan dikenakan kafarat satu mud makanan asasi sehari kepada seorang miskin (di Malaysia: 1 cupak==0.6 kg beras) mengikut jumlah hari yang di yakini telah ditinggalkan.

Fatwa Qardhawi: amalan tersebut tidak ada sandaran dalil yang kuat, yang lebih kuat ialah hanya mengkadha’ puasa sahaja tak perlu membayar kafarat; namun jika membayar kafarat atau mengeluarkan fidyah adalah lebih baik. Jika berlaku syak tentang jumlah hari yang ditinggalkan; gunakan kaedah feqah: dzan ghalib (apa yang diyakini); jika kita berpuasa terlebih dari apa yang disyakki itu adalah lebih baik.

Soalan 111:
Ada sedikit kemusykilan: Kita maklum bahawa Arab Saudi memulakan puasa sehari lebih awal dari negara kita. Bagi sesiapa yang mengerjakan umrah ketika itu bermakna telah memulakan puasa sehari lebih awal. Jika mereka kembali ke tanahair, dan menyambut Syawal (berdasarkan hisab) mengikut ketetapan negara kita, bermakna mereka telah berpuasa 31 hari sedangkan tidak pernah rasulullah berpuasa selama itu dan dalam kalender Islampun sebulan hanya antara 29 dan 30 hari. Persoalannya perlukah mereka berpuasa 31 hari kerana mengikut pemerintah disesuatu tempat itu atau berhari raya mengikut Arab Saudi supaya berpuasa selama 30 hari sahaja?

Jawapan:
Jumhur fuqaha’ tidak membolehkan kita berpuasa melebihi 30 hari. Dalam kes saudara, apabila saudara berpindah dari tempat asal bermula puasa, maka hendaklah menghormati tempat anda bermastautin (Malaysia).

Saudara hendaklah berbuka pada hari ke 31 secara sirri dan mengikuti upacara solat idilfitri untuk mengelak fitnah. Inilah pandangan jumhur fuqaha’.

Ruj: Abu Bakar Jabi al Jazairy (minhaj al muslim)

Soalan 112:
Batalkah puasa air masuk ke dalam hidung semasa berwudhu’. Seseorang yang berpuasa, apabila ia mengambil wuduk dengan membasuh muka, air wuduk tadi termasuk dalam hidung terus ke tekaknya. Adakah batal puasanya?

Jawapan:
Ibn Qudamah al Hambali (al Mughni bab wudhu): jika ia berkomor atau istinsyaq dan air termasuk kedalam rongga hidung terus ketekaknya–tidak batal puasa. Ini juga pandangan Syafi’iy, Awza’iy dan Ibn Abbas.

Syaikh Qardhawi (Fatawa Mu’asirat, vol 1 bab Siyyam): yang membatalkan puasa ialah bila kita memasukkan sesuatu melalui jalan yang tabi’iy untuk makan dan minum dengan ssengaja; maka jika air itu masuk melalui cara yang tidak tabi’iy dan niat kita bukan bertujuan membatalkan puasa, maka puasa itu tidak akan batal.

Soalan 113:
Bolehkah isteri meminta izin dari suami secara blanket approval’ sahaja iaitu, meminta izin secara keseluruhan baginya melaksanakan ibadat khusus yang sunat ini atau adakah setiap kali si isteri hendak melaksanakan ibadah-ibadah sunat seperti ini, maka setiap kali pula ia dikehendakki meminta izin suaminya? Bagaimana kalau pada ketika ia berhajat untuk laksanakan ibadat sunat itu suaminya tiada atau susah dihubungi, adakah si isteri perlu menunggu hingga suaminya pulang untuk meminta izin tersebut?

Jawapan:
Hukum berpuasa sunat bagi para isteri. Dua hadis sahih sebagai nas:
1. HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud: Seorang isteri tidak boleh berpuasa selagi suaminya ada di rumah, kecuali atas keizinannya.
2. HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah: Janganlah seorang wanita itu berpuasa walau satu haripun jika suaminya berada di rumah tanpa izinnya, kecuali puasa Ramadhan. Di sini ada khilaf ulamak.

Pertama: Kebanyakan ulamak berpendapat keizinan suami hanya terbatas kepada puasa sunat, manakala puasa nazar, puasa qadha’ dan puasa Ramadhan tidak perlu izin suami. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim Jld 7 pg 115.

Kedua: Sebahagian ulamak berpendapat wanita perlu meminta izin untuk berpuasa selain puasa ramadhan. Ini bermakna jika puasa itu selain puasa Ramadhan, dia perlu mendapat izin suami. Sayyid Sabiq berpendapat demikian.

Ketiga: Isteri tidak perlu mendapat keizinan suaminya untuk berpuasa apabila suaminya musafir, atau sakit atau uzur yang mana dia tidak mampu mengadakan hubungan seks. Ini adalah pandangan majoriti ulamak berdasarkan hadis dalil di atas. Ini juga pandangan Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah).

Rasional kenapa perlu mendapat keizinan suami sebelum berpuasa. Imam Nawawi menjelaskan: suami berhak mengajak isterinya jima’ bila-bila masa dan pada hari apa sahaja, dan haknya itu wajib dipenuhi oleh isterinya ketika itu juga, dan tidak boleh ditangguhkan oleh kerana amalan sunat.

Al Imam al Hafidz dalam kitab al Fath: hak suami ke atas isterinya lebih kuat daripada amalan sunat dan kebajikan yang lain. Kerana itu hak suami wajib dipenuhi, maka kewajipan harus didahulukan daripada hal-hal sunat.

Komentar Syaikh Muhammad Ali Qutb (Tuhfatul ‘Aris wal ‘Arus): Islam memberi perhatian yang serius terhadap hubungan seks antara suami-isteri, lantas Islam melarang isteri menentukan sendiri kegiatan yang dapat menghalang keinginan seksual suaminya sekalipun kegiatan itu berupa ibadah sunat. Maka Islam mewajibkan para isteri mendahului hubungan sek yang diminta suami daripada ibadat sunat. Sebagai balasan atas hak yang diberikan kepada suami, Islam memberi hak kepada isteri yang wajib dipenuhi oleh suaminya, iaitu suami tidak boleh melakukan kegiatan yang sangat meletihkan atau menyebabkan kelemahan pada jasmaninya kerana dengan keletihan itu si isteri telah kehilangan hak untuk menikmati hubungan seks dengan suaminya.

Soalan 114:
Ada yang mengatakan wanita hamil atau menyusui anak yang meninggalkan puasa, tidak perlu qada puasa tapi cuma bayar fidyah. Tetapi ada yang mengatakan qada puasa & bayar fidyah.

“Dari Ibnu Abbas: wanita yang hamil dan wanita yang menyusui apabila khawatir atas kesehatan anak-anak mereka, maka boleh tidak puasa dan cukup membayar fidyah memberi makan orang miskin ” ( Riwayat Abu Dawud ) Shahih.

“Diriwayatkan dari Nafi’ dari Ibnu Umar: Bahawa sesungguhnya istrinya bertanya kepadanya (tentang puasa Ramadhan), sedang ia dalam keadaan hamil. Maka ia menjawab: Berbukalah dan berilah makan sehari seorang miskin dan tidak usah mengqadha puasa.” ( Riwayat Baihaqi) Shahih.

Jawapan:
Dr Qardhawi telah membuat kajian dalam nas yang bersimpang siur ini dan dalam kitab feqahnya (fatawa mu’asirat), Qardhawi berpendapat fidyah sahaja.

Madzhab Syafi’iy antaranya yang menetapkan qadha dan fidyah. Ini adalah khilafiah dan keduanya harus untuk diamalkan.

thtl

Soalan 115:
Ada hamba Allah yang bertanyakan Jika kita sedang bersahur, tiba-tiba kedengaran azan terdapat dua hadis: HR Bukhari yang menyuruh kita mengeluarkan makanan dalam mulut dan berhenti makan dan minum. Ada juga hadis versi Abu Daud yang meriwayatkan, apa yang sudah berada dalam mulut hendaklah ditelan sahaja.

Jawapan:
Jumhur (majoriti) ulama’ berpendapat jika kedengaran azan subuh, maka hendaklah dikeluarkan segala makanan yang ada dalam mulut berpandukan hadis Bukhari.

Madzhab Syafi’iy juga berpegang dengan hadis ini. Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah) juga menyokong pendapat majoriti. Atas alasan inilah setengah ulama’ menyarankan penggunaan jadual waktu imsak (10 minit buffer sebelum azan subuh)

thtl

Soalan 116:
Bagaiman pula bagi orang yang memakai contact lense yang memasukkan cecair ke dalam matanya untuk membasahkan mata. Adakah itu juga boleh membatalkan puasa?

Jawapan:
Tidak batal kerana tiga alasan (illat):
a. tujuan untuk perubatan atau suatu keperluan harian yang dharuri
b. niat menitiskan cecair itu bukan menghilangkan haus (dahaga)
c. ia bukanlah jalan yang tabi’iy (normal) bagi kemasukan cecair itu. (Prof Qardhawi, Fatawa Mu’asirat, Syaikhul Islam Ibn Taymiyah, Majmu’ Fatawa lil Syaikhul Islam; Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, Jld 3)

thtl

Soalan 117:
Sahkah puasa bagi pesakit asma yang perlu menggunakan alat bantuan (saya kurang pasti namanya) yang perlu dimasukkan ke dalam mulut?

Jawapan:
Penggunaan Inhaler bagi Pesakit Athma Bagi pesakit athma atau lelah. Amalan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana yang disedut itu ialah gas dan untuk tujuan perubatan. Ini adalah fatwa Syaikh Ben Baz dalam koleksi fatwanya (Fataawa adDa’awah Syaikh Abdul Aziz ben Baz, Grand Mufti of Saudi Arabia, Fatwa No 979)

Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit athma juga harus berdasarkan Fatwa umum dalam masalah ini oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu’ Fatawa Ibn Taymiyah, Jld 25, ms 248) Keharusan ini meliputi teknik perubatan yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika dari jenis debu maka ia diharuskan Imam Ibn Hazm al Andalusi (al Muhalla, Jld 6, ms 203) tidak batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk..

Kita terpaksa menggunakan dalil fatwa dalam masalah ini kerana ini adalah masalah baru yang tidak ujud semasa Imam-Imam besar Fiqh dahulu.

Soalan 118:
Semasa saya kecil, saya pernah mendengar pendapat yang mengatakan antara perkara perkara yang membatalkan puasa termasuklah memasukkan sesuatu kedalam rongga, contohnya seperti berikut:

1. mengorek lubang hidung dengan jari
2. mengorek telinga dengan pengorek telinga
3. menuang ubat mata (eyemore) kedalam mata boleh kah saudara dapat membetulkan was was ini dengan mengemukkan dalil dalil yang sahih.

Jawapan:
1. Tidak batal puasa dengan mengorek lubang hidung atau mengorek telinga dengan pengorek telinga.

Ini adalah pendapat Ibn Taymiyah dalam majmu’ Fatawa. menurut Ibn Taymiyah, maksud batal puasa jika memasukkan sesuatu dalam rongga terbuka bermaksud memasukkan makanan atau minuman untuk menghilangkan rasa lapar atau dahaga. Sedangkan seseorang mengorek hidung atau telinga bertujuan membuat kotoran di dalamnya. namun tidak digalakan kerana boleh dilakukan waktu malam.

2. menitiskan eye-mo atau seumpamanya ke dalam mata.

Juga tidak batal puasa menurut pendapat Ibn Taymiyah dalam Majmu’ Fatawa. Kerana tujuan penitisan air ubat tadi bukan berniat untuk menghilangkn haus dahaga. (lihat penjelasan Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah serta Qardhawi dalam Fatwa Mu’asirat)

thtl [Tuan Hassan Tn-Lah]

04/08/2011 - Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab)

8 Comments »

  1. Maaf saya mahu bertanya..
    Apa hukumnya wanita yang tidak boleh berpuasa makan dan minum tanpa segan silu di hadapan wanita lain yang sedang berpuasa di bulan Ramadhan???

    Like

    Comment by yuya | 28/01/2015 | Reply

  2. assalamualaikum..soalan:batal atau tidak jikalau korek hidung dan telinga
    ketika berpuasa?

    Like

    Comment by mohd rushdi | 02/08/2014 | Reply

  3. Apakah batal puasa sekiranya tidak sedar bersetubuh selepas azan subuh kerana ingat wktu subuh belum lg masuk.

    Like

    Comment by nabil | 07/07/2014 | Reply

  4. Assalamualaikum,di sini saya ingin mengutarakan persoalan iaitu tentang niat puasa ramadhan. Adakah niat puasa sebulan itu hanya untuk di malam hari sebelum ramadhan? atau adakah kita perlu niat puasa setiap malam seperti niat puasa yang biasa kita lafazkan? terima kasih………..

    Like

    Comment by HAMBA ISLAM | 02/07/2014 | Reply

  5. assalammualaikum ustaz…saya ada soalan tentang seseorang minum arak…soalanya ialah adakah sah seseorang itu berpuasa di bulan ramadhan dan sembahyang jumaat selepas meminum arak…sah kah dia punya ibadat itu…?? terima kasih

    Like

    Comment by abd arif abd rashid | 12/06/2014 | Reply

    • AsSalam.Jika seseorang itu selepas minum arak dan dalam keadaan mabuk berpuasa dan solat maka tidak sah ibadahnya.Jika dia seorang peminum arak sekali pun sekiranya ketika dia berpuasa dan bersolat berada dalam keadaan normal tidak mabuk ibadat nya tetap sah……

      Like

      Comment by amri el wahab | 14/06/2014 | Reply

  6. Bagi ibu yang mengandung selalunya mengalami ‘morning sickness’.
    persoalannya adakah sah puasanya sekiranya ibu tersebut muntah2 kerana sickness tersebut selepas waktu subuh dan adakag ibu tersebut boleh meneruskan puasanya kembali.

    Like

    Comment by Naziera | 06/08/2011 | Reply

    • Salam kepada yang bertanya,

      Setelah buat beberapa rujukan ini jawapan nya:

      Selama muntah itu terjadi tanpa disengaja, maka Anda boleh melanjutkan puasa. Mudah-mudahan puasa Anda diterima.
      Apabila yang hamil dan menyusukan tidak berpuasa maka dia wajib menggantinya di hari lain tanpa membayar fidyah menurut mazhab Imam Abu Hanifah.
      Sedangkan dalam mazhab Syafi’i dan Hanbali bila keduanya hanya mengkhawatirkan keadaan bayi atau janinnya saja maka yang hamil atau yang menyusukan harus menggantinya dengan tambahan membayar fidyah.
      Mazhab Malik membolehkan tidak membayar fidyah bagi yang hamil dan hanya mewajibkan qadha dan fidyah bagi yang menyusukan.
      Demikian, wallahu a’lam.

      Like

      Comment by amri el wahab (Admin Fitrah Islami Online) | 06/08/2011 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: