Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Beza penyatuan Melayu dengan bukan Melayu


Satu pandangan Dr Ridhuan Tee Abdullah

Saya sudah naik muak untuk mengulas mengenai Bersih kerana kita semua tahu tujuan yang tersurat dan tersirat mereka. Itupun umat Islam masih lagi buta. Masih terus mahu menyusahkan rakyat. Kepentingan politik mengatasi segala. Saya juga yakin kemenangan parti pembangkang Thailand dalam pilihan raya umum 2011 minggu lalu, menjadikan sumber inspirasi mereka, semakin nekad menguasai Putrajaya. Mereka tetap mahu berdemonstrasi.

Kemenangan parti Pheu Thai pimpinan adik bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra akan menjadi sejarah Thailand berperdanamenterikan seorang wanita. Apakah Yingluck boleh disamakan dengan ketua Bersih yang diperalatkan imej kewanitaannya bagi memenuhi nafsu serakah tersebut? Sama-sama kita saksikan.

Di Thailand, tindakan mereka amat professional, bila selesai pilihan raya, maka dikira selesai. Selepas itu, mereka akan tunggu 5 tahun lagi untuk membuat keputusan menukar pemimpin. Yang kalah, menerima kekalahan, yang menang meneruskan perjuangan agenda negara. Thailand tidak menghadapi banyak, kerana mereka hanya ada dua kumpulan, satu pro kerajaan dan satu lagi pembangkang.

Lagi pula, Thailand adalah negara sebangsa, 1bangsa, 1bahasa dan 1budaya, manakala Malaysia pula berbagai bangsa, berbagai bahasa dan berbagai budaya. Tidak banyak yang bersifat 1, kecuali gagasan perpaduan 1Malaysia yang cuba diketengahkan oleh Perdana Menteri. Itupun terlalu banyak disalahfahamkan dan dipolitikkan.

Dalam banyak hal semuanya mereka mahukan satu iaitu sama rata dan sama rata. Tetapi tidak dalam isu 1bangsa, 1bahasa dan 1budaya. 1sekolah tidak boleh dibincangkan kerana akan ditentang habis-habisan. Bolehkah kita mempercayai mereka untuk berdemonstrasi secara aman? Saya bimbang mereka akan mengambil kesempatan untuk memperlagakan sesama umat Islam.

Selama ini kita telahpun diperlagakan. Dendam kesumat tidak pernah habis. Kita sentiasa mencari kelemahan orang lain. Dahulu pembangkang mengutuk Umno Barisan Nasional. Kini, apabila mereka memerintah, sepatutnya mereka menjadi lebih baik dalam segala hal, tetapi nampaknya tidak banyak perubahan. Persaudaraan sesama saudara seagama diletak ketepi, yang penting kroni.

Pemilihan ahli majlis perbandaran masih sama. Cuma dibuat lebih teratur supaya tidak kelihatan seperti Umno Barisan Nasional. Dahulu mereka mencadangkan supaya pilihan raya dibuat untuk memilih ahli majlis. Namun, bila mereka memerintah, keadaan balik asal. Ahli majlis mereka mewakili parti politik juga. Mereka berebut-rebut projek dan tender untuk dibahagi-bahagikan kepada kroni-kroninya. Jangan pergi jauh, datanglah ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Kenapa jadi sebegini? Belajarlah dari bangsa lain.

Saya ingin membawa pembaca meneliti isu ini untuk dijadikan iktibar. Minggu lalu, Persatuan Editor Akhbar Cina Malaysia mengutuk hebat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Kim, kerana pandangannya mengkritik akhbar Cina yang disifatkan terlalu ultra kiasu seperti yang telah saya sebut sebelum ini. Teng dilaporkan berkata bahawa wartawan akhbar Cina berperangai buruk dan penguasaan bahasa Cina mereka juga tidak sebegitu baik. Teng turut membidas mereka kerana tidak dapat membezakan antara benar dan salah dalam pemberitaannya. Tanpa menyiasat maksud Teng, Persatuan akhbar tersebut terus menyerang Teng.

Saya mengikuti peribadi saudara Teng sejak dahulu lagi. Beliau agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain. Beliau agak terbuka dan banyak bergaul dengan orang Melayu. Malah beliau tidak segan silu memakai songkok ketika pembukaan parlimen dan tugasnya sebagai speaker. Banyak buku Islam yang dibacanya. Dengan sebab itu, dia agak tidak disukai oleh sesetengah pihak terutama akhbar ultra kiasu ini dan golongan ortodoks ultra kiasu. Maka tidak hairan jika beliau tidak terpilih untuk mengetuai parti ultra kiasu negeri Selangor.

Ketua Pemuda MCA seperti cacing kepanasan membidas saudara Teng untuk mencari publisiti murahan. Saya harap umat Islam di kawasan parlimen Ayer Hitam dapat membuka mata siapa wakil rakyat mereka sebenarnya. Sepatutnya akhbar Cina perlu melakukan muhasabah diri. Apakah selama ini pemberitaan akhbar mereka benar-benar membina negara bangsa berasaskan kepada gagasan 1Malaysia atau akhbar ini mengapi-api semangat perkauman. Mereka melabelkan akhbar Utusan Malaysia rasis. Akhbar mereka sahaja yang tidak rasis. Mereka tidak boleh disentuh langsung, keballah katakan. Baca artikel saya sebelum ini bertajuk rukun politik Cina bagaimana mereka menjaga bangsa mereka.

Bukan seperti kita, tidak pernah habis bertelingkah dalam apa jua isu hatta sampai ke dalam surau masjid. Peristiwa tiba-tiba makmum bangun menempelak khatib ketika sedang membaca khutbah solat Jumaat dua minggu lalu di masjid Ubudiah, Ampang, Selangor, menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan. Khatib begitu syok sendiri dengan khutbah ciptaannya. Yang ‘menyeronokkan’ adalah khatib tersebut turut sama menempelak makmum tersebut dengan mengatakan dia jahil ketika berkhutbah. Rupa-rupa makmum dan khatib dua kali lima sahaja.

Sepatutnya, khatib tersebut tidak melayan sikap makmum tersebut dan meneruskan khutbahnya. Ini tidak, khatib tersebut turut tumpang semangkok. Saya tidak mengatakan tindakan makmum itu betul. Salah tetap salah. Saya mengharapkan khatib tersebut bertindak betul, rupanya salah.

Insiden seperti ini bukan perkara baharu, tetapi ia berlaku di masjid-masjid yang dikuasai oleh parti-parti tertentu. Mereka menjadikan mimbar untuk membalas dendam, bukan untuk mendidik. Kita semakin berpecah. Kita sepatutnya tidak mengambil pendekatan mengajar, tetapi mendidik dengan mengetuk pintu hati mereka. Jika Pas benar-benar ikhlas, sepatutnya Pas mengambil pendekatan mendidik Umno melalui nilai-nilai Islam yang ‘diperjuangkan’, bukannya menghamburkan kata-kata dan sindirin-sindiran tajam yang menyakitkan hati.

Saya amat pelik kenapa kita tidak selantang ini apabila berhadapan dengan musuh kita yang begitu jelas menentang kita dan mengenepikan agenda nasional. Baru-baru ini saya berforum dalam Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang dihadiri oleh hampir 1000 orang pengetua. Yang saya hairan, Majlis Pengetua Sekolah begitu besar persatuannya, tetapi kenapa suara mereka tenggelam dengan NGO yang lebih kecil seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong. Ketiga-tiga persatuan ini mempunyai kaitan langsung dengan pendidikan Cina, tetapi suara mereka boleh menggegarkan negara. Manakala, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dan begitu juga Majlis Guru Besar Malaysia (Sekolah Rendah), nampak hebat, tetapi tiada taring. Bukan mereka tidak mahu atau tidak boleh bersuara, tetapi suara mereka disenyapkan. Mereka terpaksa ikut kata boss.

Majlis Pengetua dan Majis Guru Besar ini sepatutnya diberikan kebebasan untuk berhadapan dengan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong, baharulah terserlah kepengetuaannya dan kegurubesarannya. Saya harap istilah ini boleh digunakan.

Inilah beza penyatuan antara Melayu dengan bukan Melayu. Bukan Melayu bersatu atas perkara asas atau perkara berkaitan hidup mati atau masa depan mereka. Manakala penyatuan kita, usahkan perkara besar, perkara kecilpun kita tidak boleh selesaikan. Malahan terus berpecah seolah-olah tidak ada penghujung. Lebih menyedihkan lagi tindakan kita sering menimbulkan beban dan masalah kepada rakyat jelata.

Demonstrasi haram Bersih meninggal kesan yang amat mendalam. Sejak hari khamis saya tidak dapat pulang ke rumah sehingga hari Ahad, saya hanya bermalam di hotel kerana terperangkap dalam kesesakan jalan yang amat dahsyat, sehingga saya mengambil keputusan berpatah balik bagi mengelakkan ceramah-ceramah hujung minggu yang telah diaturkan tidak tergendala. Terpaksalah saya memakai baju yang kotor selama dua hari disebabkan oleh tidak ada lagi pakaian Bersih.

Lebih hiba lagi mendengar ada yang terpaksa menunda tarikh perkahwinan yang telah diatur sejak setahun yang lalu, dan banyak lagi perkaraa penting terpaksa dibatalkan serta kerugian yang ditanggung gara-gara demonstrasi ini Bersih ini. Hati begitu tersentuh membaca berita ada seorang yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Takziah saya ucapkan, moga roh allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT, tidak kiralah sama ada penyokong Bersih atau tidak. Paling penting kita tetap umat Islam tetap bersaudara, walaupun mungkin kita berbeza.

Seperti yang selalu saya sebut, yang menjadi menjadi mangsa adalah umat Islam. Saya tidak nampak begitu ramai bilangan bukan Islam yang turun. Rata-ratanya adalah kulit sawo matang. Kalau adapun bukan Melayu, sengaja dialihkan kamera ke sana supaya ada warna warninya, wal hal sebenarnya tidak. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Sesama sendiri bercakaran. Orang lain bertepuk tangan. Silap-silap haribulan, Melayu hilang ditelan zaman. Hanya kerana sengketa yang tidak berkesudahan, tanpa penyelesaian. Titik pertemuan masih jauh kelihatan. Perubahan yang dilaksanakan tidak banyak menguntungkan.

Misalnya, apabila Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada orang Melayu (Bumiputera), maka tindakan ini dimanipulasikan dengan kata-kata memberi tongkat. Namun demikian, apabila bukan Melayu mendapat hak yang sama, maka ia dikatakan meritokrasi dan mereka berhak? Tidakkah kita sedar berapa ramai pelajar bukan Melayu yang dihantar di universiti di luar negeri melalui yayasan-yayasan berasaskan kaum yang diwujudkan dan sejumlah wang parti-parti politik perkauman yang tidak kurang banyaknya. Ini tidak termasuk individu-individu bukan Melayu yang terkaya membantu anak bangsa mereka.

Pendek kata, ada atau tidak Dasar ekonomi Baharu (DEB), bukan Melayu langsung tidak rugi. Tindakan cuba melonggarkah DEB itulah yang semakin merugikan anak bangsa ini.

Saya ingin memetik kata-kata A. Kadir Jasin, apabila orang Melayu (bumiputera) berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi? Siapa yang memegang monopoli gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV satelit, lesen Independent Power Producers (IPP) dan kontrak berbilion ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah? Tidak ramai yang ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa “menyelamatkan” Malayan Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat, disingkirkan atas tuduhan menyalahgunakan wang bank itu kepada syarikat persendiriannya di Singapura?

Begitulah juga dengan pengambilan oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang majoriti pelajarnya bukan Melayu, berasaskan kaum maka tiada siapa pun nampak bahawa keuntungannya tidak kepada Melayu, tetapi kepada bukan Melayu.

Hari ini, terdapat 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang di punyai oleh kerajaan, tidak termasuk 24 politeknik. Bilangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTAS) pula melebihi 500 buah. Atas desakan, kerajaan telah membuka pengambilan bukan Bumiputera yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli oleh bukan Bumiputera, bilangan yang lebih ramai mendapat pendidikan pengajian tinggi adalah bukan Melayu. Kerajaan turut membantu IPTS yang dipunyai oleh bukan Melayu (parti politik), tidak cukup dengan itu bantuan melimpah ruah turut diberikan oleh syarikat swasta bukan Melayu kerana ada pelepasan cukai.

Kesimpulannya, saya yakin, suatu hari ini, kita tidak akan mampu lagi bersaing, apabila apa yang sedia ada semakin hilang. Misalnya, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS kerana bangsa yang kuat ekonominya pasti hanya akan membantu universiti bangsanya sahaja. Ringkasnya, apa jua peristiwa yang berlaku, sebanyak manapun demonstrasi Bersih, dan polisi yang digubal, orang Islam akan terus rugi, yang untung adalah bukan Melayu. Inilah yang membezakan antara konsep penyatuan Melayu dengan bukan Melayu.

13/07/2011 - Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: