Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>PAS sokong DAP guna Khalimah Allah di Sibu walaupun berunsur TRINITI

>
TEPUK DADA TANYA IMAN!

17 May 2010 Oleh Zulkifli Noordin pada 6:44 PM

Salam 2 all.

Saya lampirkan dibawah kenyataan YAB Mursyidul Am PAS yang mempertikaikan pendapat Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS berkaitan penyalahgunaan kalimah ALLAH oleh DAP dalam kempen pilihanraya kecil di Sibu baru-baru ini.

(Petikan lapuran daripada MalaysiaKini bertarikh hari ini Isnin 17.05.2010)

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tetap berpegang kepada kenyataannya bahawa pemimpin parti politik bukan Islam, termasuk DAP boleh menggunakan kalimah Allah demi kepentingan politik mereka.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, walaupun kenyataannya itu bercanggah dengan kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din, yang tidak mahu DAP menggunakan kalimah Allah dalam kempen parti politiknya, namun beliau tetap berpendirian ia dibolehkan dalam Islam.

“Itu kata (jawapan) dia (Datuk Dr. Haron Din)…tapi saya kata boleh. Biarlah dia (Datuk Haron) bersedia menerima jawapan balas. Itu jawapan dia, jawapan saya kata boleh,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan (Dato’ Dr.) Haron (Din)supaya DAP menarik balik penggunaan kalimah Allah dalam kempen politiknya”.

Saya tidak mahu komen apa-apa, kerana kedua-duanya adalah ‘ilmuan dan ulama’ besar dalam negara ini. Cuma soalan besar yang saya bertanya kepada diri saya sendiri, apa dah jadi dengan umat Islam akhir zaman ini. Gajah sama gajah bergaduh, khinzir yang menang!

Sejarah membuktikan kejatuhan pemerintahan Islam dan khilafah Islamiyyah serta runtuhnya tamaddun kegemilangan Islam dahulu sebenarnya adalah kerana pergaduhan dikalangan umat Islam sendiri, dan kafir hanya sekadar mengambil kesempatan daripadanya. Kita tidak boleh menyalahkan golongan kafir, kerana ALLAH telah menegaskan permusuhan mereka terhadap kita dengan jelas didalam Al Quran. Silap dan salahnya adalah kita umat Islam sendiri. Kalau Islam nak hancur pun ialah ditangan umat Islam sendiri.

Tepuk dada tanyalah iman. Apa pun, berpeganglah kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah saw, insyallah kita akan selamat. Ingatlah pesanan ALLAH dalam surah Al Baqarah: 2, “sesungguhnya inilah kitab (Al Quran) yang tiada sedikit pun keraguan kepadanya, menjadi petunjuk kamu menuju ketaqwaan”, dan satu lagi firman ALLAH dalam surah Al Baqarah: 183, “sesungguhnya diturunkan Al Quran dibulan Ramadhan sebagai petunjuk bagi manusia, dengan keterangan dan bukti yang nyata, supaya menjadi pembeza bagi kamu”. Al Quran lah yang akan membezakan kepada kita yang mana hak yang mana batil; yang mana benar yang mana palsu; yang mana adil yang mana zalim; yang mana dosa yang mana pahala; yang mana halal yang mana haram; YANG MANA ISLAM YANG MANA KAFIR!! Sealgi kita berpegang kepada Al Quran dan Sunnah, perbezaan itu nampak jelas dan nyata, tetapi kalau perkiraan lain menjadi kayu pengukur kita, maka ALLAH sahajalah yang boleh menentukannya kelak!

Persoalan yang ingin saya tanya, apakah menyokong DAP yang terang-terang menolak penubuhan sebuah negara Islam itu berdasarkan Al Quran dan Sunnah?

Adakah menyokong Pengerusi DAP YB Karpal Singh yang menyatakan “langkah mayat saya dahulu kalau mahu laksanakan undang-undang Islam” itu berdasarkan Al Quran dan Sunnah?

Adakah membenarkan penyalahgunaan kalimah ALLAH dalam bentuk syirik dengan dakwaan ALLAH punya anak dalam bentuk triniti itu bersesuaian dengan risalah tauhid mengesakan ALLAH sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah dan para anbiya terdahulu?

Semoga ALLAH menyelamatkan umat Islam yang masih mempunyai sedikit keimanan daripada fitnah akhir zaman ini.

Wassalam.

18/05/2010 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | 3 Comments

>Berpolitik menikut manhaj al Quran dan As Sunnah

>NOTA:Politik yang di bincangkan di bawah ini bukan  dari aspek Fahaman Politik Ideologi Sekular Barat yang sedang di amalkan oleh kebanyakkan Parti Politik Islam di dunia sekarang.Contoh jika dalam tulisan ini ada menyebut Nabi berpolitik bermaksud cara Nabi berpolitik bukan saperti cara orang zaman sekarang berpolitik yang penuh dengan tipu daya dan muslihat kotor.
Moga moga Allah lindungi kita dari beramal dengan ideologi politik barat yang kotor ini dan tidak mengikut manhaj Al Quran dan As Sunnah..

KENAPA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan muktamad bagi umat Islam. Seorang muslim sebenar ialah yang berpegang-teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dalam segenap aspek kehidupannya termasuk dalam aspek politik. Merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah wajib. Allah berfirman;

”Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuknya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul jika kamu bena-benarr beriman kepada Allah dan hari akhirat. Tindakan demikian adalah paling baik (bagi kamu) dan paling elok akibatnya” (Surah an-Nisa’, ayat 59).

Kedua-dua al-Quran dan as-Sunnah adalah penyelamat kaum muslimin dari kesesatan. Rasulullah s.a.w. bersabda;

Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu sekelian rujukan yang jika kamu perpegang-teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”.(Hadis soheh, riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lihat hadis ini dalam kitab “المنتقى من كتاب الترغيب و الترهيب”, Dr. Yusof Al-Qardhawi, m.s. 111.).

APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Ya. (Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul.
Firman Allah; ”Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89).
 Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut.

(Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan.

(Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama.

Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK SUKU, AGAMA SUKU”?

Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika ia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam mengundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekelian ulamak Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

ADAKAH POLITIK SATU IBADAH?

Ya, politik akan menjadi sebahagian dari ibadah jika cara kita berpolitik adalah mengikut manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Jika tidak mengikut al-Quran dan as-Sunnah, maka politik kita tidak akan menjadi ibadah, malah berdosa kerana kita mengenepikan Syariat Allah. Menurut sekelian ulamak; setiap perbuatan kita akan menjadi ibadah jika memenuhi dua syarat; (pertama) dilakukan kerana Allah, (kedua) mengikut Syari’at Allah (yakni al-Quran dan as-Sunnah). Jika kita berpolitik kerana Allah dan semasa berpolitik kita mematuhi Syariat Allah (antaranya tidak memberi dan menerima rasuah politik yang berleluasa hari ini), maka politik kita adalah ibadah dan mendapat pahala.

BAGAIMANA YANG DIKATAKAN BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AS-SUNNAH?

Iaitu dengan kita menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kita dalam berpolitik.

(Pertama) Dari sudut tujuan dan matlamat kita berpolitik, hendaklah selari dengan matlamat politik al-Quran dan as-Sunnah.

(Kedua) Dalam melantik pemimpin, hendaklah kita melantik pemimpin yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

(Ketiga) Seorang pemimpin apabila telah dilantik, wajiblah ia memimpin rakyatnya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah

(Keempat) Rakyat hendaklah sentiasa memuhasabah pemimpinnya dengan menilainya berpandukan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.

(Kelima) Kedua-dua pemimpin dan rakyat hendaklah menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.

APAKAH MATLAMAT BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Iaitu untuk menegakkan Syari’at Allah (yakni peraturan dan hukum-hakam Allah) di dalam negara dan memimpin rakyat berdasarkan Syari’at tersebut. Dalam pengertian yang lain, untuk menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan Syari’at Islam. Matlamat ini menepati tugas Khalifah (penguasa) yang ditegaskan Allah kepada Nabi Daud di dalam al-Quran;

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum Syari’at) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. (Shad; 26)

KENAPAKAH MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH AMAT PENTING DI DALAM NEGARA?

Agar negara kita sentiasa dijaga oleh dilimpahi barakah oleh Allah. Negara yang diberkati Allah ialah negara yang penduduknya bertakwa dan makna takwa ialah mematuhi perintah Allah (yakni Syari’atNya) dan menjauhi maksiat serta munkar. Firman Allah;

”Sekiranya penduduk suatu negeri atau negara itu, mereka beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, akan tetapi mereka mendustakan (ajaran Rasul kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (al-A’raf; 96)

APA AKIBAT PENGABAIAN HUKUM SYARIAT DI DALAM NEGARA?

Pengabaian Syari’at Allah yang berterusan menyebabkan kita berdosa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah telah memperingatkan kita bahawa kehancuran umat-umat terdahulu adalah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan walaupun negara mereka makmur dan mewah. Firman Allah;

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain”. (al-An’am; 6)

Kebinasan dari Allah tidak semestinya dalam bentuk gempa bumi, ribut taufan, penyakit dan sebagainya. Ia boleh berlaku dalam bentuk keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, tekanan hidup yang melampau, porak-perandanya institusi keluarga dan pelbagai lagi musibah maknawi yang merosakkan ketenteraman hidup walaupun kita selesa dan mewah dari sudut kebendaan. Hari ini kita sedang berhadapan dengan bibit-bibit kebinasaan dalam bentuk yang kedua tersebut. Jika kita lambat menyedari kesilapan kita dan lambat kembali kepada Allah, tidak mustahil kita akan melihat kebinasaan yang lebih teruk dalam masyarakat kita.

KENAPAKAH PERLU KUASA POLITIK UNTUK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH?

Kerana Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.

BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?

Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (al-Isra’; 80)

Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)

***والله أعلم بالصواب***
 
Tulisan: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
 
 
 
 
 
 

18/05/2010 Posted by | Politik dan Dakwah | Leave a comment

>Tawassul yang di sepakati dan khilafkan

>Dari sudut bahasa, kalimah at-Tawassul bermaksud mengambil satu jalan untuk sampai kepada sesuatu. Adapun dari segi Syara’, ia bermaksud; mendekatkan diri kepada Allah melalui jalan mentaatiNya, beribadah kepadaNya, mengikuti para Nabi dan RasulNya dan dengan apa sahaja amalan atau cara yang disukai Allah dan diredhaiNya. Firman Allah;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan”. (Al-Maidah; 35)

Tawassul ada yang disepakati oleh para ulamak dan ada yang diikhtilafkan. Tawassul yang disepakati oleh ulamak akan keharusannya –malah digalakkan melakukannya- ialah;

a) Tasawwul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya

b) Tawassul dengan amal soleh

c) Tawassul dengan doa orang soleh

Tawassul melalui cara-cara di atas telah disepakati oleh para ulamak dan tidak ada ulamak yang mempertikainya. Adapun jenis tawassul yang diiktilafkan ialah bertawassul kepada Allah (iaitu berdoa kepadaNya) dengan kemuliaan atau kemegahan zat salah seorang dari hambaNya. Contohnya; bertawassul dengan zat Nabi atau mana-mana orang soleh untuk memohon suatu hajat dari Allah. Para ulamak dalam menjelaskan hukum tentangnya ada beberapa pandangan;

a) Pandangan yang mengharamkannya secara keseluruhannya iaitulah pandangan Imam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Bin Baz dan yang sealiran dengan mereka. Mereka berpandangan tawassul sedemikian adalah tidak harus dan bid’ah kerana tidak disebut oleh al-Quran dan tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w.. Adapun hadis-hadis yang menyebutkan tentang tawassul sahabat dengan Nabi s.a.w. maka maksudnya ialah tawassul dengan doa baginda, bukan dengan zatnya.

Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; “Lafaz tawassul dikehendaki maknanya dengan tiga perkara;

Pertama; bertawassul kepada Allah dengan cara beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mentaati baginda.

Kedua; bertawassul dengan doa dan syafaat baginda

Kedua-dua bentuk tawassul di atas telah disepakati keharusannya oleh ijmak ulamak. Siapa mengingkarinya ia adalah kafir dan murtad. Ia diminta supaya bertaubat. Jika enggan bertaubat, hendaklah dibunuh.

Ketiga; tawassul dengan makna bersumpah kepada Allah dengan zat Rasulullah s.a.w. atau memohon kepada Allah dengan zat baginda. Tawassul yang ketiga ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat sama ada ketika baginda masih hidup atau setelah baginda mati, sama ada di sisi kubur baginda atau di sisi kubur orang lain”. (Lihat; at-Tawwasul wa al-Wasilah, al-Imam Ibnu Taimiyyah).

b) Pandangan yang mengkhususkan keharusan dengan Nabi s.a.w. sahaja, yakni harus bertawassul dengan Nabi s.a.w., namun dengan orang lain (termasuk para sahabat, wali-wali Allah dan sebagainya) adalah tidak harus. Pandangan ini diambil dari Imam Izzuddin Ibnu ‘Abdissalam. Beliau berdalilkan sebuah hadis yang menceritakan;

“Seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah supaya Dia menyembuhkan mataku’. Lalu Rasulullah menyuruhnya mengambil wudhuk, menunaikan solat dua rakaat dan seterusnya berdoa seperti di bawah;

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ وأتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيّ الرَّحْمَةِ صلى اللّه عليه وسلم، يا مُحَمَّدُ! إني تَوَجَّهْتُ بكَ إلى رَبّي في حاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لي، اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فيّ

“Ya Allah! Aku bermohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi rahmat. (Aku telah meminta kepadanya (yakni kepada Muhammad);) ‘Ya Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepada Tuhanku dengan kemuliaanmu bagi hajatku ini supaya Ia menunaikannya untukku’. Ya Allah! Berilah syafaat kepadanya untukku”.

(Riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan soheh).

c) Pandangan yang mengharuskannya secara mutlak, iaitu harus bertawassul sama ada dengan kemegahan zat Nabi Muhammad atau orang-orang soleh yang lain. Pandangan ini diutarakan oleh Imam as-Subki. Antara dalilnya ialah; riwayat oleh Imam Ibnu Syaibah dari Malik ad-Dar dengan sanad yang soheh –sebagaimana yang ditegaskan Imam al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari- yang menceritakan; “Telah berlaku kemarau yang teruk pada zaman Umar r.a., lalu seorang lelaki pergi ke kubur Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Wahai Rasulullah! Mohonlah hujan (dari Tuhanmu) untuk umatmu kerana sesungguhnya mereka telah mengalami kemusnahan (kerana kemarau)’. Pada malamnya, lelaki itu bermimpi Rasulullah datang kepadanya dan berkata; “Pergilah kepada Umar, sampaikan salamku kepadanya dan khabarkan kepadanya bahawa mereka akan dikurniakan hujan (oleh Allah)”. Menurut Imam Ibnu Hajar, lelaki tersebut bernama Bilal bin al-Harith al-Muzani dan beliau merupakan seorang sahabat. (Rujuk; Fathul-Bari, juz. 3, hlm. 148 dan al-Isabah, juz. 3, hlm. 4). Peristiwa di atas berlaku pada zaman Saidina Umar dengan diketahui oleh para sahabat termasuklah Umar sendiri dan tidak ada seorangpun di kalangan mereka yang mengingkarinya, menunjukkan bahawa ia adalah harus. Adapun pandangan Imam Izzuddin yang mengkhususkan keharusan bertawassul seperti itu dengan Rasulullah s.a.w. sahaja, yakni tidak harus dengan orang lain, maka pandangan itu dapat dipertikaikan kerana tidak ada dalil yang menegaskan bahawa hal tersebut hanya khusus untuk baginda sahaja. Apabila tiada dalil khusus, maka kekallah ia dengan sifat umumnya.

Pandangan Imam as-Subki di atas disokong oleh Imam al-Alusi, Syeikh Zahid al-Kauthari, Syeikh Muhammad Hasanin Makhluf (bekas mufti Mesir) dan lain-lain lagi. Syeikh Hasanin Makhluf dalam fatwanya menegaskan; “Bertawassul dengan zat para Nabi dan orang-orang soleh dengan pengertian memohon syafaat dengan zat-zat mereka sebagai satu cara untuk memohon hajat kepada Allah kerana melihat kepada hampirnya mereka dan mulianya mereka di sisi Allah seperti dengan seorang itu berkata; ‘Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadamu dengan NabiMu atau dengan si fulan hambaMu yang soleh agar Engkau menunaikan hajatku atau mengurniakan rezki kepadaku, atau menyemuhkan penyakitku’, maka tawassul sebegini atau seumpamanya adalah harus dan tiada apa yang menegahnya”.

Kesimpulan

Bertawassul dengan Nabi s.a.w. jika dengan makna mencari wasilah/jalan kepada Allah dengan cara beriman kepada baginda s.a.w. dan mentaatinya atau dengan makna memohon hajat kepada Allah dengan doa dan syafaat baginda (ketika hayatnya), maka tawassul sebegini adalah harus dengan ijmak para ulamak. Adapun bertawassul dengan makna memohon kepada Allah dengan menyebutkan zat atau kemuliaan baginda (selepas kewafatannya), maka ia diikhtilafkan di kalangan ulamak. Masing-masing dengan hujjah yang tersendiri. Hal ini dijelaskan juga oleh Imam Hasan al-Banna dalam Usul al-‘Isyrinnya; “Berdoa jika diiringi dengan bertawassul kepada Allah dengan salah seorang dari makhluknya merupakan perkara khilaf dalam masalah furu’ dalam cara berdoa dan ia bukan tergolong dalam masalah-masalah aqidah”. Namun demikian, jika kita dapat mengambil sikap yang mengeluarkan kita dari khilaf itulah yang terbaik.

Wallau a’lamu bisshawab.

Ditulis oleh;
Saudaramu dalam Islam,
Us. Ahmad Adnan Fadzil,
Madrasah Diniah Islamiah (MADI),
Jejawi Dalam, Arau,
Perlis.

18/05/2010 Posted by | Ibadah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: