Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA

>

Umum mengetahui, sensitiviti umat Islam amat tersentuh apabila kalimah Allah seakan dipermainkan. Kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah SWT yang Maha Agung.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama Allah itu bersifat menyeluruh. Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-Nya (al-Asma’ al-Husna) yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-A‘raf ayat 180: “Dan bagi Allah, nama-nama yang Maha Baik”.

Bagaimanapun, tidak dinafikan sesetengah agama juga mendakwa kalimah Allah sebagai panggilan kepada nama tuhan mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan di dalam agama Islam. Malah al-Qur’an sendiri pernah merakamkan konflik ini sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan dipanggil oleh mereka?

Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini. Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”.

Tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa itu Allah? Apakah makna sebenar di sebalik nama itu? Jika itu semua tidak diketahui dan dimengerti, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah Allah.

Bagi membincangkan lebih lanjut isu ini, penulis bentangkan di sini hujjah-hujjah yang menjelaskan apakah sebenarnya hakikat kalimah Allah SWT menurut pemikiran dan aqidah Islam. Apakah signifikannya Allah SWT menjadikan kalimah tersebut sebagai merujuk kepada zat-Nya Yang Maha Agung?

Kalimah Allah menurut satu pendapat yang lemah ialah kata nama yang kaku (jamid). Iaitu bukan berbentuk kata terbitan yang berasal daripada kata dasar tertentu. Ini kerana sesuatu kata terbitan mesti mempunyai akar perkataannya yang tertentu. Sedangkan nama Allah SWT itu bersifat sediakala (qadim). Qadim pula
ialah sesuatu yang tidak mempunyai unsur asas atau asal. Ia menyerupai kesemua kata-kata nama khas yang tidak mempunyai asal tertentu serta tidak mempunyai sebarang maksud di sebalik penamaannya.

Bagaimanapun pendapat yang benar, kata nama Allah itu ialah kata terbitan yang mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama berbeza pandangan tentang asal kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ia berasal daripada kalimah alahaya’lahu- uluhatan-ilahatan-ilahiyyatan .Ia membawa maksud ‘abada-‘ibadatan iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah yang bermaksud ma’luh iaitu “yang disembah” (ma‘bud).

Berasaskan pendapat ini, Ibn ‘Abbas r.a. pernah berkata: “Allah yang memiliki (sifat) ketuhanan (al-ilahiyyah) dan kehambaan (al-‘ubudiyyah) ke atas seluruh makhluk-Nya”.

Di kalangan ahli nahu Arab termasyhur juga berpandangan sedemikian. Misalnya al- Kisa’i dan al-Farra’ mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata al-ilah.Kemudian mereka membuang huruf hamzah dan menggabungkan (idgham) huruf lam yang pertama ke dalam huruf lam yang kedua. Kemudian terbentuk satu lam yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berkata: “Yang benar, kalimah Allah ialah kata yang mempunyai asal, di mana asal katanya ialah al-ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang berpendapat meragukan (tanpa sebarang asas). Lafaz Allah mencakup seluruh
makna al-Asma’ al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi.

Orang yang mengatakan bahawa ia adalah kata terbitan, mereka mahu menunjukkan kalimah Allah itu mengandungi makna sifat bagi Allah SWT. Iaitu alilahiyyah (ketuhanan) sebagaimana al-Asma’ al-Husna yang lainnya seperti al-Basir (Maha Melihat), al-Sami‘ (Maha Mendengar), al-Qadir (Maha Berkuasa), al-‘Alim (Maha Mengetahui) dan sebagainya.

Tidak diragukan lagi bahawa nama-nama ini merupakan terbitan daripada kata dasarnya sedangkan nama-nama tersebut kekal bersifat qadim. Maksud nama-nama tersebut ialah kata terbitan, iaitu dari segi lafaz dan maknanya yang bertemu dengan kata-kata dasarnya. Bukan bererti nama atau sifat itu lahir seumpama lahirnya cabang daripada asal. Penamaan ahli nahu terhadap kata dasar dan kata terbitan itu dengan asal dan cabang bukan bermaksud salah satu daripada keduanya lahir daripada yang lain, tetapi ia memberi makna salah satu daripada keduanya mengandungi yang lain malah terdapat penambahan”.

Abu Ja’far ibn Jarir pula mengatakan: “Lafaz Allah itu berasal daripada kata al-ilah. Kemudian hamzahnya yang merupakan fa’ al-ism (iaitu sebutan dalam ilmu saraf bagi hamzah yang ada pada kata ilah, kerana wazan atau timbangan kata ilah adalah fi‘alun) digugurkan atau dibuang. Kemudian huruf lam yang merupakan ‘ain al-ism bertemu dengan lam tambahan yang barisnya mati, lalu masing-masing digabungkan kepada yang lain.

Maka kedua-duanya menjadi satu lam yang disabdukan. Manakala takwilan (tafsiran) kalimah Allah pula ianya berasaskan apa yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. bahawa “Dia lah (Allah) yang mempertuhankan-Nya segala sesuatu (ya’lahuhu kullu syai’in), dan yang disembahi oleh seluruh makhluk (ya‘buduhu kullu khalqin)”.

Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis. Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata: Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam menerangkan keistimewaan nama Allah menyebut: “Nama yang mulia ini memiliki sepuluh karakteristik lafaz…tentang karateristik maknawinya, makhluk Allah yang paling berilmu, iaitu Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak dapat memuji Engkau sepenuh dan sesempurna yang semestinya. Engkau sebagaimana Engkau memuji diri-Mu (selesai sabda).

Ibn Qayyim kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penamaan Allah itu menunjukkan bahawa Dia (Allah) adalah sebagai Yang dipertuhankan dan disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan, pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan musibah yang menimpa.

Inilah sebenarnya maksud di sebalik kalimah Allah SWT. Ia bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata.

Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh  pihak berkuasa demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang Maha Agung itu.

Sumber: JAKIM

27/01/2010 Posted by | Berita dan Isu Semasa | Leave a comment

>"ALLAH": BUKAN BAHASA BIBLE

>

Isu berkenaan tuntutan pihak Kristian terhadap kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka masih lagi hangat diperkatakan. (Rujuk The Sun,Ruangan Herald The Catholic Weekly )

Pihak yang menuntut mendakwa bahawa kalimah Allah ialah terjemahan dari bahasa Inggeris yang mengunakan kalimah God di dalam bible Versi English mereka.

Sekiranya tuntutan ini dipenuhi kita akan melihat di dalam bible Kristiana ayat-ayat berbunyi seperti berikut:-

“Engkau adalah Messias anak Allah yang hidup “ ( Matius 16 : 16 )

“..Kerana ia telah berkata :Aku adalah anak Allah.” ( Matius 27 : 43 )

“ Kasih kurnia menyertai kamu dan damai sejahtera dari Allah, bapa kita dan dari Tuhan Yesus ( Jesus )

Kristus. (Galatia 1 : 3 )

Serta banyak lagi ayat-ayat lain yang tidak perlu diperincikan di sini.

Jelasnya, dalam menangani isu ini, kita perlu merujuk kembali kepada fakta sebenar. Iaitu, apakah bahasa asal penulisan kitab Taurat dan Holy Bible?

Berdasarkan fakta, bahasa asal kitab Taurat adalah bahasa Hebrew manakala bahasa yang digunakan bagi penulisan kitab Holy Bible ialah bahasa Greek. Kalimah tuhan dalam bahasa Hebrew ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The Gospel of St. Matthew bab 27 : 46 yang menyebut : Kira-kira jam tiga berserulah Yesus dengan suara nyaring: “Eli,Eli, lama sabakhtani?”Ertinya: Allah-Ku, Allah-Ku,mengapa Engkau meninggalkan Aku ?”

Manakala di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud tuhan ialah Theos. Orang-orang Rom yang menyembah Tuhan yang disepakati oleh mereka sebagai Tuhan yang sebenar memanggil Tuhan ini
sebagai Hotheos. Manakala sekiranya ada di kalangan mereka yang menyembah Tuhan palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tontheos.

Perhatikan! Bagi kedua-dua bahasa yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun yang menyebut kalimah Allah Sesetengah sarjana Kristian menyatakan bahawa alasan yang paling kukuh bagi mereka untuk dibenarkan penggunaan kalimah Allah ialah berdasarkan penggunan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi Arabic.

Sememangnya diakui kalimah Allah digunapakai di dalam Bible berbahasa Arab. Bible versi bahasa Arab tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi Alkitab Al-Muqaddas. Begitu juga Bible berbahasa Melayu yang
menggunakan nama yang sama? Di dalam terjemahan Bible bahasa Melayu mereka menamakannya sebagai Al-kitab berita baik.*

Perlu dinyatakan bahawa kalimah Allah wujud di dalam Bible bahasa Arab adalah kerana sesetengah Kristian Arab (seperti Syria, Mesir dan lain-lain) yang wujud sebelum kedatangan Islam meyakini konsep Unity (Keesaan Allah). Ia berbeza sama sekali dengan konsep Trinity (tiga dalam satu) sepertimana doktrin kebanyakan Kristian pada hari ini termasuk mereka yang terlibat dengan tuntutan isu kalimah Allah ini.

Maka hujah yang dijadikan sandaran sebagai alasan untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini adalah tidak masuk akal kerana golongan Kristian Trinity sendiri mengkafirkan golongan Kristian Unity.

Terdapat juga sarjana mereka yang menyatakan bahawa kekeliruan tidak akan sekali-kali timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan tersebut adalah merujuk kepada penterjemahan dari kalimah God dalam Bible bahasa Inggeris sedangkan kalimah Tuhan adalah terjemahan dari kalimah Lord.

Pandangan mereka ini juga mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam Bible mereka. Persoalannya, apakah perbezaan antara Allah dan Tuhan dalam agama Kristian?

Sekiranya mereka mendakwa bahawa Tuhan adalah merujuk kepada Nabi Isa sedangkan Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam syurga maka mereka perlu mengetahui bahawa ayat yang akan dinyatakan di bawah ini membuktikan bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan  yang merujuk hanya kepada Allah sahaja! Perhatikan di dalam The Gospel Of St. Mark 12:29 menyebut :
Jawab Jesus : “Hukum yang terutama ialah : Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa”

Saya bertanya kepada orang-orang Kristian, siapakah Tuhan Yang Esa yang dimaksudkan di dalam ayat di atas? Adakah Nabi Isa? Tidak! Lafaz Tuhan yang dimaksudkan di atas adalah merujuk kepada Allah semata-mata.

Sekali lagi bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan oleh sarjana ereka bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible adalah merujuk kepada Nabi Isa!

Sekiranya mereka berhujah dengan menyatakan bahawa dalil yang paling jelas menunjukkan kalimah Tuhan adalah merujuk kepada Nabi Isa sedangkan kalimah Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa, iaitu seperti
dinyatakan di dalam The Gospel Of St.Matius 16:22 yang menyebut :

Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia, katanya :“Tuhan, (Jesus) semoga Allah (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu”.

Maka mereka perlu menyelesaikan dahulu percanggahan di antara kedua ayat yang telah dinyatakan tadi. Sama ada Tuhan itu adalah Nabi Isa sahaja ataupun Tuhan juga adalah Allah!

Di samping itu, kita juga tidak lupa untuk menyeru agar mereka memerhatikan kata-kata Jesus sendiri terhadap keesaan Allah. Perhatikan The Gospel Of St.John 20:17 yang menyebut :
Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudaraKu dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada BapaKu dan Bapamu,AllahKu dan Allahmu.”

Dalam The Gospel Of St. Matthew 22:37 :menyebut : Jawab Jesus kepadanya: “ Kasihilah Tuhan Allahmu denganegenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan segenap akal budimu.

Dalam erti kata lain Nabi Isa bukannya Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Nabi Isa sendiri menyatakan bahawa Tuhan yang sebenar ialah Allah!

Kesimpulannya, larangan terhadap penggunaan kalimah Allah yang diwartakan menerusi keputusan kabinet yang bersidang pada 16 Mei 1986 adalah amat wajar. Empat perkataan dikhususkan hanya buat umat Islam dan sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya oleh Non Muslim iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah. Sesetengah negeri pula contohnya selangor, telah menambah lagi beberapa perkataan yang dianggap mengelirukan sekiranya digunakan oleh Non Muslim.

Jelaslah di sini kewajaran kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah digunakan oleh Non Muslim yang bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat apabila terminologi yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.

Sumber: JAKIM

27/01/2010 Posted by | Berita dan Isu Semasa | Leave a comment

   

%d bloggers like this: