Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>Khutbah Rasulullah SAW ketika menjelang Ramadhan

>Berikut merupakan wasiat Baginda Rasulullah SAW pada malam terakhir bulan Sya’ban, tatkala menyambut datangnya bulan Ramadhan-

“Wahai manusia!

Sungguh telah datang kepada kamu bulan Allah yang membawa berkah, rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya paling utama. Malam-malamnya paling utama. Detik demi detiknya paling utama. Inilah bulan di mana kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Pada bulan ini nafas-nafas kamu menjadi tasbih, tidur kamu ibadah, amal-amal kamu diterima dan doa-doa kamu dikabulkan. Mohonlah kepada Allah, Tuhan kamu, dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Dia membimbing kamu untuk melakukan puasa dan membaca Kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah pada bulan agung ini.

Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin. Muliakanlah orang tua. Sayangilah yang muda. Sambungkanlah tali persaudaraan. Jagalah lidah. Tahanlah pandangan dari apa yang tidak halal untuk kamu pandang. Peliharalah pendengaran dari apa yang tidak halal untuk kamu dengar.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosa. Angkatlah tangan-tangan kamu untuk berdoa pada waktu solat. Itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah ‘Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih. Dia menyahut mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyahut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa-doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia!

Sesungguhnya diri kamu tergadai kerana amal-amal kalian. Oleh kerana itu, bebaskanlah dengan beristighfar. Belakang-belakang kamu berat kerana beban (dosa). Maka dari itu, ringankanlah dengan memperpanjangkan sujud.

Ketahuilah! Allah SWT bersumpah dengan segala kebesaran-Nya, bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan-Nya.

Wahai manusia!

Siapa saja di antara kamu memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa pada bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.

Jagalah diri kamu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah diri kamu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.

Wahai manusia!

Siapa yang memperbaiki akhlaknya pada bulan ini, ia akan berhasil melalui siratul mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan persoalan-Nya pada Hari Kiamat. Siapa saja yang menahan keburukannya pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Siapa sahaja yang memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang menyambungkan tali silaturahmi pada bulan ini, Allah akan menghubungkannya dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Siapa saja yang melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan mencatatkan baginya kebebasan dari api neraka. Siapa saja yang melakukan solat fardhu, baginya pahala seperti melakukan 70 solat fardhu pada bulan lain.

Siapa saja yang memperbanyak selawat kepadaku pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangannya ringan. Siapa saja pada bulan ini membaca satu ayat al-Quran, pahalanya sama seperti mengkhatamkan al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia!

Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagi kamu. Kerana itu, mintalah kepada Tuhan kamu agar tidak pernah menutupkannya bagi kamu. Sesungguhnya pintu-pintu neraka tertutup. Kerana itu, mohonlah kepada Tuhan kamu untuk tidak akan pernah membukakannya bagi kamu. Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu. Kerana itu, mintalah agar mereka tak lagi pernah menguasai kamu.

Wahai manusia!

Sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang mana Allah telah menjadikan puasanya suatu kefardhuan, dan qiyam pada malam harinya suatu tathawwu’.

Siapa saja yang mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu amal kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan satu kefardhuan di dalam bulan yang lain.

Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan dan bulan Allah memberikan rezeki kepada Mukmin di dalamnya.

Siapa saja yang memberikan makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikit pun berkurang.

Inilah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Siapa saja yang meringankan beban dari hamba sahaya, nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka.

Kerana itu, perbanyakkanlah empat perkara pada bulan Ramadhan: dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhan kalian, dua perkara lagi yang sangat kamu perlukan. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampunan kepada-Nya. Dua perkara yang sangat kamu perlukan ialah memohon syurga dan perlindungan dari neraka.

Siapa saja yang memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Nya, dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga.” [HR Ibnu Khuzaimah]

Sumber ilmu:http://mykhilafah.com/ramadhan/1520-khutbah-rasulullah-saw-ketika-menjelang-ramadhan

05/09/2009 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

>PAKATAN MENDOKONG ISLAM ATAU KUFUR?

>

Untuk ke sekian kalinya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini berdepan satu lagi konflik percaturan politik Pakatan Rakyat (PR) apabila timbul isu penjualan arak secara terbuka di kawasan majoriti penduduk Islam di Selangor. Usaha PAS yang tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka ditentang keras oleh rakan karibnya dari DAP. Tekanan demi tekanan diterima dari pelbagai sudut menyebabkan PAS tersepit di antara ‘pegangan’ dengan hukum Islam dan kepentingan politik yang wujud dalam PR. Sebelum itu, PAS juga goncang seketika gara-gara cadangan Presidennya sendiri untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan. Konflik dalaman PAS diperparah dengan kelicikan UMNO yang sememangnya pakar dalam politik hipokrasi memecahbelahkan lawan. Pemimpin tertinggi PAS bertelagah sesama sendiri sama ada untuk mengekalkan kesetiaan ‘perkahwinan’ mereka dengan PR atau bertukar pasangan kepada UMNO/BN. Secara logiknya, tidak ada bezanya bergabung, baik dengan BN atau PR kerana di dalam kedua-duanya terdapat parti sekular dan parti kafir. PAS Kedah juga pada 1 Julai lalu ‘ditampar’ hebat oleh DAP yang mengumumkan untuk keluar daripada PR akibat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya. Demikianlah serba sedikit beberapa siri tekanan yang dialami oleh sebuah parti Islam dalam perkahwinan campur mereka dengan parti sekular dan parti kufur. Ini yang terdedah, manakala yang tidak terdedah seperti perebutan jawatan, perebutan projek dan banyak lagi perbalahan lainnya ‘terpaksa’ ditelan oleh PAS, dan ada yang hanya menunggu masa untuk meletup.
Untuk baca sepenuhnya sila Klik di sini

05/09/2009 Posted by | Politik dan Dakwah | 2 Comments

   

%d bloggers like this: