Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>MENEGAKKAN KEADILAN AMAT SUSAH

>Setelah kita membahas, mengkaji, menganalisa tentang pengorbanan dan kehendak-kehendak sifat-sifat adil atau keadilan untuk dipraktikkan di dalam kehidupan kita, ia terasa sungguh oleh kita amat susah dan payah hendak dilaksanakan. Bukan sahaja sulit sekali untuk berlaku adil kepada Allah Taala, kepada manusia, kepada haiwan bahkan untuk berlaku adil kepada diri kita sendiri pun amat susah sekali.

Jika kita tidak dapat berlaku adil kepada diri kita sendiri ertinya kita melakukan kezaliman kepada diri kita sendiri. Kalau kita tanpa berhenti dan bertaubat kepada Allah, Nerakalah padahnya.Kalau diri kita yang kita sayangi kita tidak berlaku adil bahkan kita menzalimi, apakah ada satu jaminan yang kita boleh berlaku adil kepada manusia atau makhluk yang lain? Apakah kita boleh menyayangi orang lain daripada diri kita? Kalau kita tidak sayang pada diri kita, bolehkah kita menyayangi diri orang lain, kalau kita sanggup menzalimi diri sendiri, apakah jaminan kita tidak menzalimi orang lain?

Di dunia hari ini penuh dengan penzaliman.
Setelah kita memahami erti keadilan menurut Islam, bahawa tidak syak lagi, dunia pada hari ini penuh dengan kezaliman dengan berbagai-bagai bentuk dan berlaku di dalam berbagai-bagai aspek kehidupan yang dilakukan oleh individu, kaum, puak, parti, golongan dan bangsa. Tidak ada bumi di dunia ini yang tidak berlaku penindasan dan penzaliman itu, sama ada menusia itu sedar atau tidak. Berlakunya penzaliman terhadap Allah Taala, penzaliman terhadap manusia, penzaliman terhadap haiwan dan penzaliman terhadap diri sendiri. Kemudian penzaliman itu ia berlaku pula di dalam berbagai-bagai aspek.

Penzaliman itu ia berlaku di dalam pendidikan, berlaku di dalam ekonomi, berlaku di dalam politik, di dalam pentadbiran, di dalam kemasyarakatan, di dalam ketenteraan, di dalam kebudayaan, di dalam kekeluargaan, di dalam perhubungan antarabangsa dan lain-lain lagi.

Justeru itu tidak hairanlah kita bahawa di mana-mana sahaja di muka bumi Tuhan ini, tidak ada tempat yang tenang yang tidak ada pergolakan, di sana-sini berlakunya berbagai-bagai krisis, perselisihan, pergeseran, pergaduhan, jauth-menjatuhkan, kata-mengata, umpat-mengumpat, fitnah-menfitnah, hina-menghina, pakatan jahat atau konfrantasi, tangkap-menangkap, tuduh-menuduh, demontrasi, pemberontakan seterusnya peperangan.

Di dalam seseorang atau satu puak atau satu golongan atau satu parti atau satu bangsa itu dizalimi, di masa yang sama mereka menzalimi pula. Di dalam satu sudut mereka kena zalim, di sudut yang lain mereka menzalim pula. Di dalam mereka dituduh, mereka menuduh pula. Jadi zalim-menzalim itu telah berlaku di antara satu sama lain, di antara satu puak dengan satu puak. Kalau begitu di mana golongan yang adil?

Sesetengah mereka kalau tidak menzalimi manusia, mereka menzalimi Allah Taala. Kalau tidak menzalimi Allah Taala, mereka menzalimi manusia. Kalau tidak mereka menzalimi manusia atau Tuhan, mereka menzalimi haiwan. Kalau tidak mereka menzalimi haiwan, manusia atau Tuhan, mereka akan menzalimi diri sendiri sehingga yang paling kejam iaitu bunuh diri. Bahkan ada yang lebih kejam lagi dari itu iaitu mereka menzalimi Tuhan, menzalimi manusia, haiwan dan diri sendiri.

Cara menegakkan keadilan
Sebelum ini kita telah memperkatakan bahawa fitrah semulajadi manusia suka kepada keadilan. Justeru itu mereka ingin kepada keadilan dan sentiasa bangun untuk berjuang menegakkan keadilan. Di waktu ini hampir setiap hari kita mendengar, membaca bahkan memperkatakan keadilan. Memang perkataan keadilan itu lebih banyak disebut orang daripada sifat-sifat mahmudah yang lain.

Tadi kita telah memperkatakan bahawa kezaliman itu telah merata berlaku kepada setiap individu, kelompok, puak, parti, golongan dan bangsa. Ia berlaku berbagai-bagai bidang dan aspek hingga kezaliman itu dilakukan pada diri sendiri. Dunia hari ini sudah penuh dengan penzaliman.

Kalaulah penzaliman telah rata berlaku di dunia hari ini hampir tidak ada manusia yang tidak dijangkiti. Oleh yang demikian siapalah yang hendak kita harapkan untuk bangun menegakkan keadilan sekaligus menumpaskan kezaliman?
Di sinilah rahsianya mengapa pejuang-pejuang keadilan belum berjaya menegakkan keadilan sekaligus menumpaskan kezaliman. Kerana di samping mereka ingin menegakkan keadilan dan menumpaskan kezaliman, mereka juga membuat zalim. Bahkan adakalanya satu-satu golongan itu berjaya menumbangkan satu golongan yang berlaku zalim, mereka kemudiannya lebih zalim lagi daripada golongan yang sebelumnya selepas mereka berjaya.
Oleh itu yang penting di waktu ini ialah setiap orang dan golongan berusaha membaiki diri dan cuba bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan di dalam diri dan golongannya terlebih dahulu. Selepas itu perjuangkanlah keadilan itu, yang mana jika sifat keadilan itu telah wujud di dalam diri masing-masing dan di dalam golongan itu insya-Allah, golongan lain akan sedar dan insaf kerana model telah wujud dan Allah Taala akan memberi bantuan kepada orang yang telah menegakkan keadilan itu.

Inilah cara atau jalan keluar daripada penindasan dan penzaliman di dalam kehidupan manusia. Apabila penzaliman dapat ditumpaskan kerana masing-masing menegakkan keadilan di dalam diri mereka terlebih dahulu, secara automatik keadilan dapat ditegakkan di dalam kehidupan manusia, di dalam semua peringkat dan di dalam seluruh aspek kehidupan bermasyarakat.

Jauhilah perbuatan zalim
Di dalam ajaran Islam perbuatan menzalim sangat dilarang. Ia termasuk dosa besar kerana menzalim itu merosakkan kehidupan manusia. Sama ada fiziknya, hartanya, maruahnya, kedudukannya atau lain-lain lagi. Maka kerana itulah dosa menzalimi ini di dunia lagi Allah Taala akan menghukumnya atau membalasnya sebelum dilakukan di Akhirat. Lebih-lebih lagi kalau orang kita zalim itu ialah ibu bapa atau guru kita.

Justeru itu ada Hadis menyebut:
Maksudnya: “Hendaklah kamu takuti doa orang yang dizalimi kerana tidak ada di antaranya hijab dengan Allah Taala.”
Maksudnya, doa orang yang dizalimi terus Allah Taala terima sekalipun dia orang kafir. Maka akan nahaslah orang yang menzalim itu di dunia lagi.Oleh itu berhati-hatilah kita agar jangan sampai menzalimi makhluk Allah Taala kerana hukumannya akan berlaku didunia lagi. Sama ada cepat atau lambat, jangka pendek mahupun jangka panjang. Bentuk atau sifatnya yang sama dengan orang yang dizalimi atau Allah Taala datangkan dengan bentuk atau sifat yang lain. Adakalanya apa yang Allah Taala balas itu, orang yang menzalim itupun telah lupa di atas perbuatan zalimnya di suatu hari dulu.

Mungkin dia dihukum lambat sehingga dia tidak dapat hubungkaitkan dengan perbuatannya dahulu, kecuali orang yang prihatin atau peka sahaja yang sedar atau dapat hubungkaitkan.
Marilah sama-sama kita insaf, terutamanya penulis agar jangan kita menzalim. Kalau sudah terlajak cepat-cepatlah kita memohon maaf sebelum tibanya hukuman daripada Allah Taala, sama ada di awal, di pertengahan, atau di hujung hidup kita. Apatah lagi di Akhirat, sudah pasti tidak terlepas daripada hukuman.

Moga-moga Allah Taala sentiasa menjauhkan kita daripada perbuatan zalim. Amin.

SEKIAN

(Sumber:http://ikhwantoday.com/minda/index.php?pageNum_minda_terkini=21)

01/06/2009 - Posted by | Tazkirah

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: