Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>MENEGAKKAN KEADILAN AMAT SUSAH

>Setelah kita membahas, mengkaji, menganalisa tentang pengorbanan dan kehendak-kehendak sifat-sifat adil atau keadilan untuk dipraktikkan di dalam kehidupan kita, ia terasa sungguh oleh kita amat susah dan payah hendak dilaksanakan. Bukan sahaja sulit sekali untuk berlaku adil kepada Allah Taala, kepada manusia, kepada haiwan bahkan untuk berlaku adil kepada diri kita sendiri pun amat susah sekali.

Jika kita tidak dapat berlaku adil kepada diri kita sendiri ertinya kita melakukan kezaliman kepada diri kita sendiri. Kalau kita tanpa berhenti dan bertaubat kepada Allah, Nerakalah padahnya.Kalau diri kita yang kita sayangi kita tidak berlaku adil bahkan kita menzalimi, apakah ada satu jaminan yang kita boleh berlaku adil kepada manusia atau makhluk yang lain? Apakah kita boleh menyayangi orang lain daripada diri kita? Kalau kita tidak sayang pada diri kita, bolehkah kita menyayangi diri orang lain, kalau kita sanggup menzalimi diri sendiri, apakah jaminan kita tidak menzalimi orang lain?

Di dunia hari ini penuh dengan penzaliman.
Setelah kita memahami erti keadilan menurut Islam, bahawa tidak syak lagi, dunia pada hari ini penuh dengan kezaliman dengan berbagai-bagai bentuk dan berlaku di dalam berbagai-bagai aspek kehidupan yang dilakukan oleh individu, kaum, puak, parti, golongan dan bangsa. Tidak ada bumi di dunia ini yang tidak berlaku penindasan dan penzaliman itu, sama ada menusia itu sedar atau tidak. Berlakunya penzaliman terhadap Allah Taala, penzaliman terhadap manusia, penzaliman terhadap haiwan dan penzaliman terhadap diri sendiri. Kemudian penzaliman itu ia berlaku pula di dalam berbagai-bagai aspek.

Penzaliman itu ia berlaku di dalam pendidikan, berlaku di dalam ekonomi, berlaku di dalam politik, di dalam pentadbiran, di dalam kemasyarakatan, di dalam ketenteraan, di dalam kebudayaan, di dalam kekeluargaan, di dalam perhubungan antarabangsa dan lain-lain lagi.

Justeru itu tidak hairanlah kita bahawa di mana-mana sahaja di muka bumi Tuhan ini, tidak ada tempat yang tenang yang tidak ada pergolakan, di sana-sini berlakunya berbagai-bagai krisis, perselisihan, pergeseran, pergaduhan, jauth-menjatuhkan, kata-mengata, umpat-mengumpat, fitnah-menfitnah, hina-menghina, pakatan jahat atau konfrantasi, tangkap-menangkap, tuduh-menuduh, demontrasi, pemberontakan seterusnya peperangan.

Di dalam seseorang atau satu puak atau satu golongan atau satu parti atau satu bangsa itu dizalimi, di masa yang sama mereka menzalimi pula. Di dalam satu sudut mereka kena zalim, di sudut yang lain mereka menzalim pula. Di dalam mereka dituduh, mereka menuduh pula. Jadi zalim-menzalim itu telah berlaku di antara satu sama lain, di antara satu puak dengan satu puak. Kalau begitu di mana golongan yang adil?

Sesetengah mereka kalau tidak menzalimi manusia, mereka menzalimi Allah Taala. Kalau tidak menzalimi Allah Taala, mereka menzalimi manusia. Kalau tidak mereka menzalimi manusia atau Tuhan, mereka menzalimi haiwan. Kalau tidak mereka menzalimi haiwan, manusia atau Tuhan, mereka akan menzalimi diri sendiri sehingga yang paling kejam iaitu bunuh diri. Bahkan ada yang lebih kejam lagi dari itu iaitu mereka menzalimi Tuhan, menzalimi manusia, haiwan dan diri sendiri.

Cara menegakkan keadilan
Sebelum ini kita telah memperkatakan bahawa fitrah semulajadi manusia suka kepada keadilan. Justeru itu mereka ingin kepada keadilan dan sentiasa bangun untuk berjuang menegakkan keadilan. Di waktu ini hampir setiap hari kita mendengar, membaca bahkan memperkatakan keadilan. Memang perkataan keadilan itu lebih banyak disebut orang daripada sifat-sifat mahmudah yang lain.

Tadi kita telah memperkatakan bahawa kezaliman itu telah merata berlaku kepada setiap individu, kelompok, puak, parti, golongan dan bangsa. Ia berlaku berbagai-bagai bidang dan aspek hingga kezaliman itu dilakukan pada diri sendiri. Dunia hari ini sudah penuh dengan penzaliman.

Kalaulah penzaliman telah rata berlaku di dunia hari ini hampir tidak ada manusia yang tidak dijangkiti. Oleh yang demikian siapalah yang hendak kita harapkan untuk bangun menegakkan keadilan sekaligus menumpaskan kezaliman?
Di sinilah rahsianya mengapa pejuang-pejuang keadilan belum berjaya menegakkan keadilan sekaligus menumpaskan kezaliman. Kerana di samping mereka ingin menegakkan keadilan dan menumpaskan kezaliman, mereka juga membuat zalim. Bahkan adakalanya satu-satu golongan itu berjaya menumbangkan satu golongan yang berlaku zalim, mereka kemudiannya lebih zalim lagi daripada golongan yang sebelumnya selepas mereka berjaya.
Oleh itu yang penting di waktu ini ialah setiap orang dan golongan berusaha membaiki diri dan cuba bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan di dalam diri dan golongannya terlebih dahulu. Selepas itu perjuangkanlah keadilan itu, yang mana jika sifat keadilan itu telah wujud di dalam diri masing-masing dan di dalam golongan itu insya-Allah, golongan lain akan sedar dan insaf kerana model telah wujud dan Allah Taala akan memberi bantuan kepada orang yang telah menegakkan keadilan itu.

Inilah cara atau jalan keluar daripada penindasan dan penzaliman di dalam kehidupan manusia. Apabila penzaliman dapat ditumpaskan kerana masing-masing menegakkan keadilan di dalam diri mereka terlebih dahulu, secara automatik keadilan dapat ditegakkan di dalam kehidupan manusia, di dalam semua peringkat dan di dalam seluruh aspek kehidupan bermasyarakat.

Jauhilah perbuatan zalim
Di dalam ajaran Islam perbuatan menzalim sangat dilarang. Ia termasuk dosa besar kerana menzalim itu merosakkan kehidupan manusia. Sama ada fiziknya, hartanya, maruahnya, kedudukannya atau lain-lain lagi. Maka kerana itulah dosa menzalimi ini di dunia lagi Allah Taala akan menghukumnya atau membalasnya sebelum dilakukan di Akhirat. Lebih-lebih lagi kalau orang kita zalim itu ialah ibu bapa atau guru kita.

Justeru itu ada Hadis menyebut:
Maksudnya: “Hendaklah kamu takuti doa orang yang dizalimi kerana tidak ada di antaranya hijab dengan Allah Taala.”
Maksudnya, doa orang yang dizalimi terus Allah Taala terima sekalipun dia orang kafir. Maka akan nahaslah orang yang menzalim itu di dunia lagi.Oleh itu berhati-hatilah kita agar jangan sampai menzalimi makhluk Allah Taala kerana hukumannya akan berlaku didunia lagi. Sama ada cepat atau lambat, jangka pendek mahupun jangka panjang. Bentuk atau sifatnya yang sama dengan orang yang dizalimi atau Allah Taala datangkan dengan bentuk atau sifat yang lain. Adakalanya apa yang Allah Taala balas itu, orang yang menzalim itupun telah lupa di atas perbuatan zalimnya di suatu hari dulu.

Mungkin dia dihukum lambat sehingga dia tidak dapat hubungkaitkan dengan perbuatannya dahulu, kecuali orang yang prihatin atau peka sahaja yang sedar atau dapat hubungkaitkan.
Marilah sama-sama kita insaf, terutamanya penulis agar jangan kita menzalim. Kalau sudah terlajak cepat-cepatlah kita memohon maaf sebelum tibanya hukuman daripada Allah Taala, sama ada di awal, di pertengahan, atau di hujung hidup kita. Apatah lagi di Akhirat, sudah pasti tidak terlepas daripada hukuman.

Moga-moga Allah Taala sentiasa menjauhkan kita daripada perbuatan zalim. Amin.

SEKIAN

(Sumber:http://ikhwantoday.com/minda/index.php?pageNum_minda_terkini=21)

01/06/2009 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

>PEMBAHAGIAN KEADILAN DAN KEZALIMAN

>Kalau kita hurai dengan lebih terperinci lagi tentang keadilan dan kezaliman, ia boleh dibahagi pula kepada empat bahagian:

1. Keadilan dan kezaliman kepada Allah SWT
2. Keadilan dan kezaliman kepada manusia
3. Keadilan dan kezaliman kepada diri sendiri
4. Keadilan dan kezaliman kepada haiwan

Pertama: Keadilan dan kezaliman kepada Allah SWT
Sebagai contoh, jika bertembung kehendak Allah SWT dengan kehendak kita seperti waktu sembahyang sudah tiba dan waktu itu juga kita hendak membuat kerja kita atau bos kita, kenalah kita dahulukan kehendak Allah SWT iaitu kerjakan sembahyang lebih dahulu. Itu dinamakan adil kepada Allah SWT. Jika didahulukan kehendak kita atau kehendak bos kita hingga tertinggal sembahyang, hukumnya kita menzalimi Allah SWT.

Sebagai contoh yang lain, kalau kita mendahului undang-undang Allah Taala di dalam membuat hukum atau mengatur kehidupan, kita telah berlaku adil dengan Allah SWT. Tapi kalau kita tolak hukum Allah Taala, kita ganti dengan hukum kita atau hukum manusia maka kita dianggap menzalimi Allah Taala kerana kita tidak meletakkan hukum Allah SWT pada tempatnya. Seterusnya qiaskanlah kepada perkara-perkara lain.

Kedua: Keadilan dan kezaliman kepada manusia
Sebagai contoh, dengan kedua ibu bapa kita hormati dan kita utamakan daripada isteri kita. Penghormatan dan keutamaan itu sudah kita letakkan pada tempat yang betul. Kita telah berlaku adil. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, isteri kita lebih kita hormat dan utamakan daripada ibu bapa kita, kita telah berlaku zalim kerana meletakkan sifat hormat dan keutamaan itu bukan kepada tempatnya yang sebenarnya.

Sebagai contoh yang lain, kalau kita orang yang berkuasa, kita naikkan pangkat seseorang itu atas dasar kesungguhan dan kemampuan kerja, lama pula sudah bekerja, maka kita telah berlaku adil kerana kita naikkan pangkat itu sesuai dengan orang pada tempatnya dan sepatutnya.Tapi kalau berlaku sebaliknya, kita naikkan pangkat seseorang itu bukan atas dasar kebolehan, kesungguhan dan lama bekerja tapi atas dasar dia pandai mengambil hati kita, atau dia orang kita, walaupun tidak layak, kita naikkan juga pangkat. Maka kita telah berlaku zalim kerana memberi pangkat seseorang bukan pada tempatnya iatu bukan orang yang sepatutnya. Qiaskanlah kepada yang lain-lain seperti memberi projek, memberi anugerah cemerlang dan lain-lain lagi.

Ketiga: Keadilan dan kezaliman pada diri sendiri
Seperti Allah SWT menjadikan kita untuk beribadah, maka kita tetap menjadi orang beribadah. Maka kita telah berlaku adil kepada kita kerana kita telah meletakkan diri kita pada tempatnya yang sebenarnya. Jika berlaku sebaliknya iaitu kita tidak beribadah atau cuai beribadah kepada Allah Taala ertinya kita sudah tidak meletakkan diri kita pada tempatnya yang sebenarnya maka kita di kira menzalimi diri sendiri.

Sebagai contoh yang lain, Allah Taala menjadikan mata, telinga dan lain-lain anggota dengan tujuan untuk melihat, mendengar dan lain-lain lagi kepada yang dihalal atau diperintah oleh Allah Taala seperti melihat kebesaran Allah Taala, melihat dan membaca Al Quran, melihat ciptaan Tuhan agar terasa Maha Kuasa Allah Taala, kita telah berlaku adil pada diri kita. Jika berlaku sebaliknya, seperti melihat perempuan-perempuan yang bukan muhrim. Melihat dan mendengar gambar-gambar dan perkataan-perkataan yang lucah, kita telah menzalimi diri kita kerana kita sudah tidak meletakkan lagi diri kita (anggota kita) pada tempatnya yang sebenarnya. Seterusnya qiaskanlah anggota-anggota yang lain.

Keempat: Keadilan dan kezaliman kepada haiwan
Kalau kita ada memelihara haiwan yang dibenarkan oleh Islam, kita beri tempat tinggal yang sepadan dan sepatutnya dengan haiwan itu. Kita beri makan dan minum sesuai dengan haiwan itu. Kalau perlu kita gunakan untuk bekerja, sesuai dan sepadan dengan kerja-kerjanya yang patut dengan haiwan itu, tidaklah sampai membeban atau memberatkan, maka kita telah berlaku adil dengan haiwan itu. Tapi kalau berlaku sebaliknya, tempat tinggalnya tidak sempurna, makan minum tidak cukup, dibebankan dengan kerja yang tidak sepatutnya, maka kita telah melakukan kekejaman dan kezaliman terhadap haiwan itu dan contoh-contoh yang lain bolehlah qiaskan sendiri.

Untuk menegakkan Keadilan amat susah…mengapa? KLIK SINI

01/06/2009 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

>KEDUDUKAN SIFAT ADIL DALAM ISLAM

>Kedudukan sifat adil di dalam Islam adalah seperti berikut:

1. Ia adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang wajib diusahakan dan diperjuangkan agar setiap orang memilikinya.

2. Sifat keadilan itu lebih hampir kepada sifat taqwa. Berdasarkan
sebuah ayat Al Quran:

Maksudnya: “Janganlah kamu tertarik kerana kebencianmu terhadap satu kaum sehingga kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat dengan taqwa dan takutlah kepada Allah.” (Al Maidah: 8)

3. Keadilan itu kalau berlaku sangat berperanan dan memberi kesan di dalam kehidupan bermasyarakat.

4. Sifat keadilan ini adalah salah satu akhlak yang mulia yang bersifat sejagat. Ertinya setiap manusia sama ada Islam mahupun yang bukan Islam menginginkannya.

5. Sifat keadilan itu kalau menjadi pakaian kepada pemimpin atau raja, ia lebih indah dan cantik. Lebih cantik dan menarik, lebih luas dan lebih meratanya faedah dan kebaikannya.

6. Sifat keadilan itu hendaklah diberi kepada semua golongan manusia sekalipun orang yang kita benci atau musuh kita.

7. Sifat keadilan itu sangat membantu menyelesaikan masalah masyarakat.

8. Satu saat boleh berlaku adil lebih baik daripada beribadah…

Pemimpin lebih utama berlaku adil
Di dalam ajaran Islam, semua orang yang mukalaf, lelaki, perempuan yang akil baligh, wajib berlaku adil. Bahkan wajib memperjuangkannya agar keadilan itu dapat ditegakkan di dalam kehidupan bermasyarakat, di dalam semua aspek dan bidang kehidupan. Tapi pemimpin itu berlaku adil terutama pemimpin di dalam sesebuah negara, lebih-lebih lagi utama dikehendaki berlaku adil kerana dia adalah contoh utama rakyat untuk menjadi ikutan. Ini ada beberapa sebab, di antaranya:

* Apabila pemimpin sesebuah negara itu adil, dia dapat melakukan keadilan itu secara umum. Ramai orang yang dapat dibela dan dapat manfaatnya atau ramai orang dapat terbela secara menyeluruh.

* Kalau pemimpin atau raja sesebuah negara itu tidak adil, maka umum atau ramai pula orang yang terzalim atau teraniaya atau ramai yang terbiar dan tidak terbela pula.

* Apabila pemimpin sesebuah negara itu adil, seluruh rakyat daripada orang besar hingga orang kecil akan sayang dan hormat. Dengan itu mudahlah rakyat untuk dididik dan didisplinkan.

* Apabila pemimpin sesebuah negara adil dan baik, mudah rakyat meniru menjadi baik. Apabila rakyat baik, gejala masyarakat yang tidak sihat kurang berlaku, menjadikan masyarakat aman, tenteram, bahagia dan harmoni.

* Sebaliknya kalau pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara itu tidak adil dan jahat, rakyat akan jadi jahat. Ini akan menyebabkan berlakunya kemungkaran, jenayah dan tergugatlah ketenteraman umum. Sudah tentulah hidup dalam gelisah dan ketakutan.

* Apabila pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara itu tidak adil, ertinya berlaku sebaliknya iaitu zalim, maka rakyat lama-kelamaan akhirnya tidak tahan, akhirnya timbul, pemberontakan, mengguling pemimpin atau raja sama ada berjaya atau tidak, akan lahirlah huru-hara. Maka semua golongan akan mendapat kesusahan.

* Apabila pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara itu adil, Allah Taala akan memberi keberkatan kepada pemimpin atau raja itu.Kemudian keberkatan itu akan melimpah ruah seluruh negara dan rakyat. Ia akan menjadikan negara makmur, aman damai dan mendapat keampunan dari Allah Taala.

Begitulah yang akan diperolehi oleh rakyat di dalam sesebuah negara itu yang mempunyai pemimpin atau rajanya yang adil. Justeru itulah sifat adil itu lebih utama dimiliki oleh pemimpin atau raja di dalam sesebuah negara dari golongan lain.

Oleh kerana keadilan seseorang pemimpin atau raja itu, berkat dan rahmat Allah Taala akan melimpah ruah kepada seluruh negara dan kerana itulah raja atau pemimpin yang adil itu termasuk salah satu golongan daripada golongan yang dapat perlindungan Allah Taala di Padang Mahsyar seperti yang telah disebutkan oleh sebuah Hadis:

Maksudnya: “Ada tujuh golongan yang Allah memberi perlindungan-Nya di hari yang tiada perlindungan selain perlindungan-Nya. Mereka ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadah untuk Tuhannya, lelaki yang hatinya sentiasa berpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah pun kerana-Nya dan lelaki yang digoda oleh perempuan yang ada kedudukan dan kecantikan lalu dia berkata, `Aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam` dan lelaki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Dan lelaki yang mengingati Allah sewaktu sunyi, lalu mengalir air matanya.” (Riwayat Bukhari)

Seterusnya baca tentang Pembahagian Keadilan dan Kezaliman…KLIK SINI.

01/06/2009 Posted by | Tazkirah | 1 Comment

>ERTI KEADILAN

>Mengikut bahasa erti adil itu di antaranya ialah; sama rata di antara dua perkara. Seimbang di antara dua keadaan, mengimbangi bebanan.
Erti keadilan mengikut istilah syariat Islam; meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

Maksud keadilan mengikut istilah syariat itulah yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam beberapa ayat. Di antaranya:

1 . “Sesungguhnya Allah Taala menyuruhmu, supaya kamu membayarkan amanat kepada yang empunya dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu hukum dengan keadilan.” (An Nisaa`: 58)

2. “Sesungguhnya Allah menyuruh melakukan keadilan dan berbuat kebajikan serta memberi karib kerabat dan melarang berbuat yang keji dan yang mungkar dan kezaliman.`” (An Nahl: 90)

3. “Maka jika salah satu keduanya teraniaya kepada yang lain, hendaklah kamu perangi (golongan) yang aniaya, hingga kembali kepada perintah Allah dan hendaklah perdamaikan antara keduanya dengan keadilan dan hendaklah kamu berlaku adil.” (Al Hujurat: 9)

Di sini dapatlah kita faham bahawa apa saja yang kita lakukan sama ada orang atau barang atau benda atau perkara, sama ada yang bersifat maddi (material) mahupun bersifat maknawi atau rohani, jika dapat diletakkan pada tempatnya, inilah yang dikatakan adil. Kita berlaku sebaliknya maka dinamakan zalim kerana lawan adil itu ialah zalim. Perkataan zalim itu berasal daripada (zulmun) ertinya gelap atau kegelapan.

Orang yang bertindak di dalam kehidupan tidak meletakkan sesuatu perkara atau perbuatan sama ada yang bersifat lahir mahupun yang batin, yang bersifat material (maddi) atau bersifat maknawi atau rohani pada tempatnya, dia dianggap orang yang hidup di dalam suasana yang gelap, yang tidak ada panduan dan pedoman hingga selalu sahaja tersilap, tersasul, tersalah, tergelincir, terjatuh. Ertinya hidup di dalam keadaan kelam-kabut dan huru-hara.

Kalau begitulah erti adil atau keadilan menurut Islam iaitu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, ertinya adil atau keadilan itu bukan ertinya sama rata atau dua benda yang sama-sama sukatan atau dua benda yang sama ukurannya.

Kalau begitulah pengertian adil, saya ulang lagi iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya, ia melibatkan banyak perkara. Di antaranya:

* Mengenai orangnya
* Mengenai benda
* Mengenai masa atau keadaan
* Mengenai perbuatan atau tenaga

Mengenai orang
Kalau seseorang itu diberi jawatan atau tugas sesuai dengan profesion atau sesuai dengan kebolehan dan kemampuannya itulah dikatakan adil. Tapi kalau seseorang itu diberi jawatan atau tugas bukan pada tempatnya ertinya tidak sesuai dengan ilmu dan kemampuannya, itu tidak adil namanya. Apabila tidak adil, zalimlah pula namanya iaitu lawan adil.

Mengenai benda
Katakan Al Quran atau kitab jika ia diletakkan pada tempatnya iaitu di tempat yang tinggi lagi mulia, sesuai dengan kemuliaannya, itu adalah bersifat adil. Tapi kalau tidak diletakkan pada tempat yang mulia atau tinggi iaitu diletakkan di tempat yang hina seperti di jamban atau di dapur atau di tempat yang kotor atau terdedah kepada tempat lalu-lalang manusia, yang boleh terlanggar, terlangkah atau tersepak, itu adalah perbuatan zalim dan jatuh berdosa.

Mengenai masa
Katalah waktu Maghrib, masa itu mestilah digunakan pada tempatnya iaitu bersembahyang; yang eloknya bersembahyang berjemaah, itu adalah adil. Tapi kalau waktu Maghrib itu diisi dengan perbuatan lain, sekalipun yang halal seperti berniaga, apatah lagi diisi dengan perbuatan yang haram seperti mencuri maka dianggap zalim maka jatuh kepada dosa.

Mengenai perbuatan atau tenaga
Sebagai contoh, kita disuruh berbuat, bertindak, berusaha kepada yang sesuai pada tempatnya. Misalnya berbuat perkara yang disuruh oleh Allah SWT seperti menolong orang, berdakwah, mengajar, membaca Al Quran, bersembahyang, bersilaturrahim, menziarahi orang yang sakit, bergotong- royong di dalam membuat baik dan mencegah kemungkaran. Paling tidak membuat perkara-perkara yang harus seperti berehat, tidur, maka itu dikatakan adil.

Tapi jika perbuatan atau tenaganya digunakan bukan pada tempatnya seperti digunakan untuk berjudi, mencuri, memukul orang, berzina, memegang orang yang bukan muhrim, bergaul bebas tanpa batas, membangunkan tempat-tempat maksiat, maka itu dikatakan zalim.
Empat perkara yang kita sebutkan di atas sebagai contoh yang asas, yang bersifat lahir. Kalau hendak dihuraikan atau didetailkan terlalu luas. Mengenai orang saja tentulah seluruh anggotanya, lahir dan batin yang bersifat fizik mahupun yang bersifat maknawi dan rohani. Mengenai benda pula terlalu banyak, tentang masa pula di dalam sehari semalam ada 24 jam. Setiap waktu atau jam ada perkara yang patut atau perbuatan yang patut diisi pada setiap masa itu. Mengenai perbuatan atau tenaga, banyak pula yang mesti diuntukkan pada tempatnya iaitu kebaikan. Jika semuanya itu diletakkan pada tempatnya dikatakan adil dan jika berlaku sebaliknya maka dia dianggap zalim.

Manakala keadilan yang melibatkan perkara-perkara yang bersifat maknawi dan rohani ialah:

* Akal fikiran.
* Nafsu
* Hati dan jiwa atau roh

Pertama: Akal fikiran
Digunakan pada tempatnya seperti memikirkan ilmu-ilmu Al Quran, Al Hadis, ilmu-ilmu yang dibenarkan seperti memikirkan ilmu ekonomi, politik, pendidikan, pembangunan, pentadbiran, kemasyarakatan, memikirkan kebesaran Allah SWT dan lain-lain lagi. Ini adalah adil terhadap akalnya tapi kalau memikir sesuatu yang tidak sepatutnya kerana bukan tempatnya, seperti memikirkan perempuan yang bukan muhrim kita, memikirkan arak, judi dan memikirkan hendak membunuh, mencuri, zina dan yang lain-lain yang dilarang, maka hukumnya zalim.

Kedua: Nafsu
Kehendak nafsu dan kemahuannya dihalakan atau didorong ke tempat yang dibenarkan oleh Allah Taala seperti mengkehendakkan memperjuangkan agamaNya, mengkehendakkan membantu fakir miskin, mengkehendakkan mendaulatkan undang-undang Islam, mengkehendakkan membangunkan ekonomi Islam, pendidikan Islam, kebudayaan, pentadbiran Islam, masyarakat Islam dan lain-lain yang diperintahkan oleh Islam, hukumnya adil.

Tapi jika kehendak nafsu itu didorong kepada bukan tempatnya seperti berkehendakkan kepada perempuan yang bukan isteri, mendorong memperjuangkan kebatilan seperti memperjuangkan ideologi, ekonomi kapitalis, pendidikan sekular dan lain-lain yang dilarang Islam, hukumnya zalim.

Ketiga: Adil terhadap hati atau jiwa atau roh
Hendaklah perasaan-perasaan itu diletakkan pada tempatnya seperti merasakan kebesaran Allah, rasa takut kepada Allah, rasa malu, rasa rendah diri, rasa cinta kepada-Nya, rasa lemah, rasa harap, rasa berdosa, rasa pemurah, rasa kasih sesama manusia, rasa belas kasihan terhadap orang yang susah dan lain-lain lagi. Jika berlaku sebaliknya, iaitu rasa-rasa hati itu diletakkan pada rasa sombong, rasa megah, rasa ujub, rasa dendam, rasa marah, rasa bakhil, rasa tamak, rasa tidak pernah cukup dan lain-lain lagi rasa yang dilarang oleh Allah Taala, hukumnya zalim.

Adil atau keadilan adalah satu daripada sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji, yang Allah Taala wajibkan setiap mukallaf mesti memiliki atau menjadi pegangan setiap orang. Dan sifat ini adalah bertaraf sejagat.
Ertinya ia diterima bersama oleh seluruh manusia sama ada orang Islam mahupun yang bukan Islam.

Walaupun sifat adil itu bersifat sejagat, diterima bersama oleh semua manusia namun setiap diri manusia itu amat susah sekali untuk dapat memiliki sifat itu tapi setiap orang itu suka kalau orang lain berlaku adil kerana ia menguntungkan diri, walaupun tidak boleh berlaku adil pada orang lain. Kerana itulah lumrah berlaku di dalam kehidupan bermasyarakat perkataan keadilan itu dikumandangkan, dislogan, diperjuangkan adalah untuk orang lain mengamalkan seperti kerajaan mengamalkan, majikan melaksanakan, bukan memperjuangkan keadilan itu dengan tujuan untuk dapat diamalkan pada diri masing-masing atau setiap orang.

Sepatutnya sifat keadilan itu diperjuangkan agar ia dapat dimiliki terlebih dahulu oleh setiap diri orang yang memperjuangkan keadilan itu, sebelum ia dapat diamalkan oleh orang lain.

Tapi kita merasa pelik, pejuang-pejuang keadilan memperjuangkan sifat keadilan itu di seluruh dunia agar orang lain berlaku adil, bukan mereka berusaha berlaku adil. Justeru itu kebanyakkan orang melihat tidak adil itu adalah orang lain bukan diri sendiri.

Sebenarnya atau sepatutnya setiap orang itu apabila memperjuangkan keadilan agar ia menjadi milik dirinya. Apabila ia mempunyai sifat itu akan berlakulah adil kepada orang lain.
Begitulah tuntutan dari Islam, apabila menyebut keadilan, ia mesti dilakukan oleh setiap mukalaf, bukan mendesak agar dilakukan oleh orang lain. Sedangkan diri sendiri tidak payah.

Adil adalah kewajipan setiap orang, kemestian setiap individu. Sesiapa yang tidak bersifat adil adalah satu kesalahan. Berdosa di sisi Tuhan. Kalau tidak bertaubat, ke Nerakalah padahnya.


Seterusnya mari bincang tentang kedudukan Sifat Adil dalam Islam…KLIK SINI

01/06/2009 Posted by | Tazkirah | 1 Comment

>Mengapa Keadilan itu tidak diperjuangkan secara global atau menyeluruh?

>Apa yang terjadi pada hari ini bahawa keadilan itu tidak diperjuangkan secara global dan sejagat walaupun sifat adil itu bertaraf sejagat kerana ada beberapa sebab seperti berikut :

1. Mungkin ramai orang yang belum faham erti keadilan yang sebenarnya.

2. Kerana manusia itu susah hendak lari atau keluar daripada kepentingan diri, keluarga dan kelompok-kelompoknya, golongan, kaum dan bangsanya. Maka masing-masing lebih menekankan keadilan itu untuk kepentingan diri dan kelompok-kelompoknya sahaja.

3. Setiap kelompok itu mentakrifkan atau mendefinasikan mengikut kefahaman isma atau ideologi atau agama pegangan masing-masing atau akal fikiran masing-masing, bukan mengikut takrif Islam yang luas lagi sempurna.

4. Ada golongan yang tertentu mengumandangkan perkataan keadilan itu ada motif atau ada tujuan hendak menjatuhkan individu yang tertentu atau puak atau parti yang tertentu kerana hasad dengki atau sakit hati atau musuhnya.

5. Ada golongan memperjuangkan keadilan setelah dia tersepit atau setelah dia dibuang daripada jawatannya atau dizalimi, maka mulalah mereka menggembar-gemburkan keadilan. Kalau tidak, mereka pun tidak minat hendak menyebut dan memperjuangkannya sebelum menimpa diri dan golongan sendiri.

6. Lantaran takut kerana keadilan itu disarankan atau diperjuangkan kepada semua pihak atau puak, akan ada nanti golongan dan puak yang akan bangun dan maju.

7. Disebabkan takut dan bimbang kalau diperjuangkan keadilan secara global, ada golongan yang berkuasa atau kuat terkena atau tercabar, mereka tidak mampu berhadapan dengan risikonya apabila ditekan dan disusahkan.

Secara umumnya inilah di antara sebab-sebab mengapa pejuang-pejuang yang ingin menegakkan keadilan, kelihatan tidak bersifat global dan menyeluruh. Jadi orang menjadi bingung dan keliru, lebih-lebih lagi mereka tidak tahu bagaimana memperjuangkan keadilan itu yang bersifat menyeluruh dan tepat. Belum habis…sambungan di sini Klik.

01/06/2009 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

>Islam dan Keadilan

>Setiap manusia fitrah semula jadi nya inginkan keadilan. Kerana keadilan itu satu perkara yang berharga dan penting. Justeru itu, begitu serius manusia memperjuangkannya dari sejak wujudnya manusia hingga kini. Bahkan akan terus diperjuangkan sambung-bersambung hingga ke hari Kiamat.

Memang di antara sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) yang selalu diperkatakan orang di dalam pidato-pidato mereka, di dalam tulisan-tulisan mereka, di dalam perbincangan-perbincangan mereka adalah sifat keadilan. Bukan sahaja umat Islam yang menyebutnya bahkan semua kaum dan bangsa.

Kita pun hairan juga mengapa semua kaum dan bangsa di kalangan manusia, sifat keadilan itu sangat diperjuangkan tidak seperti sifat-sifat mahmudah yang lain. Seperti sifat pemurah, berkasih sayang, ikhlas, mengutamakan orang lain, pemaaf, meminta maaf, merendah diri, bertimbang rasa, sabar dan lain-lain lagi. Tidak begitu pula serius diperkatakan apatah lagi untuk diperjuangkan dan dijadikan slogan antarabangsa.

Padahal sifat keadilan itu hampir setiap hari kita dengar dan baca. Melalui khutbah-khutbah, ceramah-ceramah, media elektronik, media cetak, perkataan keadilan yang diucapkan dan ditulis oleh semua golongan manusia tidak kira dia Islam atau dia bukan Islam.

Berbagai-bagai bentuk perkataan yang kita dengar mengenai keadilan itu di antaranya :
`Kita mesti adil.
“Itu tidak adil.`
`Keadilan belum begitu wujud lagi.
“Kita mahu keadilan yang menyeluruh.
“Belum ada keadilan ekonomi dan politik.
“Mari kita perjuangkan keadilan.
“Dia itu pejuang keadilan.
“Selagi ada dikriminasi,keadilan tidak akan wujud.

Dan lain-lain lagi susunan bahasa mengenai keadilan sebagai slogan di dalam pidato dan tulisan.Lebih-lebih lagi jika berlaku krisis politik dan ekonomi di dalam sesebuah negara atau ada pemimpin yang dipecat atau kena ada menteri yang dipecat atau yang digugurkan menjadi ahli di dalam sesebuah parti atau ada pegawai kerajaan yang kena buang kerja maka perkataan keadilan itu akan timbul diperkatakan oleh golongan-golongan tertentu melalui pidato-pidatonya atau tulisan-tulisan sama ada perkara itu atau kejadian itu disebut adil atau tidak adil mengikut pandangan dan pertimbangan masing-masing.

Kalau kita teliti dan perhati perkataan keadilan yang dikumandangkan dan digembur-gemburkan oleh sesetengah pihak di waktu ini di seluruh dunia, nyata bahawa keadilan yang disebut atau yang diperjuangkan itu tidak bersifat menyeluruh atau global. Keadilan yang diperbesar-besarkan itu hanya di bidang-bidang atau di sudut-sudut tertentu sahaja, seperti keadilan di bidang politik, ekonomi, jawatan, pemberian biasiswa. Kalau pun ada di bidang-bidang lain tidak begitu serius diperkatakan.

Bahkan di dalam sesetengah hal dan keadaan, perkataan keadilan itu ditimbulkan apabila menimpa orang-orang besar atau yang berjawatan besar, barulah dihebohkan atau diperbesarkan. Tapi apabila mengenai orang-orang bawahan atau rakyat jelata tidak pun diperbesarkan perkataan keadilan itu.

Bahkan adakalanya ketidakadilan itu atau berlaku diskriminasi kepada golongan bawahan, tidak ada seorang yang mengambil tahu atau ada liputan di dalam media massa, atau pun ada yang tahu tapi buat-buat tidak tahu kerana yang tidak dapat keadilan itu bukan golongan atau konco-konconya. Namun demikian ada orang menyatakan dia itu adalah pejuang keadilan. Itu menunjukkan orang yang menggelarkan seseorang itu pejuang keadilan pun belum faham erti keadilan yang sebenar.

Islam melihat bahawa keadilan itu adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji. Ia adalah bersifat menyeluruh dan global. Sifat ini tidak hanya mengenai aspek-aspek tertentu sahaja. Selain ia bersifat sejagat, ia juga adalah mengenai semua aspek dan semua hal dan keadaan.Ia mesti berlaku di dalam politik, ekonomi, pendidikan,pentadbiran, ketenteraan, perjawatan, kebudayaan, kemasyarakatan, penganugerahan, khidmat cemerlang,akhlak atau moral dan lain-lain lagi merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia sama ada yang lahir mahupun yang batin, yang bersifat fizikal mahupun yang bersifat maknawiyah dan rohaniah.

Erti keadilan itu sangat luas fungsi atau kedudukannya di dalam kehidupan manusia terutama didalam kehidupan manusia bermasyarakat. Bahkan manusia itu bukan sahaja mesti adil kepada orang lain tapi juga mesti adil pada diri sendiri dan anggota-anggotanya, lahir dan batin.

Mengapa keadilan itu tidak diperjuangkan secara sejagat dan global? Klik sini untuk mengetahui nya.

01/06/2009 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: