Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>Peringatan untuk semua orang Islam khusus nya orang Politik.

>Satu peringatan untuk semua

Solawatun Nabi suatu yang mulia
Zikrullah adalah agung sekali
Berhati-hatilah jangan sampai dilacurkan
Atau dinodai
Takutilah Allah ayat-ayatnya jangan dicemari
Ayat-ayatnya kenalah dijaga dan dihormati
Jangan dicampuradukkan dengan noda dan dosa
Jika dilakukan satu penghinaan
Kepada tuhan
Tuhan yang maha esa
Berhati-hatilah menggunakan kalimah suci
Kalimah-kalimah suci jangan dijadikan
Untuk berlalai-lalai
Atau mencari rezeki
Jangan dijadikan lafaz-lafaz yang mulia
Untuk cari nama untuk dapatkan harta dunia dan glamuor
Mencari makan luas gelanggangnya
Seluas bumi tuhan di dunia ini
Jangan lah mencari makan dengan kalimah yang suci
Takutilah allah malulah dengan diri sendiri
Jangan pula kerana nama dan glamour
Kalimah suci dinodai malulah kepada tuhan
Dan malulah juga dengan orang mukmin
Kerana tuham melihat dam orang mukmin memerhati
Takutilah allah
Agar kita sentiasa berhati-hati…

-Diwani-

21/04/2009 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | Leave a comment

>HUKUM ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN

>

Assalamualaikum Warahmatullah

01. Berikut adalah fatwa dari Syeikh Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)seperti yang terdapat di dalam kitabnya Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam:

Soalan:

Saya merupakan seorang guru al-Quran al-Karim dan Bahasa Arab. Terdapat nas-nas al-Quran al-Karim dalam sukatan pelajaran yang perlu dipelajari oleh semua pelajar dan antara mereka adalah orang Islam dan bukan Islam. Maka adakah boleh orang bukan Islam membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran al-Karim?

Jawapan:
Berkata sebahagian ulama: Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.

02. Dalam perbincangan dan pertanyaan saya dengan pensyarah hadis kami iaitu Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Hamid Ahmad al-Bar maka beliau mengatakan:

Adapun orang bukan Islam tidak ditaklifkan (syariat Islam terhadap mereka) dan mereka juga tidak suci sepertimana orang Islam maka adalah tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sengaja. Namun jika orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sebab untuk mempelajari atau mendalami Islam maka tindakan mereka (membaca al-Quran al-Karim) itu tidaklah mengapa.

BAGAIMANA MENGHADAPI KHILAF INI?

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.

(Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.

BERSATU DI ATAS NAMA ISLAM

Isu bacaan ayat al-Quran al-Karim oleh Y.B. Nga Kor Ming dalam ceramah politik di Bukit Gantang tempoh hari membawa kepada pertikaman lidah antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Jika permasalahan seperti ini tidak dapat dibendung dan ditangani dengan baik oleh semua pihak, kemungkinan akan berlaku lagi kerenggangan hubungan yang lebih parah antara umat Islam di Malaysia dari semasa ke semasa. Pada pandangan saya, isu ini sebenarnya boleh ditangani dengan baik sekiranya kedua-dua pihak saling berlapang dada dan menghormati antara satu sama lain. Inilah yang diajar oleh Islam kepada umatnya yang berselisih faham supaya jangan berpecah-belah.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul (Nya) dan pemimpin di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

(Surat An-Nisa: Ayat 59)

Masalah ini akan mula timbul sekiranya ada satu pihak begitu cepat melatah dan cuba memperbesarkan sesuatu isu itu di atas tujuan kepentingan politik masing-masing. Pada saya, kedua-dua tokoh ini (S.S. Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Zakaria dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat) bercakap dan memberikan pandangan mereka secara bebas di dalam kerangka pemerhatian masing-masing. Kedua-duanya mempunyai hujjah dan alasan yang tersendiri untuk kebaikkan umat Islam di Malaysia. Cuma cara dan jalannya sahaja yang berbeza untuk sampai kepada matlamat yang sama iaitu Islam.

Marilah sama-sama kita menasihati diri sendiri dan sahabat-sahabat kita di sekeliling agar jangan terlalu taasub dan cepat melatah terhadap sesuatu perkara itu. Kadang-kala pihak penyokong dan pengikut yang terlebih agresif dan ekstrem sedangkan para pemimpin mereka tidaklah sebegitu rupa. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pihak agar sentiasa bersatu di atas nama Islam. Berbincanglah dengan baik sekiranya berlaku sebarang permasalahan. Di luar sana musuh-musuh Islam sentiasa memerhatikan gelagat kita ini untuk mencari kelemahan dan kekurangan suapaya mereka dapat menyerang Islam dari segenap sudut.

PENUTUP

Sebenarnya saya tidaklah begitu layak untuk memperkatakan sesuatu mengenai kedua-dua tokoh ini kerana diri ini tidaklah sehebat mereka. Namun di atas dasar Islam dan ilmu, saya tuliskan juga pandangan peribadi saya mengenai isu ini untuk dikongsi oleh semua pembaca. Saya berharap agar medan politik di Malaysia sentiasa di dasari oleh Islam sebagai tunjangnya supaya masyarakat kita dapat berteduh di bawahnya dengan aman dan harmoni. Semoga tulisan saya ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. InsyaAllah.

‘Memberi dan Berbakti’

Wallahualam

Di kirim oleh:Hasan Nazam – jailur_rashied@yahoo.com

21/04/2009 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | 4 Comments

   

%d bloggers like this: