Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>Raja berada di atas Politik dan Saranan parti politik capai Titik Pertemuan

>


Sultan Perak Raja Azlan Shah

KUALA KANGSAR,
19 April
(Bernama) — Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah bahawa
seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun
untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan
untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan
politik tertentu.
Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke
peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut
mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja
merupakan satu perbuatan ‘menyalakan api dalam sekam’ yang amat
berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah
hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini
dibenarkan menghalalkan cara.

“Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap
serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang
merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki
imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang
diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda pada
istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah
kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di
Istana Iskandariah di sini, Ahad.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu
berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan
imej negara di kaca mata antarabangsa.

“Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini,
aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini
tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan
menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup
harian,” titah baginda.

Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik
yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di
antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan
negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta
insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

“Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan
dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan
perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

“Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa indivIdu atau yang
berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong
warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan
institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta
membawa kepada keadaan huru-hara.

“Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang ‘menang
sorak kampung tergadai’, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri,”
titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah
sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu
diperbetulkan.

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang
buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala
perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan,
pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

“Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak
iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi
galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran.”

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada
kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan
untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama
seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang
tersurat.

“Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam
peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang
lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan , falsafah di
sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan
warga negara perlu sentiasa dilindungi,” titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah
Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi
keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi
agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah
kaum-kaum lain.

“Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan
merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang
merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu,”
titah Sultan Perak.

Saranan Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya parti politik mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka bagi kepentingan negara dan warganya disambut baik oleh pelbagai pihak.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) Osman Abu Bakar berkata saranan Sultan Azlan Shah itu tepat pada masanya kerana ia salah satu cara untuk mengeratkan perpaduan sesuai dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan konsep “1Malaysia.”

“Semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu bekerjasama bagi memudahkan proses perpaduan antara kaum dan rakyat dapat direalisasikan,” katanya bagi mengulas titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda hari ini.

Dalam ucapan baginda, Sultan Perak bertitah negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Malah baginda turut menyentuh mengenai tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja yang merupakan tindakan amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pula berkata kemelut politik yang tidak berkesudahan di dalam negara ini tidak akan timbul jika sesetengah pemimpin politik tidak menyentuh dan mempersoalkan perkara asas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Beliau berkata semua pihak termasuk pembangkang perlu memahami asas kewujudan Malaysia dan berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara.

“Kalau parti politik tidak sentuh perkara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu maka takkan timbul masalah dan tidak perlu sebarang titik pertemuan diadakan,” katanya kepada Bernama.

Ibrahim yang juga anggota Parlimen Pasir Mas berkata jika semua pihak memahami asas Perlembagaan dan tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh memecah belahkan perpaduan semua rakyat, maka pertemuan antara mereka tidak perlu diadakan.

“Politik tetap berbeza kerana setiap parti mempunyai dasar masing-masing.

Boleh bekerjasama jika berbicara soal politik dan ekonomi tetapi jangan sentuh isu sensitif contohnya hendak semua kaum sama rata haknya, ia akan jadi bergaduh,” katanya.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris) Feriz Omar menyifatkan titah baginda boleh diterjemahkan sebagai mengajak pemimpin yang menerajui kerajaan untuk bersama-sama mencari persamaan dengan parti pembangkang dan mengelakkan daripada mengenengahkan sebarang perbezaan dengan mereka.

Feriz berkata strategi itu boleh dicapai melalui membentuk sistem pentadbiran syura iaitu dengan melihat permintaan dan kehendak masyarakat minoriti sebagai satu perkara yang boleh diatasi walaupun perkara-perkara yang dituntut itu turut dibawa oleh pembangkang.

“Dengan pendekatan ini, maka saya percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu meletakkan Barisan Nasional (BN) tidak berdaya ditandingi oleh mana-mana pesaingnya di kalangan parti pembangkang.

“Strategi ini juga adalah bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib sendiri,” katanya.

— BERNAMA

20/04/2009 - Posted by | Berita dan Isu Semasa

2 Comments »

  1. >Di negara kita mungkin kerana konsep MALAYSIA BOLEH membuatkan banyak perkara yang sepatutnya tidak boleh menjadi boleh dan yang sepatutnya berkecuali tetapi selagi yang berkuasa itu UMNO/BN yang patut berkecuali pun boleh untuk tidak berkecuali. Lihat saja kepada mereka yang bertanggongjawab dalam hal rasuah apa benarkah mereka berkecuali, dakwa sapa saja terlibat rasuah ? Apa yang dapat kita lihat mereka bertindak secara terpilih kata orang pilih bulu menyebabkan rakyat tidak faham dan cukup mengelirukan. Seorang Ketua Menteri disahkan melakukan rasuah dan tidak layak bertanding untuk rebut satu jawatan tinggi partinya tapi masih kekal sebagai Ketua Menteri bahkan paling terkini dilantik menganggotai MT parti berkenaan. Sebaliknya MB Selangor kerana dia bukan dari spesis UMNO maka heboh dengan dakwaan melakukan rasuah sembelih lembu korban di kawasan parlimen nya ? Yang peliknya sebuah persatuan yang dianggotai bini-bini wakil rakyat UMNO/BN yang diketuai bini bekas MB “melesapkan” bersama wang jutaan ringgit tapi pihak bertanggonjawab dalam hal ehwal pertubuhan boleh dengan mudah ? “tutup” persatuan berkenaan dan wang jutaan ringgit yang dikumpulnya termasuk yang sumbernya dari agensi-agensi kerajaan dilesapkan entah kemana tanpa dipersoal !! Pemimpin yang berkuasa tak kiralah sama ada mereka berada diatas politik dengan gelaran-gelaran yang hebat dan segala kemuliaan (di sisi manusia sahaja) atau berada sedikit dibawah kekuasaan politik jelas tersangat mudah ikut telunjuk pemimpin parti yang pemerintah walaupun tindakan mereka jelas tidak beretika demi untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin walau pun yang sebilangannya sudah dibuang rakyat dalam PRU 12 dulu. Dimana kah mereka ini (yang jadi alat ini) letak Allah swt ?? Apakah Allah itu kecil sangat dibanding dengan pemimpin-pemimpin itu yang setengah nya berlatar belakangkan seperti kata bekas seorang sasterawan negara yang pernah menjadi ahli parlimen parti Islam suatu masa dulu sebagai SHIT !!?? Sebahagian pemimpin sangat dimuliakan oleh rakyat yang dikatakan mengatasi politik dan diberi tanggongjawab yang sangat mulia iaitu pemimpin tertinggi agama (Islam). Tapi ramai rakyat yang ada sedikti iman dalam dirinya tersangat kecewa !! Pemimpin yang meruntuhkan agama masih diberi layanan istimewa. Rakyat sudah buang tapi mereka angkat dan julang semula. Kedudukan dan mertabat agama Islam telah berpuluh tahun diperlakukan sama saperti dengan agama Kristian atau agama-agama penyembah berhala !! Rakyat diikat dengan undang-undang dan amalan ? syirik !! Maka sampai bila Islam mampu diletakkan ketahap yang diredhai oleh Allah swt selagi pemimpin ini merasakan kuasa mereka mengatasi segalanya, bukan sekadar politik !! Akhirnya mereka saling bantu-membantu memperkukuhkan kerja zalim dan keji mereka terhadap agama dan menjadikan Islam tidak ada bezanya dengan agama penyembah berhala !!?? Dulunya seorang Mufti mengatakan ? jomheboh haram tapi sekarang riuh rendah pula ianya dibawa masuk kenegeri tok mufti itu !! Apakah Islam selamanya akan diperintah bukan memerintah walau pun kuasa memeliharanya diberi kepada orang-orang yang tersangat di MULIAKAN dan disanjung hingga lupa mereka bahawa yang MAHA BESAR DAN MAHA AGONG hanyalah Allah swt ??!! Wallahua’lam ibnuAlikota jembal

    Like

    Comment by Anonymous | 03/05/2009 | Reply

  2. >Salam, Alhamdulillah …Aku dilahirkan dalam keadaan negara yang aman , damai dan merdeka..Alhamdulillah …Aku boleh bersekolah dan menamatkan alam persekolahan dengan cemerlang..Alhamdulillah …Aku boleh berkerja dengan selesa tanpa ada gangguan dari sesiapa..Alhamdulillah …Allah mengurniakan aku rezeki untuk aku menyara isteri dan anak2 ku..Alhamdulillah …Aku dilahirkan di Malaysia ..tidak di Afrika atau di Palestin.. Alhamdulillah …Alhamdulillah …Alhamdulillah … Ya ALLAH lindungilah kami dan negara kami drp. orang2 yang masih tidakmensyukuri nikmat2 Mu …. Aminn……

    Like

    Comment by Anonymous | 21/04/2009 | Reply


Leave a Reply to Anonymous Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: