Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>PAS dah Jadi Pak Turut

>

Mengapa jadi haru biru apabila Sultan lucutkan kuasa? Nampaknya ini hanya slogan untuk memancing Rakyat

SEBELUM 1998, Pas dilihat sebagai parti alternatif untuk orang Melayu yang
tidak mahu menyokong UMNO. Berikutan itu, perjalanan Pas dalam arena
politik sentiasa mendapat sokongan sehingga ia menawan kembali Kelantan
pada 1990. Pada masa yang sama, ia menambah jumlah wakil rakyat di negeri-negeri lain.

Ketika itu Pas dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip. Ia selari dengan kata-kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya: “Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang”.

Berdasarkan prinsip itulah Pas tidak pernah sama sekali menggalakkan penyokongnya
menjadi ganas dalam menyelesaikan isu politik. Kepimpinan parti itu sentiasa memperingatkan mereka supaya menghormati undang-undang.Malah dalam sesetengah situasi, Pas akan bersama-sama UMNO mempertahankan kedudukan raja-raja. Tetapi selepas 1998, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilahirkan melalui perasaan kebencian mendalam, Pas seolah-olah terseret sama mengikut jejak PKR.

Sudah ada ahli-ahli Pas yang berani turun ke jalanan melakukan demonstrasi, mencerca dan memaki hamun UMNO seperti yang dilakukan oleh PKR. Apa yang berlaku di Kuala Kangsar, Jumaat lalu jelas membuktikan bahawa semakin ramai penyokong Pas dicemari ‘virus’ PKR.
Mereka terpekik terlolong di jalanan, bertempur dengan pihak polis dan merosakkan harta awam. Semua ini adalah perlakuan penyokong PKR yang kini menyerap kepada penyokong Pas.

Lebih malang lagi, Pas kini terjebak dengan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR dan DAP untuk menyeret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah.
Segalanya hanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Sultan Azlan Shah memperkenankan permintaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan di Perak. Demi untuk melihat pembangkang terus berkuasa, Pas sanggup menjejaskan segala prinsipnya untuk
mempertahankan raja-raja Melayu.

Tanpa mahu mempertimbangkan bagaimana arifnya Sultan Azlan Shah membuat keputusan sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Pas merelakan diri mereka dipergunakan oleh PKR dan
DAP untuk mengambil tindakan yang dianggap boleh menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.
Tidak kisahlah apa pun istilah pembangkang bagi menghalalkan tindakan mereka itu tetapi yang pasti, ia berkaitan dengan apa yang dilakukan oleh Sultan Azlan Shah.

Dalam keghairahan untuk menunjukkan kesetiaan kepada pakatan pembangkang biarpun mempunyai perbezaan ideologi yang cukup ketara, Pas seolah-olah terlupa bahawa Perak bukan
negeri yang dimenanginya secara majoriti. Padahal Pas hanya menumpang kejayaan DAP iaitu parti yang menentang pelaksanaan hukum Islam – prinsip yang diperjuangkan oleh Pas sendiri.

Di Perak, Pas hanya memperolehi enam kerusi sedangkan DAP 18 kerusi. Walaupun Pas diberi
penghormatan menjadi Menteri Besar tetapi semua orang tahu kenapa ia terpaksa dilakukan.

Atas sebab itulah, selama ini Pas tidak pernah berbangga dengan kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Mereka lebih menghargai Datuk
Azizan Abdul Razak di Kedah dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan.

Berdasarkan kedudukan itu, Pas seharusnya tidak begitu ghairah untuk menentang keputusan Sultan Azlan Shah sehingga sanggup bersekongkol dengan PKR dan DAP. Pas perlu memaparkan jati diri sebenar dan bukannya mengorbankan prinsip demi menjaga hati PKR dan DAP.

Pas harus memahami apa yang berlaku di Perak bukan sekadar berkisar soal kuasa politik sahaja. Lebih daripada itu, ia perlu memastikan segala titah perintah sultan dipatuhi dan bukannya diingkari.

Pas harus memahami, mereka adalah parti kedua terbesar orang Melayu selepas UMNO.
Orang Melayu tidak boleh bergantung kepada DAP atau PKR dalam mempertahankan institusi dan kepentingan mereka selain kepada UMNO dan Pas. Tetapi kalau Pas sendiri ‘mohon derhaka’ dengan dilihat mengkhianati institusi Melayu, siapa lagi yang orang Melayu boleh
harapkan?

Dalam menghadapi konflik di Perak ini, kepimpinan Pas perlu jelas dan tegas menyatakan pendiriannya. Jangan bersikap lidah bercabang. Jika Pas beranggapan apa yang dilakukan oleh pembangkang untuk membawa isu Perak ke mahkamah boleh menjejaskan institusi raja-raja maka mereka perlu menentangnya.

Pas perlu sedar tindakan mereka sekarang bukan untuk menegakkan keadilan atau untuk mengembalikan suara rakyat. Kalau itulah matlamatnya kenapa sejak awal lagi Pas terus
bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan impian 16 September?

Malah dalam soal lompat parti juga, di kalangan pemimpin Pas sendiri menampakkan percanggahan dan seolah-olah berada dalam alam keliru. Lihat sahaja kenyataan Nik Abdul Aziz.
Mursyidul Am Pas itu pada awal Mei tahun lalu menyokong undang-undang lompat parti digubal. Beliau menyifatkan wakil rakyat yang lompat parti sebagai ‘bukan manusia’.

Namun pada 14 Mei, beliau mengubah pendirian dan menyokong pembangkang untuk menarik ahli Parlimen BN menyertai pakatan itu bagi membentuk kerajaan Pusat yang baru.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat akan hanya menerima ahli Parlimen BN terutama
daripada UMNO sekiranya mereka menyertai Pas.

“Ia terletak di atas orang politik, negara kita demokrasi cumanya bagi orang Melayu
yang dulunya UMNO, kalau dia nak masuk Pas, bukan maknanya nak masuk
Pas tapi balik asal, kerana orang Melayu ini orang Islam, Islam
menetapkan dasar-dasar hidup.”

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu bermakna beliau menyokong wakil rakyat melompat parti asalkan masuk Pas malah turut berkata:
“Saya tidak boleh ganggu orang lain kerana ini negeri demokrasi, demokrasi
yang sampai ke peringkat hilang kawalan agama, inilah masalah kekalahan UMNO.

“Wakil BN masalahnya seperti yang saya katakan tadi, kita tidak boleh nak halang, sampailah pada peringkat nak buat undang-undang, kita lompat pun tidak boleh. Kami pernah bawa naik ke mahkamah masa di Kelantan dulu, kes wakil Semangat 46 masuk UMNO balik tetapi tiada apa-apa kerana memang hak untuk melompat parti terbuka di negara demokrasi.”

Jika itulah hujah Nik Abdul Aziz, kenapa sekarang beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Perak yang ditubuhkan oleh BN adalah sebuah “kerajaan yang haram”?

Adakah kerana wakil rakyat PKR dan DAP menyokong BN maka ia menjadi haram?
Tetapi kalau wakil rakyat BN masuk pembangkang sehingga menumbangkan
kerajaan BN ia dianggap “kerajaan yang diberkati”?

Oleh itu, dalam isu krisis politik di Perak, Pas yang sudah berusia 57 tahun harus memaparkan pendirian yang jelas. Janganlah terus menjadi keliru hanya untuk menjaga kepentingan politik bersama PKR dan DAP. Mungkin Pas berbangga kerana sikap itu tetapi jangan sampai mereka dianggap sebagai “pak turut” sahaja seperti mana yang ditafsirkan berlaku di Perak itu.

Oleh: Ziee Lipan (ziee_lipan@yahoo.com)
Melalui Perisik Rakyat Groups

10/02/2009 - Posted by | Politik dan Dakwah

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: