Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>APABILA PEMIMIPIN TIDAK MEMIMPIN

>Terlalu banyak istilah digunakan bagi mengatakan tentang kepimpinan. Ada yang menggunakan istilah “Pemerintahan “. Ada yang menggunakan istilah “Kekuasaan” Ada pula yang menggunakan istilah “Pentadbiran “seperti Pentadbiran Bush (Bush Administration) dan sebagainya.

Bagi pemimpin pula, ada yang menggelarkan diri mereka “Presiden” Ada yang menggelarkan diri mereka “Raja” . Ada “Perdana Menteri” .”Chairman” dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi walaupun semua mereka ini berkuasa dan dianggap sebagai pemimpin di negara mereka masing-masing, mereka sebenarnya tidak memimpin dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka hanya menyusun dan mentadbir hal-hal yang bersangkutan dengan ekonomi, perumahan, pembangunan, keselamatan sosial, pelajaran, pengangkutan, kesihatan dan
yang seumpamanya. Mereka hanya terlibat dengan hal-hal yang menyentuh kehidupan lahiriah rakyat dan yang memenuhi keperluan dan kehendak fizikal dan material rakyat semata-mata.

Kepimpinan seperti ini tidak banyak bezanya dengan menggembala lembu dan kambing. Disediakan kandang, diberi makan minum atau disediakan padang ragut, dijaga keselamatan haiwan-haiwan tersebut supaya tidak diserang oleh musuh dan kalau sakit, dipanggil doktor haiwan untuk merawatnya.

Memimpin manusia bukan seperti menternak lembu atau kambing. Bukan setakat memberi mereka rumah, makan minum, hiburan, khidmat kesihatan dan kemudian membiarkan mereka membiak dan beranak-pinak.

Kalau kita lihat dan halusi betul-betul istilah kepimpinan itu sendiri, ia membawa maksud yang lebih dalam dan luas dari hanya menjaga, menyusun dan mentadbir hal-hal fizikal dan keperluan hidup. Memimpin itu ada sangkut-paut dengan membimbing, mendidik, menunjuk ajar dan
membina peribadi dan akhlak rakyat yang banyak berkait dengan soal roh dan jiwa mereka.

Memimpin itu ialah membangunkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat. Ia itu membangunkan fizikal mereka, membina akal mereka, mendidik hati dan nafsu mereka. Memimpin adalah memperkenalkan rakyat kepada Tuhan agar Tuhan itu diimani dan diyakini, dicintai dan ditakuti. Agar Tuhan itu ditaati dan dipatuhi.

Tidak hairanlah mengapa manusia di seluruh dunia ini tidak terpimpin.Tidak ada orang yang memimpin mereka. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak menjalankan tugas memimpin ini. Malahan pemimpin-pemimpin mereka pun tidak terpimpin.

Kalau kita lihat negara-negara yang bukan Islam, walaupun rakyat mereka tidak dipimpin, namun keperluan lahiriah mereka sangat tersusun dan mereka sangat mewah dari segi material. Di kebanyakan negara-negara umat Islam pula, bukan sahaja rakyatnya tidak dipimpin, keperluan lahiriah atau material rakyat pun sangat kurang dan pentadbirannya lemah dan kucar-kacir. Ini sudah dua kali malang. Bukan sahaja soal material tidak selesai, soal rohani pun terabai. Macam orang kena penyakit barah dan leukimia pada masa yang sama. Kedua-duanya berbahaya dan boleh membawa maut.

Apabila tidak dipimpin, rakyat akan jauh dari Tuhan. Mereka akan jauh dari kebenaran. Mereka akan jauh dari petunjuk dan hidayah. Jiwa mereka akan kosong dari keimanan dan ketaqwaan. Fitrah mereka akan rosak. Keinsanan mereka akan rosak. Akhlak mereka juga akan rosak. Mereka akan hilang panduan dan matlamat hidup. Dunia akan masuk ke dalam hati-hati
mereka. Mereka akan lupa Akhirat. Mereka akan hanya terangsang dan merasa ringan dengan hal-hal dunia dan akan merasa susah, berat dan tertekan dengan hal-hal Akhirat.

Nafsu mereka akan menggila dan menjadi tidak terkawal. Mereka akan rakus dan tidak puas mengejar dunia. Sudah ada sepuluh biji kereta mewah, mereka mahu sepuluh lagi. Sudah ada sepuluh buah rumah “mansion”, mereka mahu sepuluh buah lagi. Nampak laut, mahu “luxury
yacht” Nampak ruang udara mahu “private jet”. Mereka tidak ada rasa bersalah. Buatlah apa maksiat pun, mereka tetap merasa megah. Mereka tunduk kepada hawa nafsu mereka dan akan merebut dunia ini semahu-mahunya. Mereka mengangkat nafsu-nafsu mereka menjadi Tuhan
mereka.

Bila ini berlaku dan nafsu amarah bermaharajalela dalam diri mereka, maka hati-hati mereka akan menjadi gelap. Jiwa mereka akan mati. Mata hati mereka akan jadi buta. Sukar untuk mereka merasa bertuhan. Sukar untuk mereka melihat kebenaran. Akhirat itu jadi kecil dan tidak penting bagi mereka. Bagi mereka, dunialah segala-galanya.

Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan bermacam-macam sifat mazmumah yang keji. Mereka akan jadi pencinta dunia. Mereka akan gila dunia. Mereka akan jadi pemburu dunia. Mereka akan jadi hamba dunia. Mereka tidak akan nampak lagi halal haram, baik buruk, patut tak patut, sah atau batal. Apa sahaja yang mereka inginkan, mereka akan ambil. Apa cara pun akan digunakan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara.

Mereka akan menjadi ego, sombong dan angkuh. Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan sifat-sifat pemarah, bakhil, hasad dengki, tamak haloba, penting diri, besar diri dan mereka akan hidup nafsi-nafsi. Macam pokok dalam hutan. Masing-masing hendak meninggikan pucuk
masing-masing.

Yang sedihnya, bukan sahaja rakyat biasa yang akan jadi begini.Pemimpin lebih-lebih lagi. Kalau begitu, siapakah yang akan memberi tunjuk ajar. Siapakah yang akan melarang. Pemimpin sendiri membawa contoh negatif yang diikuti oleh rakyat. Lama-lama ia jadi budaya.Sukar untuk diubah.

Inilah puncanya mengapa tidak wujud perpaduan. Inilah sebabnya tidak wujud kesatuan. Tidak wujud kasih sayang di kalangan manusia. Manusia asyik merebut-rebut dunia dan khazanah negara macam anjing merebut bangkai. Sambil merebut bangkai, bergaduh dan menggigit-gigit sesama sendiri. Timbul krisis. Berlakulah pergaduhan dan perbalahan. Terjadilah tindas menindas, tekan menekan dan jatuh menjatuh.

Inilah juga puncanya mengapa maksiat dan jenayah berleluasa di kalangan manusia. Menipu, mencuri, merompak, menculik, merogol, membunuh dan macam-macam lagi. Ini jugalah puncanya akhlak dan moral manusia jatuh menyapu bumi. Rupa macam manusia, tamadun lahiriah dan pembangunan hebat tetapi nilai, moral, akhlak dan cara hidup tidak ada beza dengan haiwan.

Inilah akibatnya apabila pemimpin tidak memimpin. Inilah akibatnya bila tumpuan hanya diberi kepada keperluan hidup lahiriah manusia semata-mata. Kepada ekonomi, kepada pembangunan dan kepada kemajuan. Inilah akibatnya bila roh dan jiwa manusia diabai dan tidak dididik dan
dibimbing. Tidak diisi dengan ketuhanan dan cinta Akhirat. Tidak diisi dengan keimanan dan ketagwaan. Rakyat jadi rosak. Masyarakat jadi rosak. Negara jadi rosak. Akhirnya seluruh dunia jadi rosak.

Pemimpin yang tidak memimpin hanya mencipta neraka di dunia. Dia membina huru-hara dan kacau-bilau. Dia mencipta kesusahan dan kesengsaraan. Dia membawa kebimbangan, keresahan dan ketakutan di dalam hidup manusia. Dia merosakkan perpaduan. Dia memecah-belah. Dia
memusnahkan kasih sayang. Dia menghijab dan mendinding manusia dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Dia merosakkan akhlak rakyat. Dia memusnahkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat. Pemimpin yang tidak memimpin sebenarnya membawa terlalu banyak kerosakan kepada rakyat. Deritanya bukan sahaja di dunia bahkan akan dibawa ke Akhirat.

Lebih-lebih lagilah pemimpin yang menyuruh, menggalak dan menganjurkan manusia membuat maksiat dan kemungkaran. Yang menyuruh manusia melanggar dan membelakangkan syariat. Yang menggalakkan rakyat berfoya-foya dan berlalai-lalai. Pemimpin yang meremehkan agama dan menghalang manusia beragama. Pemimpin yang menghalang manusia menuju Tuhan. Yang menyusahkan urusan agama manusia. Kemusnahan dan kerosakan bukan sahaja akan berlaku dengan lebih cepat bahkan akan berlaku dengan lebih dahsyat. Lebih baik manusia beruzlah untuk melindung dan memelihara diri dan iman masing-masing dari berada di bawahpemerintahan pemimpin yang seperti ini.

Di Akhirat nanti, setiap pemimpin itu akan disoal tentang apa yang dia pimpin. Lebih-lebih lagilah pemimpin negara. Tanggungjawabnya bukan setakat mengadakan rumah, makan minum, menjaga kesihatan, keselamatan atau mengadakan segala keperluan lahir rakyat. Itu semua perkara kecil. Perkara remeh. Yang besarnya ialah tentang iman, amalan dan peribadi
rakyat. Tentang aqidah, ibadah dan akhlak rakyat. Sudahkah dia mendidik, membimbing dan menunjuk ajar rakyat. Sudahkah dia membawa rakyat kepada Tuhan dan merapatkan rakyat dengan agama.

Sudahkah dia mensejahterakan hati dan rohani rakyat. Kesejahteraan fizikal dan lahiriah tidak ada makna apa-apa tanpa kesejahteraan rohani. Kesejahteraan lahiriah tetap akan membawa kepada huru-hara, kacau-bilau, pergaduhan, perbalahan dan krisis. Kesejahteraan lahiriah
semata-mata tetap akan mencetuskan pecah-belah dan benci-membenci. Tidak akan wujud perpaduan dan kasih sayang hanya dengan kesejahteraan lahiriah. Keamanan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan kasih sayang akan hanya tercetus bila hati dan rohani rakyat berada dalam keadaan sejahtera. Inilah sebenarnya tanggungjawab pemimpin. Mensejahterakan
dan menenangkan hati dan rohani rakyat dengan mengembalikan mereka kepada fitrah semulajadi mereka yang suci murni. Inilah caranya pemimpin boleh memandu negara menjadi seperti apa yang Tuhan firmankan:
“Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.” (As Saba’: 15)

Minda Ustaz Hj Ashaari bin Muhammad

10/02/2009 Posted by | Politik dan Dakwah | 2 Comments

>PAS dah Jadi Pak Turut

>

Mengapa jadi haru biru apabila Sultan lucutkan kuasa? Nampaknya ini hanya slogan untuk memancing Rakyat

SEBELUM 1998, Pas dilihat sebagai parti alternatif untuk orang Melayu yang
tidak mahu menyokong UMNO. Berikutan itu, perjalanan Pas dalam arena
politik sentiasa mendapat sokongan sehingga ia menawan kembali Kelantan
pada 1990. Pada masa yang sama, ia menambah jumlah wakil rakyat di negeri-negeri lain.

Ketika itu Pas dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip. Ia selari dengan kata-kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya: “Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang”.

Berdasarkan prinsip itulah Pas tidak pernah sama sekali menggalakkan penyokongnya
menjadi ganas dalam menyelesaikan isu politik. Kepimpinan parti itu sentiasa memperingatkan mereka supaya menghormati undang-undang.Malah dalam sesetengah situasi, Pas akan bersama-sama UMNO mempertahankan kedudukan raja-raja. Tetapi selepas 1998, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilahirkan melalui perasaan kebencian mendalam, Pas seolah-olah terseret sama mengikut jejak PKR.

Sudah ada ahli-ahli Pas yang berani turun ke jalanan melakukan demonstrasi, mencerca dan memaki hamun UMNO seperti yang dilakukan oleh PKR. Apa yang berlaku di Kuala Kangsar, Jumaat lalu jelas membuktikan bahawa semakin ramai penyokong Pas dicemari ‘virus’ PKR.
Mereka terpekik terlolong di jalanan, bertempur dengan pihak polis dan merosakkan harta awam. Semua ini adalah perlakuan penyokong PKR yang kini menyerap kepada penyokong Pas.

Lebih malang lagi, Pas kini terjebak dengan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR dan DAP untuk menyeret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah.
Segalanya hanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Sultan Azlan Shah memperkenankan permintaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan di Perak. Demi untuk melihat pembangkang terus berkuasa, Pas sanggup menjejaskan segala prinsipnya untuk
mempertahankan raja-raja Melayu.

Tanpa mahu mempertimbangkan bagaimana arifnya Sultan Azlan Shah membuat keputusan sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Pas merelakan diri mereka dipergunakan oleh PKR dan
DAP untuk mengambil tindakan yang dianggap boleh menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.
Tidak kisahlah apa pun istilah pembangkang bagi menghalalkan tindakan mereka itu tetapi yang pasti, ia berkaitan dengan apa yang dilakukan oleh Sultan Azlan Shah.

Dalam keghairahan untuk menunjukkan kesetiaan kepada pakatan pembangkang biarpun mempunyai perbezaan ideologi yang cukup ketara, Pas seolah-olah terlupa bahawa Perak bukan
negeri yang dimenanginya secara majoriti. Padahal Pas hanya menumpang kejayaan DAP iaitu parti yang menentang pelaksanaan hukum Islam – prinsip yang diperjuangkan oleh Pas sendiri.

Di Perak, Pas hanya memperolehi enam kerusi sedangkan DAP 18 kerusi. Walaupun Pas diberi
penghormatan menjadi Menteri Besar tetapi semua orang tahu kenapa ia terpaksa dilakukan.

Atas sebab itulah, selama ini Pas tidak pernah berbangga dengan kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Mereka lebih menghargai Datuk
Azizan Abdul Razak di Kedah dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan.

Berdasarkan kedudukan itu, Pas seharusnya tidak begitu ghairah untuk menentang keputusan Sultan Azlan Shah sehingga sanggup bersekongkol dengan PKR dan DAP. Pas perlu memaparkan jati diri sebenar dan bukannya mengorbankan prinsip demi menjaga hati PKR dan DAP.

Pas harus memahami apa yang berlaku di Perak bukan sekadar berkisar soal kuasa politik sahaja. Lebih daripada itu, ia perlu memastikan segala titah perintah sultan dipatuhi dan bukannya diingkari.

Pas harus memahami, mereka adalah parti kedua terbesar orang Melayu selepas UMNO.
Orang Melayu tidak boleh bergantung kepada DAP atau PKR dalam mempertahankan institusi dan kepentingan mereka selain kepada UMNO dan Pas. Tetapi kalau Pas sendiri ‘mohon derhaka’ dengan dilihat mengkhianati institusi Melayu, siapa lagi yang orang Melayu boleh
harapkan?

Dalam menghadapi konflik di Perak ini, kepimpinan Pas perlu jelas dan tegas menyatakan pendiriannya. Jangan bersikap lidah bercabang. Jika Pas beranggapan apa yang dilakukan oleh pembangkang untuk membawa isu Perak ke mahkamah boleh menjejaskan institusi raja-raja maka mereka perlu menentangnya.

Pas perlu sedar tindakan mereka sekarang bukan untuk menegakkan keadilan atau untuk mengembalikan suara rakyat. Kalau itulah matlamatnya kenapa sejak awal lagi Pas terus
bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan impian 16 September?

Malah dalam soal lompat parti juga, di kalangan pemimpin Pas sendiri menampakkan percanggahan dan seolah-olah berada dalam alam keliru. Lihat sahaja kenyataan Nik Abdul Aziz.
Mursyidul Am Pas itu pada awal Mei tahun lalu menyokong undang-undang lompat parti digubal. Beliau menyifatkan wakil rakyat yang lompat parti sebagai ‘bukan manusia’.

Namun pada 14 Mei, beliau mengubah pendirian dan menyokong pembangkang untuk menarik ahli Parlimen BN menyertai pakatan itu bagi membentuk kerajaan Pusat yang baru.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat akan hanya menerima ahli Parlimen BN terutama
daripada UMNO sekiranya mereka menyertai Pas.

“Ia terletak di atas orang politik, negara kita demokrasi cumanya bagi orang Melayu
yang dulunya UMNO, kalau dia nak masuk Pas, bukan maknanya nak masuk
Pas tapi balik asal, kerana orang Melayu ini orang Islam, Islam
menetapkan dasar-dasar hidup.”

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu bermakna beliau menyokong wakil rakyat melompat parti asalkan masuk Pas malah turut berkata:
“Saya tidak boleh ganggu orang lain kerana ini negeri demokrasi, demokrasi
yang sampai ke peringkat hilang kawalan agama, inilah masalah kekalahan UMNO.

“Wakil BN masalahnya seperti yang saya katakan tadi, kita tidak boleh nak halang, sampailah pada peringkat nak buat undang-undang, kita lompat pun tidak boleh. Kami pernah bawa naik ke mahkamah masa di Kelantan dulu, kes wakil Semangat 46 masuk UMNO balik tetapi tiada apa-apa kerana memang hak untuk melompat parti terbuka di negara demokrasi.”

Jika itulah hujah Nik Abdul Aziz, kenapa sekarang beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Perak yang ditubuhkan oleh BN adalah sebuah “kerajaan yang haram”?

Adakah kerana wakil rakyat PKR dan DAP menyokong BN maka ia menjadi haram?
Tetapi kalau wakil rakyat BN masuk pembangkang sehingga menumbangkan
kerajaan BN ia dianggap “kerajaan yang diberkati”?

Oleh itu, dalam isu krisis politik di Perak, Pas yang sudah berusia 57 tahun harus memaparkan pendirian yang jelas. Janganlah terus menjadi keliru hanya untuk menjaga kepentingan politik bersama PKR dan DAP. Mungkin Pas berbangga kerana sikap itu tetapi jangan sampai mereka dianggap sebagai “pak turut” sahaja seperti mana yang ditafsirkan berlaku di Perak itu.

Oleh: Ziee Lipan (ziee_lipan@yahoo.com)
Melalui Perisik Rakyat Groups

10/02/2009 Posted by | Politik dan Dakwah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: