Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>Hudud Pas vs Hudud Allah

>

AGAMA Islam Pas menjadi semakin popular dalam masyarakat Melayu. Hukum
Hududnya diyakini sebagai hukum agama yang suci. Ulamanya pula ditaati
seperti Allah dan rasul-Nya.

Kekalutan ini lahir daripada input
yang mengelirukan mengenai tugas rasul Allah yang sebenar. Para ulama
tidak menjelaskan seperti yang dijelaskan Allah iaitu tugas rasul
hanyalah untuk menyampaikan al-Quran kepada umat. Firman Allah 5:92
yang berbunyi “Ketahuilah bahawa atas rasul Kami hanyalah untuk
menyampaikan yang jelas (al-Quran)” tidak disampaikan kepada orang
Melayu.

Mereka terus membisu
dengannya walaupun Allah menyebut mesej itu sekali lagi dalam ayat
al-Quran 24:54. Lantas, Islam ajaran ulama bukanlah Islam yang
disampaikan oleh rasul.

Rasul mengikuti satu syariat yang termaktub dalam Perintah daripada Allah –
“Kemudian
Kami membuat kamu di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah
ia” (45:18) – dan dalam Perintah itu juga dinyatakan bahawa hanya Allah
sahaja yang berhak mensyariatkan atau menetapkan hukum untuk agama-Nya.
Tiada yang lain, selain daripada Dia, diizinkan berbuat demikian.
Mereka yang ingkar dan yang memandai-mandai menggubal sendiri hukum
agama dikategorikan-Nya pula sebagai sekutu Allah (42:21), dan dosa ini
tidak diampun.

Namun manusia, kerana kefasiqan mereka, terus
menggubal peraturan atau hukum agama. Lalu lahirlah pelbagai peraturan
dan hukum yang berlainan daripada apa yang diwahyukan. Hukum Hudud
adalah satu daripadanya.

Perkataan hudud bermakna had atau batas, dan juga
ordinan. Ia sering disebut dengan kata hudud Allah di dalam al-Quran
dan kata ini bersangkutan dengan peraturan atau hukum. Maka hudud Allah
boleh dimaksudkan sebagai had bagi sesuatu hukuman, atau hukuman yang
maksima, bagi sesuatu kesalahan yang ditetapkan Allah.

Perkataan ini disebut sebanyak 14 kali di dalam 9 buah ayat al-Quran. Satu daripada ayatnya berbunyi,

“Itulah hudud (had-had) Allah; janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had
Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim” (2:229).

Oleh
yang demikian hukuman daripada Allah, atau hukuman dalam Islam yang
sebenar, adalah bersifat tidak zalim. Walaupun terdapat hukuman bunuh
(qisas) dalam agama Allah, namun Dia memperingatkan agar
dipertimbangkan nyawa pesalah supaya dapat diselamatkan. Firman-Nya,

“Dalam qisas ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang yang mempunyai minda,

supaya kamu bertakwa” (2:179).

Tidak
pula dengan Hukum Hudud Pas. Padanya bau zalim begitu ketara. Beberapa
contoh akan dikemukakan di sini, dipetik daripada “Rang Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 – Kerajaan Negeri Kelantan”, hasil
karya ulama Pas yang disucikan oleh ramai orang Melayu.

Contoh pertama ialah hukuman untuk mencuri:

“Sesiapa yang melakukan sariqah (mencuri), melainkan dalam keadaan yang
dinyatakan dalam seksyen 7, hendaklah dihukum dengan hukuman hudud seperti
berikut:

(a) bagi kesalahan pertama dengan dipotongkan tangan kanannya;

(b) bagi kesalahan yang kedua dengan dipotongkan kaki kirinya; dan

(c) bagi kesalahan-kesalahan yang ketiga dan berikutnya dengan dipenjarakan
selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah untuk menjadikan pesalah
itu sedar dan sesal.” (Bahagian I, perenggan 6)

Hukuman ini mengatasi hudud Allah yang
hanya menyuruh potong tangan. Itulah had hukuman yang ditetapkan Allah bagi pencuri. Firman-Nya,

“Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai
satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan, dan hukuman contoh daripada
Allah; Allah Perkasa, Bijaksana” (5:38).

Itulah juga hukuman maksima yang dijatuhkan oleh rasul ke atas pencuri kerana dia menuruti perintah Tuhan berbunyi,

“Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab
sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang
Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan
yang benar yang datang kepada kamu” (5:48).

Contoh kedua ialah hukuman bagi kesalahan merompak:

“Sesiapa melakukan hirabah (merompak) hendaklah dihukum dengan hukuman hudud
seperti berikut:

(a) dihukum bunuh dan selepas itu
disalibkan, jika mangsa kesalahan itu dibunuh
dan hartanya atau harta orang lain diambil;

(b) dihukum bunuh sahaja, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dengan tidak ada apa-
apa harta yang telah diambil;

(c) dihukum potong tangan kanan dan kaki kirinya, jika harta sahaja yang diambil
dengan tidak menyebabkan kematian mangsa atau mencederakannya; tetapi
sekiranya harta-harta diambil dan kecederaan dilakukan ke atas mangsanya,
maka diyat atau irsy hendaklah dibayar sebagai tambahan kepada hukuman
potong tangan dan kaki …..” (Bahagian I, perenggan 9).

Yang
paling sumbang dalam hukum hudud Pas ini ialah perbuatan menyalib dan
memotong tangan dan kaki pesalah. Dalam al-Quran tindakan menyalib dan
memotong tangan dan kaki hanya diharuskan semasa dalam peperangan,
iaitu ke atas musuh Islam yang memerangi. Firman-Nya,

“Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan
yang
berusaha di bumi untuk membuat kerosakan – mereka dibunuh, atau disalib,
atau tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau
mereka dibuang daripada bumi. Itulah suatu kerendahan bagi mereka di dunia; dan
di akhirat, bagi mereka azab yang besar” (5:33).

Al-Quran
ada juga menyebut mengenai hukuman memotong tangan serta kaki dan
kemudian disalib di pohon palma yang dilakukan bukan dalam peperangan.
Akan tetapi, hukuman ini adalah amalan Firaun, seorang musuh Islam yang
zalim pada zaman Nabi Musa (7:124, 20:71 dan 26:49).

Sementara
hukuman salib tanpa memotong mana-mana bahagian anggota disebut sebagai
hukuman orang kafir zaman Nabi Isa (4:157) dan raja semasa zaman Nabi
Yusuf (12:41).

Mengenai hukuman bunuh pula, yang diharuskan
Allah, ia tidak sahaja terhad ketika dalam peperangan (2:191) tetapi
juga dalam kes pembunuhan biasa. Namun kuasa diberi kepada saudara si
mati untuk melaksanakan hukuman tersebut. Firman-Nya,

“Wahai orang-orang yang percaya, ditetapkan bagi kamu ialah pembalasan (qisas),
mengenai orang yang dibunuh ….. tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh
saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya
dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Tuhan kamu,
dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih”
(2:178).

Contoh ketiga ialah hukuman bagi penzina:

“(1) Jika pesalah yang melakukan zina itu mohsan, maka pesalah itu hendaklah
dihukum dengan hukuman rejam, iaitu dilontar dengan batu yang sederhana
besarnya sehingga mati.

(2) Jika pesalah yang melakukan zina itu ghairu mohsan, maka pesalah itu
hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak seratus kali sebatan dan
sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama satu tahun.” (Bahagian I,
perenggan
11)

Hukuman
ini jauh melebihi had yang ditetapkan Allah yang berbunyi “Perempuan
yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang
daripada mereka dengan seratus sebatan,” (24:2). Itu sahaja.

Menurut
al-Quran, hukuman merejam batu adalah amalan orang kafir zaman dahulu
kala seperti zaman Nabi Nuh, Ibrahim, Shuib dan zaman beberapa orang
pemuda yang mencari perlindungan di dalam gua atau al-kahfi. Nabi Musa
juga takut direjam oleh Firaun.

Menurut catatan sejarah pula,
hukuman merejam batu hingga mati kepada pesalah dalam hal agama telah
dimulakan oleh seorang ulama Yahudi bernama Uzair (9.30) yang hidup
kira-kira 2,000 tahun sebelum al-Quran diturunkan. Apapun, hukuman ini
adalah hukuman jahiliah, dan Tuhan telah bertanya,

“Adakah putusan jahiliah yang mereka menginginkan? Dan siapakah yang lebih baik
putusannya daripada Allah bagi kaum yang yakin?” (5:50).

Contoh keempat ialah
hukuman bagi kesalahan liwat:

“Sesiapa melakukan kesalahan liwat, hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama
seperti yang ditetapkan bagi zina.” (Bahagian I, perenggan 17)

Penggubal
hukuman ini jelas tidak menyedari mengenai kewujudan hudud Allah bagi
perempuan dan lelaki yang sedemikian rupa nafsu seksnya. Diturunkan di
bawah ini dua ayat al-Quran yang berkaitan:

1. “Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat
antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan,
tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan
mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan” (4:15).

2. “Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka
hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka
berpalinglah daripada keduanya; Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima
Taubat,
Pengasih” (4:16).

Contoh kelima ialah kesalahan meminum arak:

“(1) Syurb adalah kesalahan meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan;
dan sesiapa yang melakukan kesalahan ini, sama ada dia mabuk atau tidak, dan
tanpa mengira kuantiti yang diminumnya hendaklah dikenakan hukuman sebat yang
tidak lebih daripada lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang daripada empat
puluh kali sebatan.” (Bahagian I, perenggan 22)

Firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar
supaya kamu menghakimkan antara manusia dengan apa yang Allah
memperlihatkan kepada kamu” (4:105).

Oleh kerana hukuman bagi
peminum arak tidak dijelaskan di dalam al-Quran, maka rasul tidak
menjatuhkan sebarang hukuman mengenainya. Sebaliknya pula dia
menyampaikan ayat-ayat Tuhan yang menyatakan amalan itu adalah dosa
besar (2:219), kotor, amalan syaitan dan minta dijauhkan (5:90), di
samping menyebabkan permusuhan dan kebencian antara manusia, dan minta
berhenti daripada meminumnya (5:91). Dengan nasihat ini orang yang
takut kepada Tuhan tentu berhenti daripada minum arak.

Contoh keenam dan terakhir ialah hukuman bagi kesalahan murtad:

“(3) Sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad (murtad), hendaklah
sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh Mahkamah supaya
bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia
didapati salah.

(4) Sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya
terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka
Mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan
supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan
kesalahan itu dirampas untuk dipegang bagi keperluan Baitul-Mal:”(Bahagian
I, perenggan 23)

Ini

merupakan satu lagi hukuman yang dipelajari daripada ulama jahiliah
bernama Uzair yang Allah gelar “anak Tuhan” (9:30) kerana
memandai-mandai membuat hukum agama. Allah sendiri akan menghukum orang
murtad seperti yang tersurat di dalam firman-Nya yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang percaya, sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad)
daripada agamanya, maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia mencintai,
dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras
terhadap orang-orang yang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan
tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Itulah pemberian Allah; Dia
memberinya kepada siapa yang Dia mengkehendaki; dan Allah Merangkumi,
Mengetahui” ( 5:54 ).

Seperti
itu juga akan terjadi kepada orang Melayu jikalau mereka tidak kembali
kepada ajaran Islam sebenar yang terkandung di dalam al-Quran. “Apa,
adakah aku akan mencari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang
menurunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas; ….. maka janganlah kamu
termasuk orang-orang yang ragu-ragu” (6:114).

Dari Sahabat group Perisik Rakyat:ziee lipan (ziee_lipan@yahoo.com)

29/01/2009 - Posted by | Politik dan Dakwah

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: