Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>KEBAHAGIAAN APAKAH, YANG KITA CARI SEBENARNYA?

>Kalau kita lihat apa yang sedang berlaku di dunia ini memang sangat menakutkan. Keadaannya menakutkan di semua aspek.Huru-hara di semua bidang. Tidak ada satu sudut yang benar-benarstabil. Hampir semua sudut sudah rosak. Ertinya sistem yang berlaku di dunia hari ini sudah rosak. Bila rosak, yang menerima akibatnya dan padahnya adalah manusia. Kita sebahagian darinya. Mengapa terjadi begini?

Kalau di zaman adanya rasul, bila semua sistem sudah rosak, di mana
tidak ada lagi tempat yang selamat, di waktu itu Tuhan datangkan
pemimpin dari Tuhan sendiri iaitu para rasul. Kerana pemimpin-pemimpin
yang bukan rasul sudah tidak mampu menyelesaikan dan mengubat masalah.
Bila rasul datang, dia memulihkan semula keadaan dunia yang sudah
huru-hara. Rasul menunjukkan jalan bagaimana untuk mendapat keamanan,
kedamaian dan keharmonian. Bagaimanapun selepas wafatnya seorang rasul,
penyakit lama berulang kembali pada masyarakat. Datang pula rasul yang
lain. Hilang sebentar penyakit. Datang rasul, dunia harmoni sekejap.
Begitulah putaran sejarah.

Jadi dalam sejarah dunia, masa yang sulit dan huru-hara itu lama
manakala masa yang harmoni dan aman itu sekejap. Bila kita baca sejarah
manusia ini, kita dapat lihat secara umum manusia yang hidup di dunia
mencari dua kebahagiaan iaitu:

1. Kebahagiaan secara lahir, seperti mencari kekayaan, pangkat, ilmu pengetahuan, menjadi bangsa yang kuat, menjajah negara orang dan lain-lain lagi.

2. Kebahagiaan secara rohaniah atau batiniah iaitu
kebahagiaan jiwa, ketenangan hati dan fikiran, kasih sayang, bertolak
ansur, rasa bersama, perikemanusiaan yang tinggi, tolong-menolong dan
sebagainya. Ini semua bersifat rohaniah.

Apa yang berlaku, kehendak-kehendak yang bersifat luaran atau material
banyak yang manusia dapat. Kejayaan material itu lebih dapat dikuasai
oleh manusia daripada kejayaan rohaniah. Walaupun tidak semua orang
dapat tetapi lebih ramai yang dapat berbanding dengan kebahagiaan yang
kedua. Sedikit sahaja yang dapat kebahagiaan yang bersifat rohaniah.

Hampir semua golongan tidak dapat menguasai kebahagiaan yang bersifat
rohaniah atau batiniah ini. Bukan sahaja orang miskin atau yang tidak
berpangkat tidak dapat, bahkan orang yang cerdik, pandai, kaya,
berjawatan tinggi sehinggalah yang menjajah negara orang pun tidak
dapat. Mereka pun tidak dapat menguasai perasaan batiniah manusia.
Padahal mereka berharap dengan menjajah negara orang, mereka akan dapat
kebahagiaan. Mereka boleh mendapat kebahagiaan material tetapi oleh
kerana kebahagiaan batiniah tidak diperolehi maka kejayaan luaran atau
material pun tidak memberi apa-apa erti.

Di sini tidak akan diperpanjangkan mengapa dan kenapa demikian. Kita
tidak akan bahaskan secara ilmiah mengapa terjadi begitu. Cuma
disebutkan fakta-fakta sahaja tentang kenyataan-kenyataan yang sudah
berlaku. Kita bawakan beberapa contoh sebagai bukti bahawa apabila
kebahagiaan rohaniah tidak diperolehi maka kejayaan di sudut material
itu tidak bermakna. Di antaranya:

1. Katalah satu bangsa besar, yang ada kuasa besar, menjajah
negara orang. Waktu itu ia belum ada pengalaman lagi. Bila sudah
berjaya menjajah, rasa bahagia. Tentulah merasa puas. Tuhan lakukan
begitu. Dahulu, banyak bangsa-bangsa yang menjadi penjajah. Kalau dulu
ianya satu kebanggaan, tetapi hari ini kalau sesebuah negara itu cuba
untuk menjajah negara lain, rakyatnya sudah tidak mahu. Buktinya
lihatlah negara Amerika sekarang. Ia musnahkan Afghanistan dan Iraq
itu, hanya dua, tiga orang politik sahaja yang suka. Rakyat dan tentera
tidak bersetuju sebab mereka sudah ada pengalaman. Menjadi penjajah,
dapat negara orang tetapi tidak mendapat kebahagiaan dalaman.

Waktu Perang Dunia Pertama dahulu, sesuatu bangsa itu bangga kalau ia
boleh tawan negara orang, sebab waktu itu belum ada pengalaman. Kalau
sudah ada pengalaman, jadilah seperti rakyat Amerika yang tidak setuju
dengan Bush untuk tawan Iraq. Sebab kebahagiaan bukan di situ. Bahkan
rakyat Amerika menjadi takut pula untuk pergi ke mana pun, takut
diculik atau ditembak. Sebab itu hasil perang bahkan hasil kejadian 11
September, iaitu keruntuhan World Trade Center (WTC) di New York, ramai
rakyatnya bunuh diri. Yang bunuh diri itu bukan sebarang orang. Kalau
orang bunuh diri, ertinya dalamnya sudah kosong walaupun di luar nampak
hebat.

2. Begitu juga bila dapat membangunkan empayar ekonomi, manusia
rasa bahagia. Itulah yang Jepun buat. Dunia tercengang dengan kemampuan
ekonomi Jepun. Tetapi apa sudah berlaku? Orang Jepun paling ramai bunuh
diri. Negara yang ada kekuatan ekonomi di tangannya, paling ramai
rakyatnya bunuh diri. Nampaknya kebahagiaan lahir sudah dapat tetapi
kebahagiaan batin tidak dapat hingga mereka bunuh diri. Ini membuktikan
bahawa kebahagiaan dalaman atau batin lebih bermakna daripada
kebahagiaan lahir.

Di Asia ini, banyak negara Asia tercengang melihat Singapura. Dahulu ia
adalah kepunyaan Malaysia tetapi dengan mudah telah dilepaskan. Lahir
sebuah negara baru. Terkejut negara-negara Asia. Negara yang lebih lama
atau lebih tua pun terkejut dengan munculnya negara baru tetapi lebih
cantik dengan pembangunan dan kemajuan luar biasa. Rupanya satu bangsa
yang sudah ketinggalan itu boleh menjadi satu bangsa baru, sehingga ia
boleh kejar bangsa lama kerana ia hendakkan hal-hal lahir. Ia hendakkan
keselesaan lahir. Singapura menjadi buktinya. Tetapi rakyatnya ramai
yang bunuh diri. Lebih-lebih lagi selepas kejatuhan ekonomi. Yang bunuh
diri ialah ahli-ahli korporat dan ahli-ahli perniagaan. Cukuplah ini
semua sebagai contoh.

Rupanya manusia ini mudah mendapat kebahagiaan lahir tetapi jangka
panjangnya tidak sampai ke mana. Orang yang dapat kebahagiaan lahir itu
sudah ada pengalaman dan mereka tahu. Yang belum dapat,
bersangka-sangka di situlah kebahagiaan. Kita bangsa Melayu juga
berfikir macam mereka iaitu hendak kejar kebahagiaan lahir. Kalaulah
kita dapat jadi kaya macam rakyat Singapura dan Jepun, nanti akibatnya
akan sama.

Jadi baru kita tahu hendak cari kebahagiaan rohaniah, susah rupanya.
Buktinya hari ini orang-orang atasan, yang sudah kaya, yang sudah
menjajah orang dan orang pandai pun tidak mendapat kebahagiaan rohaniah
ini.

Sekarang manusia jadi risau. Seluruh dunia tidak bahagia. Salah satu
sebabnya ialah kerana kehilangan kasih sayang. Kasih sayang sudah
hilang di semua peringkat masyarakat, justeru itu hilanglah bahagia.
Bukan sahaja orang susah tetapi orang senang, orang ada ilmu, orang ada
jawatan tinggi pun tidak bahagia. Kerana kasih sayang adalah keperluan
bersama. Orang miskin atau orang kaya sama-sama perlukannya. Orang
bawahan atau orang atasan perlukannya tetapi ia sudah hilang. Bila
hilang kasih sayang, kita tidak lagi fikir orang. Terhadap orang susah,
orang menderita, orang sakit, kita tidak rasa apa-apa. Kita tidak
kasihan dan kita tidak simpati.

Mengapa hilang kasih sayang? Kerana manusia sudah tidak cintakan Tuhan
lagi. Manusia sudah kehilangan Tuhan. Tuhan hanya sekadar dipercayai
tetapi Dia sudah hilang dari hati manusia. Tuhan sudah tidak menjadi
pegangan lagi. Akibatnya tentulah manusia tidak cintakan Tuhan. Bila
Tuhan tidak dicintai, side effectnya manusia tidak tahu bercinta dan
berkasih sayang sesamanya. Inilah yang berlaku. Sedangkan kasih sayang
itu kebahagiaan dan sangat diperlukan.

Kita ini usahkan orang tidak sayang kita, kalau anak kita tidak
sayangkan kita sebagai ayah, itu pun sudah cukup menyedihkan kita.
Kalau kita sedar isteri tidak sayangkan kita, duit tidak ada erti lagi.
Tidak ada erti lagi ilmu. Padahal baru seorang tidak sayangkan kita.
Sekarang ini semua orang saling tidak menyayangi. Kemuncak tidak
berkasih sayang sangat menakutkan. Kalau di luar tidak ada keamanan,
setidak-tidaknya di rumah kasih sayang itu masih wujud. Tetapi bila
sampai kemuncaknya, di rumah pun tidak ada kasih sayang. Cucu dirogol
oleh datuk, anak dirogol oleh ayah, adik dirogol oleh abang.

Itulah kesan apabila tidak ada lagi sesuatu yang bersifat rohaniah
yakni kasih sayang. Ke mana hendak pergi kalau di rumah pun sudah tidak
selamat. Di masjid pun tidak selamat. Kalau di Pakistan, sedang angkat
takbir pun boleh ditembak. Pernah berlaku, waktu seorang sedang
sembahyang dalam masjid, tiba-tiba dia ditembak. Orang yang menembak
itu pula seorang yang hafal Al Quran. Dia dapat Al Quran tetapi hilang
Tuhan. Sebab itu dia tembak orang.

Di sini baru kita faham pentingnya kenal Tuhan. Bila kenal Tuhan kita
akan jatuh hati dengan Tuhan. Bila jatuh hati dengan Tuhan, kita akan
cintakan Tuhan. Bila cintakan Tuhan, automatik kita akan cinta sesama
manusia. Inilah anak kunci kasih sayang sejagat. Bila ada kasih sayang
sejagat manusia tidak akan mahu buat jahat lagi. Tidak akan zalimi
orang, tipu atau malukan orang. Itulah rahsianya kebahagiaan rohaniah.

Sekarang manusia mencari kasih sayang tetapi anak kuncinya sudah tidak ada.
Manusia sudah kehilangan anak kunci kasih sayang iaitu Tuhan. Sebab itu
sesiapa yang hendak berjuang untuk pulihkan penyakit jiwa hari ini,
jangan mulakan dari ekonomi. Dengan syariat pun jangan. Kempenkan dan
promosikan Tuhan. Tuhan adalah segala-galanya. Bila kita selesai dengan
Tuhan nanti semua keperluan hidup kita akan selesai.

Yang menyedihkan, ulama yang di tangannya ada Al Quran pun sudah tidak
faham bagaimana hendak berjuang. Bila berjuang, fikir hukum-hakam dan
jihad sahaja. Ada yang fikir hudud sahaja. Akhirnya jadi militan. Bila
militan, timbul masalah. Lagi orang tekan kita. Bila orang tekan kita
dalam keadaan kita lemah, lagi bertambah teruk. Lebih-lebih lagi kalau
kita tidak faham. Jadi hari ini siapa hendak berjuang, promosikan Tuhan sampai orang takut dan cintakan Tuhan. Insya-Allah akan berlaku nanti keindahan hidup.

Sumber: Ustaz Asaari Muhammad (Abuya)

16/12/2008 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

>Tandas Awam

>

Alhamdulillah!!! Masyarakat Malaysia jauh lebih bertammaddun daripada ini……

16/12/2008 Posted by | Renungan & Teladan | Leave a comment

   

%d bloggers like this: