Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>Isu clip Video Sajak Kematian

>KOTA BHARU, 23 Nov (Harakah) – Ketika masyarakat berdepan dengan isu gejala sosial yang semakin parah sekarang mengapa pula usaha pihak tertentu mengajak remaja menginsafkan diri cuba dihalang.

Sepatutnya usaha tersebut perlu disokong kerana ia boleh mengembalikan remaja kepada keinsafan dan dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial.
Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata, berkata klip video Sajak Kematian tiada sebab cuba dihalang ditayang kepada umum, kalau perkara itu boleh menimbulkan keinsafan.
“Mengapa sekarang ada orang kalut dengan Sajak Kematian yang ditayangkan kepada pelajar sedangkan perkara itu boleh mendidik mereka dan dapat mengelakkan daripada terjebak dengan gejala sosial.
“Penayangan klip video tersebut boleh memberi kesedaran kepada golongan remaja kerana ia menceritakan bagaimana keadaan orang yang melanggar suruhan agama ketika berada dalam kubur,” katanya di sini.
Baru-baru ini, Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan mahu video klip Sajak Kematian yang ditayang di sekolah disiasat kerana ia dianggap tidak sesuai bagi pelajar sekolah rendah.
Mohd Khir berkata, kalau nak gambarkan sepenuhnya alam kematian tidak boleh kerana perkara berkaitan alam ghaib hanya sekadar imaginasi sahaja.
Menurutnya, mungkin bagi mereka yang menentang penayangan klip video tersebut merasakan tercabar dengan perbuatan mereka sekarang.
“Namun penayangan kepada anak di bawah umur yang belum akil baligh memang tak sesuai sebab mereka ini tidak boleh memikirkan tentang baik dan buruk secara mendalam,” katanya.
Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah Machang, Ustaz Mohammad Awang berkata, penayangan klip video tersebut wajar bagi memberi peringatan terhadap wujudnya alam barzakh.
“Rasulullah saw sendiri pernah ditanya apakah amalan yang paling baik diamalkan, lalu baginda menjawab ialah mengingati kematian merupakan yang terbaik,” ujar beliau.
Kata beliau perkembangan alat-alat teknologi wajar dimanfaatkan bagi pembikinan klip video seperti itu sebagai usaha mendidik golongan remaja yang sudah akil baligh.
“Saya berharap klip video itu tidak diharamkan penayangannya tetapi pihak yang terlibat kena memberitahu klip video tersebut hanyalah imaginasi dan bukannya gambaran sebenar alam barzakh.” katanya.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pembikinan klip video tersebut wajar ditayangkan kepada umum terutamanya ahli-ahli politik, ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan banduan di penjara.
Menurut beliau setidak-tidaknya dengan ada peringatan seperti itu akan mengelakkan mereka terjebak dengan perkara mungkar.
“Bagi saya ia wajar ditayangkan namun bukan untuk golongan kanak-kanak di bawah umur,” ujarnya.
Katanya beliau Sayid Qutb dalam kitabnya ‘Tayangan Kiamat’ telah mengumpulkan ayat-ayat yang berkaitan dengan alam kubur, Padang Mashyar, nikmat-nikmat di syurga dan azab neraka dalam kitab yang ditulisnya itu.
Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Ustaz Muhammad Mustaffa berkata, alam ghaib tidak boleh digambarkan melalui pemikiran manusia.
“Tinggal lagi sejauh manakah penerimaan masyarakat umum terhadap penayangan klip video tersebut dan masyarakat patut sedar ia merupakan imaginasi pengarah klip video Sajak Kematian semata-mata, ” ujar beliau. – mj/mks. _

24/11/2008 Posted by | Politik dan Dakwah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: