Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum melintas di depan orang sedang solat

Amat menaikkan darah apabila sedang solat tiba-tiba ada orang melintas di depan kita. Jahilkah si dia ?. Biadap sungguh. Agak kerap berlaku, ketika kita menunaikan solat sunat selepas Jumaat, manusia-manusia biadap ini dengan selambanya melintas tanpa ambil kisah kita sedang menunaikan solat.

Amat perlu kita semua menasihatkan diri dan semua yang dikenali agar menjauhi sikap melintas di hadapan orang solat, terutamanya bagi mereka yang amat prihatin dalma hal solat. Salah satu tanda keperihatinan seseorang itu dengan solatnya adalah apabila ia meletakkan ‘penghadang’ khusus di depannya ketika solat sunat seorang diri.

Tegahan melintas di hadapn orang solat ini disebut dalam dua hadis ini, sabda Nabi s.a.w  :-

لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً

Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perwai : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) [1]

Dan sebuah lagi hadis menunjukkan besarnya dosa lalu dihadapan orang solat :-

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ

Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari) [2]

Jelas dari dalil-dalil ini, sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah (penghadang) agar tiada individu yang mendapat dosa kerana melalui di hadapan kita selain merosakkan solat kita. Selain itu, amat perlu juga kita menahan sekiranya terdapat individu ingin melintas sewaktu kita menunaikan solat.

Ada yang bertanya kepada saya, mengapakah dosa melintas ini kelihatan terlalu besar?. Jawabnya mudah.

Anggaplah apabila anda melintas di hadapan orang yang solat, individu tersebut telah menunjukkan kebiadapannya terhadap Allah s.w.t, tiada hormat kepada Allah yang sedang berhadap kepada orang yang solat. Keadaan ini jelas dari sabdaan baginda nabi s.a.w :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي

صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ

Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud) [3]

Jelas, individu yang lalu TANPA HORMAT kepada Allah dan orang yang bersolat melintas.  Secara langsung juga, individu itu juga biadap kepada orang yang sedang solat.

Kesimpulannya, jauhilah sifat buruk dan dosa ini. Adapun ketika di Mekah yang terlalu ramai manusianya yang pelbagai ragam dan sikap, mungkin ada keringanan sedikit disebabkan keadaan yang tidak amat sukar dikawal, namun demikian saya yakin keadaan tersbeut boleh dikawal di Malaysia.  Jangan jadikan diri sebahgaian dari kumpulan biadap ini.

Sekian

Sumber: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

13 May 2014 Posted by | Ibadah | | Leave a comment

Berpuasa,bersolat, berzikir – Tapi masih bersifat keji – Mengapa?

SONY DSC

Mari kita menyuluh diri kita sejauh mana ibadah kita memberi kesan pada diri kita setakat ini. Lihat pada hadith berikut yang bermaksud: “Ditanya orang kepada Rasulullah S.A.W., “Wahai Rasulullah, si polan itu (perempuan) siang hari berpuasa, malam hari dia bangun kerana mengerjakan ibadah. Cuma dia ada sedikit cacat. Akhlaknya rosak iaitu dia menyakiti jirannya dengan lidahnya”. Lantas dijawab oleh Rasulullah, “Tidak ada kebaikan lagi pada wanita itu bahkan dia adalah menjadi ahli neraka.”

Hadith ini meriwayatkan perbualan seorang sahabat dengan Rasulullah dalam mana sahabat itu tertanya kepada Rasulullah tentang seorang perempuan yang dikenalinya. Perempuan itu amat kuat beribadah kerana pada siang harinya dia berpuasa manakala di malam hari dia bangun bertahajjud. Perempuan itu sudah boleh dikatakan ahli ‘abid kerana seseorang yang mampu berpuasa siang hari dan bangun bertahjud malam hari dia sudah boleh dikatakan ‘abid. Cuma dia belum tentu orang bertaqwa atau orang soleh boleh kita panggil ‘abid atau ahli ibadah saja. Dan perempuan yang diceritakan oleh sahabat itu kepada Rasulullah adalah seorang ‘abidah, kerana dia kuat berpuasa dan tahajjud malam. Tentulah selepas dia bertahajjjud dia juga membaca Al-Quran, berwirid, berzikir, berdoa dan sebagainya.

Di sini kita dapati sahabat tadi menceritakan perihal perempuan itu kepada Rasulullah supaya Baginda dapat menilai bagaimana kedudukan wanita ini iaitu sama ada dia boleh dianggap orang yang soleh atau tholeh, sama ada dia boleh dianggap orang yang berbakti atau tidak berbakti dan sama ada dia boleh dianggap orang yang baik atau tidak. Sebab itu sahabat itu menceritakan tentang kuatnya dia berpuasa dan bertahajjud cuma dia ada sedikit kecacatannya iaitu akhlaknya rosak. Itu pun bukan semua bentuk akhlaknya yang cacat.

Di antara akhlak-akhlak jahat yang banyak, dia hanya jahat dalam satu perkara sahaja iaitu dia menyakiti jirannya dengan lidahnya. Mungkin dia selalu mengumpat jirannya atau dia berkasar dengan jirannya atau boleh jadi dia selalu membahasakan jirannya dengan lidahnya. Dalam hal inilah sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang bagaimana kedudukan wanita itu. Dan ketika itu Rasulullah menjawab mengatakan bahawa, tidak ada lagi kebaikan pada wanita itu bahkan dia adalah menjadi penghuni neraka.

Di dalam riwayat hadith ini kita digambarkan mengenai seorang wanita yang begitu kuat amal ibadahnya, cuma dia tidak berakhlak. Dan itu pun hanya satu sahaja akhlaknya yang cacat iaitu lidahnya kasar yang mana selalu menyakiti jirannya. Walaupun demikian, Rasulullah mengatakan yang amal ibadahnya yang begitu banyak tidak ada harga lagi di sisi Allah S.W.T. Dia dianggap tidak ada membuat kebaikan, bahkan dia adalah penghuni neraka. Jadi hadith ini memberitahu kepada kita betapa seorang ahli ibadah menjadi penghuni neraka kerana dia tidak berakhlak.

Mengapakah seorang ahli ibadah boleh menjadi penghuni neraka kerana dia tidak berakhlak? Kita sendiri pun tidak sanggup bertahajjud malam, manakala puasa hari Isnin dan Khamis pun susah hendak dibuat. Sedangkan perempuan itu kuat berpuasa dan bertahajjud. Cuma akhlaknya sahaja yang cacat. Dan kerana itu dia menjadi ahli neraka. Dia telah menjadi ahli neraka adalah kerana ibadahnya tidak berbuah. Seseorang yang melakukan ibadah yang bermacam-macam bentuk sama ada yang berbentuk fardu ain mahupun fardHu kifayah, sama ada yang berbentuk sunat muakkad atau ghairu muakkad sama ada ibadah melalui puasa, sembahyang, membaca Al-Quran, berdoa, berwirid, zikir dan lain-lainnya, semuanya adalah dengan tujuan agar ibadah-ibadah itu dapat melahir atau membuahkan sifat taqwa dan akhlak. Bererti bahawa sifat taqwa serta akhlak itu adalah buah daripada ibadah yang seseorang itu lakukan. Sebab itulah semakin banyak seseorang itu beribadah, semakin halus budi pekerti dan akhlaknya.

Jadi, kalau seseorang itu banyak beribadah tetapi akhlaknya masih jahat, maka berertilah ibadahnya tidak berbuah. Ini juga menunjukkan bahawa walaupun dia banyak beribadah, tetapi ibadahnya tidak diterima oleh Allah S.W.T. Dan sebab itulah, walaupun dia banyak beribadah, dia tetap menjadi penghuni neraka kerana ibadah-ibadahnya tidak ada nilai kebaikan di sisi Allah S.W.T. Ibadah yang tidak menghasilkan buah ini samalah seperti orang menanam pokok tetapi tidak berbuah. Banyak saja pokok-pokok yang ditanam tetapi pokok-pokoknya tidak berbuah. Begitu juga, kalau seseorang itu beribadah tetapi tidak juga lahir akhlak yang baik, maka ibadahnya tidak berbuah. Dia tetap menjadi penghuni neraka.

Berdasarkan hadith ini, kita sepatutnya ada sebab untuk berasa bimbang dengan diri kita kerana adakah kita sudah beribadah sepertimana perempuan yang diceritakan di dalam hadith itu iaitu kuat berpuasa, kuat tahajjud, banyak baca Al-Quran, banyak wirid, zikir dan sebagainya. Sudahlah ibadah kita tidak banyak, akhlak kita pun tidak baik. Sedangkan perempuan yang banyak ibadah itu pun, kerana akhlaknya cacat sedikit sahaja dia telah menjadi penghuni neraka, betapalah dengan kita ini. Maka tentulah kita berada dalam keadaan, yang lebih teruk dari wanita itu. Sebab itulah, maka hendaklah kita banyakkan ibadah dengan tujuan mendapatkan akhlak yang baik. Janganlah kita hendak banyakkan ibadah sahaja tetapi tidak menginginkan akhlak yang baik. Jadi kita membanyakkan ibadah itu adalah dengan tujuan supaya kita dapat menghalusi budi pekerti kita agar kita dapat memiliki akhlak yang baik dengan sebanyak-banyaknya.

Hadith yang kedua membawa maksud berikut:

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah S.W.T. telah membersihkan agama ini (iaitu agama Islam) untuk diriNya (iaitu Allah). Agama itu tidak akan menjadi baik melainkan kalau ada pada kita sifat pemurah dan baik akhlak. Oleh demikian hendaklah kamu hiasi agama kamu itu dengan keduanya (iaitu dengan sifat pemurah dan dengan akhlak yang baik).

Hadith ini menceritakan kepada kita bahawa setiap orang yang hendak menegakkan agama Islam itu, sama ada yang hendak ditegakkannya itu berbentuk fardhu ain mahupun yang berbentuk fardhu kifayah, yang berbentuk sunat muakkad mahupun yang berbentuk ghairi muakkad tujuannya adalah untuk dihadiahkan kepada Allah S.W.T. Ertinya, keseluruhan agama Islam yang ditegakkan itu walau di bidang mana sekalipun, semuanya adalah untuk dipersembahkan kepada Allah S.W.T. Dan Allah pula tidak akan menerima sesuatu hadiah yang tidak bersih dan yang tidak suci murai. Jadi hadiah yang hendak kita persembahkan kepada Allah itu mestilah yang bersih dan suci murni. Dalam ertikata yang lain, setiap bidang agama Islam yang kita amal dan yang kita buat itu sama ada di bidang fardu dan di bidang sunatnya, ia mestilah suci bersih. Tetapi di dalam hadith ini, kita diingatkan bahawa agama Islam yang kita tegakkan itu sebagai hadiah kita kepada Allah, ia tidak akan suci bersih kalau di dalam diri kita tidak ada dua perkara iaitu sifat pemurah dan akhlak yang baik. Jadi kalau seseorang itu ada memiliki sifat pemurah dan akhlak-akhlak yang baik, maka agama Islam yang didirikan dan dibangunkannya itu adalah suci murni. Dan manakala dia mempersembahkannya kepada Allah S.W.T., maka Allah akan menerimanya.

Daripada sini, fahamlah kita bahawa agama Islam yang hendak kita jadikan hadiah kepada Allah S.W.T. itu, akan menjadi kotor kalau kita memiliki sifat di sebaliknya iaitu sifat bakhil dan akhlak yang jahat. Dengan adanya dua sifat ini di dalam diri kita, agama Islam yang kita dirikan itu akan menjadi suci dan murni. Oleh sebab itu, bagaimana kuat pun kita beribadah iaitu mungkin kita boleh berpuasa dan bertahajjud malam, mungkin baca Al-Quran kita kuat hingga boleh buat 10 juz satu hari, wirid, zikir kita berpuluh-puluh ribu satu hari, doa kita berjela-jela manakala selawat pula ribuan kita baca, semuanya itu masih belum bersih di sisi Allah kalau kita ada sifat bakhil dan kalau akhlak kita masih rosak. Maka dengan sebab itulah kita disuruh menghiasi agama yang kita dirikan itu dengan sifat pemurah dan dengan akhlak yang baik. Apabila kita dapat memiliki sifat pemurah dan akhlak yang baik itu, maka agama yang kita dirikan akan menjadi suci dan bersih dan apabila kita persembahkan agama yang suci bersih itu kepada Allah S.W.T., maka Allah akan menerimanya.

Sehubungan dengan ini, pepatah Arab ada berkata yang maksudnya: Bukanlah yang dikatakan kecantikan pada diri seseorang itu pakaian yang menghiasi diri tetapi yang dikatakan cantik dan indah itu ialah ilmu yang ada padanya dan budi pekerti yang baik. Jadi ilmu yang sah di sisi Allah S.W.T. dan akhlak yang baik yang ada pada diri kita, itulah yang dikatakan hiasan pada diri kita. Itulah kecantikan yang ada pada diri kita dan itulah bunga pada diri kita yang Allah memberikan perhatianNya dan yang juga boleh menarik perhatian orang ramai. Bererti, dengannya, Allah pun suka dan orang ramai pun suka. Sebaliknya, kalau pakaian kita saja yang cantik dan indah tetapi akhlak kita tidak baik, tidak ada siapa yang suka. Tetapi walaupun buruk mana pakaian kita, kalau akhlak kita baik, orang tetap akan suka. Bukan saja orang suka, tetapi Allah juga akan suka dan cinta. Sebab itulah akhlak itu dikatakan bunga diri yang mana bunga itu adalah menjadi hiasan di tengah majlis, kerana sudah menjadi fitrah semula jadi manusia, sukakan bunga. Semua orang gemar melihatnya dan berasa tenang bila ada bunga di atas meja. Lebih-lebih lagilah sukanya orang ramai kalau bunga itu berbau harum. Ia adalah merupakan daya tarikan atau besi berani dalam diri seseorang hingga menyebabkan orang tertarik padanya. Sebab itu, kalau daya tarikan sudah tidak ada dalam diri seseorang kerana dia tidak memiliki akhlak yang baik, apa saja yang dianjurkannya, orang ramai tidak akan tertarik dan tidak akan menyertainya. Oleh yang demikianlah, kita disuruh menghiasi diri kita atau agama yang kita bina itu dengan sifat pemurah dan dengan akhlak yang baik. Dan apabila kita telah hiaskan agama kita, maka ia akan menjadi suci bersih yang mana apabila kita persembahkannya kepada Allah, lantas Allah akan menerimanya.

Ditanya orang kepada Rasulullah, “Mana satu orang mikminkah, ya Rasulullah yang iman mereka itu paling utama. ” Jawab Rasulullah, “Ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”

Di sini ingin kita bahaskan sedikit tentang sifat pemurah yang disebutkan di dalam hadith tadi. Mengapakah di dalam hadith itu sifat pemurah ini dikhususkan sedangkan ia di dalam lingkungan akhlak yang baik, sifat pemurah itu sendiri adalah termasuk di antaranya. Misalnya, pemaaf, merendah diri, tidak sombong dan sebagainya adalah beberapa contoh akhlak yang baik. Manakala di antaranya juga adalah sifat pemurah. Tetapi mengapakah sifat pemurah dikhususkan di dalam hadith tadi iaitu sebagai salah satu daripada dua perkara yang boleh mensucikan agama yang kita dirikan. Sedangkan kalau disebut saja akhlak yang baik, pemurah sudah terangkuman di dalamnya. Ini adalah kerana, di antara akhlak-akhlak yang baik, sifat pemurah adalah yang paling menonjol. Kalau seseorang itu ada memiliki sifat pemurah, sifat ini amat menonjol dalam dirinya hingga sifat itu boleh menarik perhatian orang ramai yang menyebabkan orang ramai kasih sayang kepadanya. Dari sifat pemurah di dalam diri seseorang, ia boleh menimbulkan perpaduan dan menghilangkan perasaan hasad dengki di kalangan fakir miskin. Mereka akan berasa senang hati kalau adanya orang yang bersifat pemurah. Bererti sifat pemurah ini boleh membantu dalam melahirkan kedamaian dan keamanan di dalam masyarakat. Jadi kita dapati sifat ini cepat memberi kesan kepada jiwa orang ramai. Sebab itulah di dalam hadith ini, sifat pemurah ini dikhususkan sebutannya sedangkan ia adalah sudah termasuk di dalam lafaz husnul khulk atau akhlak yang baik. Dan dengan demikian juga, kalau kita rasa amat payah melahirkan akhlak-akhlak baik yang lain, cubalah kita usahakan sifat pemurah ini.

Bila kita ada sifat pemurah, Allah suka kepada kita dan orang ramai pun suka kepada kita. Dan ia pula boleh menghindarkan timbulnya hasad dengki di kalangan orang miskin kerana apabila orang- orang kaya sudah bersifat pemurah, maka orang-orang fakir miskin akan tertarik kepadanya. Kerana timbulnya hasad dengki di kalangan fakir miskin ialah orang-orang senang tidak pemurah. Sudahlah tidak pemurah, mereka bersifat tamak pula. Maka timbullah usaha hendak menganiaya dan hendak memusnahkan orang lain hingga timbullah kekacauan di tengah masyarakat. Kalau masyarakat sudah kacau-bilau dan huru-hara, bukan seorang saja yang susah, malah semua orang akan susah termasuklah orang yang baik pun turut susah sama. Dan sebab itulah sifat pemurah ini amat menonjol sekali di antara bentuk-bentuk akhlak yang baik.

Selain daripada itu, seorang yang memiliki sifat pemurah, secara automatik dia memiliki sifat syukur kepada Allah. Ini adalah kerana orang yang bersyukur kepada Allah itu menggunakan hartanya untuk Allah. Dan apabila seseorang itu membuat kebaikan dengan melahirkan sifat pemurah, maka tandanya orang itu bersyukur kepada Allah, disebabkan dia membelanjakan harta dan kesenangannya di jalan Allah. Kerana apabila pemurah saja seseorang itu, bererti dia juga memiliki sifat syukur kepada Allah S.W.T. Dan sifat bersyukur kepada Allah adalah satu sifat yang baik yang mesti ada pada diri setiap orang.

Kemudian hadith yang ketiga memberikan maksud berikut:

Ditanya orang kepada Rasulullah, “Mana satu orang mikminkah, ya Rasulullah yang iman mereka itu paling utama. ” Jawab Rasulullah, “Ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”

Hadith ini meriwayatkan kisah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah. Ertinya, bila sebuah hadith mengisahkan ‘orang’ bertanya kepada Rasulullah, ‘orang’ yang dimaksudkan itu ialah sahabat. Tidak mungkin orang di zaman kita atau orang di zaman tabi’in. Jadi bila kita baca hadith yang mengatakan Rasulullah pernah ditanya orang, maksudnya, yang bertanya itu ialah sahabat. Sahabat adalah orang yang beriman di zaman Rasulullah dan bertemu dengan Rasulullah. Manakala tabi’in ialah orang yang beriman yang bertemu dengan sahabat. Dan tabi’it tabi’in ialah orang yang beriman yang bertemu dengan orang yang bertemu dengan sahabat. Jadi, kita dapatlah memahami apa dia sahabat, tabi’in dan tabi’it tabi’in. Kita ini sudah tidak dapat hendak dihitung berapa kali tabi’it-tabi’it tabi’innya. Kita ini sudah di luar kira yang mana kalaulah kita dapat beijumpa dengan Rasulullah di dalam mimpi sahaja pun sudah memadai. Itu pun entah-entah kerana maklumlah, orang-orang seperti kita ini, jiwanya terlalu kotor. Tak mungkin dapat bermimpi Rasulullah walau sekali dalam seumur hidup. Jangan kan mimpikan Rasulullah, mungkin hendak mimpikan hidung Rasulullah pun atau mata Rasulullah pun, itu pun jauh sekali. Tidak pernah dapat kita alami.

Berhubung dengan hadith ini, kita diriwayatkan Rasulullah ditanya orang. Dan orang itu sudah maklum adalah sahabat. Sahabat itu bertanya kepada Rasulullah tentang manakah orang mukmin yang paling utama imannya. Rasulullah menyatakan bahawa itulah orang yang paling baik akhlaknya. Jadi daripada hadith ini dapatlah kita fahamkan bahawa siapa-siapa daripada orang mukmin yang paling baik akhlaknya, maka itulah orang mukmin yang paling utama imannya. Walaupun seseorang itu membuat amal ibadah yang fardhu-fardhu sahaja tetapi oleh kerana akhlaknya paling baik, maka dia memiliki iman yang paling baik. Di sini kita dapati yang walaupun seseorang itu hanya dapat membuat amal ibadah yang fardhu-fardhunya sahaja tetapi dia dapat memiliki akhlak yang baik hingga imannya menjadi yang paling utama.

Ini menunjukkan bahawa ibadahnya itu telah berbuah kerana akhlak yang baik itu adalah buah daripada ibadah. Walaupun dia hanya membuat ibadah yang fardhu sahaja tetapi ia menghasilkan buah. Samalah seperti orang yang menanam dua tiga batang pokok buah-buahan tetapi setiap musim ia berbuah. Tentulah lebih baik daripada orang yang membuat estet rambutan tetapi tidak berbuah. Walaupun dia mempunyai 1,000 ekar pokok rambutan, namun kalau pokok itu tidak berbuah, maka tidaklah memberi apa-apa faedah kepadanya. Biarlah orang yang hanya mempunyai sebatang atau dua batang pokok sahaja tetapi setiap musim, iaberbuah. Jadi, walaupun dia itu hanya memuat ibadah-ibadah yang fardhu sahaja tetapi oleh kerana ibadahnya itu berbuah hingga dapat ia memiliki akhlak yang paling baik, maka itu adalah lebih baik kalau dibandingkan dengan orang yang banyak membuat ibadah sama ada yang fardhu mahupun yang sunat tetapi ibadahnya tidak berbuah atau kalau pun berbuah hanya satu dua akhlak yang baik saja dimilikinya. Maka orang yang paling baik akhlaknya itulah orang yang paling sempurna imannya.

Tujuan ibadah fardhu dan sunat hendak mendapatkan Tuhan. Dari ibadah hendak menyuburkan takut dan cintakan Tuhan. Dari situ akan sentiasa hidup rasa bertuhan ini di dalam jiwa di dalam kehidupan. Di mana pergi teringat-ingatkan sahaja Tuhan di dalam jiwa. Rasa bertuhan itulah jiwa mempunyai kekuatan…

Dalam soal ini kita dapati yang manusia ini ada mempunyai dua bentuk ibadah kepada Allah S.W.T., iaitu ibadah yang berbentuk zahir dan ibadah yang berbentuk batin. Ibadah zahir adalah seperti sembahyang, berpuasa, berwirid, berzikir dan sebagainya. Manakala ibadah batin adalah yang lahir dari jiwa seseorang seperti melahirkan akhlak yang baik dan memiliki sifat pemurah. Di antara dua ibadah ini, ibadah batin lebih utama daripada ibadah zahir tetapi untuk mendapatkan kesempurnaan iman, kedua-dua ibadah itu mesti dilaksanakan. Ertinya, kita tidak boleh melaksanakan yang satu dan meninggalkan yang lain. Cuma dari segi nilaian di sisi Allah S.W.T., ibadah batin adalah lebih utama daripada ibadah zahir. Dan orang yang memiliki akhlak yang baik bererti dia telah memiliki ibadah batin. Sebab itu, orang yang dapat memiliki akhlak yang baik walaupun ibadah zahirnya sederhana sahaja, orang itu dikatakan memiliki iman yang utama. Orang ini pula adalah lebih baik daripada orang lain yang banyak ibadah zahirnya tetapi tidak ada ibadah batin kerana dia tidak memiliki akhlak yang baik.

Dalam hal ini, ada suatu keterangan hadith yang maksudnya: “Allah S.W.T. tidak melihat gambaran zahir kamu tetapi Allah melihat hati-hatimu.”

Maksud keterangan hadith ini ialah, sesungguhnya Allah tidak memandang ibadah zahir yang kita lakukan seperti banyaknya sembahyang, puasa dan sebagainya tetapi untuk menilai iman seseorang itu Allah memandang kepada hati-hati manusia. Maksud hati di sini ialah ibadah batin yang dilakukan oleh orang itu. Jadi hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa apabila Allah hendak menilai iman seseorang itu Allah tak pandang pada sembahyangnya banyak walaupun disuruh sembahyang banyak Allah juga tidak memandang kepada puasanya walaupun disuruh berpuasa dan Allah juga tidak memandang kepada banyak membaca Al-Qurannya, doanya, wirid, zikirnya dan lain-lain tetapi Allah lebih memandang ibadah yang ke duanya iaitu ibadah hati. Kalau ibadah hati manusia itu rosak, Allah tidak nilai lagi ibadah yang zahir itu. Kalau pun Allah nilai, itu adalah setelah dia niasuk neraka lebih dahulu. Ertinya, Allah tidak akan kecewakan juga ibadahnya itu tetapi setelah dia masuk neraka, barulah dibalas. Inilah tafsir hadith yang disebutkan di atas.

Dalam pada itu, ada orang yang mentafsirkan hadith itu dengan mengatakan bahawa Allah tidak memandang kepada pakaian seseorang itu tetapi Allah memandang pada hatinya. Mereka mentafsirkan maksud zahir itu sebagai pakaian. Jadi, apabila seseorang itu mendedahkan aurat, dia nanti akan berkata, “Allah tidak pandang yang zahir, Allah pandang hati seseorang itu.” Baginya, seolah-olah walaupun dia mendedahkan aurat tetapi hatinya baik dan tentunya Allah lebih menilai hatinya. Tetapi cuba kita fikirkan sejenak, “Apakah orang yang telanjang atau yang hampir telanjang itu baik hatinya?” Masakan baik, kerana kebaikan terletak pada hati dan orang yang bertelanjang atau yang hampir telanjang itu adalah disuruh oleh hatinya bukan hidung atau matanya. Jadi kalau hatinya yang menyuruh dia mendedahkan aurat, apakah hati semacam itu dikatakan hati yang baik? Jadi kalau hatinya menyuruh dia telanjang atau mendedahkan aurat bererti hatinya juga telanjang. Sedangkan iman adalah di dalam hati. Kalaulah hatinya telanjang, bererti imannya juga adalah telanjang sama.

Oleh yang demikian, di antara dua ibadah ini, Allah tidak terus menilai ibadah yang zahir walaupun ia diperintahkan dan tidak boleh kita cuaikan langsung, tetapi Allah menilai lagi ibadah batin, sama ada cacat atau tidak. Kalau ia cacat, maka tidak ada harga lagi ibadah yang pertama tadi tetapi kalau ibadah batinnya baik walaupun ibadah yang pertama itu kurang iaitu dia hanya melaksanakan semua perintah-perintah yang wajib saja, maka itu lebih besar nilainya di sisi Allah. Ini adalah kerana orang yang baik ibadah batinnya adalah memiliki akhlak yang baik. Bererti akhlak yang baik adalah daripada hati yang bersih dan daripada iman yang kuat. Dan orang yang berakhlak baik, boleh memberi kesan yang amat kuat kepada masyarakat iaitu dia boleh melahirkan ukhuwah yang akhirnya boleh membawa kepada perpaduan. Manakala yang membawa kepada kacau-bilau kehidupan di tengah masyarakat adalah berpunca daripada akhlak yang rosak di kalangan anggota masyarakat. Mengumpat, memfitnah, kata-mengata dan sebagainya, semuanya membawa kepada pergeseran di tengah masyarakat. Kerana itu masyarakat boleh berpecah-belah.

Jadi, akhlak yang baik sahaja yang boleh mencetuskan perpaduan dan apabila masyarakat telah berpadu, maka mudahlah masyarakat berhadapan dengan musuh-musuhnya. Dan apabila masyarakat Islam itu dapat berpadu, maka dapat jugalah masyarakat Islam itu melahirkan tamadunnya sendiri serta dapat pula membangunkan kemajuannya sendiri tanpa lagi bersandar dengan kemajuan yang dibangunkan oleh orang kafir. Dengan demikian, umat Islam akan menjadi hebat dan akan ditakuti oleh bangsa-bangsa lain. Ini berlaku di zaman Rasulullah, di zaman sahabat-sahabat serta zaman tabi’in. Orang-orang kafir amat gerun dan gentar terhadap umat Islam.

Betapalah kalau umat Islam itu berjuang terhadap mereka. Tetapi di zaman ini, orang-orang kafir tidak lagi gentar dan gerun kepada umat Islam. Malah mereka lebih mentertawakan umat Islam. Ini adalah kerana umat Islam ini tidak ada kehebatan lagi. Sebabnya umat Islam tidak hebat ialah kerana umat Islam tidak berpadu dan tidak berpadunya umat Islam adalah kerana umat Islam sudah tidak berakhlak. Banyak saja bilangan umat Islam di zaman ini tetapi mereka sudah tidak berpadu lagi. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah di dalam hadithnya yang bermaksud, di akhir zaman nanti umat Islam ini bilangannya sahaja yang banyak tetapi mereka adalah ibarat buih di atas air laut. Maknanya, kekuatan umat Islam ini hanya seperti buih yang mana besarnya saja yang seperti gunung tetapi ranting kayu saja yang jatuh, ia boleh pecah. Dan kalau sebuah kapal lalu melanggarnya, habis berkecai. Ataupun juga, dikatakan banyaknya umat Islam ini di akhir zaman adalah ibarat bumbungan pasir yang tinggi. Timbunan pasirnya besar seperti gunung tetapi apabila turun sahaja hujan, pasir yang banyak itu tadi habis dilarikan air hingga menjadi paras bumi semula.

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah dapat mengetahui tentang keadaan umatnya di akhir zaman melalui mukasyafahnya yang mana umatnya itu bilangan mereka sahaja yang ramai tetapi sudah tidak ada perpaduan lagi. Tidak adanya perpaduan di kalangan umatnya adalah kerana mereka sudah tidak berakhlak. Manakala orang yang tidak ada akhlak adalah orang yang cintakan dunia dan orang yang takut mati. Bila cinta dunia ada di hati mulalah manusia itu bersikap bakhil. Tidak adalah pemurah lagi di dalam hatinya. Bakhil itu adalah akhlak yang tidak baik sedangkan pemurah itu adakah akhlak yang baik.

Jadi, apabila umat Islam itu berakhlak maka akan timbullah perpaduan dan apabila timbul perpaduan dengan sendirinya umat Islam itu mempunyai kehebatan. Dengan kehebatan yang ada itu, maka musuh akan berasa takut kepada umat Islam. Ertinya, mereka tidak akan berani hendak mempermain-mainkan umat Islam ini. Dengan sebab itulah akhlak yang baik perlu kita miliki sesungguh-sungguhnya kerana akhlak yang baik ini akan membersihkan agama kita dan akan menjadi bunga serta perhiasan diri kepada diri kita. Dan apabila kita dapat memiliki akhlak yang baik ini, Allah akan mencintai kita dan manusia juga akan suka kepada kita.

Untuk mendapatkan akhlak yang mulia ini, kita mesti jadikan ia sebagai matlamat kita di dalam kita melaksanakan ibadah kita kepada Allah S.W.T. walau di bidang apa sekalipun. Untuk ini juga, hendaklah kita laksanakan ibadah kita dengan tujuan ia akan menghasilkan buah. Biarlah kita hanya melaksanakan ibadah yang fardhu-fardhu sahaja tetapi ibadah kita itu dapat membuahkan akhlak yang baik daripada kita beribadah banyak tetapi ibadah kita tidak berbuah. Namun, yang paling baik ialah ibadah kita banyak, akhlak yang baik pun banyak terhasil darinya. Tetapi kalau kita tidak dapat melaksanakan ibadah yang banyak, jadilah kalau kita dapat membuat ibadah yang sederhana sahaja yang tidak meninggalkan ibadah yang fardhu tetapi ibadah kita itu menghasilkan akhlak yang baik. Jadi sebab itulah, kalau kita beribadah sedangkan ibadah kita tidak membuahkan akhlak yang baik, ia tidak boleh memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. Umat Islam ini tidak akan berpadu dan akibatnya umat Islam ini tidak akan kuat dan ia tidak akan dapat membantu melahirkan keselamatan dan keamanan di tengah masyarakat. Hanya akhlak yang baik yang dapat dimiliki oleh seseorang itu sahaja yang dapat membantu melahirkan keamanan dan keselamatan di tengah masyarakat.

Sumbe: Usaha Taqwa

25 January 2014 Posted by | Tazkirah | , , , | Leave a comment

Najis yang di maafkan tidak menjejaskan solat

Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempatnya bersembahyang suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan!” (Surah al-Muddatstsir: 4)

Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada ayat dan hadits di atas, jelas bahawa tidak sah sembahyang seseorang yang terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempatnya bersembahyang. Namun jika sekiranya najis itu merupakan najis yang dimaafkan, maka sembahyangnya adalah sah walaupun dia tidak menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu terlebih dahulu.

Untuk memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadatnya, adalah perlu dia mengetahui apakah perkara yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.

Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan itu?

Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya.

Berikut adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:

1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia daripada najis mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.

2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.

Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.

Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:-

  • Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri
  • Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
  • Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.

3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.

Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.

4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.

Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.

5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.

6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.

7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.

Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.

 

[Sumber: Islamituindah]

19 December 2013 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Bergerak yang bagaimana yang membatalkan solat

Sembahyang lah kamu sebelum kamu di sembahyangkan

Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.

Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:

Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.”

(Riwayat al-Bukhari)

Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.

Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-

  1. KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.
  2. KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.
  3. KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
  4. KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]

Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.

Sekian

 

 

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

10 July 2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Benarkah di sunatkan mengakhirkan solat Isyak?

Jemaah1

Di sesetengah surau atau masjid terdapat segelintir jemaah yang kurang suka jika kuliah Maghrib dipanjangkan sedikit ketika sudah masuk Isyak dengan anggapan adalah lebih afdhal solat Isyak pada awal waktu.Ada juga yang bertindak solat sunat qabliyyah Isyak dihadapan atau dekat dengan meja kuliah atau solat di saf pertama, sebagai “isyarat” untuk kuliah Maghrib di tamatkan segera.

Perkara ini sedikit sebanyak mengundang rasa kurang selesa bukan hanya kepada ustaz yang sedang memberi kuliah, tetapi juga jemaah ramai yang sedang mengikuti kuliah tersebut.

Apakah hukum mengerjakan solat di awal waktu? Bagaimana dengan solat Isyak?

Hukum asal bagi semua solat fardhu adalah sunat dikerjakan pada awal waktu berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud: “Aku bertanya kepada Rasulullah ‘Apakah amalan yang lebih disukai Allah? Baginda menjawab, ‘Solat tepat pada waktunya’. (HR Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, untuk solat Isyak, sunat mengakhirkannya,sama ada bersebab atau tidak, untuk mengakhirkanya berdasarkan beberapa riwayat tentangnya.

Daripada Aisyah r.ha berkata:’Pada suatu malam Nabi SAW mendirikan solat ‘Atamak (Isyak) sampai berlalu sebahagian besar malam dan jemaah masjid sudah tidur.Setelah itu Baginda datang dan solat.Baginda bersabda, “Sesungguhnya, inilah waktu solat Isyak yang tepat, sekiranya aku tidak memberatkan umatKu (nescaya akan aku perintahkan mereka mengerjakannya saperti waktu ini.” (HR Muslim).

Daripada Anas r.a berkata:’Nabi SAW telah mengakhirkan solat Isyak sehingga ke separuh malam, barulah Baginda solat.’ (Muttafaqun ‘alaih).

Daripada Jabir bin Samurah r.a berkata: “Rasulullah SAW selalu mengakhirkan solat Isyak” (HR Muslim)

Jelas daripada riwayat riwayat tersebut di atas menunjukkan sunatnya mengakhirkan solat Isyak dari waktunya.

Bagaimana pula dengan Jemaah yang ada di masjid?

Ketika mengerjakannya di masjid, Baginda SAW akan melihat jumlah para jemaah dahulu.Baginda akan menyegerakannya jika ramai jemaah sudah berkumpul pada awal waktunya dan akan mengakhirkan jika jemaah belum ramai.Jabir r.a mengatakan: “Adalah Rasulullah SAW solat Zuhur diwaktu yang sangat panas pada tengah hari, solat Asar dalam keadaan matahari masih putih bewrsih, solat maghrib ketika matahari telah tenggelam dan solat Isyak, kadang kadang Bagibda mengakhirkannya kadang kadang menegerakannya.Apabila Baginda melihat para Sahabat (jemaah) telah berkumpul (di masjid), Baginda menyegerakannya (solat Isyak) dan apabila Baginda melihat mereka lambat berkumpul, Baginda mengalhirkannya.” (HR Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apakah pendapat Imam Imam mazhab dalam perkara mengakhirkan solat Isyak ini?

Walaupun pada awl perbincangan tadi dinyatakan sunat mengakhirkannya, ulam empat mazhab berbeza pendapat dalam perkara ini:

Mazhab Hanafi: Sunat mengakhirkannya sehingga sebelum sepertiga malam yang pertama.

Mazhab Maliki : Sunat menyegerakannya pada awal waktu.

Mazhab Syafi’i : Pendapat paling masyhur, sunat menyegerakannya pada awal waktu.

Mazhab Hambali : Sunat mengerjakannya pada sapertiga malam yang pertama.

(Rujukan: Jawal al-Fiqh Muwazi (Tabel Shalat Empat Mazhab), Dr Umar Abdullah Kamil, terjemahan Khalid, Solo:Media Zikir, Cetakan Pertama, 2009, ms 71. dan Hukum Hukum Islam Menurut Empat Mazhab, Kiyai Haji Abdul Hamid Sulaiman, Selangor: Kunjungan Kreatif Sdn Bhd., cetakan Pertama. 1995, ms 57)

Kesimpulan:

  1. Sunat mengakhirkan solat fardhu adalah khusus untuk solat Isyak sahaja  bukan untuk solat fardhu yang lain.Waktu yang afdhal mengakhirkan solat Isyak adalah antara sa[ertiga malam pertama hingga tengah malam (separuh malam sahaja)
  2. Mengakhirkan solat Isyak bukanlah bermakna terlalu lewat sehingga hampir hampir solat Subuh, yang kadang kadang boleh menyebabkan tertidur atau terlupa.Jika ia berterusan (tidur dan lupa ini) perbuatan mengakhirkannya boleh menjadi berdosa.
  3. Para imam hendaklah melihat keadaan makmun (para Jemaah).Jika tidak menjadi keberatan kepada mereka, sunat mengakhirkan solat Isyak.Jika sebaliknya menyeggerakannya adalah sunat.
  4. Tindakkan para ustaz atau penceramah memanjangkan sikit kuliah Maghrib walaupun selepas waktu Isyak adalah tidak mengapa.Hakikatnya, masa yang diambil oleh mereka, tidaklah terlalu lama.Walau bagaimanapun, syeikhuna al faqih Syeikh Muhammad Nuruddin al Banjari selalu mengingatkan agar jika ingin meneruskan kuliah Maghrib walaupun selepas masuk waktu solat Isyak, berhentilah sebentar untuk memberi laluan azan Isyak dan dijawab bersama sama.Selepas azan Isyak, tidak mengapa meneruskannya semula.
  5. Adalah sikap yang tidak wajar untuk seseorang yang mengambil pendapat afdhal solat Isyak di awal waktu, lalu melakukan tindakkan solat sunat qabliyyah Isyak di hadapan atau berdekatan para ustaz atau penyampai kulian Maghrib  atau berjalan jalan berdekatan dengan meja kuliah.Perbuatan sebegini adalah tidak elok dan menunjukkan pelakunya masih belum memahami permasaalah ini dengan mendalam (tahqiq).Hujah dan pendapat mazhab yang dinyatakan sepatutnya menajdikan diri lebih bersikap bertoleransi dan berlapang dada dalam perbezaan mazhab.
  6. Ia adalah satu tanda kasihnya Nabi SAW kepada umat. Jika tidak menjadi kesusahan kepada umat, tentulah Nabi memerintahkan mereka untuk solat Isyak pada akhir malam.Realitinya, solat Isyak pada akhir malam agak memberatkan umat. Sebab itulah Baginda SAW membolehkan ia di kerjakan pada waktu yang menyenangkan umat umpamanya pada awal waktunya.

[Sumber:  Tulisan Ustaz Muhadir Haji Joll (Pensyarah & Pembimbing Majlis Talaqi UIAM) di Majalah Al Quran dan As Sunnah (Q & A) Bil #15 Mac 2013]

 

7 March 2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Solat dhuha dan panduan mengerjakannya

Dhuha menurut ahli fekah adalah waktu di antara ketika matahari mulai naik sehingga ketika matahari mulai condong. Oleh itu solat Dhuha adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu tersebut.

v HUKUM SOLAT DHUHA

Pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat Dhuha adalah seperti berikut:

1. Sunat secara mutlak dan dikerjakan setiap hari

2. Sunat namun tidak didirikan setiap hari secara berterusan.

3. Tidak disunatkan.

4. Ianya disunatkan kerana faktor tertentu seperti bagi mereka yang tertinggal mengerjakan solat Qiyam al-Lail maka digantikan solat tersebut dengan mengerjakan solat pada waktu dhuha.

Pendapat yang paling tepat serta dipegang oleh jumhur ulamak adalah solat Dhuha termasuk amal sunatmu’akkadah dan dianjurkan untuk diamalkan secara rutin. Ini adalah kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamselalu mengerjakannya, menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya malah baginda pernah mewasiatkan perlaksanaannya kepada beberapa sahabat. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, dia berkata:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ

صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَام.َ

Maksudnya:

Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Shaum, no: 1981.

Walaupun wasiat ini ditujukan kepada seorang sahabat tetapi anjuran tersebut merangkumi untuk seluruh umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali sekiranya terdapat lafaz yang menunjukkan ianya sememangnya khusus untuk sahabat tersebut. Ternyata lafaz tersebut berbentuk umum apatah lagi baginda juga pernah mewasiatkan perkara yang sama kepada Abu Darda’radhiallahu’ anh, dia berkata:

أَوْصَانِي حَبِيبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ لَنْ أَدَعَهُنَّ مَا عِشْتُ

بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَصَلاَةِ الضُّحَى وَبِأَنْ لاَ أَنَامَ حَتَّى أُوتِرَ.

Maksudnya:

Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan solat Dhuha dan tidak tidur sebelum  mengerjakan solat Witir. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, KitabSholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 722.

KEUTAMAAN MENGERJAKAN SOLAT DHUHA

Ianya Amalan Berbentuk Sedekah

Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada AllahSubhanahu wa Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr radhiallahu’ anh, daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ

وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ

وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.

Maksudnya:

Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720.

Allah Memberi Rezeki Yang Cukup Sepanjang Siang Hari

Bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa mencukupkan segala keperluan seseorang sepanjang siang hari. Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ.

Maksudnya:

Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1097.

q Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah

Bagi mereka yang mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu tetap berada dalam masjid dengan berzikir kepada Allah dan mengerjakan solat Dhuha pada awal terbitnya matahari maka dia mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:

Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah,no: 535.

 

Ia Solat Bagi Orang Yang Bertaubat

Solat Dhuha adalah termasuk bagi solat untuk orang-orang yang bertaubat (Sholat Awwabin). Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda lalu bersabda:

صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.

Maksudnya:

Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 748.

TATACARA PERLAKSANAAN SOLAT DHUHA

Waktu Mengerjakan Solat Dhuha

Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah sewaktu matahari mulai naik iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat setelah solat Subuh (12 minit setelah matahari terbit atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya setelah 15 minit) sehingga sebelum matahari condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk waktu Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit). Menurut Syaikh al-‘Utsaimin di dalam Asy-Syarhul Mumti’:

Jika demikian, waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari waktu larangan solat pada awal siang hari (pagi hari) sampai adanya larangan saat tengah hari.

Namun demikian waktu yang afdal adalah pada saat matahari panas terik. Demikian adalah dalil-dalil tentang waktu mengerjakan solat Dhuha:

Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:

Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat…– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 535.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.

Maksudnya:

Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 748.

Jumlah Rakaat Solat Dhuha

Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimal adalah dua rakaat dan ia boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat yang tertentu. Sebelum ini penulis telah memaparkan hadis-hadis berkaitan solat Dhuha yang dilaksanakan dengan dua dan empat rakaat. Berikut adalah dalil yang menunjukkan ianya juga boleh dikerjakan dengan sebanyak enam, lapan dan dua belas rakaat.

Daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak enam rakaat – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam kitab al-Syamaail, Bab Sholat al-Dhuha, no: 273.

أُمِّ هَانِئٍ فَإِنَّهَا قَالَتْ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ

فَاغْتَسَلَ وَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ.

Maksudnya:

Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota Makkah, dia bertemu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam beranjak menuju tempat mandinya lalu Fathimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1176.

Di dalam Fathul Baari al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah telah membawa sebuah riwayat seperti dibawah:

وَعِنْد اَلطَّبَرَانِيّ مِنْ حَدِيثِ أَبِي اَلدَّرْدَاءِ مَرْفُوعًا مَنْ صَلَّى اَلضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ اَلْغَافِلِينَ ,

وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعًا كُتِبَ مِنْ اَلتَّائِبِينَ , وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ اَلْيَوْمَ ,

وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِيًا كُتِبَ مِنْ اَلْعَابِدِينَ , وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَيْ عَشْرَة بَنَى اَللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي اَلْجَنَّةِ

Maksudnya:

Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadis Abu Darda’ secara marfu’ disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. – rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah hadis Shahih al-Bukhari no: 1176. Namun status hadis ini diperselisihkan olah para ulamak hadis. Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat dalam sanad hadis ini telah didha’ifkan oleh Ibnu al-Madini namun dinilaitsiqah pula oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Al-Hafidz sendiri berkata sanad hadis ini lemah namun diperkuatkan oleh hadis Abu Dzar yang diriwayatkan oleh al-Bazzar hanya sahaja sanadnya juga lemah dan apa yang lebih tepat hadis inidha’if. Wallahu’alam.

Berkaitan dengan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat solat Dhuha ini tidak ada batasan yang tertentu adalah:

مُعَاذَةُ أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:

كَمْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي صَلاَةَ الضُّحَى؟

قَالَتْ: أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ.

Maksudnya:

Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Dhuha?

Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut yang dia kehendaki. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 719.

Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Dhuha

Rakaat Pertama

1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha

2) Takbiratul Ihram

3) Doa Iftitah

4) Membaca surah al-Fatihah

5) Membaca Surah al-Qur’an

6) Rukuk

7) Iktidal

8) Sujud

9) Duduk antara dua sujud

10) Sujud kali kedua

11) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua

1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)

2) Duduk untuk tahiyyat akhir

3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

 

 

(Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Solat%20sunat/12.htm)

 

Kelebihan Sembahyang Dhuha

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

 

(Sumber: http://www.islam2u.net)

4 December 2012 Posted by | Fiqh, Ibadah | , | Leave a comment

Haram kah membaca surah tidak ikut susunan di dalam solat?

Jika solat sendirian, baca lah surah mana yang kita suka , pendek atau panjang ikut kemampuan kita.Sebab Nabi SAW tidak menentukan mana mana surah yang perlu di baca ketika solat fardhu kecuali solat Jumaat, Idil Fitri dan Idil Adha sahaja.

Nabi SAW membaca surah dengan menghabiskan satu surah dalam satu solat samada panjang atau pendek.Baginda juga kadang kadang menggunakan dua rakaat bagi menamatkan sesuatu surah agar tidak terlalu panjang. Adakalanya juga Baginda membaca awal, tengah dan akhir surah.Baginda juga memanjangkan bacaan dalam solat subuh kerana bacaan ketika itu dipersaksikan oleh para malaikat. (Al- Mughni, jil 2, hlm 42)

Lebih elok membaca surah mengikut tertib susunan suran al Quran.Ini kerana susunan itu datang daripada Allah s.w.t.Malah terdapat athar yang menunjukkan kurang elok mengabaikan susunan tertib surah ini, sebagaimana disebutkan daripada Ibn Mas’ud: “Sesungguhnya ditanyakan kepada Umar al Khatab r.a berkenaan mereka yang membaca al Quran yang tidak mengikut susunan (dalam solat).Jawab Umar: “ Itu orang yang terbalik hatinya.” (HR Tabarani)

Bagaimanapun, jika ada yang membaca tidak mengikut susunan, ia tidaklah HARAM.Ini jelas daripada sebuah dalil yang menunjukkan Nabi S.A.W sendiri pernah membaca tidak mengikut susunan.Justeru, mengikut tertib ini kekal sebagai perkara yang digalakkan dan sunat sahaja.

(Sumber: Majalah Solusi No 36 yang di petik dari Buku Formula Solat oleh Ustaz Zaharuddin Abdu Rahman)

30 November 2012 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Bagaimana Nak Sujud, Jika Tempat Terlalu Sesak Seperti Di Masjid al-Haram?

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, Apakah sah solat dalam keadaan berdiri jika tiada tempat untuk rukuk dan sujud disebabkan jemaah terlalu ramai seperti situasi di Masjid Haram Makkah?

Jawapan:

Jika tempat solat tidak memadai untuk rukuk dan sujud disebabkan jemaah yang terlampau ramai seperti di Masjid al-Haram, maka rukuk dan sujudlah di atas belakang jemaah yang berada di hadapan. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Umar RA yang berkata:

إذَا اشْتَدَّ الزِّحَامُ فَلْيَسْجُدْ عَلَى ظَهْرِ أَخِيهِ

Mafhumnya:”Apabila bersangatan kesesakan, maka hendaklah seseorang itu sujud di atas belakang saudaranya.” (Muhammad Syams al-Hak al-‘Azim Abadiy di dalam ‘Aun al-Ma’bud menyatakan hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan Sanad yang Sahih)

Inilah juga pandangan yang Asah di dalam mazhab al-Syafie seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’.

Wallahu a’lam.

Sumber; Jabatan Mufti Perlis

10 September 2012 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Selawat antara solat tarawih, adakah Bidaah?

Jemaah

Rata-rata dinegara Islam masih mengekalkan kewujudan solat secara berjemaah dan kedapatan rihat seketika setelah selesai solat 2 rakaat tarawih. Cuma apa yang berbeza ialah pengisian yang dilakukan diantara solat-solat tarawih tersebut. Terdapat beberapa amalan yang dilakukan diantara waktu-waktu rehat diantara solat tarawih, diantaranya adalah : berzikir, membaca al-quran, tawaf ; cuma bezanya amalan-amalan ini dilakukan dinegara-negara Arab ialah ianya dilakukan secara individu. Menurut bekas Pengerusi Lajnah Fatwa al-Azhar, Syiekh Atiyag Saqr :-

“Selingan yang sama berlaku pada masyarakat Mekah pada masa solat tarawih ialah bertawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan selepas selesai 2 rakaat tarawih, perkara ini yang menjadikan masyarakat Madinah melebihkan bilangan rakaat tarawih keatas 20 sebagai gantian kepada tawaf, dan ini adalah cara sistematik untuk mengetahui berapa bilangan yang mereka solat, disamping akitiviti solat, maka tidaklah ditegah secara mutlak! Ini tidaklah dimasuk dibawah apa yang dinamakan bid’ah., nas-nas umum membuktikannya, disamping tidak ada bangkangan terhadapnya, dan jika ia dinamakan atas nama bid’ah, maka samalah dengan apa yang disebutkan oleh Umar ra : Ini adalah senikmat-nikmat bid’ah, apabila beliau melihat orang Islam bersolat tarawih berjemaah dibelakang Ubay bin Kaab”

Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf dimasa rehat diantara 2 solat tarawikh, dan masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) diantara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo’a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir. Berkata al-Syiekh lagi:

Disana tidak ada nas yang melarang berzikir atau berdo’a atau membaca al-Quran diantara setiap 2 rakaat tarawih atau setiap empat rakaat misalnya, dan ia masuk didalam kategori perintah umum berzikir didalam setiap keadaan. Pada umumnya para salaf tidak melakukannya dan tidak juga menunjukkan ianya dilarang.”

Syiekh Atiyah Saqr menjelaskan bahawa tidak pula terdapat apa-apa larangan mengenai amalan yang dilakukan pada waktu selingan tersebut. Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa’

“Adalah digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh Abi Hanifah – dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas dasar ini – maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di lakukan.”

Apa yang jelas disini ialah amalan selingan itu dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai hajat dan cara masing-masing bagi mempertingkat amalan dibulan Ramadhan. Tidak ada kaifiat khas atau bacaan yang dikhaskan sebagai selingan diantara rakaat-rakaat tarawih. Mengenai bacaan selingan yang dibaca negara kita, terdapat nas-nas yang menunjukkan bahawa bacaan tersebut dibaca setelah selesai solat tarawih atau dibaca selepas witir. Dari Ubay bin Kaab ra :

“Rasulullah saw apabila selesai memberi salam solat witir, beliau berkata :’Subhana al-Malik al-Quddus'” – [Hadith riwayat al-Nasaa'i]. Didalam riwayat yang lain Rasulullah saw menyebut zikir tersebut sebanyak 3 kali. Imam Ahmad menyebut bahawa Rasulullah saw membacanya secara kuat, didalam musnadnya menyebut :-

Sesungguhnya baginda membaca didalam witir membaca ayat Sabbihasma rabbikal ‘alaa, Qul Ya Aiyyuhal Kaafirun, dan Qul hu Allahu Ahad, dan apabila selesai salam akan mambaca : ‘Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus’ sambil menguatkan suaranya”

Kesimpulannya, ulama salaf pada masa dulu cuma melakukan rehat diantara rakaat-rakaat tarawih tanpa memberi pengkhususan mengenai amalan yang mereka lakukan. Didalam pengisian masa rehat tersebut ada yang berzikir, ada yang membaca al-Quran malah bagi mereka yang berada di Mekah akan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah. Cuma tidaklah mereka ini melakukan secara berjemaah amalan-amalan semasa rehat didalam solat tarawih seperti yang diakukan oleh masyarakat sekarang dengan selawat. Apa yang boleh kita tekan disini ialah, dimasa selingan solat tarawih, bolehlah dilakukan amalan yang boleh menambahkan pahala dan juga memohon pengampunan dari Allah swt. Kalau dirasakan dengan berselawat dapat menambahkan lagi keimanan, maka bolehlah dilakukan. Dan janganlah lakukan sesuatu amalan secara menjerit-jerit tanpa mengetahui makna dan tujuan melakukannya. Setiap manusia itu ditanggung jawabkan atas apa yang mereka katakan. Wallahu ‘Alam…

 

 

(Rujukan: al-ahkam.net)

 

17 August 2012 Posted by | Ibadah, Tazkirah | , , | Leave a comment

Pahala orang yang masbuq dalam solat

Soalan:

Saya hendak bertanya tentang pahala orang yang masbuq dalam solat. Situasi A: mengikut imam semasa rakaat kedua. B pula mengikut imam semasa tahiyat akhir. Adakah pahala A dan B sama?

Jawapan:

Ganjaran pahala dalam solat ditentukan dari beberapa sudut. Pertama, solat itu dilakukan berjamaah atau tidak. Berjamaah dari takbir yang pertama itu jelas kelebihannya. Banyak di dalam hadis menyatakan tentang kelebihan orang yang mendapat takbir pertama.

Kedua, jika makmum lewat disebabkan kemaslahatan atau kemudharatan, Allah menentukan ganjaran pahalanya dalam memastikan dia dapat pahala penuh atau sedikit. Allah Maha Adil dalam menentukan.

Kita jangan mengatakan seseorang itu rugi kerana telah terlewat. Kalau lewat secara tidak sengaja dan bukan atas keinginan, Allah SWT Maha Adil. Dia Mengetahui rutin harian setiap hamba-Nya, bagaimana solat hamba-Nya. Kalau memang jenis kaki lewat, itu bukan tidak sengaja.

Oleh itu kita harus berusaha untuk datang awal, dapatkan dari takbir yang pertama. Itu adalah asasnya.

Ketiga, ditentukan juga berdasarkan saff. Saff depan lebih baik daripada saff belakang.

Itu antara kaedah dalam menentukan ganjaran pahala yang disebut oleh Nabi. Akan tetapi berkenaan dengan berapa banyak pahala yang akan diperoleh seseorang, itu tidak dinyatakan secara jelas.

Jadi persoalan adakah pahala A sama dengan pahala B, wallahu a’lam yang itu kita serahkan kepada Allah SWT kerana ia bergantung juga kepada dirinya. Datang lambat atas alasan apa dan hal-hal seperti ini dia akan berhadapan dengan Allah SWT untuk memberikan penjelasan, sebab di dunia kita mungkin menilai dia lambat jadi pahalanya sedikit. Tetapi kita perlu ingat kisah lelaki yang membunuh seratus orang di dunia, orang di dunia ketika itu menilainya ahli neraka bahkan seorang tokoh yang bertemu dengannya kali pertama yang menyempurnakan bilangan seratus orang yang dia bunuh, kerana dia mengeluarkan kenyataan dan fatwa bahawa dosa lelaki itu tidak akan diampunkan.

Logiknya orang mengatakan dia ahli neraka kerana telah membunuh seratus orang, tetapi di sisi Allah, hanya kerana datang keinginan untuk bertaubat dan mencari kebenaran, menginginkan hidayah dari Allah SWT, maka Allah SWT mengampunkan semua dosanya.

Nilaian mata manusia tidak sama dengan nilaian Allah SWT. Nilaian Allah Maha Adil. Islam meletak dengan cantik seperti yang difirmankan oleh Allah,

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Bertakwalah kalian kepada Allah semampu kalian.” (surah At Taghaabun, 64: 16)

Jangan menilai orang lain sama kondisinya seperti diri kita. Orang itu mungkin ada sakit pinggang, sakit kepala, gastrik, penyakit dan sebagainya yang kita tidak tahu apa yang menyebabkan kelewatan, jadi kita tidak berhak menilai manusia. Serahkan kepada Allah untuk menilai dengan nilaian yang sangat adil.

 

Wallahu-A’lam.

 

 

(Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah UFB : http://www.youtube.com/watch?v=srNfdenWg5Q&feature=plcp)

12 August 2012 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Soal jawab sekitar solat


1. SOALAN :

  1. Berkenaan dengan semua perkara berkenaan solat sunat. Adakah perlu membaca Doa Iftitah?
  2. Solat sunat Rawatib, perlukah membaca surah pendek selepas Al Fatihah seperti solat fardhu?

JAWAPAN :

  1. Disunatkan membaca doa iftitah dalam solat sunat kerana Rasulullah S.A.W. tidak pernah meniggalkannya walaupun dalam solat Sunat.
  2. Sunat membaca surah selepas al-Fatihah di dalam solat sunat Rawatib.

2. SOALAN :

Persoalan saya berkaitan dengan sembahyang Jumaat ditempat saya mengajar, Untuk makluman SMK Batang Igan merupakan sekolah yang berada ditepi sungai dan mengambil masa sejam perjalanan untuk ke bandar atau pekan berhampirn menggunakan jalan air. Kawasan sekolah tidak mempunyai kemudahan masjid untuk orang Islam kerana majoritinya kaum Iban yang bukan Islam, dan permasalahan utama ialah status sembahyang Jumaat di tempat saya bertugas tu bagi guru lelaki yang muslim. Memang pada dasarnya, syarat wajib sembahyang Jumaat sudah gugur kalau mengikut syarat kewajipan solat Jumaat, tetapi saya musykil, sebab ada banyak pendapat samada perlu, ditunai atau tidak solat Jumaat itu. Ada pendapat yang mengatakan perlu dilakukan cukup sekadar jemaah yang ada. Apa-apa pun saya berharap agar pihak tuan dapat memberi pandangan atau kata putus bagi permasalahan ini.

JAWAPAN :

Apabila seseorang muslim mempunyai 7 syarat wajib (Islam, Baligh, Berakal, Merdeka, Lelaki, Sihat tubuh badan dan bermukim) maka wajiblah dia menunaikan Solat Jumaat. Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut hanya akan sah apabila memenuhi 4 Syarat sah yang berikut :

a) Didirikan di dalam kawasan binaan sama ada di bandar atau  kariah.

b) Bilangan jamaah tidak kurang daripada 40 orang yang memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.

c)  Didirikan dalam waktu Zuhur.

d) Didirikan satu Jumaat sahaja dalam satu kariah.

Bagi seseorang yang bermusafir bagi perjalanan 92km (2 marhalah) maka gugurlah kewajipan menunaikan solat Jumaat.

3. SOALAN:

Pada waktu Subuh saya pergi solat ke masjid yang jauhnya lebih kurang 6 KM dan meninggalkan surau di tempat saya. Adakah salah perbuatan saya ini?

JAWAPAN:

Tidak menjadi satu kesalahan untuk saudara pergi bersolat di masjid yang agak jauh selagi ianya tidak mendatangkan kesulitan dan tidak menghalang saudara dari berjemaah. Dalam sebuah hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda:

‘’Sesungguhnya seseorang yang lebih banyak dapat pahala dalam solat adalah orang yang lebih jauh perginya ke tempat itu.”

4. SOALAN:

  1. Bagaimankah susunan di dalam solat jika imam ialah perempuan (ibu) dengan makmum lelaki (anak) dan anak perempuan (yang belum baligh)?
  2. Adakah diniatkan imaman sekiranya ibu sebagai imam, sedangkan anak-anaknya belum baligh.

JAWAPAN:

1. Susunan makmum dalam solat adalah seperti berikut:

a)Imam (lelaki)

b)Makmum lelaki dewasa

c)Makmum kanak-kanak-lelaki

d)Makmum perempuan dewasa

e)Makmum kanak-kanak perempuan

2.Imam perempuan hanya untuk makmum perempuan sahaja. Jika anak lelaki puan sudah pandai solat walaupun belum baligh adalah lebih baik dia yang menjadi imam. Ini kerana apabila budak kecil itu sudah pandai berfikir dan dia cukup syarat sah solat maka sah dia menjadi imam kepada lelaki dan perempuan yang baligh.

Ini berdasarkan hadith dari sahabat Nabi S.A.W. Amru bin Salamah R.A.,

Beliau berkata:“Aku menjadi imam di zaman Rasulullah S.A.W. ketika aku masih berumur tujuh tahun.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tetapi jika anak puan belum pandai solat, puan bolehlah solat bersendirian dan anak-anak puan bolehlah sekadar mengikut dibelakang sebagai proses pembelajaran.

5. SOALAN:

Saya berasal dari Semenanjung dan bekerja di Lawas, Serawak.

Saya berada di Lawas selama 20-23 hari dan balik ke Semenanjung selama 7-10 hari.(Jumlah 30hari)
Apakah kedudukan saya untuk menunaikan solat jamak dan qasar.

Adakah saya dibolehkan jamak qasar selama 3 hari di Semenanjung semasa balik dan 3 hari di Sarawak semasa bekerja. Diharap mendapat penjelasan dari pihak tuan.

JAWAPAN:

Berhubung dengan solat jamak dan qasar yang dikemukakan oleh pihak tuan ialah sekiranya tuan telah mengetahui lebih awal berapa hari tuan akan singgah ke sesuatu tempat seperti 20-23 hari di Lawas dan Semenanjuang 7-10 hari, maka tuan tidak boleh  mengerjakan solat jamak dan qasar  kerana telah dikira bermukim. Akan tetapi sekiranya tuan bermusafir tidak melebihi tempoh 5 hari termasuk hari perjalanan pergi dan balik sama ada ke Lawas mahupun Semenanjung, maka dibolehkan tuan untuk solat jamak dan qasar. Walau bagaimanapun ketika dalam satu-satu masa perjalanan yang melebihi 2 marhalah (90 km) yang dianggap musafir, maka tuan boleh mengqasar dan menjamakkan solat.

6. SOALAN:
Saya ada mendengar seorang ustaz mengajar sekiranya ada sebesar sebiji nasi dalam mulut ketika solat dan sekiranya ditelan tidak membatalkan solat? Mohon jawapan dari tuan, Sekian terima kasih.

JAWAPAN:

Makan dengan sengaja sama ada lebihan di celah gigi tersebut banyak atau sedikit akan membatalkan solat. Imam an-Nawawi menyatakan di dalam kitab al-Majmuk bahawa :

“solat akan terbatal jika menelan makanan yang terselit di celah gigi dengan sengaja. Dan tidak batal jika bukan sengaja hendak menelan air liur yang bercampur dengan lebihan makanan”.

7. SOALAN:

Bolehkah zikir selepas solat Subahanallah.Alhamdullilah dan Allahhuakbar digabung dibaca 33 kali. Ada imam yang lakukan demikian.

JAWAPAN:

Zikir Subahanallah, Alhamdullilah dan Allahuakbar  boleh digabung dalam satu bacaan.

8. SOALAN:

Bagaimanakah dan apakah kaedah yang diguna pakai untuk kita menentukan arah kiblat di dalam rumah dan lain-lain?

JAWAPAN:

Terdapat banyak kaedah untuk menentukan arah kiblat. Walau bagaimanapun kaedah yang paling mudah ialah melalui fenomena Istiwa’ Utama Matahari di Kaabah.

Bagi Negara Malaysia, fenomena ini akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang.

Pada waktu tersebut pihak tuan dinasihatkan memacak sebatang kayu yang lurus di atas tanah. Arah kiblat adalah arah yang bertentangan dengan arah bayang kayu tersebut.

Selain dari tiang yang anda pacakkan, anda juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang tegak untuk menyemak arah kiblat ketika itu. Oleh kerana waktu yang sepadan di Malaysia aebelah petang, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah yang menghadap ke barat.

9. SOALAN:

Semasa saya pergi Out Station, Saya beimamkan dengan seorang imam yang sama-sama musafir bersama saya untuk menunaikan Solat Jamak. Ketika itu, imam tersebut menunaikan solat zuhur 4 rakaat dan selepas memberi salam kami solat asar 4 rakaat pada waktu yang sama. Adakah solat kami itu sah dari hukum syarak? Harap Ustaz dapat jelaskan.

JAWAPAN:

Solat yang tuan lakukan adalah sah.

i. Sebagai panduan, untuk melakukan solat  jamak (menghimpunkan), syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi:

  1. Musafir melebihi 2 marhalah atau 56 batu (92 kilometer)
  2. Perjalanan yang dilakukan bukan bertujuan maksiat.
  3. Solat yang boleh dijamak ialah zohor dan Asar, maghirib dan Isyak atau sebaliknya.
  4. Berniat jamak
  5. Berturut-turut
  6. Tertib (mendahului solat yang masuk waktunya dahulu)

ii.  Kekal dalam perjalanan itu hingga selesai takbiratulihram solat yang kedua.

Selain daripada jamak, tuan juga boleh mengqasarkan (memendekkan) solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir. Solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak. Syarat-syarat sahnya ialah;

  1. Solat yang hendak diqasarkan adalah solat yang 4 rakaat.
  2. Jarak perjalanan sekurang-kurangnya 2 marhalah.

iii.  Hendaklah dia mengetahui bahwa hukum  solat qasar itu adalah harus baginya.

iv.  Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.

  • Solat yang diqasarkan mestilah dilakukan dalam waktunya sendiri seperti mengqasar solat Zuhur dalam waktu Zuhur dan tidak boleh diqasarkan solat Zuhur dalam waktu Asar.

10. SOALAN:

Saya ingin tahu waktu sebenar dari mula hingga akhirnya ikut kiraan jam bagi waktu untuk solat sunat dhuha bagi bahagian Mukah.

Mengikut syarak waktu Dhuha bermula  apabila matahari naik setinggi satu galah selepas terbit.

Pengiraan Waktu Dhuha secara astronomi adalah berdasarkan formula Waktu Syuruk ditambah dengan satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan Waktu Subuh atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan ia berakhir setelah masuk waktu Zuhur.

Contoh pengiraan berdasarkan formula astronomi;

Waktu Dhuha   =   Waktu Syuruk + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh)

Contoh Jadual Waktu Sembahyang di Mukah (Zon 4) pada 16 Mac 2011 ;

Waktu Syuruk:  0638 pagi

Waktu Subuh :  0524 pagi

Waktu Dhuha di Mukah pada 16 Mac 2011 ialah :

Waktu Syuruk ( 0638 pagi) + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh) (0638 pagi – 0524 pagi = 1jam 14 Minit @ 74 minit)

= 0638 pagi + 1/3 (74 Minit)

= 0638 pagi + 25 minit

= 0703 pagi.

11. SOALAN:

Saya ke surau hendak berjemaah solat zuhur tetapi tiada orang lain yang datang, 10 minit kemudian saya meneruskan solat secara bersendirian. Kemudian datang seorang hamba Allah terus menjadi makmum dan apa hukumnya, sedangkan saya tidak berniat sebagai imam.

JAWAPAN:

Sah solat yang dilakukan oleh tuan dan makmum tersebut. Menurut Syarak makmum wajib berniat mengikut imam sedangkan imam tidak wajib berniat menjadi imam. Walau bagaimanapun, untuk mendapat pahala berjamaah imam hendaklah berniat menjadi imam pada waktu tersebut.

12. SOALAN:

Ketika imam sedang solat jemaah, makmum terlihat pakaian imam terkena najis. Bagaimanakah caranya makmum hendak menegur imam.

JAWAPAN:

Makmum yang mengetahui dengan yakin hal keadaan imam yang sedemikian (pakaian bernajis) diwajibkan berniat mufaraqah. Setelah selesai solat makmum tersebut hendaklah memaklumkan kepada imam dan imam wajib mengulangi solatnya. Bagi makmum yang tidak mengetahui ketika solat tersebut didirikan solatnya adalah sah.

13. SOALAN:

Semasa di alam remaja, seseorang itu berkelakuan nakal dan memiliki tatu..selepas di alam dewasa beliau telah bertaubat dan telah dilantik oleh pegawai masjid sebagai imam dan pada masa yang sama segelintir makmum berasa was-was untuk berjemaah. Apakah hukumnya?

JAWAPAN:

Seorang yang telah bertaubat dan tatu tersebut tidak dapat dihilangkan walaupun beliau telah berusaha layak untuk menjadi imam dalam solat. Para makmum hendaklah berimam dengan imam tersebut tanpa was-was.

14. SOALAN:

Apakah hukumnya memakai wangian beralkohol dalam solat?

JAWAPAN:

Wangian beralkohol adalah diharuskan penggunaannya. Jika alkohol tersebut yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Sementara alkohol yang terhasil dari lebihan proses pembuatan makanan seperti tapai sama ada daripada ubi kayu atau pulut ianya adalah tidak najis dan harus dimakan.

15. SOALAN:

1.Solat adalah kewajipan ke atas tiap-tiap orang Islam. Apakah kewajipan ini masih fardhu ke atas orang tua yang agak nyanyuk?

2. Bagaimana keadaan sembahyang orang tua yang sudah agak nyanyuk tetapi dia masih ingin sembahyang, masalahnya sembahyang yang dilakukannya itu tidak cukup rukun seperti sembahyang 4 rakaat jadi 3 rakaat. Sembahyang berjamaah tetapi dia dahulu daripada imam kerana kenyanyukannya.

JAWAPAN:

Sembahyang wajib ke atas umat Islam yang mencapai umur dewasa (baligh) serta berakal, yang tidak ada sebarang halangan seperti haid dan nifas. Syarat wajib solat ialah :

1) Islam

2) Baligh

3) Berakal

Menurut jumhur ulama’ sembahyang tidak wajib ke atas orang gila, terencat akal dan yang seumpamanya seperti orang pengsan, kecuali jika dia sedar dan masih ada lagi waktu sembahyang. Ini disebabkan berakal adalah tanda mukallaf, sebagaimana hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Tiga orang yang tidak dikira sebagai bertanggungjawab ke atas perbuatannya iaitu orang gila sehingga ia siuman dan orang tidur sehingga ia sedar daripada tidurnya dan kanak-kanak sehingga ia bermimpi (baligh).”

(Hadis riwayat : Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)

16. SOALAN:

Assalaamu’alaikum wbt. saya nak bertanya tentang hukum seseorang yang bertatu dan kemudian dia bertaubat serta melakukan solat..adakah sah solatnya diterima Allah atau tidak. Adakah tatunya perlu dibuang habis dahulu..dan bagaimana dengan mandi junubnya adakah ia sah. Sekian harap tuan dapat membalas pertanyaan saya ini…terima kasih.

JAWAPAN:

Solat dan mandi hadas (junub) nya sah. Walau bagaimanapun tuan dinasihatkan berusaha untuk membuang tatu tersebut jika mampu dan tidak memudaratkan.

17. SOALAN:

Saya salah seorang guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Isu solat Jumaat merupakan isu hangat bagi guru-guru yang mengajar jauh di kawasan pedalaman di sarawak. Seperti mana yang kita ketahui meniggalkan solat jumaat adalah tidak boleh sama sekali kecuali di sebabkan keuzuran atau sakit. Ada juga yang menyatakan jangan lebih dari tiga kali berdasarkan hadis yang tidak sahih. Seperti mana yang saya fahami dan lakukan selama ini sekirannya tidak berkesempatan semasa keluar hari Jumaat saya singgah di masjid yang dilalui sekiranya tidak sempat saya cuma solat zuhur sahaja. Ada juga rakan ustaz yang saya tanya, sekiranya perjalanan yang kita lalui ada masjid ataupun surau maka wajib untuk kita kerjakan solat. Boleh tak jelaskan hadis mana yang patut kita ikuti. Adakah boleh kita selang selikan minggu dalam bulan semasa untuk keluar bersolat ini adalah kerana kita cuma keluar ke bandar 2 minggu sekali. Sekian terima kasih.

JAWAPAN:

Apabila seseorang muslim sudah cukup 7 syarat wajib (Islam, Baligh, Berakal, Merdeka, Lelaki, Sihat tubuh badan dan bermukim) maka wajiblah dia menunaikan Solat Jumaat. Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut hanya akan sah apabila memenuhi 4 Syarat sah yang berikut :

a) Didirikan di dalam kawasan binaan sama ada di bandar atau kariah.

b) Bilangan jamaah tidak kurang daripada 40 orang yang memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.

c)  Didirikan dalam waktu zuhur.

d) Didirikan satu Jumaat sahaja dalam satu kariah.

Bagi seseorang yang bermusafir bagi perjalanan 92km (2 marhalah) maka gugurlah kewajipan menunaikan solat Jumaat.

Hadis mengenai meninggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut ialah:

“Sesiapa yang meninggalkan tiga kali sembahyang Jumaat kerana mengambil ringan terhadapnya, nescaya Allah akan menutupkan hatinya”

(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

18. SOALAN:

Ketika sembahyang sunat ada orang yang begitu cepat rukuk dan  sujud nya. Pada perkiraan saya jika dibaca ayat ketika rukuk dan  sujud sebanyak 3 kali tidak lah sepantas itu. Persoalaan saya ialah wajib atau sunat dibaca ayat ketika sujud dan rukuk itu sebanyak 3 kali atau memadai dengan baca sekali sahaja.

JAWAPAN:

a)    Rukuk  dan sujud merupakan rukun solat dan jika ditinggalkan  maka solat akan terbatal. Tetapi bacaan dalam rukuk dan sujud adalah sunat hai’ah (iaitu jika ditinggalkan tidak sunat digantikan dengan sujud sahwi) dan solat itu sah.

19. SOALAN:

Mengqasar dan menjamak sembahyang. Apabila kita berjalan jauh. contohnya saya dari Limbang pergi ke Miri dan bermalam di miri selama 2 malam. Bolehkah saya mengqasar atau menjamak solat apabila sudah bermalam di Miri?

JAWAPAN:

Sebagai panduan , untuk melakukan solat  jamak (menghimpunkan), syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi;

a)    Musafir melebihi 2 marhalah atau 56 batu (92 kilometer).

b)   Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula  sampai dan pada hari akan keluar.

c)    Perjalanan yang dilakukan bukan bertujuan maksiat.

d)   Solat yang boleh dijamak ialah zohor dan Asar, maghirib dan Isyak atau sebaliknya.

e)    Berniat jamak.

f)    Berturut-turut.

g)   Tertib (mendahului solat yang masuk waktunya dahulu).

h)   Kekal dalam perjalanan itu hingga selesai takbiratulihram solat yang kedua.

Selain daripada jamak, tuan juga boleh mengqasarkan (memendekkan) solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir. Solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak. Syarat-syarat sahnya ialah;

a)  Solat yang hendak diqasarkan adalah solat yang 4 rakaat.

b)   Jarak perjalanan sekurang-kurangnya 2 marhalah.

c)    Hendaklah dia mengetahui bahwa hukum  solat qasar itu adalah harus baginya.

d)   Mestilah berniat qasar ketika takbirratul ihram.

e)    Solat yang diqasarkan mestilah dilakukan dalam waktunya sendiri seperti mengqasar solat Zuhur dalam waktu Zuhur dan tidak boleh diqasarkan solat Zuhur dalam waktu Asar.

20. SOALAN:

Tuan, apakah hukum air liur manusia. Adakah ianya najis atau tidak?. Sekiranya najis apakah sisa makanan yang ada dalam mulut kemudian diludahkan sedikit ketika solat dan terkena baju. Adakah solat itu sah atau tidak?

JAWAPAN:

Air liur manusia bukanlah dikira sebagai najis, tetapi haram dimakan kerana dianggap jijik. Maka sah solat yang didirikan sekiranya air liur tersebut terkena baju.


21. SOALAN:

Saya dengar pak imam baca surah selepas Al-Fatihah tidak betul tajwid, saya baru lagi di surau berkenaan. Macam mana tu?

JAWAPAN:

Tajwid itu sememangnya penting dalam bentuk yang sederhana. Al-Quran adalah kalam Allah S.W.T. dan kita seharusnya membaca dengan betul.  Sekiranya kesalahan bacaan tidak sampai mengubah makna dan telah cuba dibaca mengikut kemampuan, maka tidaklah kesalahan itu menjadi  bebanan kepada pembaca. Tuntutan kepada kefahaman terutamanya al-Fatihah di dalam solat adalah lebih perlu diutamakan.

22. SOALAN:

Saya pernah tindih telinga….sekiranya telinga yang saya tindih sudah tertutup….bolehkah saya menjadi imam?

JAWAPAN:

Boleh menjadi imam bagi yang pernah bertindik kerana ia bukan daripada syarat sah untuk menjadi imam. Walau bagaimanapun, bertindik merupakan amalan bagi wanita dan diharamkan bagi lelaki untuk meniru wanita. Melakukan perbuatan haram secara berterusan adalah perbuatan orang yang fasiq.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sarawak

28 April 2012 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | 11 Comments

Walaupun hidup seribu tahun kalau tak solat apa gunanya

SETIAP daripada kita pastinya bercita-cita untuk memperbaiki ilmu agama,tetapi masalah nya ialah kesedaran dan tahap keimanan itu kadang-kadang ada pasang surutnya. Ini berpunca daripada pelbagai sebab seperti penat, sibuk dan lain-lain.

Pada masa yang sama, timbul rasa bersalah bila tidak melakukan apa yang dituntut itu. Contoh paling mudah, solat lima waktu.

Kita harus ingat bahawa talian hayat di antara hamba Dan Pencipta ialah solat. Melalui solatlah seseorang hamba dapat berhubung terus dengan Allah SWT. Hari ini tidak mudah bagi seseorang untuk bertemu dengan orang besar, berjawatan, berpangkat dan berkuasa. Dalam Islam, Allah SWT melalui Rasul-Nya telah menyediakan rangkaian talian berhubung terus dengan Allah SWT.

Tanpa solat hidup kita selaku orang Islam tidak bermakna, biar sehebat manapun kita di sisi manusia, kita tetap kerugian di hadapan Allah SWT. Solat itu penghubung antara kita dan Allah. Solat itu penenang, solat itu cahaya, solat itu penghapus duka dan solat juga penawar penyakit rohani.

Jangan abaikan solat biar apa sahaja keadaannya, di mana sahaja kita berada. Bumi Allah SWT terbentang untuk itu.

Rasulullah SAW pernah ditanya apa itu Islam, lantas baginda menjawab: Islam itu dibina atas lima perkara, syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan dan haji ke Baitullah. (riwayat Imam al-Bukhari)

Tidak seperti ibadat lain, kewajipan solat diwahyukan terus kepada Rasulullah SAW pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas: Pada malam Israk difardukan kepada Nabi SAW solat sebanyak 50 kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah), Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat 50 kali. (riwayat Imam al-Tirmidzi)

Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadat solat melebihi ibadat lain. Solat juga adalah tiang asas bagi agama Islam dan jika tiang itu runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan agama.

Begitulah tingginya martabat ibadat solat di sisi Islam. Tidak menghairankan jika perkara yang mula dihisab pada hari akhirat nanti adalah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka sia-sialah segala amal ibadatnya yang lain.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung. (riwayat Imam al-Tirmidzi)

Oleh itu, umat Islam perlu memberi perhatian tinggi terhadap kesempurnaan ibadat solat kerana implikasinya terhadap diri kita begitu besar.

Namun, sayang seribu kali sayang, masih ramai kalangan umat Islam melalaikan solat.

Ulama berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja. Golongan pertama berpendapat meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, maka mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak terkeluar daripada Islam. (rujuk al-Nisaa: 116)

Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula.

Ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih secara jelas menunjukkan ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya. (rujuk al-Qalam: 35-43)

Allah SWT memulakan ayat di atas dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf kehambaan seseorang yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar.

Kemudian Allah menggambarkan keadaan huru-hara di alam akhirat dan Allah memerintahkan hamba-Nya sujud menyembah-Nya.

Namun, bagi mereka yang dulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang Islam lain.

Ini menunjukkan mereka itu termasuk golongan orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah, mereka enggan kerana tidak mampu.

Andai kata mereka termasuk di kalangan orang Islam, tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan di dunia ini.

(Di nukil dari Ruang Agama UM Online Isnin 26 Mac 2012)

26 March 2012 Posted by | Ibadah | | Leave a comment

Erti gerak geri dalam solat

1 – Niat Sembahyang :

Setiap perbuatan yang dikira itu berdasarkan niat. Niat baik dibalas baik, niat buruk dibalas buruk. Sesungguhnya Allah Maha Menguasai hari pembalasan.

2 – Berdiri Betul :

Tegakkanlah agama Allah dengan lurus. Kebenaran itu lurus sahaja. Bila ada bukti sesuatu itu benar yang akal kita sendiri mengakuinya, maka benarlah ia biarpun sepahit mana hati kita menerima. Yang menyebabkan hati kita rasa panas bila mendengar sesuatu kebenaran kerana masih ada syaitan yang tersembunyi. Syaitan ini ego untuk menerima kebenaran.

3 – Takbir-ratul Ihram :

Meluahkan rasa Kebesaran Allah agar hati bergetar takut kepadaNya biar pun kita tidak melihat Dia dengan dengan mata kasar. Semakin kita rasa getaran KeagunganNya, semakin mata hati kita terbuka sehingga satu tahap kita seperti melihatNya di hadapan (ihsan).

4 – Fatihah :

Pembukaan hati dan minda untuk berbicara denganNya. Kita berbicara denganNya menggunakan akal yang waras, sehingga turunnya ilham-ilham yang nyata (bukannya bayangan kosong) yang mampu memudahkan hidup kita. Ini akan mententeramkan jiwa dan mendamaikan rasa. Secara tidak langsung kita boleh mempertingkatkan kekuatan akal kita. Lemahnya sesuatu umat kerana gagal menyediakan generasi yang bijak berfikir.

5 – Ruqu’ :

Setelah kita dapat ilham-ilham itu, tundukkan diri kepada Allah kerana ilham itu datang daripadaNya. Bukankah Allah yang mengilhamkan kepada manusia jalan kebaikan atau jalan kefasikan?

Kita menundukkan diri kepada Allah melalui akal. Jika mulut sahaja manis mengaku Islam tetapi akal tidak dibangunkan, tidaklah bermakna erti keIslaman kita itu. Jadilah kita umat Islam yang mudah diperkotak-katikkan seperti sekarang.

Bukankah para Nabi itu di kalangan orang-orang yang bijak lagi berhikmah? Sudahkah kita menjadi seperti mereka untuk membuktikan kita orang-orang yang menurut sunnah mereka?

6 – I’tidal :

Setelah kita merendahkan diri kepada Allah dengan mendepankan akal mengadapNya (bukannya menurut nafsu menurut membuta-tuli), bangkitlah untuk menyampaikan seruan agar semua manusia membangunkan akal untuk merasai KeagunganNya.

Untuk menyeru manusia kepada Allah, perindahkanlah akhlak sendiri, bukannya mencari keburukan orang lain. Pengajaran yang terbaik kepada manusia lain adalah dari contoh dari diri sendiri. Itulah Rasulullah lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang tersembunyi di dalam hati dan apa yang kita kerjakan.

7 – Sujud :

Setelah menyampaikan seruan mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah, bersyukurlah kita dengan merendahkan diri kepadaNya. Ini dapat melatih hati kita supaya tidak riak bahawa kita seorang sahaja yang benar dan orang lain semuanya tidak betul.

Wujudnya berpuak-puak dalam kehidupan umat Islam sekarang kerana adanya perasaan riak dan sombong sehingga satu puak rasa dia sahaja betul ikut Islam, dan menghukum puak lain tidak betul. Kalau macam ini, bila lagi umat Islam hendak bersatu?

Rendahkanlah keegoan masing-masing. Berlapang dadalah menerima perbezaan pendapat yang masing-masing ada rasional yang tersendiri. Sesungguhnya Islam itu agama yang luas bukannya sempit.

Selepas kita menyampaikan sesuatu seruan, serahkanlah kepada Allah. Oleh kerana kita menyambung dakwah Rasulullah, tugas kita hanyalah menyampai sahaja berdasarkan logik yang nyata. Bukan untuk menghukum orang.

8 – Duduk antara 2 Sujud :

Sentiasalah duduk bermuzakarah berbincang untuk mencari penyelesaian masalah. Bukannya untuk mencari kesalahan orang lain. Sebagai sebahagian daripada masyarakat Islam, masalah umat adalah masalah dari dalam diri kita sendiri.

Duduk bermuhasabah diri untuk mencari di mana silapnya diri kita sehingga menyumbang kepada perpecahan ummah. InsyaAllah, jika kita duduk dengan tenang hati, Allah akan buka pekung di dada kita. Itu pun bergantung kesanggupan kita mengakui kesalahan sendiri. Jika masa dalam solat ini pun hendak ego dan tidak boleh mengakui kesilapan sendiri, apa ertinya solat kita? Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi berbangga diri.

9 – Duduk antara 2 Sujud (akhir) :

Kita duduk di atas dunia ini bukan selama-lamanya. Jika ada permulaan, adalah pengakhirannya. Gunakanlah masa hidup di dunia untuk mencari erti ketenangan dan kedamaian jiwa. Kejayaan kita menyinari hidup sehingga kita rasa bahagia akan menjernihkan wajah dan melambatkan penuaan. Bukankah ahli-ahli syurga itu muda-muda orangnya?

Wajah cepat tua jika dalam hati ada rasa marah, tertekan dan suka mencari permusuhan. Mungkin kerana itu wajah kita umat Islam sekarang jadi cepat tua kerana hidup hanya hendak bertelagah atas rasa kononnya hendak perjuangkan Islam.

Islam diperjuangkan dengan memperindahkan akhlak sendiri, kemudian sampaikan apa yang kita lakukan yang menyebabkan jiwa kita rasa tenang dan bahagia ini. Kerana kita sudah pun mengamalkan apa yang kita kata.

10 – Tahhiyat Akhir :

Solat adalah pembukaan kepada kehidupan. Tahhiyat akhir itu bukan bererti kita berpisah dengan Allah, tetapi bermulanya waktu kehidupan selepas bersolat itu untuk sentiasa berfikir memujiNya. Bukannya selepas solat kita terus lupa dan sibuk mengejar duniawi.

Kita sentiasa memperbaiki akuan akidah kita dengan mengEsakan Allah sebagai satu-satunya tempat kita bergantung harap, bukan selainNya. Barulah perjalanan hidup kita rasa dilindungiNya dan mententeramkan jiwa. Bila diuji dengan tekanan hidup, kita tidak menyalahkan orang lain, tetapi menyalahkan diri sendiri. Itulah jiwa yang redha dengan takdir Allah.

Dan memperbetulkan persepsi kepada Rasul kita bahwa baginda hanyalah pemberi peringatan kepada kita sahaja. Sekadar cakap nak tegakkan sunnah Rasulullah, tetapi akhlak jauh dari akhlak baginda (Al Quran), tidakkah itu menandakan kita hanya bermuka-muka sahaja?

11 – Selawat Nabi :

Jiwa orang yang beriman terdahulu biar pun telah meninggal dunia, mereka tetaplah hidup lagi mendapat rezeki. Selawat yang disampaikan kepada mereka sebenarnya untuk kita sendiri, kerana segala amal-amal soleh yang kita buat itu untuk diri kita sendiri. Kita mendoakan kesejahteraan mereka di alam sana, samalah kita mendoakan kesejahteraan diri kita sendiri. Bukankah sesama golongan itu bersatu hatinya? Hati akan bersatu bila mencapai kesatuan akal. Akal boleh disatukan bila berfikir dengan nyata (logik)

12 – Salam :

Bermulalah perjalanan hidup kita untuk memasuki perjuangan agama Allah. Kita menoleh kanan dan kiri sebagai keseimbangan akal. Jika kita melihat pada satu segi tanpa menilai sudut yang lain, kita tidak mampu menilai dengan betul. Macam hendak melintasi jalan dengan selamat, kita kena toleh kanan dan kiri. Begitulah juga untuk hidup dengan selamat.

Lihat beza kehidupan bangsa-bangsa yang maju yang tenang dan kehidupan umat Islam yang terhimpit lagi suka berpecah-belah. Kita akan nampak apa yang tersembunyi dalam hati yang menyebabkan kita jadi umat yang lemah.

Selepas bersolat itu, kita akan bersemangat untuk memperbaiki hidup kita menjadi manusia yang merendah diri dan berfikiran tinggi. Tiada lagi beragama secara menurut membuta-tuli, tetapi akal berterbangan bebas seperti camar yang bersayap seimbang. Gunakanlah pertimbangan akal yang waras dalam menempuhi kehidupan. Barulah hidup dalam keadaan selamat.

13 – Tertib :

Hidup perlukan kesabaran dan kesederhanaan. Tidak terlalu lambat dan tidak terlalu tergesa-gesa. Bergerak dalam keadaan tenang dan sesuai dengan keselesaan masing-masing. Kerana untuk mendapat ilham-ilham yang kreatif dan innovatif, kita perlukan perjalanan hidup yang tenang, bukannya tertekan.

Lakukan sesuatu perkara ikut urutan yang logik. Umpamanya hendak gemilangkan Islam kembali, kenalah bermula dengan muhasabah diri dulu seperti Rasulullah memencilkan diri dalam gua Hira’. Kemudian bangunkan akal fikiran. Kemudian barulah sampaikan segala buah fikiran kita berdasarkan logik kepada manusia lain agar mereka berfikir sama. Bukannya dengan cara mengutuk dan mencaci-maki. Bukannya dengan cara peperangan dan bertelagah sesama sendiri.

p/s: Pendapat ini berdasarkan logik yang boleh kita fikirkan untuk mengembalikan kegemilangan Islam supaya Islam tidak menjadi agama yang lesu lagi…Perbezaan pendapat bukannya untuk bermusuhan tetapi untuk merasai Keagungan Allah yang memiliki rahmat yang luas. Kalau kita rasa pendapat kita sahaja betul, dan pendapat orang lain salah, itu menunjukkan kesombongan diri seolah-olah rahmat Allah itu sempit.

Orang-orang beriman suka kepada perbezaan pendapat kerana ia akan membuka mindanya untuk berfikir dari sudut yang berbeza yang tetap ada rasionalnya di samping membuang egonya. Kerana itulah Rasulullah suka bermuzakarah dengan para sahabatnya. Islam digemilangkan dengan sama-sama berani mengemukakan pendapat masing-masing biarpun berbeza. Bukannya si murid mendengar ajaran tok gurunya secara membuta-tuli sehingga umat menjadi lembab otaknya.

(Oleh: Profesor  Madya Adli)

22 March 2012 Posted by | Ibadah, Informasi, Renungan & Teladan | | Leave a comment

Fadhilat Solat Berjemaah

Solat merupakan perhubungan rohaniah antara hamba dengan Allah Azzawajalla. Dengan ibadah solat manusia akan dapat berhubung dengan Allah SWT secara langsung, tanpa sebarang perantaraan untuk mengabdikan diri dengan rasarendah diri terhadap Allah SWT. Justeru, solat merupakan Mi’raj hamba kepada Allah subhaanahu wata’ala untuk mempersembahkan seluruh solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Allah subhaanahu wata’ala sahaja.

 Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162-163:

“Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang Islam yang terawal menyerahkan diri (kepada Allah)”.

Solat berjemaah lima waktu bagi mazhab Syafie hukumnya fardhu Kifayah yang wajib ditunaikan setiap waktu pada setiap hari dan Afdhal di masjid atau di surau. Solat Jumaat pula wajib Aini seminggu sekali. Manakala solat dua hari raya sunat ditunaikan setahun sekali dan Afdhal di padang atau di tempat lapang.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Ganjaran   pahala   semabahyang   berjemaah   itu   melebihi   dari   sembahyang bersendirian dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat”.

Adalah menjadi suatu perkara yang malang bagi sebahagian umat Islam yang kurang mengambil berat untuk solat berjemaah atas alasan tidak wajib atau hanya fardhu Kifayah.  Umat  Islam  sewajarnya  memahami  bahawa  apapun  aktiviti  dan  rutin kehidupan yang dilalui memerlukan hidayah dan keredhaan Allah, oleh itu umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa solat berjemaah di masjid dijanjikan nur hidayah Allah dan nur itulah yang akan menerangi mereka di hari kiamat nanti.

Sabda rasulullah s.a.w: Maksudnya, “Gembirakan

lah orang-orang yang mahu datang berjalan ke masjid diwaktu gelap malam dengan nur cahaya terang benderang di hari kiamat nanti”.
(riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Antara hikmah solat berjemaah di masjid adalah mampu untuk membentuk ukhwah dan saling bertukar fikiran secara  rasional  tanpa  mengira  latar  belakang  dan  fahaman, kerana masing-masing menjaga adab ketika berada di rumah Allah.

Solat berjemaah mengajar umat Islam hidup bermasyarakat dengan disiplin dan peraturan yang murni dan luhur. Ini dapat digambarkan apabila azan berkumandang, maka bilal lah yang patut dipatuhi dan imam solat yang mesti diikuti, serta saff jemaah yang mesti diperhati, berdiri sama lurus, rukuk sama tunduk dan sujud sama merendah diri sebagai syiar dan lambang untuk sama-sama meletakkan kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah dalam menjalani hidup berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat, bekerja dan bernegara.

Oleh itu, apabila masyarakat hidup dalam keadaan berdisiplin dan mematuhi peraturan- peraturan yang luhur, yang terhasil dari mengerjakan solat berjemaah maka terhakislah rasa sombong, dengki, riya’ dan akan terjalin rasa saling memahami, hidup te

nang, bersopan santun dan penuh kemesraan.

Sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dan tidaklah berkumpul satu kaum di satu rumah dari rumah-rumah Allah sambil membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya bersama di antara mereka kecuali turunlah ke atas mereka pertolongan, mereka dilimpahi rahmat, malaikat menaunginya dan Allah menyebut namamereka dikalangan orang yang ada di sisinya. Sesiapa yang lambat amalnya maka tidak disegerakan dekatnya kepada Allah”.

Sungguhpun begitu hebat kebaikan solat berjemaah namun sebahagian umat Islam pula tidak mengambil berat dengan azan yang dikumandangkan oleh bilal, biar sekuat mana pembesar suara sampai ke telinga, biar secantik mana masjid dibina, biar masjid berkarpet tebal dan berhawa dingin, namun jemaahnya hanya dalam lingkungan lima puluhan atau ratusan orang berbanding dengan jumlah penduduk taman ribuan orang, sedangkan masjid boleh menampung ribuan jemaah dengan kos pembinaan masjid jutaaan ringgit. Namun anak-anak kita, jiran tetangga kita, ahli masyarakat kita sebahagiannya masih liar dengan masjid, masih seronok berlonggok di simpang- simpang jalan, masih selesa di padang-padang permainan, masih enak menghirup kopi di kedai-kedai berhampiran, masih leka berurus niaga di pasar-pasar malam, masih leka denagn menggilapkan kereta, atau masih leka dengan gurauan anak dan cucu yang tercinta atau masih ternganga dengan siaran television, sekalipun masjid hanya dipisahkan dengan pagarnya sahaja.

Sebenarnya   setiap   orang   dipertanggungjawabkan   untuk   mengajak,   menyeru, menasihat orang Islam yang lain apabila berlaku keengkaran terhadap kepatuhan beragama atau tidak kisah dan tidak ambil peduli dengan seruan azan yang mengajak solat bersama, mengajak ke arah kemenangan bersama, kita bimbang mereka lebih jauh  dari  Allah.  Apabila  Allah  jauh  dari  hati  kita  maka  syaitanlah  yang  cepat menghampiri kita.

Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya: “Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah qariah atau sebuah kampung yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah dalam kampong tersebut melainkan syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk bersendirian”.

(riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i).

Melalui  rumah  Allah  yang  suci  ini,  marilah  kita  bersatu,  memperkuatkan  pertalian ukhwah untuk sama-sama membantu anak-anak kita, jiran tetangga, ahli masyarakat kampung dan taman supaya memujuk dan mengajak mereka untuk mengimarahkan masjid. Juga sama-sama solat berjemaah setiap waktu yang termampu oleh kita. Alangkah indahnya kita sama-sama berdiri satu saff di belakang imam dan bahagianya kita jika kita dapat menarik setiap orang teman sekampung, jiran setaman, sama-sama duduk berwirid, berzikir, berdoa dan bersalam-salaman setiap waktu, bertemu muka setiap hari dalam suasana yang penuh ketulusan dan keikhlasan kepada Allah subhaanahu wata’ala.

Firman Allah subhaanahu wata’ala dalam surah at-Tahrim ayat 6:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka”.

Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk”.

(Al-Baqarah: 43)

(Intisari Khutbah Jumaat JAIS bertarikh 16 Oktober 2006)

 

3 March 2012 Posted by | Ibadah, Tazkirah | , , | Leave a comment

Sahkah solat jika tapak tangan berlapikkan telekung yang dipakai ketika sujud?

Jawapan: Solat anda adalah sah.

Ini ialah kerana sekurang-kurang sujud ialah meletakkan dahi di atas tempat sujud berdasar hadis nabi saw bahawa baginda telah bersabda:

Maksudnya: Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju. (riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya).

Hadis ini menjadi hujah kepada ulama mazhab Shafie bahawa sekurang-kurang sujud adalah meletakkan dahi di tempat sujud. Mengikut Syeikh Muhamad bin Ismail Daud al-Fathoni dalam kitabnya “dan sekurang-kurangnya (sujud itu) mengenai setengah dahinya akan tempat sujudnya dan wajib dibukakan dahinya jangan ada berlapik”.

Perkara yang sama disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Muyassar. Disamping dahi, ulama khilaf tentang kewajiban anggota-anggota lain. Yang sahih dalam mazhab Shafie’ adalah wajib berdasar hadis riwayat Bukhori dan Muslim bahawa Rasulullah saw menyuruh sujud di atas tujuh anggota; iaitulah dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan jari-jari kedua-dua kakinya.

Mengikut kitab al-Fiqh al-Muyassar; Yang diambil kira ialah meletakkan dua tapak tangan dan perut jari kedua-dua kaki walaupun sebahagian sahaja. Tidak mengapa dan tidak batal solat meletakkan dua tapak tangan ke atas kain telekung semasa sujud. Yang mesti dijaga ialah pastikan kain telekung tidak menghalang dahi dari mengenai tempat sujud.

Wallahu’alam.

( Rujukan: 1) Syeikh Muhamad Syarbini al-Khatib, Al-Iqna’. 2) Ahmad Isa ‘Asyur, al-Fiqh al-Muyassar. 3) Pelbagai. Disediakn oleh: Ustaz Ahmad Zainal Abidin Setiausaha MUIS majlis ulama isma).


29 August 2011 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | 2 Comments

Perumpamaan Solat

Berkata Syeikh Daud Abdullah al Fathani dalam kitabnya Munyatul Musalli bahawa sembahyang itu di umpamakan seorang raja yang menyiapkan sebuah balai.Kemudian beliau mengadakan majlis jamuan, yang terdiri dari berbagai bagai jenis makanan dan minuman yang beranika warna dan kelazatan dan pada setiap warna itu ada kelebihannya yang tersendiri, kemudian dia menyeru seluruh hamba rakyat untuk menikmati makanan tersebut.

Demikianlah diumpamakannya sembahyang itu.Allah s.w.t menyuruh sekalain hambaNya yang sempurna mengerjakannya untuk menikmati kelazatan daripada pelbagai pemberian dan kurniaanNya supaya hamba itu bersyukur terhadap kurniaan Tuhannya.

Amalan amalan sembahyang itu umpamakan sebagai makanan, manakala zikir, tasbih dan doa itu umpamakan sebagai minuman.Apa lah jenisnya makanan dan minuman seumpama ini, sehingga hamba hambaNya yang arif tidak menyedari dirinya serta sejuk mata hatinya dengan menikmati kurniaan yang tidak terperi.Kerana keadaan sebeginilah dinamakannya sebagai syurga segera saperti yang di firman Allah maksudnya:

“Dan bagi orang yang takut kepada Tuhannya dikurniankan dua syurga. (Surah Ar Rahman ayat 46)”.Syurga yang pertama ialah yang disegerakan didunia ini, iaitu rasa sejuk mata hati bila syuhud Tuhannya.Dan syurga yang kedua ialah di akhirat nanti.

Wallahu’alam.

19 July 2011 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

Karamah bagi mereka yang mengerjakan Solat

Berkata Syeikh Daud Abdullah Al Fathani dalam Kitab nya Munyatul Musolli bahawa Hassan al Basri meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda:

“Bagi orang yang bersembahyang itu ada 3 keramah.Iaitu:

  1. Bertaburan kebajikan (kebaikan) mulai dari langit keatas kepalanya
  2. Para malaikat mengelilingnya mulai dari dua kakinya hingga ke langit
  3. Malaikat menyeru : Jikalau seseorang hamba dan orang yang bermunajat itu mengetahui nescaya dia tidak akan berpaling daripada sembahyang.

Maka ini lah karamah yang di muliakan oleh Allah terhadap orang yang bersembahyang”.

Syeikh Daud berkata lagi:-

Sesetengah ulama mengatakan : Telah sampai kepada kami Hadis bahawa Allah s.w.t membahagikan sekalian amalan sembhayang kepada 4 puluh saf malaikat, pada tiap tiap saf ada tujuh puluh ribu malaikat.

  • Sepuluh saf berdiri tiada rukuk
  • Sepuluh saf rukuk tiada sujud
  • Sepuluh saf sujud tiada angkat kepala
  • Sepuluh saf lagi duduk tiada berdiri

Sekalian amalan malaikat itu di himpunkan bagi hambaNya yang mukmin dalam 2 rakaat sembahyang yang di kerjakannya.Maka fikirlah betapa besarnya pemebrian Allah dan kurniaNya kepada sekalain hambaNya yang mukimin.

Kata Mu’az dan Jabir: Sesiapa yang berdiri di dalam sembahyang serta membesarkannya dan tunaikan segala rukun, rukuk dan sujudnya, di peruntukkan baginya pahala para malaikat di tujuh petala langit dan sekalian makhluk Allah yang berada di dalam nya.

19 July 2011 Posted by | Tazkirah | , | Leave a comment

Terlelap atau tertidur tengah solat

Biasanya kita hanya mengantuk sahaja di tengah solat (yakni terlelap, bukan tertidur). Mengantuk tidaklah membatalkan solat (sebagaimana tidak membatalkan wudhuk) tanpa ada khilaf di kalangan ulamak sama ada mengantuk/terlelap itu berlaku ketika kita sedang berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Adapun jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut;
1. Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat.
2. Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya “al-Majmuk”; “Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tibak batal solatnya tanpa khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk (yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf. Mengikut pandangan yang lemah; tidak batal solat dan wudhuknya. Namun mengikut pandangan yang menjadi pegangan mazhab (Syafiie); batal solat dan juga wudhuknya” (al-Majmu’, 2/16. Dinaqalkan secara mafhum).

Jika seorang tertidur hingga ia bercakap di dalam solatnya (dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya. Berkata Imam al-Walwaliji dalam fatwanya; “Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Dinaqal oleh Imam Ibnu Nujaim dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazair, 1/276).

Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur, dijelaskan oleh ulamak seperti berikut;
a) Tidur menguasai akal dan deria (yakni akal dan deria tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur), sedang mengantuk hanya melemahkan akal dan deria sahaja (yakni akal dan deria masih berfungsi, cuma ia lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).
b) Berkata al-Qadhi Husain dan Imam al-Mutawallai; tanda tidur ialah hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan jatuh/longlai.
c) Menurut ulamak juga; di antara tanda mengantuk ialah kita masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur (maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah tertidur).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/13 (bab al-Ahdas allati Tanqudhu al-Wudhu’).
2. Al-Mausi’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Naum).
3. Al-Asybah wa an-Nazhair, Imam Ibnu Nujaim, 1/276.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Panel Syariah HPA

25 June 2011 Posted by | Ibadah | | Leave a comment

Boleh kah mengulangi solat kerana was was atau tak khusyuk

1. Bila timbul keraguan tentang bilangan sujud, lakukan sujud sekali lagi, kemudian di akhir solat lakukan sujud sahwi. Sujud sahwi itu akan menampung kekurangan pahala solat kerana keraguan tadi.
2. Tidak harus berhenti solat dengan sengaja kecuali jika benar-benar yakin solat kita batal seperti ada najis pada badan, terlupa mengambil wudhuk atau aurat terdedah/kain terkoyak (dan tidak dapat ditutup ketika solat).
3. Adapun merasa tak khusyuk atau ada rukun atau perbuatan solat tidak sempurna, tidak harus berhenti solat. Apa yang perlu dilakukan ialah meneruskan solat. Jika kita yakin ada rukun yang tak sempurna, hendaklah dilakukan semula rukun itu tanpa berhenti solat. Contohnya, apabila kita berada di rakaat kedua kita teringat bahawa pada rakaat pertama tadi kita terlupa baca Fatihah, kita hendaklah meneruskan solat dengan mengira rakaat kedua itu sebagai rakaat pertama kerana rakaat pertama tadi tidak dikira kerana tertinggal satu rukun iaitu membaca Fatihah. Adapun solat kita tidaklah batal (atau perlu dibatalkan) kerana bukan sengaja kita tidak membaca Fatihah, akan tetapi kerana terlupa. Kemudian di hujung solat, kita tampung kelupaan kita itu dengan sujud sahwi.
4. Suatu yang mustahil bagi seorang manusia biasa (yang bukan rasul) untuk mencapai 100% khusyuk dalam solat. Kerana itu, para ulamak sepakat menyatakan bahawa; tidak batal solat dengan kerana terkurang khusyuk. Yang membatalkan solat ialah apabila dengan sengaja ditinggalkan rukun-rukun solat atau dengan sengaja dilakukan di dalam solat perbuatan-perbuatan yang bukan solat seperti makan, bercakap, bergerak dengan pergerakan yang bukan disuruh dalam solat. Adapun tidak khusyuk ia tidak sampai membatalkan solat, cuma boleh mengurangkan pahala solat. Semakin kurang khusyuk, semakin berkuranglah pahala solat hinggalah mungkin pahala solat kita hanya tinggal 20% atau 10% sahaja. Adapun untuk tinggal 0%, itu tidak mungkin berlaku kecuali orang yang berolok-olok mengerjakan solat ataupun ia gila/tidak siuman.
Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya seorang lelaki selesai menunaikan solat, namun tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini soheh. Lihat. Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1978).
5. Perlu disedari bahawa Allah mensyariatkan banyak solat sunat untuk kita lakukan. Di antara manfaat solat sunat ialah ia akan menampung kekuarangan dalam solat fardhu kita. Oleh demikian, cara untuk menampung kekurangan dalam solat fardhu bukanlah dengan mengulanginya (kerana kita ditegah mengulangi solat fardhu tanpa sebab), akan tetapi dengan kita banyak melakukan solat-solat sunat.6. Menurut ulamak; Solat fardhu yang telah dilakukan tidak harus diulangi semula kecuali dengan sebab-sebab berikut;
a) Kerana kita menemui jamaah. Contohnya; kita telah menunaikan solat zohor tetapi secara berseorangan. Kemudian kita menemui ada jamaah ingin menunaikan solat zohor berjamaah. Maka harus kita solat semula zohor dengan jamaah itu kerana kita mendapat yang lebih baik.
b) Kerana kita mendapati solat fardhu yang kita lakukan tidak sah seperti belum masuk waktu, ada najis di pakaian atgau ada rukun yang tertinggal (dan telah berlaku masa yang lama baru kita mengingatinya, yakni telah lama kita memberi salam).
c) Kerana ingin membantu orang lain bagi mendapatkan jamaah. Contohnya; kita telah pun solat bersama jamaah. Kemudian ada seorang masuk ke masjid dan mengajak kita untuk solat bersamanya bagi membolehkannya mendapat pahala jamaah, maka harus kita solat bersamanya sekali lagi dan kita akan mendapat pahala membantu orang lain di samping pahala solat.

Wallahu a’lam.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Panel Syariah HPA

25 June 2011 Posted by | Ibadah | , , | Leave a comment

   

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 149 other followers

%d bloggers like this: