Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Perbahasan mengenai Hukum Tahaluf Siyasi dalam Gerakan Islam


PENGERTIAN TAHALUF SIASI

Bekerjasama dengan organisasi lain atau gerakan-gerakan lain yang tidak bermatlamatkan islam untuk membina sebuah kerajaan. Kerjasama ini berlaku terhadap apa jua bidang yang telah dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

HUKUM TAHALUF SIASI

Ulama’-ulama’ gerakan telah memberi pandangan yang berbeza dalam mengeluarkan hukum bekerjasama dengan gerakan atau organisasi yang tidak bermatlamatkan perjuangan islam.

1.   HARAM

Antara ulama’ yang mengharamkan Tahaluf siasi antaranya adalah Syeikh Muhammad Qutb dan Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah. Ini berdasarkan beberapa hujah dan dalil :


Firman Allah SWT:


يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَـرَى أَوْلِيَآءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الظَّـلِمِينَ – فَتَرَى الَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَـرِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِىَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُواْ عَلَى مَآ أَسَرُّواْ فِى أَنفُسِهِمْ نَـدِمِينَ

Yang bermaksud :” Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka”. Surah al-maidah ayat 51dan52.(1)

Ayat di atas menjelaskan kerjasama dalam gerakan islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis ketaatan  (wala’) kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

Firman Allah :


يَسْـئَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَـفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا وَيَسْـئَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذلِكَ يُبيّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيَـتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Bermaksud : “Mereka bertanya kepada kamu tentang arak dan judi. Katakanlah, pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah yang lebih dari keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat kepadamu supaya kamu berfikir”. (Surah al-Baqarah ayat 219).(2)

Berdasarkan ayat di atas “الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَـفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ, ayat ini menerangkan berkenaan pengharaman arak dan judi. Jika kita lihat dari sudut tahaluf siyasi, bekerjasama dengan kaum bukan islam kemungkinan akan mendatangkan manfaat dari beberapa sudut, akan tetapi di lihat dari sudut yang lain iaitu kearah menegakkan hukum-hukum Allah, ianya pasti tidak akan tercapai.

Maka kesimpulannya, kerjasama dengan dua gerakan yang berbeza akan menyebabkan terencatnya usaha gerakan islam dalam menegakkan daulah islamiyah. Oleh itu kerjasama ini adalah haram kerana ianya lebih banyak mendatangkan mudharat daripada mendapat manfaat. (3)

2.   HARUS


Para Ulama’ Haraki telah mengharuskan tahaluf siasi dalam gerakan islam antaranya Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Doktor Munir Muhammad al- Ghahdban.(4) Keharusan tahaluf siyasi dengan kerjasama gerakan yang bukan islam boleh di bahagikan dalam beberapa perkara dan hujah-hujahnya.

Bekerjasama dengan bukan islam dalam politik aman (siasah dakwah silmiyah).

Pertama :
BEKERJASAMA UNTUK MELINDUNGI DAKWAH DAN PENDAKWAH.

Adalah di benarkan kepada seorang pendakwah untuk meminta pertolongan demi menjaga maslahah da’awiyah dan penda’wah itu sendiri agar keselamatan diri terjamin dan kerja dakwah berterusan.

Namun, keharusan itu di syaratkan dengan beberapa perkara : (5)

* Orang bukan islam di yakini amanahnya untuk merialisasikan kerja-kerja da’wah

* Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut pengabaian kepada beberapa prinsip islam

* Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut kita berdiam diri dari berkata benar atau setuju dengan kebatilan

* Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu bermuka-muka dengan kafir atau memuji kekufuran mereka

* Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu penguasaan orang kafir ke atas orang islam  dengan membawa kepada kemudharatan kepada penda’wah.

Contoh keharusan bekerjasama dengan mereka dengan tujuan maslahah dakwah dan pendakwah itu sendiri:

1.Nabi Muhammad SAW bersama dengan Abu Talib

   Seperti yang kita semua maklum, Abu Talib tetap berlembut dengan Nabi SAW dalam apa jua keadaan. Pihak Quraisy berkali-kali meminta agar Abu Talib menasihati Nabi Muhammad agar tidak menyentuh perihal berhala mereka, tetapi Nabi tetap tegas untuk menjalankan da’wahnya. Melihat  pendirian Nabi SAW, berkata Abu Talib : "Pergilah,wahai anak saudaraku.serulah kepada orang ramai apa yang kamu suka(da’wah islam) Demi Tuhan, aku tidak akan serahkan engkau kepada sesiapa juga selama-lamanya”

Berkata Imam Ibnu Kathir : " Hikmah yang bgitu besar kepada Islam dan Rasulullah SAW di sebalik kufur Abu Talib ialah kekuatannya sebagai benteng utuh da’wah Nabi yang sentiasa mempertahankan Nabi. Seandainya Abu Talib masuk Islam, sudah pasti orang Quraisy tidak akan mempedulikan kemuliaan ,kebesaran dan penghormatan yang ada pada peribadi Abu Talib. Mereka akan menghapuskan Nabi SAW serta Abu TAlib dengan kekerasan dan cemuhan jahat mereka.

Perlindungan yang di berikan Abu Talib kepada Nabi Muhammad bukanlah  ketika di saat getir sahaja bahkan dalam segenap sudut sehinggakan Nabi menjadi terlalu sayang kepada beliau.Ini dapat di buktikan bila mana meninggalnya Abu Talib, Nabi menjadi terlalu sedih.

Jelaslah, bahawa bukan kerana hubungan darah daging sahaja, tapi kerana jasa dan pengorbanan yang di berikan oleh beliau. Sekiranya darah daging di jadikan ukuran, ini kurang tepat kerana Nabi tidak melakukan perkara yang sama pada Abu Jahal dan Abu Lahab.

2.Nabi SAW dengan Al-Najasyi (seorang Nasrani)

Setelah bertimpa-timpa ujian yang di hadapi kaum muslimin mekah sehingga sampai ke tahap akidah mereka di permain-mainkan, Rasulullah mengarahkan sahabat-sahabat untuk berhijrah ke Habsyah. Al-Habsyah negeri yang di perintah oleh seorang raja yang bernama  An-Najasyi, beragama Nasrani, orangnya adil dalam memerintah negara.

Penghijrahan ini membuktikan bahawa harus bagi kerajaan islam atau individu muslim meminta bantuan daripada bukan Muslim dalam misi menjaga Dakwah Islam, maslahah muslimin ketika suasana dharurat atau  hajat syar’iyah.

Banyak lagi contoh yang boleh di ambil sebagai panduan yang menyatakan bahawa harus dalam bertahaluf siasi dengan bukan islam, seperti sahabat-sahabat Nabi meminta perlindungan daripada sanak saudara yang kafir dari serangan  musyrikin Mekah.

Jadi, kesimpulannya adalah HARUS bagi kerajaan islam dan individu muslim untuk meminta bantuan atau pertolongan  daripada bukan islam bagi tujuan memelihara dakwah islamiah dan diri pendakwah apabila di perlukan apatah lagi ketika darurat demi maslahah Islam.

Keharusan ini berpandukan beberapa SYARAT :

Syarat 1 : Hendaklah kafir itu boleh di percayai untuk merialisasikan tujuan yang di maksudkan.mungkin dengan perjanjian, perbincangan dan sebagainya.

Syarat 2 : Janganlah kerjasama itu berisiko yang boleh mengakibatkan prinsip islam  atau dasarnya tergadai atau terpaksa di kesampingkan.

Syarat 3 : Janganlah kerjasama itu terdapat unsur bermuka-muka, hipokrit dengan orang kafir.

Syarat 4 : Janganlah kerjasama itu mengakibatkan amar makruf nahi mungkar terabai.

Syarat 5 : Janganlah di sebalik kerjasama itu akan menyebabkan penguasaan orang kafir ke atas islam atau menyebabkan islam redha dengan agama mereka atau membenarkan serta mengiyakan kesyirikan yang berlaku.

Kedua :
BEKERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM SEBAGAI PEMBANTU DALAM POLITIK

Para fuqaha telah berijma’ mengenai hukum harus bekerjasama atau meminta bantuan orang kafir untuk menunjuk arah tentera muslimin dalam peperangan,menunjukkan kubu-kubu pertahanan musuh,dengan tujuan memperkasakan lagi kekuatan tentera musimin.

Berkata Ulama’ Hanafi, Maliki, Syafi’ dan Hambali : Haram ke atas kita meminta bantuan dari kafir dalam berjihad,tetapi di haruskan seumpama meruntuh kubu musuh,menggali terowong,atau mengoperasikan manjanik alat melontar batu besar seperti lastik atau sebagainya.(6)

Ketiga :
KERJASAMA YANG TIDAK MENGGADAIKAN PRINSIP-PRINSIP UTAMA SYARA’

Contohnya akidah dan perundangan (hudud). Contoh yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dimana Nabi SAW banyak membuat pakatan kerjasama dengan Bani-bani arab untuk menguatkan kerajaaan Madinah dalam menghadapi ancaman berterusan dari Musyrikin Quraisy.

Keempat :
MANFAAT ATAU FAEDAH YANG BOLEH DITERIMA OLEH BUKAN ISLAM

  Pertama : Hak-hak yang wajib di berikan kepada mereka

1. Wajib menunaikan hak mereka sebagai rakyat sepertimana muslim.

2. Di berikan sejumlah daripada ghonimah

3. Memelihara keamanan mereka dan melepaskan tawanan di kalangan mereka

Kedua : Hak-hak yang tidak boleh di berikan kepada bukan muslim

1. Berperang dengan mereka menentang musuh mereka ynag bukan muslim

2. Membekalkan senjata kepada bukan muslim

3. Memberikan gelaran syahid kepada mereka

JAWAPAN TERHADAP GOLONGAN YANG MENGHARAMKAN TAHALUF SIASI

Terdapat dalil-dalil dan pandangan yang boleh di jadikan hujah untuk menolak golongan yang mengharamkan tahaluf siasi, antaranya ialah :

1. Berdasarkan ayat al-Quran yang digunakan  sebagai hujah iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. Konsep tahaluf siasi tiada kena mengena dalam ayat ini tetapi ianya di tujukan kepada orang yang keluar dari gerakan Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.(7)

2. Berdasarkan ayat 219 dari surah al-Baqarah, ianya juga tiada kaitan dengan pengharaman tahaluf siyasi. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti islam seperti Mesir, Yaman dan Negara islam yang lain manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Jadi di dalam masalah manfaat dan mudharat ini,mestilah di lihat dan di kaji serta dipertimbangkan berdasarkan keadaan  semasa yang berlaku.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan di atas, dapatlah di fahami  bahawa hukum bekerjasama dengan bukan islam adalah HARUS dari sudut syara’ selama mana ia memberikan kemaslahatan umum mengatasi kemudharatan.

 

 

Disediakan oleh :

FELO MANHAL PMRAM

      1.  Dayang Siti Nuraini binti Awang Damit Yahya

2.  Syahidatul Akmal binti Mohd Dahlan

      3.  Hanisah binti hj. Muslim

      4.  Nor Eina binti Md. Ali

______________________________

RUJUKAN

1.  Al-Quran al-Karim, surah al-Maidah ayat 51dan52
2.  Al-Quran al-Karim. Surah al-Baqarah ayat 219
3.  Kitab Waqiunal Maasir oleh Muhammad Qutb (2004),(m/s 465)
4.  Doktor Munir Muhammad al- Ghahdban, kitab al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, (m/s 114-116)
5.  Majalah As-Syari’ah Wa Ad Dirasat Al-Islamiyah,tajuk:Al-Isti’anah Bi al-Kuffar,Dr Muhammad Uthman Shubair,m/s(242),cetakan Universiti Kuwait,tahun:1407H/1987M
6.  Al –Bidayah Wa An-Nihayah,Ibnu Kathir,(3/41),cetakan ;Dar al- Maarif,Beirut,tahun 1980
7.  Tafsir Ibnu Kathir, jilid 2, (m/s 69-70)

About these ads

29 October 2012 - Posted by | Politik dan Dakwah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 151 other followers

%d bloggers like this: