Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Soal jawab sekitar solat


1. SOALAN :

  1. Berkenaan dengan semua perkara berkenaan solat sunat. Adakah perlu membaca Doa Iftitah?
  2. Solat sunat Rawatib, perlukah membaca surah pendek selepas Al Fatihah seperti solat fardhu?

JAWAPAN :

  1. Disunatkan membaca doa iftitah dalam solat sunat kerana Rasulullah S.A.W. tidak pernah meniggalkannya walaupun dalam solat Sunat.
  2. Sunat membaca surah selepas al-Fatihah di dalam solat sunat Rawatib.

2. SOALAN :

Persoalan saya berkaitan dengan sembahyang Jumaat ditempat saya mengajar, Untuk makluman SMK Batang Igan merupakan sekolah yang berada ditepi sungai dan mengambil masa sejam perjalanan untuk ke bandar atau pekan berhampirn menggunakan jalan air. Kawasan sekolah tidak mempunyai kemudahan masjid untuk orang Islam kerana majoritinya kaum Iban yang bukan Islam, dan permasalahan utama ialah status sembahyang Jumaat di tempat saya bertugas tu bagi guru lelaki yang muslim. Memang pada dasarnya, syarat wajib sembahyang Jumaat sudah gugur kalau mengikut syarat kewajipan solat Jumaat, tetapi saya musykil, sebab ada banyak pendapat samada perlu, ditunai atau tidak solat Jumaat itu. Ada pendapat yang mengatakan perlu dilakukan cukup sekadar jemaah yang ada. Apa-apa pun saya berharap agar pihak tuan dapat memberi pandangan atau kata putus bagi permasalahan ini.

JAWAPAN :

Apabila seseorang muslim mempunyai 7 syarat wajib (Islam, Baligh, Berakal, Merdeka, Lelaki, Sihat tubuh badan dan bermukim) maka wajiblah dia menunaikan Solat Jumaat. Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut hanya akan sah apabila memenuhi 4 Syarat sah yang berikut :

a) Didirikan di dalam kawasan binaan sama ada di bandar atau  kariah.

b) Bilangan jamaah tidak kurang daripada 40 orang yang memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.

c)  Didirikan dalam waktu Zuhur.

d) Didirikan satu Jumaat sahaja dalam satu kariah.

Bagi seseorang yang bermusafir bagi perjalanan 92km (2 marhalah) maka gugurlah kewajipan menunaikan solat Jumaat.

3. SOALAN:

Pada waktu Subuh saya pergi solat ke masjid yang jauhnya lebih kurang 6 KM dan meninggalkan surau di tempat saya. Adakah salah perbuatan saya ini?

JAWAPAN:

Tidak menjadi satu kesalahan untuk saudara pergi bersolat di masjid yang agak jauh selagi ianya tidak mendatangkan kesulitan dan tidak menghalang saudara dari berjemaah. Dalam sebuah hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda:

‘’Sesungguhnya seseorang yang lebih banyak dapat pahala dalam solat adalah orang yang lebih jauh perginya ke tempat itu.”

4. SOALAN:

  1. Bagaimankah susunan di dalam solat jika imam ialah perempuan (ibu) dengan makmum lelaki (anak) dan anak perempuan (yang belum baligh)?
  2. Adakah diniatkan imaman sekiranya ibu sebagai imam, sedangkan anak-anaknya belum baligh.

JAWAPAN:

1. Susunan makmum dalam solat adalah seperti berikut:

a)Imam (lelaki)

b)Makmum lelaki dewasa

c)Makmum kanak-kanak-lelaki

d)Makmum perempuan dewasa

e)Makmum kanak-kanak perempuan

2.Imam perempuan hanya untuk makmum perempuan sahaja. Jika anak lelaki puan sudah pandai solat walaupun belum baligh adalah lebih baik dia yang menjadi imam. Ini kerana apabila budak kecil itu sudah pandai berfikir dan dia cukup syarat sah solat maka sah dia menjadi imam kepada lelaki dan perempuan yang baligh.

Ini berdasarkan hadith dari sahabat Nabi S.A.W. Amru bin Salamah R.A.,

Beliau berkata:“Aku menjadi imam di zaman Rasulullah S.A.W. ketika aku masih berumur tujuh tahun.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tetapi jika anak puan belum pandai solat, puan bolehlah solat bersendirian dan anak-anak puan bolehlah sekadar mengikut dibelakang sebagai proses pembelajaran.

5. SOALAN:

Saya berasal dari Semenanjung dan bekerja di Lawas, Serawak.

Saya berada di Lawas selama 20-23 hari dan balik ke Semenanjung selama 7-10 hari.(Jumlah 30hari)
Apakah kedudukan saya untuk menunaikan solat jamak dan qasar.

Adakah saya dibolehkan jamak qasar selama 3 hari di Semenanjung semasa balik dan 3 hari di Sarawak semasa bekerja. Diharap mendapat penjelasan dari pihak tuan.

JAWAPAN:

Berhubung dengan solat jamak dan qasar yang dikemukakan oleh pihak tuan ialah sekiranya tuan telah mengetahui lebih awal berapa hari tuan akan singgah ke sesuatu tempat seperti 20-23 hari di Lawas dan Semenanjuang 7-10 hari, maka tuan tidak boleh  mengerjakan solat jamak dan qasar  kerana telah dikira bermukim. Akan tetapi sekiranya tuan bermusafir tidak melebihi tempoh 5 hari termasuk hari perjalanan pergi dan balik sama ada ke Lawas mahupun Semenanjung, maka dibolehkan tuan untuk solat jamak dan qasar. Walau bagaimanapun ketika dalam satu-satu masa perjalanan yang melebihi 2 marhalah (90 km) yang dianggap musafir, maka tuan boleh mengqasar dan menjamakkan solat.

6. SOALAN:
Saya ada mendengar seorang ustaz mengajar sekiranya ada sebesar sebiji nasi dalam mulut ketika solat dan sekiranya ditelan tidak membatalkan solat? Mohon jawapan dari tuan, Sekian terima kasih.

JAWAPAN:

Makan dengan sengaja sama ada lebihan di celah gigi tersebut banyak atau sedikit akan membatalkan solat. Imam an-Nawawi menyatakan di dalam kitab al-Majmuk bahawa :

“solat akan terbatal jika menelan makanan yang terselit di celah gigi dengan sengaja. Dan tidak batal jika bukan sengaja hendak menelan air liur yang bercampur dengan lebihan makanan”.

7. SOALAN:

Bolehkah zikir selepas solat Subahanallah.Alhamdullilah dan Allahhuakbar digabung dibaca 33 kali. Ada imam yang lakukan demikian.

JAWAPAN:

Zikir Subahanallah, Alhamdullilah dan Allahuakbar  boleh digabung dalam satu bacaan.

8. SOALAN:

Bagaimanakah dan apakah kaedah yang diguna pakai untuk kita menentukan arah kiblat di dalam rumah dan lain-lain?

JAWAPAN:

Terdapat banyak kaedah untuk menentukan arah kiblat. Walau bagaimanapun kaedah yang paling mudah ialah melalui fenomena Istiwa’ Utama Matahari di Kaabah.

Bagi Negara Malaysia, fenomena ini akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang.

Pada waktu tersebut pihak tuan dinasihatkan memacak sebatang kayu yang lurus di atas tanah. Arah kiblat adalah arah yang bertentangan dengan arah bayang kayu tersebut.

Selain dari tiang yang anda pacakkan, anda juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang tegak untuk menyemak arah kiblat ketika itu. Oleh kerana waktu yang sepadan di Malaysia aebelah petang, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah yang menghadap ke barat.

9. SOALAN:

Semasa saya pergi Out Station, Saya beimamkan dengan seorang imam yang sama-sama musafir bersama saya untuk menunaikan Solat Jamak. Ketika itu, imam tersebut menunaikan solat zuhur 4 rakaat dan selepas memberi salam kami solat asar 4 rakaat pada waktu yang sama. Adakah solat kami itu sah dari hukum syarak? Harap Ustaz dapat jelaskan.

JAWAPAN:

Solat yang tuan lakukan adalah sah.

i. Sebagai panduan, untuk melakukan solat  jamak (menghimpunkan), syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi:

  1. Musafir melebihi 2 marhalah atau 56 batu (92 kilometer)
  2. Perjalanan yang dilakukan bukan bertujuan maksiat.
  3. Solat yang boleh dijamak ialah zohor dan Asar, maghirib dan Isyak atau sebaliknya.
  4. Berniat jamak
  5. Berturut-turut
  6. Tertib (mendahului solat yang masuk waktunya dahulu)

ii.  Kekal dalam perjalanan itu hingga selesai takbiratulihram solat yang kedua.

Selain daripada jamak, tuan juga boleh mengqasarkan (memendekkan) solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir. Solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak. Syarat-syarat sahnya ialah;

  1. Solat yang hendak diqasarkan adalah solat yang 4 rakaat.
  2. Jarak perjalanan sekurang-kurangnya 2 marhalah.

iii.  Hendaklah dia mengetahui bahwa hukum  solat qasar itu adalah harus baginya.

iv.  Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.

  • Solat yang diqasarkan mestilah dilakukan dalam waktunya sendiri seperti mengqasar solat Zuhur dalam waktu Zuhur dan tidak boleh diqasarkan solat Zuhur dalam waktu Asar.

10. SOALAN:

Saya ingin tahu waktu sebenar dari mula hingga akhirnya ikut kiraan jam bagi waktu untuk solat sunat dhuha bagi bahagian Mukah.

Mengikut syarak waktu Dhuha bermula  apabila matahari naik setinggi satu galah selepas terbit.

Pengiraan Waktu Dhuha secara astronomi adalah berdasarkan formula Waktu Syuruk ditambah dengan satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan Waktu Subuh atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan ia berakhir setelah masuk waktu Zuhur.

Contoh pengiraan berdasarkan formula astronomi;

Waktu Dhuha   =   Waktu Syuruk + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh)

Contoh Jadual Waktu Sembahyang di Mukah (Zon 4) pada 16 Mac 2011 ;

Waktu Syuruk:  0638 pagi

Waktu Subuh :  0524 pagi

Waktu Dhuha di Mukah pada 16 Mac 2011 ialah :

Waktu Syuruk ( 0638 pagi) + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh) (0638 pagi – 0524 pagi = 1jam 14 Minit @ 74 minit)

= 0638 pagi + 1/3 (74 Minit)

= 0638 pagi + 25 minit

= 0703 pagi.

11. SOALAN:

Saya ke surau hendak berjemaah solat zuhur tetapi tiada orang lain yang datang, 10 minit kemudian saya meneruskan solat secara bersendirian. Kemudian datang seorang hamba Allah terus menjadi makmum dan apa hukumnya, sedangkan saya tidak berniat sebagai imam.

JAWAPAN:

Sah solat yang dilakukan oleh tuan dan makmum tersebut. Menurut Syarak makmum wajib berniat mengikut imam sedangkan imam tidak wajib berniat menjadi imam. Walau bagaimanapun, untuk mendapat pahala berjamaah imam hendaklah berniat menjadi imam pada waktu tersebut.

12. SOALAN:

Ketika imam sedang solat jemaah, makmum terlihat pakaian imam terkena najis. Bagaimanakah caranya makmum hendak menegur imam.

JAWAPAN:

Makmum yang mengetahui dengan yakin hal keadaan imam yang sedemikian (pakaian bernajis) diwajibkan berniat mufaraqah. Setelah selesai solat makmum tersebut hendaklah memaklumkan kepada imam dan imam wajib mengulangi solatnya. Bagi makmum yang tidak mengetahui ketika solat tersebut didirikan solatnya adalah sah.

13. SOALAN:

Semasa di alam remaja, seseorang itu berkelakuan nakal dan memiliki tatu..selepas di alam dewasa beliau telah bertaubat dan telah dilantik oleh pegawai masjid sebagai imam dan pada masa yang sama segelintir makmum berasa was-was untuk berjemaah. Apakah hukumnya?

JAWAPAN:

Seorang yang telah bertaubat dan tatu tersebut tidak dapat dihilangkan walaupun beliau telah berusaha layak untuk menjadi imam dalam solat. Para makmum hendaklah berimam dengan imam tersebut tanpa was-was.

14. SOALAN:

Apakah hukumnya memakai wangian beralkohol dalam solat?

JAWAPAN:

Wangian beralkohol adalah diharuskan penggunaannya. Jika alkohol tersebut yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Sementara alkohol yang terhasil dari lebihan proses pembuatan makanan seperti tapai sama ada daripada ubi kayu atau pulut ianya adalah tidak najis dan harus dimakan.

15. SOALAN:

1.Solat adalah kewajipan ke atas tiap-tiap orang Islam. Apakah kewajipan ini masih fardhu ke atas orang tua yang agak nyanyuk?

2. Bagaimana keadaan sembahyang orang tua yang sudah agak nyanyuk tetapi dia masih ingin sembahyang, masalahnya sembahyang yang dilakukannya itu tidak cukup rukun seperti sembahyang 4 rakaat jadi 3 rakaat. Sembahyang berjamaah tetapi dia dahulu daripada imam kerana kenyanyukannya.

JAWAPAN:

Sembahyang wajib ke atas umat Islam yang mencapai umur dewasa (baligh) serta berakal, yang tidak ada sebarang halangan seperti haid dan nifas. Syarat wajib solat ialah :

1) Islam

2) Baligh

3) Berakal

Menurut jumhur ulama’ sembahyang tidak wajib ke atas orang gila, terencat akal dan yang seumpamanya seperti orang pengsan, kecuali jika dia sedar dan masih ada lagi waktu sembahyang. Ini disebabkan berakal adalah tanda mukallaf, sebagaimana hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Tiga orang yang tidak dikira sebagai bertanggungjawab ke atas perbuatannya iaitu orang gila sehingga ia siuman dan orang tidur sehingga ia sedar daripada tidurnya dan kanak-kanak sehingga ia bermimpi (baligh).”

(Hadis riwayat : Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)

16. SOALAN:

Assalaamu’alaikum wbt. saya nak bertanya tentang hukum seseorang yang bertatu dan kemudian dia bertaubat serta melakukan solat..adakah sah solatnya diterima Allah atau tidak. Adakah tatunya perlu dibuang habis dahulu..dan bagaimana dengan mandi junubnya adakah ia sah. Sekian harap tuan dapat membalas pertanyaan saya ini…terima kasih.

JAWAPAN:

Solat dan mandi hadas (junub) nya sah. Walau bagaimanapun tuan dinasihatkan berusaha untuk membuang tatu tersebut jika mampu dan tidak memudaratkan.

17. SOALAN:

Saya salah seorang guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Isu solat Jumaat merupakan isu hangat bagi guru-guru yang mengajar jauh di kawasan pedalaman di sarawak. Seperti mana yang kita ketahui meniggalkan solat jumaat adalah tidak boleh sama sekali kecuali di sebabkan keuzuran atau sakit. Ada juga yang menyatakan jangan lebih dari tiga kali berdasarkan hadis yang tidak sahih. Seperti mana yang saya fahami dan lakukan selama ini sekirannya tidak berkesempatan semasa keluar hari Jumaat saya singgah di masjid yang dilalui sekiranya tidak sempat saya cuma solat zuhur sahaja. Ada juga rakan ustaz yang saya tanya, sekiranya perjalanan yang kita lalui ada masjid ataupun surau maka wajib untuk kita kerjakan solat. Boleh tak jelaskan hadis mana yang patut kita ikuti. Adakah boleh kita selang selikan minggu dalam bulan semasa untuk keluar bersolat ini adalah kerana kita cuma keluar ke bandar 2 minggu sekali. Sekian terima kasih.

JAWAPAN:

Apabila seseorang muslim sudah cukup 7 syarat wajib (Islam, Baligh, Berakal, Merdeka, Lelaki, Sihat tubuh badan dan bermukim) maka wajiblah dia menunaikan Solat Jumaat. Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut hanya akan sah apabila memenuhi 4 Syarat sah yang berikut :

a) Didirikan di dalam kawasan binaan sama ada di bandar atau kariah.

b) Bilangan jamaah tidak kurang daripada 40 orang yang memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.

c)  Didirikan dalam waktu zuhur.

d) Didirikan satu Jumaat sahaja dalam satu kariah.

Bagi seseorang yang bermusafir bagi perjalanan 92km (2 marhalah) maka gugurlah kewajipan menunaikan solat Jumaat.

Hadis mengenai meninggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut ialah:

“Sesiapa yang meninggalkan tiga kali sembahyang Jumaat kerana mengambil ringan terhadapnya, nescaya Allah akan menutupkan hatinya”

(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

18. SOALAN:

Ketika sembahyang sunat ada orang yang begitu cepat rukuk dan  sujud nya. Pada perkiraan saya jika dibaca ayat ketika rukuk dan  sujud sebanyak 3 kali tidak lah sepantas itu. Persoalaan saya ialah wajib atau sunat dibaca ayat ketika sujud dan rukuk itu sebanyak 3 kali atau memadai dengan baca sekali sahaja.

JAWAPAN:

a)    Rukuk  dan sujud merupakan rukun solat dan jika ditinggalkan  maka solat akan terbatal. Tetapi bacaan dalam rukuk dan sujud adalah sunat hai’ah (iaitu jika ditinggalkan tidak sunat digantikan dengan sujud sahwi) dan solat itu sah.

19. SOALAN:

Mengqasar dan menjamak sembahyang. Apabila kita berjalan jauh. contohnya saya dari Limbang pergi ke Miri dan bermalam di miri selama 2 malam. Bolehkah saya mengqasar atau menjamak solat apabila sudah bermalam di Miri?

JAWAPAN:

Sebagai panduan , untuk melakukan solat  jamak (menghimpunkan), syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi;

a)    Musafir melebihi 2 marhalah atau 56 batu (92 kilometer).

b)   Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula  sampai dan pada hari akan keluar.

c)    Perjalanan yang dilakukan bukan bertujuan maksiat.

d)   Solat yang boleh dijamak ialah zohor dan Asar, maghirib dan Isyak atau sebaliknya.

e)    Berniat jamak.

f)    Berturut-turut.

g)   Tertib (mendahului solat yang masuk waktunya dahulu).

h)   Kekal dalam perjalanan itu hingga selesai takbiratulihram solat yang kedua.

Selain daripada jamak, tuan juga boleh mengqasarkan (memendekkan) solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir. Solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak. Syarat-syarat sahnya ialah;

a)  Solat yang hendak diqasarkan adalah solat yang 4 rakaat.

b)   Jarak perjalanan sekurang-kurangnya 2 marhalah.

c)    Hendaklah dia mengetahui bahwa hukum  solat qasar itu adalah harus baginya.

d)   Mestilah berniat qasar ketika takbirratul ihram.

e)    Solat yang diqasarkan mestilah dilakukan dalam waktunya sendiri seperti mengqasar solat Zuhur dalam waktu Zuhur dan tidak boleh diqasarkan solat Zuhur dalam waktu Asar.

20. SOALAN:

Tuan, apakah hukum air liur manusia. Adakah ianya najis atau tidak?. Sekiranya najis apakah sisa makanan yang ada dalam mulut kemudian diludahkan sedikit ketika solat dan terkena baju. Adakah solat itu sah atau tidak?

JAWAPAN:

Air liur manusia bukanlah dikira sebagai najis, tetapi haram dimakan kerana dianggap jijik. Maka sah solat yang didirikan sekiranya air liur tersebut terkena baju.


21. SOALAN:

Saya dengar pak imam baca surah selepas Al-Fatihah tidak betul tajwid, saya baru lagi di surau berkenaan. Macam mana tu?

JAWAPAN:

Tajwid itu sememangnya penting dalam bentuk yang sederhana. Al-Quran adalah kalam Allah S.W.T. dan kita seharusnya membaca dengan betul.  Sekiranya kesalahan bacaan tidak sampai mengubah makna dan telah cuba dibaca mengikut kemampuan, maka tidaklah kesalahan itu menjadi  bebanan kepada pembaca. Tuntutan kepada kefahaman terutamanya al-Fatihah di dalam solat adalah lebih perlu diutamakan.

22. SOALAN:

Saya pernah tindih telinga….sekiranya telinga yang saya tindih sudah tertutup….bolehkah saya menjadi imam?

JAWAPAN:

Boleh menjadi imam bagi yang pernah bertindik kerana ia bukan daripada syarat sah untuk menjadi imam. Walau bagaimanapun, bertindik merupakan amalan bagi wanita dan diharamkan bagi lelaki untuk meniru wanita. Melakukan perbuatan haram secara berterusan adalah perbuatan orang yang fasiq.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sarawak

About these ads

28 April 2012 - Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) |

11 Comments »

  1. Makmum yang mengetahui dengan yakin hal keadaan imam yang sedemikian (pakaian bernajis) diwajibkan berniat mufaraqah. Setelah selesai solat makmum tersebut hendaklah memaklumkan kepada imam dan imam wajib mengulangi solatnya. Bagi makmum yang tidak mengetahui ketika solat tersebut didirikan solatnya adalah sah.
    saya pengin tahu uraian diatas diambil dari kitap apa??makasih

    Comment by ahmadrifai | 20 January 2013 | Reply

    • Salam sdr Ahmadrifai,
      Terima kasih di atas pertanyaan sdr.Soal Jawab Sekitar Solat ini bersumber dari Jabatan Mufti Negeri Sarawak – http://www.muftinegeri.sarawak.gov.my/modules/web/page_print.php?id=80.Kita yakin Jabatan Mufti ambil dari sumber sumber yang sahih.

      Tuan boleh rujuk kitab kitab Fiqh mengenai permasaalah ini saperti di antaranya kitab Sabilal Muhtadin dan kitab jawi, Bughyatut Tullab, karangan Syeikh Daud Bin ‘Abdullah Bin Idris Al Fathoni ( halaman 181 Juz I ).Wallahu aqlam.

      Comment by amri el wahab | 21 January 2013 | Reply

  2. kenapa nak jamak/ sekarang ni bukan jalan kaki atau naik lembu . masjid banyak, surau banyak. pemalas korang ni.

    Comment by johari mad sani | 1 November 2012 | Reply

    • Salam sdr Joharisan,

      Terima kasih di atas persoalan anda dan jawapan nya adalah saperti berikut:

      Adakah dengan keadaan semasa yang aman damai, masjid dan surau pun banyak maka sembahyang qasar ini tidak disyari’atkan
      lagi?

      Untuk menjawab persoalan ini kami membawa sebuah riwayat dari Ya’laa bin Umayyah radhiallahu ‘anhu, dia berkata:

      Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radhiallahu ‘anhu berkenaan dengan firman Allah “maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir” ; sedangkan pada masa sekarang ini manusia telahpun berada dalam keadaan aman.” Umar menjawab: “Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang hal ini lalu baginda bersabda: “Itu adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian maka terimalah sedekahNya.” ((Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunan Abu Dawud, Kitab alShalah, hadis no. 1014. Peristiwa yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shalah al-Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 686 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam Sunan alTirmidhi, hadis no. 2960)

      Di atas keumuman lafaz firman Allah Subhanahu wa Ta’ala tersebut dapat kita fahami bahawa apabila seseorang itu berada dalam satu perjalanan yang dianggap sebagai safar, secara automatik dia dibenarkan untuk mengqasarkan sembahyang tanpa sebarang syarat tambahan.

      Comment by amri el wahab | 1 November 2012 | Reply

  3. Assalamualaikum…
    maaf menggangu.. saya lupa tadi.. ini soalan yang kedua..
    Adakah dosa anak perempuan yang belum baligh ditanggung oleh ibu bapanya? Atau sememangnya dia tidak ada dosa walaupun dia telah membuat perkara-perkara yang tidak baik seperti meninggalkan solatnya?

    tolong jelaskan kepada saya secepat yang mungkin.. :)

    terima kasih.. kerana telah banyak membantu..

    Comment by kitten56 | 29 September 2012 | Reply

    • Assalamualaikum..

      Adakah anak perempuan yang belum baligh berdosa jika dia meninggalkan solatnya dan telah membuat perkara-perkara yang tidak baik? atau dia memulakan tanggungjawabnya(mendapat dosa jika berbuat salah) jika dia telah baligh sahaja?

      Comment by Siti Fairuz Sakinah Binti Zaini | 29 September 2012 | Reply

      • Jawapan
        Salam,
        Anak yang belum baligh dosanya ditanggung oleh kedua ibubapanya.Sebaliknya
        jika ia telah baligh ia sendiri yang akan menanggung dosanya.

        Comment by amri el wahab | 30 September 2012 | Reply

    • Salam,
      Anak yang belum baligh dosanya ditanggung oleh kedua ibubapanya.Sebaliknya
      jika ia telah baligh ia sendiri yang akan menanggung dosanya.

      Comment by amri el wahab | 30 September 2012 | Reply

  4. assalamualaikum..
    saya ingin bertanya..
    jikalau anak perempuan yang belum baligh.. adakah wajib baginya untuk solat? Jikalau dia meninggalkan solatnya.. adakah berdosa?

    boleh saudara jelaskan.. saya betul2 ingin tahu..

    Comment by Siti Fairuz Sakinah Binti Zaini | 29 September 2012 | Reply

  5. Salam..

    jawapan (e ) kepada soalan no.19 mengelirukan..

    setahu sy dan dri rujukan dari buku yg saya baca, jika kita melakukan jamak taqdim atau jamak takhir, dibolehkn mengqasar kedua2 solat..

    boley saudra jelaskn dengan lebih terperinci..

    Comment by mohd idham | 29 July 2012 | Reply

    • Salam sdr Mohd Idham,
      Apa yang di maksudkan di 19 (e) ialah solatnya orang yang bermusafir yang tidak melakukan solat jamak.Mungkin dia lebih gemar melakukan solat qasar sahaja.Maka dalam keadaan ini solat Qasarnya wajib di tunaikan pada waktunya.Saperti solat qasar zuhur dikerjakan pada waktu zohor dan seterusnya.

      Comment by amri el wahab | 30 July 2012 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 152 other followers

%d bloggers like this: