Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Syirik – adakah ada harapan Allah menerima taubat

Soalan; ustaz, saya nak minta penjelasan mengenai perbuatan-perbuatan syirik. Perbuatan ini amat menggerunkan kerana kita tahu ianya satu-satunya dosa besar yang tidak diampuni oleh Allah swt. Walaubagaimanapun, apa yang patut dibuat jika seseorang itu tiba-tiba sedar yang dia telah pernah menghampiri syirik ataupun pernah syirik tanpa disedari? Adakah menghampirinya sama sahaja dengan melakukannya? Adakah ini bermaksud dia tidak ada harapan untuk mendapat keampunanNya dan kesejahteraan di Hari Akhirat walaupun melalui Taubat nasuha?

Jawapan;

Syirik adalah dosa paling besar di dalam Islam. Orang yang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, ditutup pintu keampunan untuknya. Ia akan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya. Firman Allah (bermaksud);

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa mensyirikkanNya dengan sesuatu. Dia akan mengampunkan dosa selain syirik itu bagi orang yang dikehendakiNya. Sesiapa mensyirikkan Allah dengan sesuatu, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar” (Surah an-Nisa’, ayat 48).

Menurut ulamak Tafsir, ayat di atas bermaksud kepada orang yang mati dalam Syirik. Berkata Imam Ibnu Kathir; yakni; “Allah tidak mengampunkan hamba yang bertemuNya dalam keadaan mensyirikkanNya”. Adapun orang yang semasa hayatnya pernah mensyirikkan Allah, kemudian sebelum ia mati, ia telah menyedari dosa Syiriknya, lalu memohon ampun kepada Allah dan membuang segala perbuatan Syirik dari dirinya, Insya Allah dosanya akan diampunkan Allah. Ini sebagaimana yang dijanjikan Allah melalui sabda RasulNya;

إنَّ اللَّهَ يقبلُ توبةَ العبدِ ما لمْ يُغَرْغِرْ
“Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai di halqum (yakni nyawanya berada di penghujung)”. (HR Imam at-Tirmizi. Kata at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib)

Keadaannya sama seperti orang yang asalnya kafir, lalu memeluk Islam dan mati di dalam Islam. Sekalipun ia pernah mengkufurkan Allah, tetapi keislamannya telah menutup dosa kekufuran silamya. Begitu juga, dengan orang yang pernah mensyirikkan Allah, kemudian ia bertaubat dan kembali kepada Tauhid , maka taubat dan tauhidnya itu akan menutup dosa Syirik yang pernah ia lakukan.

Ayat di atas memberi ingatan kepada kita agar menjaga Tauhid kita di sepanjang hayat kita supaya kita dapat mati dalam Tauhid, bukan dalam Syirik. Tauhid dan Syirik adalah dua perkara yang saling bertentangan. Kedua-duanya tidak akan bertemu dan bercantum buat selama-lamanya. Jika dalam diri kita ada Tauhid, tidak akan ada Syirik. Jika ada Syirik, tidak akan ada Tauhid. Kerana itu, orang yang diserapi dengan penyakit Syirik, akan hilang darinya Tauhidnya sebanyak Syirik yang menyerapinya itu. Kemuncak Syirik ialah Syirik Akbar (Besar) kerana ia memadamkan sepenuhnya Tauhid dari diri seseorang. Adapun Syirik Asghar, ia tidak memadamkan sepenuhnya Tauhid, namun tidak boleh juga kita pandang ringan kerana ia menghakis Tauhid kita sikit demi sedikit. Orang yang berterusan melakukan Syirik Asghar (Kecil), lambat laun ia akan terjebak ke dalam Syirik yang lebih besar dan akhirnya mati dalam Syirik.

Orang yang menyedari ia pernah terjebak denagn Syirik hendaklah ia cepat-cepat bertaubat kepada Allah. Bertaubat dari Syirik tidak cukup dengan istighfar dan sembahyang taubat sahaja. Ia hendaklah memenuhi segala rukun yang ditetapkan agama untuk sahnya taubat seseorang, iaitu;

Pertama; Ia hendaklah meninggalkan segala perbuatan Syirik yang pernah dilakukannya. Jika ia melakukan Syirik dengan berdoa atau memuja jin, hantu atau makhluk-makhluk halus yang lain, hendaklah perbuatan itu ditinggalkan dan ia kembali beribadah dan memohon kepada Allah sahaja. Jika ia melakukan Syirik kerana melakukan sihir, hendaklah sihir itu ditinggalkan. Jika ia ada menggantungkan tangkal, hendaklah tangkal itu dibuang.

Kedua; Hendaklah ia menyesali ketelanjurannya melakukan dosa yang amat dimurkai Allah itu. Jika ia dapat menterjemahkan penyesalan itu dengan menangis di hadapan Allah itulah yang paling baik. Sabda Nabi s.a.w.; “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; (pertama) mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan (kedua) mata yang berjaga malam kerana berkawal di jalan Allah” (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Menurut beliau; hadis ini hasan).

Ketiga; Hendaklah ia berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perbuatan Syirik yang pernah dilakukan dulu.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Syirik, khususnya perbuatan-perbuatan yang mendatangkan Syirik, sila baca di Blog Artikel al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/syirik_15.html) untuk huraian terperinci.

Semoga Allah menjaga Tauhid kita dan menyelamat kita terjebak dalam segala jenis Syirik dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Wallahu a’lam.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Penal Syariah HPA

About these ads

26 June 2011 - Posted by | Aqidah

2 Comments »

  1. As salam ustaz. Saya ingin penjelasan berkenaan perbuatan seorang isteri yang derhaka kepada suaminya. Adakah ibadat-ibadat isteri sebelumnya dan selanjutnya tidak akan diterima Allah, walaupun isteri sudah memohon maaf pada suami dan diampunkan oleh suaminya? Saya ada baca bahawa dosa derhaka seorang isteri tidak boleh dimaafkan. Terima kasih. Sekian wasalam.

    Comment by hamba Allah | 16 August 2012 | Reply

    • Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.Allah menerima taubat setiap hambanya yang mahu bertaubat dengan syarat hambanya
      menyesali dengan sesungguhnya perbuatan yang telah dia lakukan dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
      Moga moga sesudah bertaubat segala ibadat yang dahulu dan yang terkini di beri pahala yang setimpal.

      Comment by amri el wahab | 16 August 2012 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 149 other followers

%d bloggers like this: